Saturday, February 21, 2009

Sekadar Cadangan

Majlis Pertemuan Blogger Cacat Penglihatan: Sekadar Cadangan

 

            Hari ini, dengan kecanggihan teknologi yang ada, golongan cacat penglihatan juga tidak terkecuali daripada menjadi blogger serta mempunyai blog sendiri dan dengan kendalian sendiri pula.  Bagi mereka yang berpenglihatan dan masih berada "di bawah tempurung", penyertaan golongan tidak berpenglihatan dalam dunia siber masih merupakansesuatu yang mustahil.  Saya sendiri pernah berhadapan dengan golongan yang masih berada di bawah tempurung berkenaan.  Walau bagaimanapun, kita tinggalkan sahaja makhluk yang masih selesa dengan dunia mereka di bawah tempurung tersebut.  Biarlah mereka dengan dunia mereka.  Kita masih mempunyai banyak lagi agenda lain yang perlu kita utamakan.

 

            Sebenarnya, saya sendiri tidak pasti sudah berapa ramaikah blogger yang terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan.  Saya sendiri masih baru dalam dunia blog ini.  Walau bagaimanapun, satu hakikat yang perlu kita sama-sama akui, kita tetap merupakan golongan yang minoriti.

 

            Di sini, saya suka mencadangkan agar satu majlis pertemuan di antara blogger cacat penglihatan diadakan.  Antara objektifnya ialah melalui majlis seumpama ini, para blogger berkenaan dapat bertukar-tukar fikiran dan pandangan, berkongsi pengalaman dan pengetahuan, berbincang mengenai etika selaku blogger, di samping dapat mengeratkan hubungan silatul rahim antara sesama kita.

 

            Selain penglibatan oleh mereka yang telah pun mempunyai blog, saya juga ingin mencadangkan supaya golongan pengulas/pengunjung/pembaca blog turut sama ikut serta dalam majlis pertemuan tersebut.  Walaupun golongan ini masih belum mempunyai blog sendiri atas pelbagai sebab, tetapi mereka juga mempunyai pandangan dan fikiran tersendiri yang kritis, tajam dan berguna terhadap blog dan apa yang dihasilkan oleh blogger.

 

            Walau bagaimanapun, ke arah merealisasikan majlis pertemuan tersebut, ada beberapa perkara yang perlu kita sama-sama fikirkan.  Antaranya ialah:

 

1.  di manakah majlis pertemuan berkenaan boleh diadakan?

 

2.  Bilakah majlis pertemuan tersebut sesuai untuk diadakan?

 

3.  Perlukah dibentuk semacam jawatankuasa untuk menganjurkan majlis berkenaan?

 

            Saya tidaklah mengharapkan cadangan ini dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat.  Namun begitu, jika ada sambutan yang baik, setidak-tidaknya kita sama-sama boleh mula bergerak ke arah penganjuran majlis pertemuan tersebut.

 

            Sebarang maklum balas mengenai cadangan saya seperti di atas amat saya alu-alukan.  Segala maklum balas boleh diiemailkan kepada saya di zairia@tm.net.my

 

Sekian, terima kasih.

 

3 comments:

Tai said...

Encik, berapa kerat sangat orang kita yang ada blog? Saya pernah bertanya rakan-rakan, mereka kata, malas nak buat blog.

luaskanmata said...

Salam sahabat:

Kebenaran cadangan yang wajar dizahirkan. Apa kata kita buat 5/3/2009, jam 9:pm di Kuala Lumpur.

Salam singgah.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan sahabat-sahabat sekalian.

Terima kasih! Satu idea bernas! Ya, pertemuan semacam itulah, diharap, mampu membuka minda semua pihak ke arah yang terbaik! Apa kata, kita adakan pertemuan itu di Bilik Mesyuarat, Kompleks MAB, umpamanya. Sudah tentu, lokasi pertama itu nanti akan bergantung kepada seramai mana anggota yang berminat. Tarikhnya pula, eloklah diadakan pada hujung minggu (Sabtu) dan bukan hari kerja, kerana hari Sabtu merupakan hari cuti kita semua di Malaysia ni.

Harap dipertimbangkan. Terima kasih.