Thursday, December 3, 2009

Bicara Isu

Chin Peng Tak Perlu Kembali Ke Tanah Air

Menurut laporan dalam sebuah akhbar hari ini, YAB perdana menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, menegaskan bahawa beliau tidak perlu berjumpa dengan Chin Peng. Penegasan tersebut beliau buat di Langkawi ketika menjawab soalan para wartawan mengenai hasrat Chin Peng untuk berjumpa dengan beliau (perdana menteri) ketika Dato’ Seri Mohd Najib mengadakan lawatan ke selatan Thailand yang dijangka pada minggu depan.

Tindakan YAB Perdana Menteri yang enggan menemui Chin Peng amat saya sokong dan saya kira sangat wajar. Bahkan saya rasa seluruh rakyat Malaysia harus memberi sokongan padu kepada keputusan dan pendirian YAB Perdana Menteri dalam isu ini. Jika YAB Dato’ Seri Najib temui juga Chin Peng, maka saya rasa jutaan rakyat Malaysia akan terluka hatinya. Ketegasan pendirian Dato’ Seri Najib dalam hal ini menampakkan bahawa beliau telah mendahulukan rakyat.



Bagi saya, sampai bila-bila pun Chin Peng tak sesuai dan tidak sewajarnya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia. Walaupun saya tidak pernah menjadi mangsa secara langsung kekejaman Chin Peng dan PKM, namun saya tetap mempunyai empati yang mendalam khususnya kepada mereka yang pernah menderita dan menjadi mangsa gara-gara tindakan kejam PKM. Selaku ketua, Chin Peng harus memikul dosa dan noda yang telah dilakukan oleh seluruh anak buahnya.



Buka sajalah kitab sejarah PKM di negara kita. Dari huruf pertama hinggalah ke huruf terakhir, semuanya memaparkan mengenai kekejaman dan keganasan PKM terhadap penduduk Tanah Melayu. Ramai nyawa yang telah terkorban. Banyak harta benda yang telah musnah. Semuanya gara-gara tindakan ganas dan kejam PKM yang tidak berperikemanusiaan dan tanpa belas kasihan.

Bagi saya, adalah tidak wajar hanya kerana kita tidak pernah menjadi mangsa kekejaman dan keganasan Chin Peng dan PKM, maka kita berkecenderungan untuk memberi peluang kepada si tua itu untuk menjejakkan semula kakinya di Tanah Melayu ini. Kita sepatutnya berempati dan bersimpati dengan mereka yang pernah menjadi mangsa gara-gara kekejaman dan keganasan Chin Peng dan PKM. Kita jangan sekali-kali lupa pada sejarah yang pernah ditimpakan oleh Chin Peng dan PKM di Tanah Melayu. Chin Peng mungkin boleh melupakan sejarahnya, tetapi sejarah tidak akan sekali-kali melupakannya.



Oleh itu, biarlah Chin Peng menghabiskan sisa-sisa tuanya di tempat dia berada sekarang. Jika Chin Peng sudah insaf dan ingin membersihkan dosa dan nodanya, biarlah semuanya dia lakukan di tempat dia berada sekarang, bukannya di bumi Malaysia ini. Chin Peng juga tidak perlu mati di Tanah Melayu. Biarlah dia mati di tempat lain saja. Namun begitu, saya sekali-kali tidak mahu melawan takdir kerana di mana Chin peng akan mati sudah pun ada dalam pengetahuan-Nya.

Kali ini, giliran saya pula berdoa untuk Dato’ Seri Najib. Saya berdoa semoga Allah tetapkan dan teguhkan pendirian YAB Dato’ Seri Najib supaya tidak akan mengizinkan Chin peng untuk kembali semula ke Malaysia buat selama-lamanya. “ya Rabbal alamin”.

Salam dari Kuantan.

Tuesday, December 1, 2009

Bicara Peristiwa

Coretan Dari Kuantan

Hari ini (1 Disember) merupakan hari ketiga saya dan keluarga di Kuantan. Sejak kami tiba pada hari Ahad lalu, hujan turun hampir sepanjang masa. Kadang-kadang lebat, kadang-kadang rintik-rintik. Begitulah pada keseluruhannya di pantai timur waktu ini.

Sebenarnya, kami sekeluarga merancang untuk ke Kuala Terengganu hari ini dan akan kembali semula ke Kuantan pada hari Khamis. Walau bagaimanapun, setelah menimbangkan pelbagai pendapat daripada beberapa orang ahli keluarga yang lain, akhirnya saya memutuskan untuk membatalkan sahaja rancangan kami. Lagipun, awal pagi tadi, isteri saya ada menelefon anak buah kami yang memang tinggal di Kuala Terengganu dan menurutnya Kuala Terengganu hujan. Saya bimbang juga, ke Kuala Terengganu lepas, tapi nak balik semula ke Kuantan akan terhalang oleh banjir.





Oleh kerana cuaca yang tidak begitu mengizinkan, buat masa ini, kami hanya berlegar di sekitar Kuantan sahaja. Dalam hal ini, kami agak bernasib baik kerana adik-beradik dan saudara-mara ramai tinggal di Kuantan. Jadi berkesempatanlah kami untuk bertandang ke rumah masing-masing.





Dalam musim tengkujuh begini, harga hasil laut seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya naik melambung. Maklumlah bekalan kurang agaknya lantaran para nelayan tidak dapat ke laut. Daging lembu agak banyak dalam peti ais, tapi agaknya masing-masing sudah kemuakan untuk memakannya. Jadi, beli jugalah hasil laut untuk mengisi perut.



Aktiviti di tepi pantai juga nampaknya tidaklah semeriah mana. Maklumlah musim ombak kuat. Jadi, sekadar bersiar-siar di tepi pantai sahajalah nampaknya. Hendak mandi laut, takut terus hilang pula.







