Sunday, February 8, 2009

Menungan Malam

Sekadar Menungan

 

            Hari ini, politik negara, khususnya di Perak berkecamuk lagi.  Setakat ini masih belum pasti antara BN dan PR, siapa yang akan untung dan siapa pula yang akan rugi.  Masing-masing ada alasan dan hujah untuk mempertahankan apa yang telah berlaku dan dilakukan.

 

            Dalam menghadapi situasi sebegini, saya merasakan eloklah semua pihak membuka semula lembaran buku dan kitab sejarah bangsa sendiri.  Lagipun, kata orang bijak pandai, jika kita gagal mengambil iktibar dari sejarah, maka kita akan dihukum dengan mengalaminya sekali lagi.

 

            Kalau hendak dikira dari dahulu hingga sekarang, kita sebenarnya sudah mengalami banyak kerugian dan kehilangan kerana persengketaan sesama kita.  Bila kita bersengketa, kita akan lemah.  Bila lemah, kita tidak akan berupaya untuk menjaga hak dan kepunyaan kita, apatah lagi untuk mempertahankannya.

 

            Hampir 498 tahun yang lalu, akibat fitnah, persengketaan dan akibat raja yang tidak pandai memerintah, akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis.  Maka bercemperalah segala anak Melayu lari dan membuka negeri di tempat lain.  Mereka hanya kehilangan Melaka, tetapi bangsa Melayu pada keseluruhannya telah kehilangan segala kebesaran, keagungan dan kekuatan yang ada pada Melaka buat selama-lamanya.

 

            Oleh kerana bangsa kita gagal mengambil iktibar dari sejarah sendiri, maka kita dihukum lagi.  Hampir dua kurun lalu, kerana persengketaan sesama kita, akhirnya Singapura terlepas buat selama-lamanya dari genggaman bangsa kita.  Hari ini, Singapura bukan sahaja tidak lagi menjadi milik kita, bahkan kadangkala ia menjadi duri dalam daging pula kepada kita.

 

            Oleh kerana kita masih tak mahu belajar dari sejarah sendiri, selang beberapa tahun kemudian, bangsa kita dihukum lagi.  Semuanya kerana persengketaan, kelemahan dan kelalaian bangsa kita.  Ia juga akibat dari golongan bangsawan yang lebih mementingkan takhta daripada negara.  Akhirnya, dunia Melayu telah dipecah dua buat selama-lamanya oleh Inggeris dan Belanda mengikut kepentingan dan sesuka hati mereka.  Hari ini, jika kita ke Riau, seolah-olah macam kita berada di tanah air sendiri.  Demikianlah akrabnya kawasan tersebut dengan kita, tapi apakan daya, ia bukan lagi milik kita.

 

            Oleh kerana bangsa kita gagal belajar dari sejarah tersebut, maka kita dihukum lagi.  Pada pertengahan kurun ke-19, oleh kerana persengketaan dan kelemahan bangsa kita juga, Siam telah memecahkan Kedah dan Perlis.  Tidak cukup dengan itu, Setol telah hilang dari genggaman bangsa kita buat selama-lamanya.

 

            Pada masa yang hampir sama, berlaku persengketaan yang hebat antara sesama pemimpin kita.  Mereka bersengketa hanya kerana berebut takhta, kuasa dan harta.  Akhirnya, kerana kelemahan yang telah sedia ada, British berjaya menjadi tuan di bumi kita tanpa perlu berjuang dan berperang.  Semuanya gara-gara kegagalan kita belajar dari sejarah sendiri.

 

            Oleh kerana kita gagal belajar dari sejarah, maka kita terus dihukum lagi.  Akibat terlalu leka dan kesan dari kelemahan serta kealpaan kita sendiri, akhirnya pada tahun lepas Pulau Batu Putih diambil begitu sahaja dari dakapan kita.  Peristiwa tersebut amat tragis kerana ia berlaku setelah hampir 51 tahun negara kita berdaulat dan merdeka.  Singapuralah yang telah menjadi duri dalam daging terhadap tragedi tersebut.  Di manakah kata-kata "biar putih tulang, jangan putih mata?"

 

            Hari ini, tatkala negara berada dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita beramuk lagi.  Kononnya atas kepentingan rakyat.  Sepatutnya segala tenaga dan usaha harus ditumpukan untuk membantu ekonomi rakyat.  Rupa-rupanya hari ini pun, bangsa kita masih lagi belum pandai belajar dari sejarah sendiri!

 

            Saya sendiri tidak pasti, akibat persengketaan sesamakita hari ini, apa lagi hak dan milik kita yang bakal hilang dan terlepas dari kita!  Yang akan merana, sengsara dan merempat di bumi sendiri ialah anak cucu kita juga.  Jangan sampai mereka kelak (zuriat kita) menyesal kerana berdatuk, bernenek dan bermoyangkan kita!

 

2 comments:

Tai said...

Ya, betul apa encik cakap.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, teman-teman sekalian.

Sukar! Ketika ini, segalanya mengelirukan! Dan, yang menimbulkan kekeliruan adalah pendukung kepentingan diri! Kalau dilihat, peristiwa di Perak ini, kita boleh katakan sejarah J.W.W. Birch telah terpapar semula, namun, kali ini, ia adalah versi Malaysia!

Ya, benar sekali. Setelah setengah kurun kita merdeka, rupa-rupanya, jiwa kita masih belum merdeka. Namun, kita akan sering mencanangkan kepada dunia, "Malaysia boleh!!!". Boleh apa kalau begitu, kan? Berdaulatkah kita kalau begini? Ya, sedih sekali kerana satu demi satu wilayah kita terlepas ke tangan orang lain dengan hanya permainan lidah tak bertulang. Oleh itu, bersamalah kita berdoa dan berjuang ke arah penghijrahan daripada nasionalisme kepada ketaqwaan terhadap-Nya, menurut kaedah dan pegangan kepercayaan masing-masing. Sampailah masanya, agama dan moral dijunjung, bukan lagi nasionalisme dan entah apa lagi ideologi ciptaan golongan tak bertuhan ini yang kita pegang selama ini yang mengizinkan percaturan sebegini berlaku.

Terima kasih.