Monday, October 5, 2015

Mohsen Haji Hassani Kargar




Mohsen Haji Hassani Kargar merupakan johan tilawah Alquran peringkat antarabangsa kategori qari 2015 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan Jun lalu. Saya sempat mendengar bacaan beliau ketika tilawah berlangsung menerusi kaca TV. Selepas itu, saya sering berulang kali mendengar bacaan Alquran oleh beliau menerusi Youtube pula. Apa yang pasti, bacaan yang beliau perdengarkan cukup merdu, sayu dan syahdu. Saya tidak pernah jemu mendengarnya.

Mohsen Haji Hassani Kargar membaca Quran

Baru-baru ini saya amat terperanjat bilamana membaca maklumat menerusi internet bahawa beliau (Mohsen Haji Hassani Kargar) merupakan salah seorang mangsa yang telah kembali ke rahmatullah akibat rempuhan di Mina, Makkah iaitu ketika musim haji yang baru sahaja berlalu. Dalam peristiwa rempuhan berkenaan, warga Iran merupakan jumlah mangsa tertinggi yang telah maut dan Mohsen Haji Hassani (johan qari tilawah Alquran peringkat antarabangsa Kuala Lumpur 2015) merupakan salah seorang daripadanya.

Mohsen Haji Hassani lahir pada tahun 1988 di Iran. Beliau kembali ke rahmatullah tatkala masih berusia sekitar 27 tahun. Semoga rohnya sentiasa berada dalam rahmat Allah setiap ketika.

Alfatihah ....


Sunday, October 4, 2015

Berkunjung Ke Rumah En Jamil Dan En Anuar


Pada 3 Oktober (Sabtu), saya dan isteri telah berkesempatan untuk memenuhi undangan En. Jamil Untuk menghadiri majlis akikah 2 orang cucunya. Majlis berkenaan telah diadakan di rumah En. Jamil di Seremban, Negeri Sembilan. Sekitar 3.15 petang, kami berdua tiba di lokasi majlis. Kebetulan saya dan isteri sudah agak lama tidak berjumpa dengan En. Jamil dan Kak Yati (isterinya). Maka itulah apabila mereka terlihat sahaja kehadiran kami, mereka terus mendapatkan kami sambil berpelukan. Demikianlah akrabnya antara keluarga kami.

(saya dan en Jamil)


En. Jamil merupakan bekas kakitangan Universiti Malaya (UM). Beliau pernah bertugas di perpustakaan utama universiti berkenaan. Saya mula mengenali En. Jamil sejak tahun 1988 lagi, iaitu tahun pertama saya menjejakkan kaki ke menara gading. Sejak seawal perkenalan kami lagi, hubungan kami sudah mesra. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, oleh kerana sifat mudah mesra dan sikap mudah menolong En. Jamil, maka beliau turut mesra dengan hampir semua pelajar cacat penglihatan ketika itu.

Ada ketikanya kami akan makan bersama-sama dan jika ada kesempatan kami akan ke masjid untuk solat jumaat juga bersama-sama. En. Jamil merupakan antara kakitangan yang banyak membantu saya untuk mendapatkan buku itu dan buku ini. Maklumlah semua bahan bacaan ketika di menara gading tidak tersedia dalam bentuk Braille.

(En Jamil dan Kak Yati sibuk melayan tetamu)


Hubungan antara keluarga kami semakin dipereratkan bilamana salah seorang anak En. Jamil dan juga salah seorang anak saudaranya pernah menjadi anak murid kepada isteri saya sewaktu kedua-duanya di bangku sekolah menengah. Justeru, bila ada undangan daripada En. Jamil dan keluarganya, saya sebolehnya akan memenuhi undangan berkenaan. Seingat saya, ada sekali saya gagal memenuhi undangan beliau sekitar 2 atau 3 tahun lalu. Ia terhalang atas urusan lain yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

(Antara tetamu yang hadir)


Kini En. Jamil dan Kak Yati sudah pun bersara daripada kerjaya masing-masing. Selain sudah memiliki rumah yang agak besar dan selesa di Seremban, mereka berdua sudah pun dikurniakan dengan 4 orang cucu. Sudah tentulah kehidupan mereka berdua bertambah ceria.

Kepada En. Jamil dan Kak Yati, berbanyak-banyak terima kasih atas kesudian mengundang saya dan isteri ke majlis kali ini. Kami berdoa semoga seluruh keluarga En. Jamil akan bertambah berkat di dunia dan akhirat. Semoga hubungan kita akan terus akrab sampai bila-bila, insha-Allah.



Setelah sekitar satu jam, saya dan isteri pun meminta diri. Kalau hendak diikutkan, masa sehari pun tidak puas untuk bertemu dan bertukar-tukar cerita. Jika ada masa dan kesempatan lain, kita akan berjumpa lagi, insha-Allah.

