Sunday, March 30, 2014

BN Mengekalkan Kerusinya Di Balingian



Sebagaimana yang telah diduga, Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengekalkan kerusinya di DUN Balingian dalam pilihanraya kecil yang telah diadakan pada 29 Mac. Menurut sumber daripada Bernama, calon BN, Yussibnosh Balo berjaya mengekalkan penguasaan BN di kerusi Balingian dengan memperolehi undi sebanyak 8194. Manakala calon PKR pula, Abdul Jalil Bujang sekadar memperolehi 1283 undi sahaja. Ini membolehkan Yussibnosh berjaya meraih majoriti sebanyak 6911 undi.

Berbanding dengan keputusan DUN Balingian dalam pilihanraya umum pada 16 April 2011 lalu, majoriti yang diperolehi calon BN kali ini semakin bertambah. Ia jelas menunjukkan bahawa Balingian merupakan kubu kuat BN di Sarawak. BN ada asas untuk mendakwa sokongan rakyat terhadap parti berkenaan semakin bertambah.

Sementara itu, menurut sumber Bernama lagi, pengarah pilihanraya PKR Sarawak, See Chee How, mengakui faktor calon merupakan antara penyebab BN berjaya mengekalkan kerusinya di Balingian dengan majoriti lebih besar. Katanya lagi, kelebihan Yussibnosh selaku penjawat awam yang amat arif dengan selok-belok Balingian merupakan antara faktor kemenangan calon berkenaan.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, keputusan ini sekadar mengekalkan statusquo yang ada. Tiada sebarang perubahan dalam komposisi mana-mana parti politik di DUN Sarawak. Ia sekadar meneruskan tanggungjawab demokrasi bagi para pengundi di Balingian.

Untuk rekod, selepas pilihanraya umum ke-13 Mei 2013 lalu, sudah 4 kali pilihanraya kecil diadakan. Kesemua pilihanraya kecil berkenaan melibatkan DUN sahaja. Pilihanraya kecil pertama telah diadakan bagi DUN Kuala Besut dan BN berjaya mengekalkan kerusinya di sana. Manakala pilihanraya kecil kedua pula telah diadakan di DUN Sungai Limau, Kedah. Dalam pilihanraya kecil berkenaan PAS telah berjaya mengekalkan kerusinya di DUN berkenaan. Pilihanraya kecil ketiga pula melibatkan DUN Kajang, Selangor dan PKR pula berjaya mengekalkan kerusinya di sana. Pilihanraya kecil terakhir setakat ini ialah di DUN Balingian, Sarawak. Sebagaimana yang telah maklum, BN berjaya mengekalkan penguasaannya di kerusi berkenaan.

Berdasarkan rekod keputusan 4 pilihanraya kecil setakat ini, apa yang nyata ialah trend sokongan pengundi terhadap parti-parti politik masih sama sebagaimana dalam pilihanraya umum yang lalu. Pelbagai isu semasa yang dihadapi masa kini masih tidak mampu untuk mengubah kecenderungan sokongan para pengundi.

Jika Kajang telah membuatkan PKR tersenyum, Balingian pula telah membolehkan BN pula yang tersengih!


Saturday, March 29, 2014

Pilihanraya Kecil Balingian: Sekadar Pandangan Awal



Hari ini, sedang berlangsung pilihanraya kecil bagi N51, DUN Balingian, Sarawak. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan perletakan jawatan oleh penyandang sebelumnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas ketua menteri terlama di Sarawak setakat ini. Perletakan jawatan oleh Tan Sri Abdul Taib adalah ekoran pelantikan beliau selaku Yang Di-Pertua negeri Sarawak bagi menggantikan Tun Abang Mohd Salahuddin yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Dalam pilihanraya umum negeri Sarawak pada 16 April 2011 lalu, Tan Sri Abdul Taib berjaya memenangi kerusi N51 DUN Balingian dengan memperolehi sebanyak 6210 undi. Manakala Suriati Abdullah daripada PKR pula telah memperolehi sebanyak 871 undi. Seorang lagi calon ketika itu yang bertanding atas tiket bebas, Datuk Salleh Jafaruddin telah memperolehi 1056 undi.