Petang tadi, saya dan isteri sempat juga bersiar-siar di Teluk Cempedak. Para pengunjung di pantai ini juga nampak berkurangan. Masing-masing hanya berkurung dalam rumah sahaja agaknya. Inilah seronoknya kalau di Kuantan. Nak ke pantai dekat, nak ke hutan pun tak jauh.






Mungkin kerana pengunjung kurang, makhluk yang ini pula yang banyak. Bebas berkeliaran di sana sini nampaknya. Ada juga budak-budak yang takut bila diacah oleh si mahkluk yang ini.

Salam dari Kuantan.

Sunday, November 29, 2009

Cikgu Salmah Binti Osman

Dalam tulisan saya mengenai Cikgu Sulaiman bin Shafie, seorang pengunjung blog ini ada mencadangkan agar saya turut menulis kisah mengenai Cikgu (Ustazah) Salmah binti Osman. Saya kira cadangan pengunjung berkenaan sangat baik. Maka saya pun menimpan cadangan tersebut kejap-kejap dan berazam akan memaparkan tulisan mengenai Cikgu Salmah bila tiba masa yang sesuai. Lagipun, untuk memastikan tulisan tersebut berfakta dan bermakna, saya perlu berjumpa dengan Cikgu Salmah sendiri.



Akhirnya kesempatan yang saya tunggu-tunggu itu tiba juga. Pada 22 November lalu, saya telah ke Johor Bahru untuk satu mesyuarat bersama-sama pasukan penyelidik dari UTM. Pada masa yang terluang, saya telah menziarahi Cikgu Salmah di rumahnya di Larkin. Cikgu Salmah telah menyambut kedatangan saya serta keluarga dengan begitu mesra sekali.



Sudah menjadi kebiasaan bagi kami yang menuntut di Sekolah Princess Elizabeth (PES) ketika itu untuk memanggil semua guru dengan panggilan “cikgu” walaupun guru tersebut merupakan seorang ustaz atau ustazah. Begitulah juga dengan Cikgu Salmah. Beliau merupakan seorang ustazah yang berkhidmat di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Kami sangat mesra dengan memanggil beliau sebagai “Cikgu Salmah” sahaja.

Sedari awal lagi, Cikgu Salmah tidak pernah mengikuti sebarang latihan, kursus, apatah lagi memiliki sebarang sijil, diploma atau ijazah dalam apa yang diistilahkan sebagai pendidikan khas. Sekolah Princess Elizabeth pula merupakan sekolah kedua atau ketiga tempat beliau mengajar. Pada awal dekad 70-an, apabila beliau ditempatkan sahaja di Sekolah Princess Elizabeth, Cikgu Salmah terus berazam untuk belajar sistem tulisan Braille, terutamanya sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Pada mulanya, beliau merasakan memang agak sukar untuk belajar semuanya itu. Namun demikian, demi rasa tanggungjawab khasnya kepada murid-muridnya yang cacat penglihatan, beliau bertekad untuk memahirkan dirinya dengan tulisan Braille walau dengan apa cara sekalipun.

Petempatan Cikgu Salmah di Sekolah Princess Elizabeth adalah kerana pada ketika itu sekolah tersebut sangat memerlukan seorang guru dalam bidang pendidikan Islam. Sayugia diingat iaitu Cikgu Sulaiman yang sedia berkhidmat di sekolah tersebut bukanlah di bawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebaliknya Cikgu Sulaiman adalah di bawah Jabatan Agama Islam Johor. Antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Agama islam Johor mempunyai kurikulum serta sukatan pelajaran masing-masing. Justeru, Cikgu Sulaiman mengajar di sebelah petang (dan lebih dikenali sebagai sekolah agama atau sekolah petang). Manakala Cikgu Salmah pula mengajar di sebelah pagi dan tertakluk kepada dasar, kurikulum serta sukatan pelajaran sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Hal sebegini memang biasa di Johor hinggalah ke hari ini.



Pada ketika itu, Cikgu Ismail bin Abdullah (Allahyarham) merupakan antara guru cacat penglihatan yang berkhidmat di Sekolah Princess Elizabeth. Kata Cikgu Salmah, beliau banyak belajar Braille daripada Cikgu Ismail. Selain itu, kata Cikgu Salmah lagi, pada peringkat awalnya beliau juga tidak segan dan malu untuk belajar sistem tulisan Braille dengan murid-muridnya sendiri. Akhirnya berkat usaha yang tidak mengenal jemu dan malu, Cikgu Salmah telah berjaya menguasai sistem tulisan Braille dengan baik terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Sebab itu, ketika saya mula menjejakkan kaki sebagai murid di Sekolah Princess Elizabeth pada pertengahan dekad 70-an lalu, Cikgu Salmah memang sudah mahir dengan sistem tulisan Braille.

Dengan kemahiran tulisan Braille yang dimiliki, Cikgu Salmah bukan sahaja dapat memanfaatkannya untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, bahkan ia telah dimanfaatkan lebih jauh dari itu. Setakat yang saya maklum, tatkala menyediakan bahan-bahan untuk pengajaran dan pembelajaran, menyemak kerja murid, apatah lagi dalam menyediakan soalan peperiksaan atau menyemak skrip jawapan murid, Cikgu Salmah amat jarang sekali menggunakan khidmat murid untuk sama ada membraillekan bahan atau membacakan jawapan kepadanya. Semuanya beliau lakukan sendiri. Hanya pada ketika-ketika tertentu, Cikgu Salmah akan meminta pertolongan muridnya, itupun sekadar untuk memastikan kesahihan tulisan Braille muridnya. Demikianlah tingginya kemahiran dan besarnya iltizam yang ada kepada guru-guru dalam pendidikan khas ketika itu.