Selepas meninggalkan rumah En. Jamil, saya dan isteri pun memutuskan untuk mengunjungi rumah En. Anuar, bekas pensyarah saya ketika saya menuntut di Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM). Kebetulan pula, lokasi rumah En. Anuar memang sepelaung dua sahaja jaraknya dengan rumah En. Jamil. Bila saya menelefon En. Anuar, kebetulan beliau berada di luar tetapi tidak jauh dari rumahnya. Beliau terus “mengarahkan” saya supaya tunggu dan jangan sekali-kali balik dahulu. Saya akur sahaja.

(En Anuar dan isterinya)


Seperti biasa, bila kami bertemu, maka topik perbualan akan berkisar kepada dua tajuk utama, iaitu bidang pendidikan dan juga bidang sejarah. En. Anuar merupakan pensyarah saya balam ilmu sejarah ketika di MPRM. Memang banyak ilmunya yang saya warisi dan saya amalkan dalam kerjaya saya hingga kini. Sambil bercerita kami dijamu dengan hidangan petang yang menyelerakan. Mungkin ini satu lagi sebab mengapa sukar untuk berhenti bercerita.

Setelah sekitar sejam setengah, lebih kurang jam 6.45 petang, saya dan isteri terpaksa meminta diri. Mudah-mudahan ini bukan pertemuan terakhir kami. Banyak lagi ilmu En. Anuar yang perlu saya gali yang tidak sempat saya ambil ketika menuntut di MPRM dahulu.



Kepada En. Anuar dan isterinya, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan kerana setiap kali saya dan isteri berkunjung ke rumahnya, saya pasti akan dilayan dengan cukup istimewa sekali. Sampaikan kereta saya pun beliau suruh letak di dalam perkarangan rumahnya. Semoga budi baiknya sentiasa akan mendapat balasan yang terbaik daripada Allah. Sesungguhnya saya bukan sahaja terhutang budi dengan beliau, saya juga turut terhutang ilmu dengannya.


Sunday, September 6, 2015

Politik Orang Melayu Kucar-kacir




Hari ini, kalau kita bercakap tentang politik, khasnya politik orang Melayu, tidak dapat dinafikan senario yang sedang menyelubunginya ialah situasi kucar-kacir yang sedang mewarnainya. Sama ada parti siasah yang berasaskan sekularisme mahupun parti siasah yang berteraskan agama, kedua-duanya sedang dilanda masalah yang masih belum ada jalan keluar. Bagi para ahli politik yang menjadi pendokong kedua-dua kumpulan parti berkenaan, mereka masih berpendapat keadaan masih stabil dan terkawal. Bagi mereka apa yang berlaku bersifart sementara dan akan kembali seperti sediakala tidak lama lagi. Itu cakap orang politik semata-mata. Sedangkan rakyat kebanyakan mungkin tidak berpandangan sedemikian.

Parti terbesar orang Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sememangnya sedang dibelenggu dengan pelbagai masalah. Kepimpinannya sedang dikritik hebat sama ada dari dalam mahupun dari luar parti. Apa yang menariknya, antara pengkritik tegar kepimpinan UMNO sekarang ialah individu yang pernah menjadi pemimpin nombor satu parti berkenaan selama puluhan tahun lamanya. Hasil kritikan sesama ahli dalam UMNO itu sendiri, bibit-bibit perpecahan semakin ketara. Pemecatan timbalan presiden UMNO selaku timbalan perdana menteri pada Julai lalu merupakan antara bibit perpecahan yang sedang melanda UMNO. Kalau pimpinan sekarang silap membuat percaturan dalam mengambil tindakan, UMNO boleh hancur dalam sekelip mata sahaja. Kehancuran UMNO kali ini (jika berlaku) akan lebih teruk daripada peristiwa pengharaman UMNO pada tahun 1988 yang lalu.

Dalam hal ini, pelbagai slogan dan madah masa lalu datang kembali menerjah kotak ingatan. Doa yang pernah dilafazkan oleh (almarhum) Datuk Fadzil Mohd Noor, sajak Melayu Mudah Lupa, Takkan Hilang Melayu Di Dunia, Hidup Melayu, dan macam-macam lagi, semuanya kini menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah UMNO sedang menghadapi saat-saat terkabulnya doa(almarhum) Datuk Haji Fadzil Mohd Noor? Adakah benar bahawa bangsa Melayu itu satu bangsa yang mudah lupa pada sejarahnya sendiri? Benarkah bangsa Melayu tidak akan hilang di dunia buat selama-lamanya? Realitinya hari ini, orang Melayu sudah pun kehilangan maruah, jati diri serta identiti di tanah Sang Nila Utama! Mampukah orang Melayu terus hidup jika politik bangsanya berada dalam keadaan kucar-kacir?