Pilihanraya kecil kali ini melibatkan satu lawan satu antara BN dan PKR. Pada pemerhatian saya, BN tiada masalah untuk mengekalkan penguasaan mereka di DUN Balingian. Dengan erti kata lain, sekali lagi keputusan pilihanraya kecil ini akan menyaksikan pengekalan statusquo yang telah sedia ada sahaja.

Jika dalam pilihanraya Kajang keyakinan penuh diberikan ke atas kemenangan PKR, maka dalam pilihanraya kecil Balingian pula keyakinan besar diberikan kepada kemenangan calon BN. Ini adalah realiti yang tidak dapat tertolak lagi. Sama-samalah kita tunggukan keputusan sebenar malam ini nanti.

Saya sekadar mengutarakan pandangan awal semata-mata. Pendapat saya ini bukan dibuat dengan teropong ajaib atau dengan tongkat sakti. Ia berasaskan kepada beberapa faktor yang sempat saya teliti.


Sudahlah Tu Tok Bomoh



Beberapa hari yang lalu, tok bomoh cari publisiti lagi. Kali ini beliau beserta beberapa orang pengikutnya berbomoh pula di satu kawasan perairan. Kononnya di sekitar pulau sembilan. Kali ini beliau beraksi untuk menimbulkan mayat pula. Antara peralatan yang digunakan termasuklah teropong ajaib jenama IMZ001, alat pengait jenama IMZ002 dan juga tongkat sakti jenama IMZ003. Tapi kali ini tak nampak pula tikar pandan terbang zam zam ala kazam. Bot yang digunakan pula tidak pasti siapa yang punya.

Agaknya tok bomoh ni salah maklumat. Kapal terbang MH370 dikatakan berakhir di Lautan Hindi bukannya di sekitar Selat Melaka. Tok tersalah lokasi tu! Nasib baiklah tak ada apa yang timbul. Kalau buatnya sang jerung yang tiba-tiba muncul, tak tahulah tok sempat lari atau tidak.

Bila orang kata kapal terbang tu di laut, tok ke laut. Lepas ni, kalau ada maklumat kata kapal terbang tu di gunung, mungkin tok akan ke bukit pula. Kalau tak larat daki bukit, naik busut pun jadilah agaknya. Kenapa tok tak jadi orang yang mula-mula beritahu di mana sebenarnya lokasi kapal terbang tu? Agaknya ilmu tok belum khatam lagi!

Saya nak cadangkan agar tok cuba pergi ke Diego Garcia pulak. Manalah tahu tok akan jadi orang pertama yang dapat temui sesuatu di situ. Kalau benar terjadi macam tu, barulah gempak dibuatnya! Tok tahu tak Diego Garcia tu di mana?

Orang lain cari dengan kapal terbang atau dengan kapal laut. Mereka redah ombak, redah gelombang besar dan juga redah cuaca buruk. Mereka guna pelbagai alat canggih. Tok pulak, kait-kait saja. Kat mana tok belajar ni?

Rasanya tok ni kurang satu alat lagi, bangsi hikmat. Mana pergi alat tu tok? Kalau tak silap, bangsi hikmat tu bila ditiup dengan niat untuk dapatkan sesuatu, maka kita akan dapat apa yang diniatkan. Bangsi hikmat yang P. Ramlee guna dalam filem Doremi tu, tok punya ke?

Khabarnya beberapa hari lalu tok kena marah dengan seorang kakitangan wanita sebuah hotel. Hotel mana tu tok? Saya dengar suara kakitangan wanita tu bukan main garang lagi. Kenapa tok tak tampar saja kakitangan wanita tu? Kalau dengan Khairy Jamaluddin bukan main lagi tok nak tampar dia. Kenapa dengan kakitangan wanita hotel tu tok macam kecut beruk? Takut perempuan Ke???