Saya masih ingat lagi, sekitar tahun 1978, Cikgu Salmah telah memulakan program solat secara berjemaah bagi setiap waktu solat kepada semua murid PES. Sebelumnya, solat secara berjemaah hanya dilaksanakan ketika waktu zohor dan asar, serta pada waktu maghrib dan isya pada hari Jumaat, iaitu ketika Cikgu Sulaiman ada di sekolah. Pada waktu-waktu lain, murid-murid PES akan solat secara sendiri-sendiri. Untuk memastikan murid-muridnya solat berjemaah sebagaimana yang beliau rancangkan, Cikgu Salmah telah melantik dalam kalangan murid-murid sendiri mereka yang layak untuk menjadi imam dan bilal. Di bahu mereka inilah diamanahkan tanggungjawab untuk melaksanakan solat secara berjemaah terutama sekali pada ketika guru-guru agama seperti Cikgu Sulaiman dan beliau tiada di sekolah.

Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program yang telah Cikgu Salmah rancangkan, maka solat secara berjemaah telah dilaksanakan pada setiap waktu tanpa mengira sama ada hari cuti atau hari persekolahan, tanpa mengira sama ada guru-guru agama ada di sekolah atau sebaliknya. Saya dimaklumkan, solat secara berjemaah dalam kalangan murid-murid PES terus dilaksanakan sehingalah ke hari ini. Demikianlah besarnya kesan daripada tarbiah yang telah dimulakan oleh Cikgu Salmah.

Selain itu, Cikgu Salmah juga telah mengajar murid-muridnya supaya membaca wirid dan doa setiap kali selepas solat. Wirid pendek akan dibaca selepas solat zohor, asar dan isyak. Manakala bacaan wirid yang lebih panjang akan dibaca setiap kali selepas solat maghrib dan subuh. Sekali lagi, para imam yang telah dilantik dalam kalangan murid akan diamanahkan untuk melaksanakan program bacaan wirid berkenaan.

Untuk mengimarahkan lagi surau sekolah, Cikgu Salmah telah memulakan program bacaan surah yasin dan tahlil pada setiap hari Khamis malam Jumaat, iaitu selepas solat maghrib. Sebenarnya program bacaan surah Yasin dan tahlil telah pun dilaksanakan oleh Cikgu Sulaiman pada setiap hari Jumaat malam Sabtu selepas solat maghrib. Program tersebut dibimbing sendiri oleh Cikgu Sulaiman. Walau bagaimanapun, keistimewaan program di bawah kendalian Cikgu Salmah ialah ia dikendalikan sendiri oleh murid-murid yang difikirkan layak. Ini bermakna, murid sendiri yang menjadi imam dan mengetuai bacaan surah Yasin dan tahlil hingga selesai dengan solat isyak. Boleh dikatakan, dalam setiap program berkenaan, Cikgu Salmah akan turut hadir dan akan bersolat sekali dengan murid-muridnya. Mana-mana yang patut ditegur, akan beliau tegur supaya ibadat akan lebih sempurna.

Untuk memeriahkan lagi aktiviti bacaan surah Yasin dan tahlil pada hari Khamis malam Jumaat tersebut, Kami semua akan dijamu dengan air sirap dan kuih iaitu setelah selesai solat isyak. Setahu saya, jamuan seperti itu telah berterusan pada setiap hari Khamis malam Jumaat sehinggalah Cikgu Salmah bertukar ke sekolah lain. Kemudiannya baru saya tahu iaitu wang perbelanjaan untuk jamuan tersebut bukannya wang sekolah, tetapi wang tersebut adalah dari wang saku Cikgu Salmah sendiri. Namun begitu, Cikgu Salmah tidak pernah menceritakan semuanya itu kepada kami semua. Demikianlah ikhlasnya guru-guru pendidikan khas ketika itu. Sesungguhnya keikhlasan yang disembunyikan seperti itu amat memberi kesan yang besar kepada diri saya.

Selain itu juga, Cikgu Salmah turut menggalakkan murid-muridnya supaya menghafal surah Yasin, bacaan tahlil serta doanya sekali. Saya masih ingat lagi, oleh kerana galakan tersebut, maka ada di antara kami yang berlumba-lumba untuk menghafal surah Yasin, wirid, bacaan tahlil serta doanya, di samping doa-doa lain. Kesannya, pada ketika itu, ramai juga di antara murid-muridnya yang menghafal sekurang-kurangnya surah Yasin dan juga bacaan tahlil.

Untuk mengalakkan murid-muridnya berpuasa pada bulan Ramadhan, Cikgu Salmah akan memberi hadiah berupa wang tunai kepada mana-mana muridnya yang berjaya berpuasa sebulan penuh. Oleh kerana hendakkan wang hadiah tersebut, ada antara muridnya yang akan terus berpuasa kalau sekadar demam sikit. Akhirnya baru saya tahu, wang hadiah yang beliau berikan itu juga merupakan dari wang sakunya sendiri.

Untuk memastikan supaya semua program yang telah diatur berjalan lancar di samping murid-muridnya mendapat tarbiah yang benar-benar sempurna dan berkesan, maka Cikgu Salmah telah mengambil inisiatif dengan membraillekan sendiri kitab wirid, surah Yasin dan tahlil. Setelah siap dibraillekan, beliau sendiri telah mencetaknya dengan menggunakan mesin cetak yang dikenali thermoform dan diberikannya kepada setiap murid seorang sebuah. Saya masih ingat lagi, antara yang terkandung dalam kitab tersebut termasuklah wirid selepas solat, 5 doa yang masyhur yang diamalkan selepas solat, surah Yasin, tahlil serta doanya, doa solat sunat hajat serta beberapa doa kecil yang lain.

Di samping itu, Cikgu Salmah turut menyalin ke dalam Braille kitab Berzanji. Seingat saya, Beliau telah menyalin kitab tersebut lengkap hingga rawi 19 serta dengan selawatnya sekali. Kesemuanya itu beliau lakukan secara individu. Hanya bila perlu, beliau akan meminta pertolongan terutamanya daripada Cikgu Ismail untuk menyemaknya.