Orang tua-tua dahulukala sudah pun meninggalkan pelbagai pesan untuk diwarisi dan sebagai peringatan kepada anak cucunya. “Bersatu teguh, bercerai roboh”, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”, “biduk lalu kiambang bertaut”, dan macam-macam lagi, nampaknya semuanya ini tidak mendatangkan bekas dan hasil bagi membolehkan bangsa Melayu kembali bersatu untuk kepentingan generasi sekarang dan yang akan datang. Jika orang tua-tua hari ini sudah tidak lagi menghargai segala yang pernah menjadi pesanan daripada orang tua-tua dahulukala, maka tidak hairanlahjika orang tua-tua masa akan datang juga tidak akan menghargai pula harapan dan ingatan daripada orang tua-tua sekarang. Sesungguhnya UMNO tidak boleh berbangga lagi dengan ungkapan, “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Hari ini ungkapan sedemikian sudah menjadi retorik dan tidak bermakna lagi khasnya kepada generasi muda Melayu sekarang.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula merupakan parti kedua terbesar yang mendapat sokongan dan dokongan daripada orang Melayu. Sebelum ini, jika apa-apa terjadi kepada UMNO, orang Melayu masih boleh bergantung harap kepada PAS. Lagipun, antara UMNO dan PAS bukannya orang lain, PAS itu sendiri lahir daripada tulang rusuk UMNO. Oleh kerana wujudnya perbezaan dalam pelaksanaan Islam, maka kedua-duanya terpisah. Kedua-duanya pernah sebumbung pada awal dekad 70-an yang lalu, tetapi terpisah semula pada akhir dekad tersebut. Walaupun ada usaha untuk menyatukan kedua-dua parti siasah berkenaan, namun demikian perbezaan mengenai dasar dan kaedah pelaksanaan Islam menyebabkan kedua-dua parti siasah orang Melayu itu terus terpisah.

Kini PAS pula sedang dilanda masalah perpecahan dalaman yang serius. Ia berpunca daripada tercetusnya semangat berpuak yang berasaskan latar belakang pendidikan. Justeru, ada kumpulan ulamak dan ada kumpulan profesional. Walhal Islam sejak awal lagi sudah pun membanteras fahaman sedemikian. Sebab itulah antara Rasulullah S.A.W. dengan Abdul Rahman bin Auf tiada tembok pemisah antara keduanya, sedangkan latar belakang kedua-duanya amat berbeza. Bukankah Islam itu akan tegak berdiri kukuh dan teguh atas lima tonggak utama, iaitu, ulamak, umarak, pemuda, wanita dan profesional (aghnia’)? Apabila salah satunya rapuh, maka akan rapuhlah tonggak yang lain. Senario inilah yang sedang melanda PAS hari ini. Apabila salah satu kumpulan yang dilabelkan sebagai profesional rapuh, maka tidak dapat dielakkan lagi seluruh jentera parti berkenaan juga ikut turut sama rapuh setidak-tidaknya untuk jangka pendek.

Apa yang lebih memalukan ialah perpecahan dalaman yang berlaku dalam PAS turut sama membuka pekung di daada sendiri. Hari ini isu baiah yang selama ini menjadi rahsia dan strategi penting kekukuhan dalam PAS sudah menjadi perbincangan terbuka bukan sahaja dalam kalangan ahli PAS, bahkan ia sudah menjadi perdebatan umum pula. Kalau pun hendak meninggalkan jamaah, rahsia bekas jamaah lama jangan disebut lagi. Begitu juga mereka yang masih kekal dalam PAS, sepatutnya tidak menyebut isu baiah berkenaan secara terbuka sehingga boleh mendatangkan pandangan serong orang luar terhadap PAS itu sendiri.

Kini segalanya sudah pun terjadi. Bak kata orang tua-tua kita, nasi sudah menjadi bubur. Semua orang sudah tahu antara sebab kerajaan PAS Kelantan boleh bertahan walaupun dengan hanya dengan satu kerusi antara tahun 2005 – 2008 lalu ialah mungkin kerana adanya baiah berkenaan. Manakala golongan feminist pula ada asas untuk menuduh PAS telah mempergunakan wanita sebagai alat untuk kepentingan politik. Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikanya dari aspek agama kerana golongan yang menganjurkannya bukan sembarangan tokoh dari aspek keagamaan. Namun demikian, biar apa situasi sekalipun, isu ini tidak sepatutnya dibawa dan dibincangkan sehingga ke luar seperti sekarang. Bila hal sebegini telah berlaku, maka ahli-ahli PAS dan termasuk bekas ahlinya juga mula dilihat sebagai golongan manusia yang tidak tinggi maruahnya. Mereka lebih sanggup membocorkan pekung sendiri demi memuaskan emosi masing-masing. Kalau pun hendak bercerai dan bertalak, lakukanlah dengan cara yang baik dan harmoni. Rahsia lama tidak sepatutnya dibongkar lagi.

Perpecahan dalam UMNO telah mengakibatkan munculnya Parti Melayu Semangat 46 tetapi ia gagal bertahan lama. Sebilangan bekas pemimpinnya kemudian telah kembali kepada UMNO. Namun demikian, pergeseran dalam UMNO pada dekad 90-an telah mengakibatkan munculnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti siasah ini nampaknya lebih utuh dan masih kuat mendapat dokongan rakyat. Walaupun PKR sebuah parti pelbagai kaum, tetapi realitinya ia masih dilihat sebagai parti yang mendapat sokongan besar daripada orang Melayu. Ini bermakna, secara siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 3 kumpulan besar.