Tok kata, pernah tampar buaya. Buaya apa yang tok pernah tampar tu? Buaya putih ke, buaya tembaga ke atau buaya darat?

Saya bukan nak persendakan tok. Sebaliknya saya cukup hormat pada tok. Maklumlah tok khabarnya ada terima darjat sampai bergelar datuk. Dari mana tok dapat pingat tu?

Lepas ni tok nak ke mana pulak?

Sudah lah tu tok!!!


Friday, March 28, 2014

Selepas Pilihanraya Kecil DUN Kajang



Pilihanraya kecil DUN Kajang telah menyaksikan kemenangan penuh bergaya calon PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dalam mengenepikan calon BN Datin Paduka Chu Mei Fun. Walaupun majoriti yang diperoleh berkurangan, tetapi ia harus juga mengambil kira penurunan peratus pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab mereka sehingga 16%. Nasib baiklah juga yang menang adalah PKR. Kalau pihak lain yang menang, agaknya perayaan meraikan kemenangan mungkin akan diadakan selama 40 hari dan 40 malam?

Dari satu sudut, kemenangan PKR di DUN Kajang bukanlah suatu kemenangan yang bersifat luar jangkaan. Pelbagai pihak sedari awal lagi sememangnya telah menjangkakan kemenangan untuk calon PKR. Walaupun berlaku pertukaran calon di saat-saat akhir, namun ia sama sekali tidak menukar rentak sokongan padu pengundi di Kajang ke atas calon PKR. Oleh kerana yang menang merupakan calon favourite, maka tiadalah sesuatu yang mengejutkan dalam keputusan pilihanraya kecil berkenaan. Apatah lagi bilamana kemenangan tersebut lebih kepada sekadar mengekalkan statusquo yang ada. Tiada sebarang perubahan yang berlaku pada komposisi mana-mana parti politik dalam DUN Selangor. Sebaliknya kejutan sebenar akan berlaku jika calon BN yang menang dalam pilihanraya kecil berkenaan.



Walaupun PKR berjaya mengekalkan kedudukannya di kerusi DUN Kajang, Tetapi ia tidaklah bermakna ia secara mutlak telah menyelesaikan segala permasalahan yang timbul sebelum ini sehingga membawa kepada pilihanraya kecil berkenaan. Sudah menjadi pengetahuan umum, hubungan di antara menteri besar Selangor sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan timbalan presiden PKR, Mohd Azmin Ali, berada dalam keadaan yang tidak selesa. Mengikut pelan asal, tujuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan untuk bertanding di DUN Kajang adalah untuk memainkan peranan lebih berkesan dalam menjernihkan keadaan keruh yang ada. Maka tersebarlah khabar kononnya Datuk Seri Anwar akan mengambil alih jawatan menteri besar selepas menang di Kajang kelak. Ia telah dinafikan oleh sumber PKR sendiri. Namun begitu, teori umum tetap kuat mengatakan hanya apabila Datuk Seri Anwar menjawat jawatan menteri besar kelak, baru ia dapat menjernihkan semula kegawatan politik PKR di Selangor. Ini kerana kedua-dua pihak yang sedang bertelagah masih menghormati ketokohan Datuk Seri Anwar.

Namun demikian, ekoran daripada keputusan mahkamah pada 7 Mac lalu, pelan asal yang telah dirancang rapi terpaksa diubah. Kini tumpuan terhala pula kepada kemampuan serta keberkesanan Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk berperanan dalam menjernihkan situasi politik PKR di Selangor selaku ADUN. Ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah mungkin tidak dapat menyaingi ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Anwar. Selama ini pun, umum berpandangan ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah sering dibayangi oleh ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Anwar. Justeru, harapan untuk melihat politik PKR Selangor kembali jernih masih lagi tidak secerah sebagaimana yang diharapkan. Walau bagaimanapun, peluang yang secukupnya harus juga disandarkan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah. Beliau juga merupakan tokoh yang berpengalaman dalam politik. Mungkin beliau sudah ada pelan dan strategi tersendiri ke arah menjernihkan semula situasi yang sedia ada di Selangor.