Bagi saya, Cikgu Salmah tidak mungkin mampu melakukan semua itu jika beliau tidak mahir dengan sistem tulisan Braille, terutamanya tulisan Jawi dan Alquran Braille. Dengan adanya kitab-kitab yang telah disalin ke dalam bentuk Braille oleh Cikgu Salmah, maka murid-muridnya berupaya untuk lebih akrab dengan segala bacaan dan zikir yang perlu, tidak hanya semata-mata menerusi keupayaan menghafal, tetapi semuanya itu mampu diteroka melalui kemampuan mereka membaca sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille. Demi untuk murid-muridnya, Cikgu Salmah sanggup mengorbankan masanya. Setahu saya, kesemuanya itu beliau lakukan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran dan juga di luar waktu persekolahan.

Seorang rakan ada memberitahu saya, antara sebab beliau tertarik dengan agama Islam ialah cara Cikgu Salmah melaksanakan pengajarannya ketika di dalam kelas. Cikgu Salmah hanya memperkatakan mengenai kebaikan Islam. Katanya lagi, Cikgu Salmah juga tidak pernah membezakan antara murid Islam dan juga bukan islam ketika melayan semua muridnya. Cara sedemikian, kata rakan saya itu, mempunyai kesan jangka panjangnya yang tersendiri. Kata rakan saya itu lagi, itulah antara punca beliau tertarik dengan agama Islam dan hari ini beliau merupakan penganut Islam.

Selain itu, Cikgu Salmah mempunyai sifat keibuan yang tiada tolok bandingnya. Maklumlah kami semua tinggal di asrama dan berjauhan daripada ibu bapa sendiri. Seorang rakan pernah bercerita kepada saya, sewaktu beliau menghadapi masalah pada matanya, Cikgu Salmah telah memanggil rakan saya itu, dibawanya ke tempat yang sesuai dan Cikgu Salmah sendiri telah memerah susunya untuk dititikkan pada mata rakan saya itu. Bagi saya, berkesan atau tidak itu cerita lain. Yang pentingnya Cikgu Salmah telah melaksanakan tanggungjawabnya melebihi daripada seorang guru.

Ada ketikanya, Cikgu Salmah juga akan membawa mana-mana muridnya yang sesuai untuk membeli-belah di Bandar Johor Baru. Sebenarnya tujuannya bukanlah untuk membeli-belah sangat, tapi ia lebih kepada untuk mendedahkan kepada murid-muridnya suasana ketika membeli-belah.

Bila saya bertanya, pernahkah beliau mendapat apa-apa anugerah sepanjang beliau mengajar murid-murid cacat penglihatan, Cikgu Salmah diam. Setelah saya ulangi pertanyaan tersebut untuk kali kedua, Cikgu Salmah pun menjawab yang antara lain katanya, saya mendidik awak semua bukan untuk mendapatkan apa-apa anugerah. Saya ikhlas bila mengajar awak semua. Bila awak semua sudah menjadi manusia yang berguna, itu sudah cukup bagi saya. Lagipun, anugerah yang paling abadi ialah anugerah daripada Allah. Demikian jawab Cikgu Salmah. Terharu saya mendengar jawapan daripada beliau. Berdasarkan kepada apa yang Cikgu Salmah telah sumbangkan, maka tidak salah rasanya jika beliau juga patut dipertimbangkan untuk menerima apa jua bentuk anugerah. Namun begitu, saya penuh yakin, keikhlasan telah mengatasi segala-galanya. Justeru, saya dapat merasakan tidak terlintas dalam hati Cikgu Salmah untuk memikirkan mengenai anugerah lantaran jasanya kepada golongan cacat penglihatan.

Cikgu Salmah turut memberitahu saya, pada hari ini, Sekolah Princess Elizabeth merupakan sekolah yang paling beliau ingati dan murid-murid cacat penglihatan merupakan murid-murid yang paling beliau sayangi. Kenangan tatkala di Sekolah Princess Elizabeth bersama-sama dengan murid-murid yang cacat penglihatan sentiasa subur, segar dan mekar dalam lipatan memori beliau.



Sempena dengan kunjungan saya ke rumahnya, saya turut menyampaikan sebuah cendera mata kecil lagi tidak sepertinya kepada Cikgu Salmah. Cendera mata tersebut berupa tulisan surah Alfatihah yang ditulis dalam tulisan biasa dan juga dalam bentuk tulisan Alquran Braille. Ia sebagai tanda bahawa illmu yang beliau curahkan selama ini sangat bermanfaat kepada anak-anak muridnya. Saya turut memberitahu beliau, tulisan pada cendera mata tersebut saya hasilkan sendiri dengan menggunakan perisian komputer. Sebaik sahaja Cikgu Salmah menerima dan melihat cendera mata tersebut, beliau terus menangis. Saya tidak pasti mengapa beliau menangis. Mungkin beliau bersyukur kerana ilmu yang beliau curahkan selama ini telah dapat dimanfatkan oleh murid-muridnya. Mungkin juga kerana beliau teringat kisah silam tatkala mengajar di Sekolah Princess Elizabeth. Hanya Allah jua yang tahu apa sebenar sebabnya.





Sesungguhnya apa yang saya paparkan ini hanya merupakan setitis daripada selautan jasa yang telah Cikgu Salmah curahkan kepada golongan cacat penglihatan, walaupun beliau berkhidmat Cuma sekitar 11 tahun di Sekolah Princess Elizabeth. Orang seperti beliaulah yang sering membuatkan dunia kami celik walaupun tanpa penglihatan. Tiada apa yang dapat kami balaskan untuk beliau, melainkan doa setiap ketika semoga Allah sentiasa merahmati, memberkati dan memelihara Cikgu Salmah serta keluarga dan keturunannya.