Perpecahan PAS kali ini telah mengakibatkan munculnya sebuah lagi parti siasah yang dijangka akan didokong oleh ramai orang Melayu iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Buat masa ini, PAN merupakan parti siasah yang menjadi wadah perjuangan kebanyakan bekas ahli PAS yang dilabel sebagai kumpulan profesional. Ini bermakna, pada masa ini dari sudut siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 4 kumpulan. Nampaknya haluan siasah orang Melayu bukan terarah kepada bersatu teguh, tetapi lebih menjurus kepada bercera roboh.

Perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu akan memungkinkan kuasa politik mereka semakin lemah. Bila perkara ini berlaku, maka orang lain akan mudah untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang sedang melanda. Orang Melayu yang tidak cerdik pula akan meminta sokongan bangsa lain untuk memperkukuhkan kumpulan siasah mereka. Orang lain yang akan memberi sokongan pula tidak akan menyokong tanpa sebarang habuan. Mereka akan menuntut itu dan ini sebagai balasan atas sokongan yang bakal mereka beri. Perkara yang membimbangkan ialah aapa yang bakal dituntut nanti ialah perkara yang selama ini menjadi hak eksklusif orang Melayu. Bagi orang Melayu yang pendek akal, mereka mungkin akan sanggup mengorbankan perkara sedemikian asalkan kepentingan sendiri dapat tercapai. Secara jangka panjangnya, anak cucu kita nanti akan kembali merempat di bumi sendiri.

Hari ini, sesetengah pemimpin Melayu memang pandai bercakap dan berpidato. Kalau bercakap bukan main lagi tegasnya. Kalau mengugut bangsa sendiri bukan main lagi sombongnya. Kalau berhujah bukan main lagi hebatnya. Bila berfalsafah bukan main lagi egonya. Walau bagaimanapun, bila dilanda sesuatu yang memerlukan pengorbanan jiwa dan raga, mereka kecut dan penakut. Kononnya bangsa Melayu lebih rela berputih tulang daripada berputih mata. Namun demikian, apabila Pulau Batu Putih hilang daripada genggaman kita, kita sekadar berputih mata melihat ia terlepas ke tangan orang lain dan langsung tidak berani berputih tulang untuk mempertahankannya. Tiada pusara yang sesuai untuk ditaburkan bunga kerana tiada seorang pun yang gugur untuk mempertahankannya.

Pada penelitian saya, hari ini ramai pemimpin dalam kalangan orang Melayu yang bercakap lebih menjurus kepada perpecahan bangsanya. Bila mereka bercakap, ia lebih kepada kepentingan kumpulan siasahnya sahaja seolah-olah hanya mereka sahaja yang betul. Mereka gagal melihat bangsa Melayu dari skop yang lebih besar. Mereka hanya pandai menoropong kuman di seberang tetapi gagal melihat gajah di depan mata sendiri. Mereka peka dengan bau pekung dan nanah orang lain tetapi gagal mencium bau yang sama dari diri dan kumpulannya sendiri. Apabila seseorang itu dipatuk dua kali oleh ular yang sama dan di tempat yang sama, dia pasti akan mati buat selama-lamanya.

Lebih malang lagi, hari ini orang Melayu seakan sudah ketandusan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berkemampuan untuk menyatukan bangsanya. Hanya sekali-sekala terdengar suara dari istana yang menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat jelata. Namun demikian, ia sekadar sekali-sekala sahaja. Setelah para pemimpin politik Melayu leka dengan bercakaran sesama sendiri, kini rakyat jelata amat mengharapkan peranan yang lebih besar dan lebih berkesan daripada duli payung mahkota pula untuk menyatukan kembali orang Melayu. Sesungguhnya duli payung mahkota adalah benteng terakhir orang Melayu dalam mempertahankan maruah, jati diri dan tanah air ini daripada terus tergadai kepada orang lain.

Selama ini pun, orang Melayu masih tidak berupaya untuk membangunkan ekonomi mereka setanding dengan orang lain. Kalau tidak kerana adanya agensi kerejaan yang mewakili penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi, sudah tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu lebih ke bawah daripada yang ada sekarang. Kini orang Melayu menghadapi masalah perpecahan pula dalam sudut politik. Dari sehari ke sehari, kedudukan semakin tak terkawal. Ia bukan lagi sekadar retak menanti belah, tetapi sudah ke tahap belah akan berkecai. Adakah orang Melayu memerlukan satu lagi landaan musibah bagi membolehkan mereka benar-benar memahami eerti dan betapa pentingnya penyatuan dan perpaduan?

Sesungguhnya Islam tidak pernah gagal untuk menyatukan umatnya, tetapi umat Islam itu sering gagal untuk menjadikan Islam sebagai wadah penyatuan untuk mereka.