Perkara seterusnya yang perlu diselesaikan ialah mengenai jawatan menteri besar Selangor. Sebelum ini ada khabar yang mengatakan selepas pilihanraya kecil Kajang, ada tokoh lain yang akan mengambil alih jawatan menteri besar daripada Tan Sri Khalid. Ia merupakan sebahagian daripada pelan untuk menjernihkan situasi politik PKR di Selangor. Dari satu sudut, sekiranya Tan Sri Khalid terus kekal selaku menteri besar, maka pilihanraya kecil Kajang tidak sepatutnya diadakan kerana pilihanraya kecil tersebut tidak mempunyai sebarang signifikan terhadap kedudukan kerusi ketua eksekutif kerajaan Selangor. Sekiranya jawatan menteri besar harus diberikan kepada tokoh lain yang sudah sedia ada dalam DUN Selangor, maka pilihanraya kecil Kajang juga tidak sepatutnya diadakan kerana tokoh yang bakal menggantikan Tan Sri Khalid sudah pun ada dalam DUN Selangor. Sekiranya Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang telah menang dalam pilihanraya kecil baru-baru ini tidak mempunyai sebarang peranan dalam kerajaan dan pentadbiran Selangor selaku ADUN, maka pilihanraya kecil Kajang juga adalah sia-sia sahaja. Kalau sekadar untuk menjernihkan keadaan semata-mata, ia boleh dilaksanakan di luar DUN.



Dalam soal pelantikan menteri besar di Selangor atau di negeri-negeri yang serupa dengannya, satu perkara yang harus kita sama-sama tidak lupa ialah perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan. Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 harus sama-sama diteladani dan disempadani. Komposisi parti politik dalam DUN Selangor lebih kompleks bilamana tiada satu parti pun yang mempunyai ADUN sehingga kepada kedudukan majoriti mudah. Dalam situasi sebegini, sudah tentulah peranan ke bawah duli tuanku sultan Selangor lebih besar. Baginda berkuasa untuk melantik mana-mana tokoh di DUN Selangor yang diyakini baginda mendapat sokongan sebahagian besar ADUN yang lain selaku menteri besar. Dalam hal ini, PKR tidak boleh sewenangnya menunjuk sifulan tertentu sebagai menteri besar yang baru tanpa mendapat sokongan daripada ADUN lain dan tanpa perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan. Apatah lagi bilangan ADUN PKR lebih kecil jika dibandingkan dengan ADUN PAS dan DAP. Dalam situasi sebegi PKR sebenarnya tidak mempunyai kedudukan yang benar-benar mantap dan kuat untuk “melawan arus”.

Bagi saya, apa yang boleh dilakukan setakat ini ialah Mohd Azmin harus redha dengan situasi yang ada kerana Tan Sri Khalid telah pun mendapat sokongan sebahagian besar daripada ADUN Selangor serta telah beroleh perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan Selangor selaku menteri besar sebelum ini. Satu lagi jalan penyelesaian yang ada ialah Tan Sri Khalid boleh berundur secara sukarela dengan memberi laluan kepada Mohd Azmin selaku menteri besar. Lagipun dalam hierarki PKR peringkat kebangsaan, kedudukan Mohd Azmin lebih tinggi daripada Tan Sri Khalid Ibrahim. Jika salah satu pihak enggan mengalah dan tidak mahu berkorban, maka selagi itulah politik PKR di Selangor akan terus keruh dan bergolak. Kelak yang rugi nanti ialah negeri dan rakyat Selangor juga. Maklumlah gajah sama gajah berjuang, pelanduk di tengah yang akan menjadi mangsanya.