Salam dari Kuantan.

Saturday, November 28, 2009

Coretan Malam

Sewaktu minum petang tadi, saya dimaklumkan oleh adik ipar iaitu harga getah sekarang tinggi. Sekilo boleh mencecah hampir RM4.00. Sepatutnya, tatkala mewah sebeginilah maka semua yang terlibat kena berjimat-cermat. Maklumlah harga tinggi sebegini bukannya pada setiap masa. Ada kalanya harganya akan turut menjunam. Bagi yang beringat dan sentiasa sediakan payung sebelum hujan, maka kesempatan yang ada akan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Waktu mewah seperti ini mereka akan menyimpan dan sekali-kali tidak akan boros berbelanja.

Manakala bagi yang tidak beringat, waktu mewah seperti ini, mereka akan berbelanja sehabisnya. Bila harga komoditi tersebut merudum, barulah teringat nak menyimpan. Inilah yang dikatakan orang, sudah hujan baru nak cari payung.

Saya rasa, dalam menguruskan ekonomi negara, ataupun menguruskan pendapatan keluarga sendiri, cara pengurusan ekonomi seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Yusuf patut dijadikan teladan. Sewaktu mewah tidak berbelanja berhabisan supaya menjadi bekal ketika susah dan sempit. Demikianlah sejarah memberitahu dan mengajar kita semua. Hanya kita sahaja yang sering bebal kerana tak mahu belajar dari sejarah.

Apa yang tak sedapnya, kata adik ipar saya, waktu harga getah sedang tinggi seperti inilah hal lain pula yang berlaku. Kadang-kadang berlaku kecurian getah. Ada kalanya yang melakukan kerja terkutuk tersebut bukannya orang lain, orang sekampung juga. Hendak diadukan kepada polis, bukti tak cukup, tapi syak tu adalah.

Apa yang agak memeranjatkan saya ialah apabila adik ipar saya memberitahu, ada juga yang sanggup membubuh pasir, batu atau ranting kayu ke dalam mangkuk yang berisi getah. Bila difikirkan, saya pun tak pasti apa untungnya kepada orang yang berbuat khianat sedemikian. Mungkin hatinya saja yang puas melihat kerugian dan kesusahan orang lain. Harap-harapnya kita semua dijauhkan daripada berperangai seperti syaitan.

Salam dari Melaka.

Friday, November 27, 2009

Suasana Hari Raya Qurban Di Kampung Sendiri

Pada tahun ini (1430 Hijrah), giliran kami sekeluarga menyambut hari raya Qurban di kampung saya di Melaka. Dari JB, saya terus singgah di Melaka pada hari Rabu lalu. Seperti kebiasaan, persiapan untuk sambutan hari raya Haji di sebelah pantai barat tidaklah semeriah mana. Namun begitu, persiapan serba sedikit tetap dibuat. Yang mana akan mengadakan majlis qurban, sudah tentulah bersiap sedia dengan lembu atau jenis binatang yang akan diqurbankan.



Pada hari raya Qurban kali ini, seluruh adik-beradik saya pulang. Maka pada malam hari raya, riuh-rendah juga di buatnya di rumah ibu saya, suatu keadaan yang amat dinanti-nantikan oleh Luqman. Maklumlah ibu saya sudah mempunyai 16 orang cucu. Cucunya yang ke-16 baru sahaja berusia 13 hari. Luqman merupakan cucunya yang ke-13.

Seperti biasa, pada pagi hari raya, kami tidak bersarapan dahulu. Mengikut sunnah, pada hari raya Qurban, kita digalakkan mengambil makanan selepas selesai solat sunat hari raya. Kami sekeluarga telah bersolat sunat hari raya di masjid yang letaknya sekitar 1.6 km dari rumah saya. Saya merasakan, di masjid, jemaahnya ramai, tapi tidaklah seramai pada hari raya aidil fitri. Itu apa yang dapat saya rasakan.



Selesai solat sunat hari raya, di rumah ibu saya upacara qurban dijalankan. Seekor lembu dijadikan qurban pada tahun ini. Tuan Haji Md Nor (imam di kampung ini) telah menyempurnakan penyembelihan lembu kali ini. Upacara penyembelihan mudah sahaja dilaksanakan.





Setelah itu, kami sekeluarga dengan disertai oleh orang-orang kampung telah beramai-ramai melapah lembu berkenaan. Tujuannya untuk memudahkan pembahagian daging lembu kepada yang layak. Di sinilah terserlahnya semangat ukhwah serta kerjasama antara penduduk kampung yang sentiasa terjalin erat. Semangat ukhwah dan kerjasama sebegini jarang dapat disaksikan di kawasan bandar. Ini mungkin disebabkan suasana latar masyarakat yang berbeza.



Selepas solat Jumaat, saya serta seluruh seisi keluarga mengadakan kenduri kecil. Kami semua sangat-sangat bersyukur dengan rezeki serta pelbagai nikmat lain yang telah dikurniakan-Nya.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya Qurban kepada seluruh muslimin dan muslimat, teristimewa kepada semua pengunjung blog inni. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi ucapan selamat hari raya kepada saya sama ada menerusi SMS ataupun email. Marilah sama-sama kita hayati natijah dan iktibar daripada sambutan hari raya Qurban. Sesungguhnya tiada pengorbanan yang lebih abadi selain daripada pengorbanan semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya.

Salam Dari Melaka.

Wednesday, November 25, 2009

Kunjungan Ke Singapura

Semalam (24 November) saya dan keluarga telah berkesempatan untuk berkunjung ke Singapura. Seharian kami berada di pulau yang pernah “dilanggar todak” tersebut. Sebenarnya, saya dan keluarga telah merancang untuk ke Singapura hujung tahun lepas. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu rancangan tersebut terpaksa ditangguhkan. Alhamdulillah, kali ini rancangan kami sekeluarga telah dimakbulkan Allah.