Sunday, August 23, 2015

Guling Kerajaan



Baru-baru ini kita semua terdengar kononnya ada pihak yang sedang berusaha untuk menggulingkan kerajaan yang sedia ada. Berita berkenaan sedikit sebanyak telah menggemparkan sesetengah orang, tetapi bagi sesetengah orang pula ia tidak langsung memberi kesan. Jadi kita sama-sama tahulah siapa yang cepat melatah dan siapa yang lebih rasional bila menerima sesuatu berita.

Secara umumnya, adalah menjadi suatu perbuatan yang tidak bermoral sekiranya sesebuah kerajaan yang telah dipilih secara demokratik itu digulingkan secara yang tidak demokratik. Apatah lagi jika ada mana-mana pihak berusaha untuk menggulingkan kerajaan yang telah dipilih melalui pilihanraya dengan cara kekerasan dan dengan menggunakan senjata. Saya rasa, tiada siapa pun dalam kalangan rakyat negara ini dan yang ada hari ini boleh menerima perbuatan menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Jika mana-mana pihak telah dikesan ada hasrat dan rancangan untuk melakukan perbuatan salah tersebut, maka tindakan segera harus diambil ke atas golongan berkenaan. Jangan tunggu hingga nasi sudah menjadi bubur baru hendak bertindak, ia mungkin sudah tidak berguna lagi.

Sekiranya tiada pihak yang sedang terlibat dengan mana-mana kumpulan atau rancangan untuk menggulingkan kerajaan, maka berita berkenaan lebih kepada khabar angin sahaja. Oleh itu, pihak yang berkuasa harus mencari pula siapa yang telah memulakan khabar angin berkenaan. Individu yang telah memulakan khabar angin sehingga menimbulkan keresahan awam juga turut melakukan kesalahan. Beliau juga harus dibawa ke muka pengadilan. Tindakan untuk membawa individu yang berkaitan ke muka pengadilan juga harus dilaksanakan tanpa memilih bulu. Itu barulah telus dan tulus namanya. Mereka yang dengan sengaja meniup khabar angin tanpa asas seperti ini merupakan antara puak pembohong nombor wahid. Sepatutnya kita sama-sama jangan percaya lagi dengan puak pembohong semacam ini!

Seperkara yang kita sama-sama harus faham ialah, di negara ini sesebuah kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri boleh ditukar tidak hanya melalui pilihanraya umum sahaja. Sejarah telah membuktikan iaitu pernah beberapa buah kerajaan negeri bertukar bukan melalui pilihanraya umum, tetapi melalui tindakan ahli-ahli dewan undangan negeri yang berkenaan yang telah hilang kepercayaan kepada kerajaan lama dan memberikan kepercayaan pula kepada kerajaan baru untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negeri berkenaan.

Pada tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu telah tumbang melalui undi tidak percaya yang telah diusulkan dalam dewan undangan negeri. Dengan ini, kejatuhan kerajaan PAS Terengganu pada tahun berkenaan bukan melalui pilihanraya umum. Pada awal tahun 2009 pula, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak juga menerima nasib yang lebih kurang sama. Hasil lompatan 3 ADUN PR, iaitu 2 dari PKR dan 1 dari DAP, maka hasilnya tumbanglah kerajaan PR Perak yang tidak pun sempat untuk menyambut ulang tahun pemerintahannya yang pertama.

Sekiranya selama ini kita telah menghalalkan apa yang pernah berlaku di kedua-dua buah negeri berkenaan sebelum ini, jika sekiranya hal yang lebih kurang sama juga akan berlaku pada masa depan, sama ada dalam jangka pendek mahupun untuk jangka panjang, maka kita juga harus sama-sama menghalalkannya sebagaimana kita telah menghalalkan kejadian yang telah lepas. Adalah tidak sioman bilamana apa yang bakal terjadi akan mengenai batang hidung sendiri, maka kita mula meracau tak tentu hala sehingga racauan itu boleh menimbulkan keresahan awam pula.

Sebelum ini, pernah ada pihak-pihak tertentu mengusulkan agar undang-undang antilompat parti diperkenalkan di negara kita. Malangnya ia tidak diterima oleh pihak yang satu lagi. Mengapa? Kerana pihak yang belum bersedia untuk menerimanya merasakan mereka masih selamat. Mereka juga penuh yakin tiada ahli dari kumpulan siasah mereka yang akan melompat parti. Lagi pun, jika undang-undang antilompat parti diperkenalkan, maka lebih sukarlah untuk mengambil alih teraju kepimpinan sesebuah negeri yang tidak sehaluan dengan kumpulan siasahnya di luar daripada musim pilihanraya. Demikianlah.