Seperkara lagi yang menarik perhatian kita semua ialah dakwaan kemenangan di Kajang akan membuka laluan ke Putrajaya. Sebelum ini, pelbagai pelan telah diutarakan khususnya oleh PKR untuk menuju ke Putrajaya. Tentu kita masih ingat dakwaan bahawa pada 16 September 2008, penghuni Putrajaya akan berubah wajah. Wajah perdana menteri pula akan berubah tokoh. Kononnya ia akan terlaksana bilamana sekitar 30 orang ahli parlimen BN khususnya dari Sabah dan Sarawak akan berpaling tadah dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dakwaan sedemikian turut meresahkan tokoh-tokoh tertentu dalam BN sehingga ada yang pernah mencadangkan agar undang-undang anti lompat parti dibentangkan di parlimen.

Akhirnya 16 September 2008 berlalu dengan aman dan tenang. Penghuni Putrajaya tidak berubah wajah. Semua barisan kabinet yang sedia ada tidak bertukar ganti sebagaimana yang diwar-warkan sebelumnya. Tiada lompat parti berlaku khususnya daripada ahli-ahli parlimen yang disasarkan. Sebaliknya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pula yang tumbang 5 bulan kemudiannya. Agaknya inilah dibidalkan oleh orang tua-tua kita, yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.



Justeru, dakwaan bahawa kemenangan di Kajang akan membuka laluan ke Putrajaya, atau langkah ke Putrajaya akan bermula dari Selangor, bagi saya hanya sekadar retorik politik semata-mata. Mengapa mesti bermula di Selangor? Mengapa tidak harus bermula dari Pulau Pinang atau Kelantan? Walhal dari sudut kestabilan kerajaan, kedua-dua negeri tersebut mempunyai rekod kestabilan yang lebih baik. Kalau langkah ke putrajaya bermula di Selangor hanya kerana Putrajaya terletak di sebelah Selangor, ia langsung tidak boleh dijadikan sandaran. Bagaimana langkah ke Putrajaya akan bermula di Selangor, sedangkan tokoh-tokoh PKR di Selangor sendiri masih tidak seiya dan tidak sekata!

Justeru, para penganalisis dan pemerhati politik akan memerhati kepentingan dan keberkesanan kemenangan PKR dalam pilihanraya kecil Kajang terhadap kestabilan PKR khususnya di Selangor. Ia juga akan menjadi kayu ukur sejauh mana benarnya pelan untuk ke Putrajaya akan bermula dari Selangor. Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor masih stabil dan utuh. Ini kerana jumlah ADUN yang menjadi tunjang kepada pembentukan kerajaan negeri yang sedia ada masih ramai dan padu. Sebab itulah juga, walaupun politik PKR di Selangor dilanda kemelut, lawan-lawan politik kerajaan negeri masih tidak mempunyai ruang untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada.

Saya sekadar memerhati dari jauh sahaja.


Tuesday, March 25, 2014

MH370: Ucapan Takziah



Malam tadi (24 Mac), perdana menteri telah mengumumkan kepada media iaitu berdasarkan data terkini yang diperolehi, kapal terbang MH370 telah berakhir (terhempas) di tengah Lautan Hindi. Pengumuman beliau telah merungkai misteri kehilangan pesawat berkenaan sejak 17 hari yang lalu. Pengumuman perdana menteri ini turut menimbulkan reaksi dukacita daripada pelbagai pihak.

Saya amat bersetuju dengan gesaan perdana menteri agar semua pihak memberi ruang yang secukupnya terutamanya kepada keluarga mangsa MH370 untuk bertenang. Buat masa ini, kita biarkan sahaja pihak yang berkuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang berkaitan.