Sedari awal lagi, kami sekeluarga memang bertekad iaitu kunjungan ke Singapura bukan sekali-kali untuk membeli-belah. Selain daripada menziarahi kakak sepupu saya yang tinggal di sana, saya sememangnya memendam hasrat untuk mengunjungi 3 tempat iaitu Masjid Sultan, Istana Kampung Gelam dan Geylang. Kesemua kawasan ini mempunyai kepentingan kepada sejarah petempatan orang Melayu di singapura.

Sekitar jam 8.30 pagi (24 November), Shahril dan Azizan telah sedia menanti kami di lobi hotel. Saya memang merancang untuk menggunakan pengangkutan awam sahaja kali ini. Shahril dan Azizan kemudiannya menghantar kami ke stesen bas awam di Larkin. Setibanya saya dan keluarga di stesen bas Larkin, saya pun terus menuju ke tempat money changer untuk menukar wang Malaysia ke Dollar Singapura. RM 500.00 yang kami tukar, kami dapat 202.50 Dollar Singapura. Saya rasa cukuplah untuk berbelanja sehari di kota Singa nanti. Setelah itu, kami pun mengisi borang imigresen. Ada orang yang tolong isikan. Kami bayar RM 5.00 untuk perkhidmatan tersebut.

Lebih kurang jam 9.45 pagi, bas yang membawa kami ke Singapura pun bergerak meninggalkan stesen bas Larkin. Sejak awal lagi kakak sepupu saya telah berpesan supaya kami menggunakan perkhidmatan bas ekspres yang berwarna merah. Kami akur saja. Sebelum tiba ke tempat destinasi, kami terpaksa melalui (berhenti) di dua pusat pemeriksaan atau check point, iaitu di sebelah Malaysia dan juga di sebelah Singapura.



Akhirnya kami tiba di Rochor Road. Kakak Zaleha (kakak sepupu saya) telah sedia menanti.



Dari stesen bas Rochor Road, kami berjalan kaki sahaja melintasi King George Avenue, kemudiannya ke Maude Road. Di sinilah letaknya rumah Kak Zaleha. Di sini hampir semua rumah berbentuk flat. Setibanya kami di rumahnya, Kak Zaleha terus menjamu kami dengan minuman. Begitulah adat orang Melayu bila menerima tetamu. Setelah itu, makan tengah hari pula dihidangkan. Abang Akob, suami Kak Zaleha tak ada di rumah kerana ada urusan di Bangi. Walau bagaimanapun, kedatangan kami telah beliau maklum.

Setelah solat zohor, lebih kurang jam 1.30 tengah hari, kami sekeluarga dengan ditemani Kak Zaleha pun bergerak ke destinasi pertama, iaitu Masjid Sultan. Walaupun jaraknya tidaklah sejauh mana, saya sengaja guna perkhidmatan teksi. Bukannya apa, sekadar untuk menambah pengalaman. Pemandunya berbangsa Cina. Biasalah, cakap Melayu memang tidak fasih, tapi pemandu berkenaan cuba juga untuk berbahasa Melayu. Oleh kerana saya kasihan mendengarkan beliau terkial-kial untuk berbahasa Melayu, saya terus gunakan bahasa Inggeris. Barulah rancak komunikasi antara kami.



Masjid Sultan merupakan antara masjid tertua di Singapura. Di persekitaran masjid ini barulah telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu. Sejak dari saya tiba tadi, telinga saya hanya menangkap perbualan orang ramai sama ada dalam bahasa Inggeris atau Cina. Di persekitaran masjid ini terdapat kedai-kedai yang menjual berbagai barangan, termasuklah tudung, kain, kedai makan, permainan kanak-kanak dan sebagainya. Kak Zaleha memberitahu saya, di Singapura tidak terdapat warung atau gerai tepi jalan seperti di Malaysia.



Setelah meneliti persekitaran luar, saya pun masuklah ke dalam masjid. Hari itu terdapat ramai juga pelancong di persekitaran masjid ini. Para pelancong juga boleh memasuki kawasan dalam masjid tetapi tidak di ruang solat. Setelah masuk ke dalam masjid, sudah tentulah saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengerjakan solat tahyatul masjid. Untuk itu, seorang pelancong dari Portugal yang beragama islam telah menawarkan diri untuk membantu saya. Mulanya beliau membawa saya ke tempat berwudhu’ (mengambil air sembahyang). Setelah itu, beliau membawa saya ke ruang solat pula. Beliau tunggu saya hingga saya selesai solat. Selepas itu, pelancong berkenaan baru membawa saya bertemu dengan isteri saya semula. Semoga Allah merahmati beliau.

Saya juga berkesempatan berbual dengan seorang anak tempatan yang bernama Abu Ahmad. Beliau pernah bekerja di Kuala Lumpur. Katanya, menurut jadual, petang ini kambing-kambing untuk upacara qurban akan tiba. Katanya lagi, kambing-kambing tersebut diimport dari Australia. Upacara qurban tersebut akan dijalankan di pekarangan masjid ini juga.



Saya juga dimaklumkan, terdapat beberapa makam orang tertentu di sekitar masjid ini. Oleh kerana keadaan tidak sesuai, saya tidaklah meminta untuk menziarahi makam-makam berkenaan. Lagipun sebelumnya, Kak Zaleha memberitahu saya, orang ramai tidak dibenarkan untuk ke makam tersebut atas sebab-sebab tertentu. Setakat yang saya maklum, antara makam yang terdapat di sini ialah makam keluarga dan keturunan Almarhum Sultan Hussein yang memerintah Singapura antara tahun 1819-1835.