Walau bagaimanapun, apabila wujud sebilangan ahli dari kumpulan siasah yang sama yang mula berubah angin, mula tidak setia dengan tampuk kepimpinan yang sedia ada, bahkan mula membuat rancangan untuk menjatuhkan kepimpinan yang ada melalui usulan undi tidak percaya di parlimen ataupun di DUN, maka ia bukanlah suatu kesalahan. Hal sebegini memang permah berlaku. Perbuatan seumpama ini sama sekali tidak boleh disifatkan perbuatan “menggulingkan kerajaan”. Di sisi undang-undang, usulan undi tidak percaya yang dilakukan dalam dewan (sama ada Dewan Rakyat mahupun di mana-mana DUN) masih halal dan dibenarkan. Ia bukan perbuatan subversif. Ia sama sekali tiada kena-mengena dengan apa yang disifatkan sebagai “perbuatan menentang yang Di-Pertuan Agong”.

Sekiranya undang-undang antilompat parti sudah berkuat kuasa, saya percaya keresahan dan racauan yang tak tentu hala seperti ini tidak akan berlaku. Pihak yang takut-takut seperti ini tidak perlu pening kepala memikirkan cara untuk menyelamatkan pemimpin yang mereka sayang atau kerajaan yang mereka sayang daripada tumbang gara-gara undi tidak percaya dalam dewan. Sekiranya undang-undang antilompat parti sudah pun berkuat kuasa, saya amat yakin sesebuah kerajaan itu boleh bertahan daripada satu musim pilihanraya ke musim pilihanraya yang selanjutnya. Walau bagaimana pun, undang-undang antilompat parti sama sekali tidak menjamin seseorang pemimpin itu boleh mempertahankan jawatannya sehingga ke akhir tempoh sesuatu penggal.

Malaysia sudah lama mengamalkan corak pemerintahan sedcara demokrasi berparlimen. Sistem ini digubal untuk kepentingan rakyat dan negara. Saya penuh yakin, ia bukan digubal hanya untuk keselesaan sesebuah kumpulan siasah tertentu semata-mata. Sekiranya ada rancangan untuk mengubah mana-mana elemen dalam sistem yang telah kita sama-sama ikut salama ini, biarlah ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara juga. Sekiranya ada rancangan untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti selepas ini, biarlah ia bertujuan untuk kepentingan negara dan rakyat dan bukan untuk memanjangkan kuasa mana-mana kumpulan siasah sahaja.

Ramai pemimpin yang mengakui tugas selaku pemimpin merupakan suatu amanah dan tanggungjawab, tetapi tidak ramai dalam kalangan mereka yang benar-benar telah berjaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab tersebut.


Sunday, August 9, 2015

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak Dr. Hasnilawati





Pada 8 Ogos (Sabtu) lalu, saya dan isteri berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak kedua kepada En. Wan Aminuddin dan Dr. Hasni. Majlis telah berlangsung di sebelah malam di sebuah bangalo yang mungkin disewa khas uhntuk majlis berkenaan. Saya dan isteri tiba di lokasi majlis sekitar jam 8.45 malam. Pada masa yang sama, pasangan pengantin juga baru sahaja tiba.

(En. Wan dan Dr. Hasni sibuk melayan para tetamu)


Seingat saya, ini merupakan kali kedua Dr. Hasni mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya dan berbetulan pula majlis perkahwinan ini adalah untuk anak keduanya. Berdasarkan pendengaran saya, majlis telah berlangsung dengan meriah. Ramai juga para tetamu undangan beliau. Selain itu, saya dan para tetamu yang lain dihidangkan dengan juadah yang pelbagai dan lazat-lazat belaka. Dr. Hasni merupakan pemilik Klinik Ampang yang terletak berhampiran dengan BSN Wangsa Maju, KL.



Kepada Dr. Hasni dan En. Wan, terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi mengundang saya dan isteri untuk kali kedua dalam majlis perkahwinan ahli keluarga kalian berdua. Ia menunjukkan hubungan kita bukan sekadar antara doktor dengan pesakitt, bahkan keakraban hubungan antara kita lebih dari itu. Keakraban hubungan seumpama inilah yang sememangnya dituntut oleh agama kita.

(Pasangan mempelai)





Saya juga tidak lupa mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua-dua mempelai. Saya berdoa semoga rumah tangga yang dibina akan kekal hingga ke syurga serta akan dikurnaikan dengan zuriat solihin dan solihat. Untuk En. Wan dan Dr. Hasni, selamat menerima menantu kedua. Semakin berserilah keluarga kalian, insha-Allah.






Hari ini menanam serai,
Hari esok menanam halia,
Hari ini tetamu ramai,
Hari esok hidup berdua.

Tengah hari cuaca redup,
Tepi sungai duduk bersila,
Selamat melayari bahtera hidup,
Semoga sampai ke pulau bahagia.

Bukit Batu Pulau Bintan,
Sudah terkenal sekian lama,
Doa dan restu kami iringkan,
Semoga kekal bahagia selamanya.

Sekitar jam 9.15 malam, saya terpaksa meninggalkan lokasi majlis kerana harus hadir ke satu lagi majlis yang lain.