Kepada mereka yang selama ini telah mempersendakan kejadian malang ini dengan pelbagai kenyataan dan lawak bodoh, tidak terbukakah hati anda untuk memohon maaf kepada keluarga mangsa dan kepada masyarakat umum? Hari ini anda mempersendakan orang, esok atau lusa anda pula akan dipersendakan!

Kepada tok bomoh pula, jangan lagi ambil kesempatan dengan mengeluarkan sebarang dakwaan yang bukan-bukan. Bertaubat adalah jalan yang terbaik. Cukup! Cukup! Cukup!

Penemuan objek dan data sahih mengenai misteri kehilangan kapal terbang MH370 telah dilakukan dengan peralatan canggih serta dengan usaha pelbagai pihak yang meredah lautan dan meredah ruang udara yang cukup mencabar. Penemuan objek dan data berkenaan bukan dilakukan dengan teropong ajaib ala P. Ramlee atau bukan juga dengan tikar pandan terbang zam zam ala kazam filem klasik Melayu.

Kepada keluarga mangsa yang terbabit, takziah diucapkan.

Kepada kita semua, ingatlah sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa. Ada sesuatu yang ingin Dia serlahkan daripada peristiwa malang ini. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang berakal.


Antara Faktor Kemenangan PKR Di Dun Kajang



Sebagaimana yang semua telah maklum, pada 23 Mac (Ahad), pilihanraya kecil DUN Kajang telah berlangsung. Keputusan pilihanraya kecil berkenaan menunjukkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berjaya mengekalkan penguasaan PKR di DUN tersebut. Beliau berjaya meraih 16,741 undi. Manakala calon Barisan Nasional (BN) pula, Datin Paduka Chu Mei Fun telah memperoleh 11,362 undi. Datuk Seri Dr. Wan Azizah telah menang dengan majoriti 5,379 undi.



Secara keseluruhannya, peratus pengundi yang telah membuang undi di DUN Kajang dalam pilihanraya kecil kali ini telah turun dengan agak ketara. Dalam pilihanraya umum ke-13 lalu, peratus pengundi yang telah membuang undi adalah sekitar 88%. Manakala dalam pilihanraya kecil kali ini, sekitar 72% pengundi sahaja yang telah turun untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing. Justeru, tidak hairanlah jika undi yang diperoleh turut sama turun.

Satu keunikan pilihanraya kecil kali ini ialah banyak pihak sejak dari awal-awal lagi telah menjangkakan PKR akan dapat mengekalkan penguasaan mereka untuk kerusi DUN Kajang. Walaupun ada perubahan calon di saat-saat akhir, namun ia sama sekali tidak mengubah rentak sokongan para pengundi kepada PKR. Bahkan, berdasarkan pandangan golongan bahawan dalam BN sendiri, mereka turut mengutarakan pendapat yang serupa. Bagi mereka, PKR tiada masalah untuk mengekalkan penguasaan mereka ke atas kerusi DUN Kajang. Oleh itu, sebagaimana yang pernah saya tegaskan, keputusan pilihanraya kecil DUN Kajang hanya sekadar mengekalkan statusquo yang ada. Ia lebih merupakan kesinambungan perjalanan sistem demokrasi di negara kita. Ia tidak membawa sebarang perubahan sama ada kepada kerajaan negeri, kedudukan pembangkang di DUN Selangor ataupun kepada kekuatan dan kelemahan mana-mana pihak.

Bagi saya, golongan tertentu dalam BN juga sudah maklum iaitu bukan mudah untuk merampas semula kerusi DUN Kajang. Apatah lagi calon yang mewakili PKR dalam pilihanraya kecil kali ini bukannya calang-calang orang. Datuk Seri Wan Azizah sudah dua penggal lebih sedikit bertakhta di kerusi parlimen Permatang Pauh. Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga dalam menghadapi pilihanraya kecil seperti ini. Selain itu, Dr. Wan Azizah juga merupakan presiden PKR. Sudah tentulah kedudukannya turut memberikan kelebihan kepada beliau terutamanya dalam kalangan pengundi sendiri. Dua persamaan di antara Dr. Wan Azizah dengan Datin Paduka Chu ialah kedua-duanya bukan merupakan pengundi di DUN Kajang. Kedua-duanya juga merupakan calon wanita.