Dari Masjid Sultan, kami bergerak ke Malay Heritage Centre. Dahulunya ia adalah Istana Kampung Gelam, tempat persemayaman Sultan Hussein. Oleh kerana jaraknya yang tidak jauh, kami hanya berjalan kaki sahaja. Kalau dahulu ia merupakan istana tempat bersemayamnya seorang raja Melayu, kini ia hanya merupakan sebuah muzium tempat orang ramai bernostalgia dengan kegemilangan silam. Untuk masuk ke dalam bangunannya, kami dikenakan bayaran 4 Dollar Singapura. Luqman percuma. Di kaunter, saya disapa oleh kakitangan yang bertugas. Beliau bertanya dari mana saya datang. Saya memberitahu saya dari KL. Katanya, beliau berasal dari Pulau Pinang.



Bangunan ini merupakan binaan 2 tingkat. Ia telah diubah suai oleh pemerintah Singapura beberapa tahun lalu. Di tingkat bawah, antara barangan/bahan yang dipamirkan termasuklah senjata orang Melayu, sejarah petempatan awal, dokumen perjanjian antara Raffles dengan Sultan Hussein yang ditulis dalam tulisan Jawi (tetapi ia nampak usang dan ada antara tulisannya yang sukar dibaca lagi), mengenai keluarga Sultan Hussein dan sebagainya.



Selain itu, terdapat juga salasilah sultan Johor sekarang. Sultan Abdul Jalil (1699-1718) mempunyai anak bernama Tun Abbas. Tun Abbas pula mempunyai anak bernama Tun Abdul Jamal. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Hamid. Anaknya pula bernama Temenggung Abdul Rahman. Anaknya pula bernama Temenggung Daeng Ibrahim. Anak Temenggung Daeng Ibrahim inilah adalah Sultan Abu Bakar, sultan Johor moden yang pertama. Ini bermakna, kesultanan Johor, Pahang dan Terengganu hari ini adalah dari keturunan yang sama.



Beberapa unit komputer turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Melalui komputer berkenaan, para pengunjung boleh menggunakannya untuk mendapat maklumat lanjut mengenai sesuatu perkara menerusi audio visual. Saya turut menggunakannya (dengan bantuan isteri sebab tak ada JAWS) untuk mendapatkan maklumat mengenai kehidupan awal orang Melayu di Singapura. Para pengunjung turut dihiburkan dengan muzik dan lagu Melayu tetapi dengan volume yang perlahan. Sewaktu saya sedang berkunjung, irama syair sedang dikumandangkan. Seperkara yang menarik di sini ialah, keterangan mengenai bahan atau barangan ditulis dalam bahasa Melayu.

Hari ini, keagungan dan kegemilangan kesultanan Melayu hanya jadi bahan pamiran sahaja. Mengapa hari ini orang Melayu hanya mampu bernostalgia dengan keemilangan silam? Antara sebabnya ialah mungkin kerana syarat-syarat dalam Waadat Sang Saperba telah dinodai. Sekiranya orang Melayu terus-terusan berpecah-belah, maka jangan hairan suatu hari nanti, kita sekali lagi akan jadi khadam di bumi sendiri. Kalau dahulu keagungan kesultanan Melayu merentasi selat dan lautan, hari ini ia hanya terperosok dalam muzium seperti ini. Demikianlah sejarah memberitahu dan mengajar kita.

Agak lama juga saya menghabiskan masa di sini. Setelah agak puas (belum puas dalam erti kata yang sebenar), kami pun bergeraklah ke Geylang pula. Sekali lagi saya memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi. Kak Zaleha mencadangkan kami gunakan bas sahaja, tapi saya menolaknya. Kali ini, pemandu teksi berbangsa Melayu. Kata pemandu teksi ini, di Singapura waktu antara jam 5 petang hingga 8 malam, tambang teksi akan naik sebanyak 35%. Tujuannya untuk tidak menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan teksi pada waktu sesak seperti itu.

Geylang merupakan kawasan perniagaan yang ramai orang Melayu. Di sini, sekali lagi telinga saya dapat menangkap perbualan dalam bahasa Melayu dengan agak kerap. Bagi orang Melayu dan Islam, kalau nak cari makanan halal, maka di sinilah tempatnya. Sesampai sahaja di Geylang, kami terus mencari tempat makan. Saya memesan nasi rawon. Sebenarnya sudah lama saya mendengar nama makanan ini tapi tak pernah merasainya. Peluang keemasan seperti ini sudah tentulah tak akan saya lepaskan. Setelah dirasa, hmmm ia memang sedap dan menyelerakan. Harganya baru 3.50 Dollar Singapura. Cubalah convert kepada Ringgit Malaysia. Kata salah seorang peniaga di sini, kalau malam, tempat ini lebih hidup.



Setelah menjamu selera, kami pun bergerak ke Kampung Melayu yang terletak tidak jauh. Sewaktu berjalan, kami terserempak dengan kubur yang tertulis nama Labu bin Labi. Kalau tak silap saya, kisah mengenai Labu bin Labi pernah keluar dalaam akhbar beberapa ketika lalu. Menurut catatan pada kubur tersebut, Labu bin Labi telah meninggal dunia pada tahun 1961.

Kak Zaleha memberitahu, kubur ini tidak lama lagi akan dikorek untuk dipindahkan ke tempat lain. Kata Kak Zaleha lagi, kawasan Kampung Melayu akan dirobohkan untuk dibina baru. Para peniaganya akan dipindahkan ke tempat lain. Memang pun, sewaktu melalui kawasan Kampung Melayu, suasananya sunyi macam kawasan mati. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih beroperasi.