Saturday, August 8, 2015

Majlis Silatulrahim Anak-anak Nyalas (Catatan Lewat)






Pada 1 Ogos (Sabtu) yang lalu, satu majlis yang dinamai Majlis Silatulrahim Anak-anak Nyalas telah dianjurkan. Majlis telah berlangsung di dewan sebuah sekolah Cina di pekan Nyalas. Majlis telah berlangsung dari jam 8 pagi hingga ke jam 12 tengah hari. Lokasi majlis pula kira-kira 2 km dari rumah kedua-dua ibu bapa saya. Kebetulan pada waktu itu saya memang berada di kampung. Jadi saya tidak melepaskan peluang dan telah hadir ke majlis berkenaan.



Sebagai maklumat, walaupun mukim Nyalas terletak dalam daerah Jasin dan di negeri Melaka, tetapi penduduk di mukim berkenaan sememangnya mengamalkan Adat Perpatih sejak turun-temurun lagi. Bahkan mereka juga turut bertutur dalam loghat Negeri Sembilan. Secara peribadi, mungkin kerana saya sudah pun merantau ke tempat orang sejak di awal sekolah rendah lagi, maka kedua-dua ciri berkenaan, iaitu Adat Perpatih dan juga loghat Negeri Sembilan tidak begitu menyerlah dalam diri saya terutama dalam kalangan rakan-rakan. Hakikatnya kedua-dua ciri berkenaan tetap menjadi kebanggaan saya.





Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, majlis kali ini merupakan kali kedua dianjurkan. Kali pertama majlis seumpama ini pernah dianjurkan ialah kira-kira 2 tahun yang lalu. Saya sendiri tidak berkesempatan untuk hadir pada ketika itu. Sewaktu penganjuran kali pertama, sekitar 300 orang telah hadir. Manakala untuk majlis kali ini pula, sekitar 800 orang (termasuk saya) telah hadir.


(Orang Kaya Naning)

(Datuk Haji Abdul Kadir Md Nor)

(Buapak/ketua suku di atas pentas)

(Pengacara majlis)

(Para tetamu masuk ke dewan)

Perasmian majlis kali ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Kadir Md Nor, merangkap Timbalan Ketua Pengakap Kebangsaan. Beliau juga merupakan salah seorang anak jati Nyalas.










(Antara suku yang ada)


Sepertimana yang mungkin kita telah ketahui, Adat Perpatih terdiri daripada beberapa suku sebagai terasnya. Di Nyalas, terdapat 7 suku semuanya. Setiap suku pula diketuai oleh seorang buapak (singkatan daripada ibu bapak). Adat bersuku ini amat berguna terutama untuk menjayakan majlis seperti kenduri-kendara. Selain itu ia juga sebagai wadah untuk merapatkan tali silatulrahim intrasuku dan juga antara suku yang ada. Ia memang sesuai dengan bidalan orang tua-tua kita, bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat.

(saya dan tuk berahim)


Antara orang yang paling berusia yang telah hadir dalam majlis berkenaan ialah Tuk Ibrahim. Bila ditanya berapa usianya, beliau akan menjawab “seratus tolak lima”. Walaupun fizikalnya nampak sudah tidak kuat lagi, tetapi pendengarannya masih kuat dan penglihatannya masih lebih terang daripada penglihatan saya. Tatkala saya bersalaman dengan beliau, sepantas kilat beliau terus mengenali saya dan tidak silap untuk menyebut nama saya.

(persembahan silat)

(persembahan kompang di luar dewan)

(persembahan qasidah)


Bagi menyerikan lagi majlis, selain beberapa ucapan, ia turut menampilkan beberapa persembahan. Antaranya termasuklah kompang, silat dan juga qasidah. Penglibatan generasi muda dalam persembahan yang diadakan memberi petanda baik iaitu adat pusaka orang Nyalas akan terus hidup pada masa akan datang, insha-Allah.

Walaupun lokasi mukim Nyalas terletak di kawasan pedalaman, tetapi ramai juga dalam kalangan anak-anak yang lahir di sini sudah jauh merantau ke tempat orang. Ini mungkin selaras dengan salah satu ciri Adat Perpatih itu sendiri iaitu menggalakkan pendokongnya supaya merantau untuk mencari rezeki. Ada juga yang sudah bermastautin ke negara orang berpuluh tahun lamanya. Walaupun jauh di seberang lautan, Nyalas tetap kekal di hati.

Selain itu, ramai juga anak-anak Nyalas yang sudah berjaya dan ada yang memegang jawatan besar sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta. Ada yang pernah menjadi panglima tentera laut. Ada juga yang merupakan ahli akademik dan berjaya sampai ke tahap profesor. Ramai juga yang terlibat dalam kumpulan profesional selaku jurutera, peguam dan sebagainya.