Terdapat beberapa faktor yang telah membolehkan PKR mengekalkan penguasan mereka di DUN Kajang. Faktor paling penting ialah sokongan daripada pengundi kerusi di DUN berkenaan terhadap PKR sangat mantap. Bahkan pertambahan sokongan pengundi Melayu di dua kawasan turut menyerlahkan lagi faktor kemenangan Dr. Wan Azizah. Dengan kata lain, secara umumnya sokongan para pengundi DUN Kajang terhadap PKR tiada bezanya sewaktu pilihanraya umum ke-13 dengan pilihanraya kecil pada 23 Mac yang lalu. Kesetiaan pengundi Kajang masih kukuh dan utuh terhadap PKR.

Keputusan mahkamah rayuan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mac lalu turut memberi kesan kepada kemenangan PKR di DUN Kajang. Kesan kepada keputusan berkenaan telah menimbulkan rasa simpati kepada keluarga Datuk Seri Anwar khususnya daripada golongan pengundi atas pagar. Mereka mungkin tidak boleh mempertikaikan keputusan mahkamah, tetapi pada masa yang sama, undi simpati mereka juga tidak boleh dipertikaikan.

Pada pandangan saya juga, BN telah tersalah meletakkan calon di Kajang. Oleh kerana calon PKR merupakan seorang Melayu yang bukan calang-calang orang, maka sepatutnya BN juga turut meletakkan calon Melayu yang mempunyai kewibawaan yang setara dengan calon PKR di situ. Kesan kepada tersalah meletakkan calon, maka para pengundi Melayu telah memberikan undi mereka kepada calon PKR. Sepatutnya BN mesti mengutamakan calon yang boleh menang dan bukannya kerusi itu parti komponen mana yang punya. Ke mana perginya ungkapan winnable candidate?

Tragedi MH370 turut memberi kesan kepada kekalahan calon BN. Kebetulan pula tragedi ini berlaku sekitar dua minggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil berkenaan. Tragedi ini pula turut membawa kepada penglibatan antarabangsa bagi tujuan mengesan lokasi sebenar kehilangan kapal terbang berkenaan. Ini menyebabkan pimpinan tertinggi BN khususnya perdana menteri sendiri tidak mempunyai masa untuk turut sama terlibat secara langsung dalam pilihanraya kecil di Kajang. Perdana menteri semestinya harus memberikan sepenuh tumpuan kepada tragedi yang sedang menimpa. Tanpa keterlibatan dan kelibat perdana menteri selaku presiden BN secara langsung di Kajang, ia setidak-tidaknya telah mengurangkan semangat dan moral jentera BN dalam pilihanraya berkenaan.

Di samping itu, terdengar juga desas-desus kononnya ada cubaan untuk mengaitkan pilot MH370 dengan salah sebuah parti politik yang terlibat dengan pilihanraya kecil di Kajang. Cubaan kaitan sebegini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ia hanya merupakan spekulasi semata-mata. Kalau kita tidak suka dengan spekulasi, kita sepatutnya tidak membuat spekulasi pula. Spekulasi liar ini sekurang-kurangnya telah menambah undi simpati terutamanya daripada pengundi atas pagar terhadap calon PKR.