Dari kawasan Kampung Melayu, kami berjalan kaki lagi dan akhirnya kami singgah di Muslim Convert Association Of Singapore (MCAS). Saya dimaklumkan, MCAS berperanan seumpama PERKIM jika di Malaysia. Ia tempat mereka yang baru memeluk Islam untuk belajar mengenai agama Islam. Tingkat bawah adalah untuk aktiviti seperti kelas, manakala tingkat atas pula merupakan ruang solat. Kata Kak Zaleha, kalau dalam bulan Ramadhan, tempat ini meriah kerana setiap hari majlis berbuka puasa secara beramai-ramai dianjurkan di sini.



Dari MCAS, kami berjalan kaki lagi dan kali ini menghala ke stesen MRT Paya Lebar. Saya dapati, di sepanjang tempat pejalan kaki tak ada track khas sebagai laluan bebas halangan khususnya untuk pejalan kaki yang cacat penglihatan sebagaimana yang ada di Brickfields. Nampaknya, dalam hal ini, KL lebih prihatin daripada Singapura. Walau bagaimanapun, apalah gunanya kalau ada track laluan bebas halangan, tetapi pada hakikatnya ia penuh dengan rintangan!

Di stesen MRT Paya Lebar, kami menaiki MRT untuk ke Changi Airport. Ketika sedang menunggu MRT, saya dapat mendengar dengan jelas pengumuman oleh pihak berkuasa MRT di stesen berkenaan dibuat dalam 4 bahasa, iaitu bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil. Bila MRT tiba, para penumpangnya tidak berebut-rebut menaiki train, mereka masuk dengan tertib. Di dalam train, saya pada mulanya berdiri, kemudian ada penumpang lain terus memberi tempat duduk kepada saya, isteri saya dan Luqman. Kami melalui stesen Yunos, Kembangan, Bedok dan turun di stesen Tanah Merah. Di sini, kami naik satu lagi perkhidmatan MRT untuk ke Changi Airport.

Changi Airport merupakan antara lapangan terbang yang sibuk. Kak Zaleha memberitahu saya, ada kalanya orang datang ke mari sekadar untuk menenangkan fikiran sahaja. Saya pun tak pasti mengapa tempat seperti ini digunakan untuk menenangkan fikiran. Di sini, saya juga berpeluang untuk menaiki sky train untuk ke terminal dua dan kembali semula ke terminal utama. Setelah puas menikmati pemandangan di Changi Airport, kami pun menaiki semula MRT untuk pulang ke rumah kak Zaleha.

Dari aspek kebersihan, saya akui Singapura memang antara bandar yang bersih. Rakyatnya juga berbudi bahasa walaupun dengan orang luar. Untuk mendapat pertolongan, ia sangat mudah kerana orang Singapura memang ramah dan mudah menolong. Walaupun mungkin sebahagian besar orang Singapura tidak fasih berbahasa Melayu, namun begitu mereka akan cuba juga bertutur dalam bahasa Melayu jika mereka tahu kita tidak fasih berbahasa Inggeris.

Setelah solat maghrib (dan isya secara jamak), kami pun berangkat pulang semula ke JB. Walaupun Kak Zaleha memujuk supaya kami tidur sahaja di rumahnya untuk semalam dua, saya menolaknya. Lagipun pagi esok saya ada satu lagi pertemuan dengan seorang pensyarah UTM. Akhirnya, Kak Zaleha dengan berat hati terpaksa melepaskan kami untuk pulang ke JB. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Kak Zaleha (kakak sepupu saya) yang sudi menjadi “pemandu pelancong” di sepanjang kunjungan saya dan keluarga ke Singapura.

Lebih kurang jam 9.15 kami tiba di stesen bas Larkin. Saya terus ke money changer untuk menjual semula Dollar Singapura yang masih berbaki. Kami hanya berbelanja sebanyak 50 Dollar Singapura sahaja, iaitu untuk tambang dan makan. 150.00 Dollar Singapura kami jual semula dan kami dapat kembali sebanyak RM 368.20. Kami makan malam di Larkin sebelum kembali semula ke hotel.

Walaupun tanpa penglihatan, ia tidak menghalang saya untuk mencari dan mengalami pengalaman sendiri.

Salam dari Melaka.
Basri Masih Menderita

Sebentar tadi, sekembali sahaja saya ke hotel dari Singapura, saya terus menerpa ke komputer untuk menyemak email. Berikut adalah isi email yang saya terima dari Along Zahari:




Rakan-rakan sekalian,

Pada hari Khamis lalu, 19/11/2009, pihak hospital telah berjaya mendapatkan penderma darah untuk Basri dan pembedahan pun telah dapat dijalankan. Bagaimanapun, menurut isteri beliau, satu lagi pembedahan terpaksa dilakukan tengah hari tadi untuk membuang nanah di tempat yang dibedah pada hari Khamis itu. Dikhuatiri nanah itu akan merebak ke bahagian lain.

Itulah senario terkini saudara Basri.

Along Zahari


Nampaknya penderitaan yang sedang ditanggung oleh Basri masih belum berakhir. Sungguh hebat penderitaan yang sedang ditanggung beliau dan keluarganya. Saya semakin kagum dengan ketabahan yang ditunjukkan oleh Basri serta keluarganya dalam menghadapi ujian Allah ini. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.



Saya turut bersyukur kerana di antara kita, masih ada insan yang masih sudi membantu Basri. Masing-masing dengan cara masing-masing memberi bantuan. Setidak-tidaknya Saudara Along Zahari sentiasa membekalkan kepada kita dengan maklumat terkini mengenai Basri. Selain itu, saya juga dapat maklumat, secara senyap-senyap Saudara Along Zahari turut membantu Basri dalam meringankan bebanan beliau. Terima kasih Along!

Sekali lagi, saya menyeru kepada yang berkemampuan, marilah sama-sama kita terus membantu Basri dalam mengharungi hidupnya. Semalam Basri telah membahagiakan kita dengan bakat permainan gambusnya. Hari ini marilah sama-sama kita membahagiakan beliau pula. Mudah-mudahan hari esok Allah pula akan membahagiakan kita.

Salam dari JB.