(Pn Nor Asmah Abdul Rahim atau Nong)


Kalau dilihat dari aspek hubungan kerabat dan kekeluargaan, sebenarnya antara kami bukannya orang lain. Ada yang sepupu, ada yang dua pupu, ada yang tiga pupu dan ada pula yang hubungannya empat dan lima pupu. Bagi saya, yang lebih penting lagi ialah, generasi muda hari ini harus diketengahkan dengan info iaitu mereka adalah berkerabat dan berkeluarga agar air walaupun dicincang tidak akan putus buat selama-lamanya. Untuk itu, saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Pn. Nor Asmah Abdul Rahim (Nong) yang telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan semua nama waris Nyalas dan kemudian dibukukan. Saya rasa, pengalaman beliau tinggal di Kanada selama sekitar 40 tahun telah banyak membuka matanya untuk mengambil inisiatif sedemikian. Nama saya ada ke tidak dalam senarai berkenaan?

(saya dan Chilit)

(saya dan prof. mohd yazid)


(saya dan tn hj burhan abdullah)


Saya suka mengambil kesempatan ini untuk mengkalungkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak yang telah mengambil daya usaha dan inisiatif untuk menganjurkan majlis seumpama ini. Memang benar, untuk menganjurkan majlis seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara dan cabaran yang perlu diatasi. Kalau semangat dan tekad tidak kuat, tidak mungkin majlis seumpama ini dapat dianjurkan dengan meriah sekali. Jika ada apa yang kurang, harap tidak dicaci di belakang. Sebaliknya marilah sama-sama kita membuat penambahbaikan pada masa hadapan. Mudah-mudahan penganjuran majlis sebegini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Kepada seluruh penduduk Nyalas, marilah kita sama-sama memberi apa jua bentuk sokongan yang termampu agar matlamat dan objektif penganjuran majlis seumpama ini dapat dicapai. Mudah-mudahan anak cucu kita nanti dapat kenal dengan adat nenek moyangnya dan tidak segan untuk mewarisinya.


Sebahagian daripada persembahan

Monday, August 3, 2015

Jamuan Hari Raya Aidil Fitri PERTIS Pusat



Pada 2 Ogos (Ahad) lalu, khabarnya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pusat ada menganjurkan jamuan hari raya aidil fitri. Majlis berkenaan telah berlangsung di Kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Ini bukan kali pertama PERTIS Pusat menganjurkan majlis sedemikian. Saya sendiri tak pasti penganjuran kali ini entah kali yang ke berapa.

Antara tujuan majlis berkenaan dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan silatulrahim antara sesama ahli, bukan ahli dan juga mereka yang bukan Islam. Maka itulah semua dijemput ke majlis berkenaan. Walau bagaimanapun, untuk tujuan penganjuran yang lebih tersusun, maka pihak penganjur telah mensyaratkan supaya sesiapa yang ingin hadir hendaklah mendaftar dengan pihak penganjur. Apabila kaedah daftar telah dilaksanakan, maka semua pihak mengharapkan agar perjalanan majlis akan lancar, teratur dan penuh ceria. Apabila majlis dapat berjalan dengan sempurna, maka barulah para hadirin akan benar-benar dapat merasai keceriaan yang maksimum juga.

Namun demikian, perkhabaran yang tiba ke pengetahuan saya tidaklah sepertimana yang diharapkan. Ada ketikanya para tetamu terpaksa berbaris agak lama untuk mengambil makanan. Kita sama-sama harus faham, ini majlis jamuan dan bukannya acara menerima bantuan.

Apa yang paling tidak sedap didengar ialah, berlaku pertelingkahan antara pihak-pihak tertentu. Pertelingkahan tersebut pula berlaku di tengah-tengah majlis, di hadapan para hadirin dan turut sama disaksikan oleh para tetamu jemputan luar. Biar apa pun sebab-musababnya, pertelingkahan sedemikian tidak seharusnya berlaku di tengah-tengah majlis. Kalau pun hendak melepaskan geram, tahan dahulu hingga majlis selesai. Jika hendak selesaikan juga sewaktu majlis sedang berlangsung, gunakan diplomasi yang paling halus agar rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.

Majlis yang sepatutnya berlangsung dengan penuh ceria, kini ia meninggalkan kesan kurang baik yang bakal menjadi sebutan pula entah sampai bila. Kalau kita sama-sama masih ingat, penganjuran majlis yang serupa pada tahun lepas juga turut berakhir dengan situasi yang kurang ceria. Adakah pihak penganjur tidak melakukan posmotem selepas majlis yang serupa tahun lepas?

Untuk tujuan kebaikan masa depan, pihak penganjur hendaklah berlapang dada dalam menerima kritikan pihak lain. Mana yang kurang di baiki. Mana yang salah dibetulkan. Bila buat posmotem nanti, buatlah betul-betul. Buatlah secara bertulis supaya ia boleh jadi rujukan pada masa akan dapang agar kesilapan yang serupa tidak berulang lagi. Itulah antara tujuan posmotem dibuat selepas berlangsungnya sesuatu aktiviti!

Bila kita gagal belajar daripada kesilapan lepas, kesilapan yang serupa akan kita ulang semula pada masa akan datang.