Di samping itu, pilihanraya kecil Kajang tidak mempunyai sebarang signifikan khususnya kepada kedudukan kerajaan negeri Selangor yang sedia ada. Sama ada pilihanraya kecil berkenaan dimenangi oleh BN ataupun PKR, kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada secara umumnya tidak akan tergugat. Dalam situasi sebegini, maka ada kemungkinan wujudnya tendensi lebih tinggi bagi pengundi (khususnya pengundi atas pagar) untuk memberikan undi mereka kepada PKR. Situasi ini berbeza dengan pilihanraya kecil pertama selepas pilihanraya umum di Besut pada tahun lalu. Ketika itu, jika calon PAS menang ia mungkin boleh memberi kesan kepada kerajaan Terengganu yang sedia ada waktu itu.

Walaupun pilihanraya kecil Kajang telah berlalu, walaupun calon PKR dapat mengekalkan penguasaan parti berkenaan di Kajang, tetapi ia tidak bermakna permasalahan dalaman parti tersebut khususnya di Selangor sudah selesai. Rancangan asalnya ialah untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di Kajang. Namun demikian, berikutan daripada keputusan mahkamah rayuan pada 7 Mac lalu, maka pencalonan Datuk Seri Anwar terpaksa digantikan dengan isterinya Datuk Seri Wan Azizah. Perhatian kini tertumpu kepada keupayaan dan kewibawaan Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk menyelesaikan permasalahan politik PKR di Selangor pula.



Di samping itu, walaupun PKR berjaya mengekalkan kerusinya di Kajang, persoalan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim akan terus kekal sebagai menteri besar Selangor turut akan menjadi tumpuan. Jika jawatan menteri besar berasaskan kepada hierarki seseorang tokoh dalam parti, maka Tan Sri Khalid Ibrahim dan Mohd Azmin Ali sudah tidak layak lagi untuk menjadi menteri besar. Ini kerana presiden PKR sudah pun ada dalam DUN Selangor. Walau bagaimanapun, ada tiga persoalan lagi yang perlu dirungkai. Pertamanya, adakah PKR khususnya di Selangor akan tersetuju untuk terus mengekalkan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar Selangor. Keduanya, bolehkah seorang wanita menjawat jawatan menteri besar mengikut perlembagaan negeri Selangor. Ketiga, sejauh mana pula ke bawah duli tuanku sultan Selangor akan memberi perkenan baginda terhadap seseorang lain yang akan dicalonkan selaku menteri besar Selangor selepas ini.

Selepas ini, tumpuan pilihanraya kecil akan tertumpu di Balingian pula. BN dan PKR akan sekali lagi berentap di sana bagi menguji maruah parti masing-masing. Jika Kajang berpihak kepada PKR, ada kemungkinan Balingian akan berpihak kepada parti lawan pula. Balingian bukan sembarangan kerusi kerana ia tinggalan daripada bekas ketua menteri Sarawak sebelum ini.

Saya bukannya ahli politik. Saya juga tidak terlibat dengan politik. Saya sekadar mengutarakan pengetahuan dan pandangan saya tentang politik.


Monday, March 24, 2014

Selamat Pengantin Baru Kepada Nurhafidzah Dan Muhammad Fadhlullah



Semalam (23 Mac), saya dan isteri berkesempatan menghadiri majlis walimatul urus di antara Cikgu Nurhafidzah Azlin binti Md Taha dengan pasangannya Muhammad Fadhlullah bin Afandi. Majlis telah berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Keramat, Kuala Lumpur.

(Fidzah dan Fadhlullah atas pelamin bagai pinang dibelah dua)

Saya tiba pada waktu puncak. Maka tidak hairanlah tetamu sedang ramai. Beberapa orang rakan yang turut sama menghadiri majlis yang serupa turut saya temui.

Nurhafidzah merupakan seorang guru yang sedang bertugas di St. John's Institution, Kuala Lumpur. Fadhlullah pula bertugas di Seremban. Fadhlullah juga merupakan bekas anak murid saya lebih 10 tahun yang lalu.












Kepada pasangan mempelai, selamat pengantin baru saya ucapkan. Doa kami semoga kekal bahagia serta dirahmati Allah sampai ke syurga.