Monday, July 20, 2009

Ucapan Takziah

Takziah Untuk Keluarga Ashari Abdullah


Pagi tadi, sekitar jam 9.30, seorang rakan memberitahu saya bahawa
Shaari telah meninggal dunia pada awal pagi. Saya agak tergamam
kerana tertanya-tanya Shaari yang mana satu. Kebetulan saya mengenali
beberapa insan yang bernama Shaari. Melihat saya terdiam, rakan saya
itu meneruskan, Shaari yang pernah bekerja dengan Persatuan
Orang-orang Buta Malaysia (MAB) suatu ketika dahulu. Barulah saya
pasti Ashari yang mana satu.

Sebenarnya, saya telah mengenali Ashari Abdullah (Allahyarham)
sekitar 20 tahun. Perkenalan saya dengan Allahyarham bermula ketika
saya sedang menyiapkan latihan ilmiah untuk Ijazah peringkat Sarjana
Muda. Kajian saya adalah mengenai Sekolah Princess Elizabeth di
peringkat awal. Ashari atau nama asalnya Lim Keyong Wah, merupakan
antara 4 orang kumpulan murid cacat penglihatan pertama yang memasuki
Sekolah Princess Elizabeth (PES) di Johor Baru pada tahun 1948. Tiga
orang murid yang lain ialah Cikgu Ismail bin Abdullah (Allahyarham)
yang telah meninggal dunia pada tahun 1986, En. Samani Taib dan Cik
Saodah Syarif. Jika saya tak silap, Ashari meninggal dunia ketika
berusia sekitar 75 tahun.

Ashari Abdullah telah ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat di
Batu 3 Jalan Skudai pada awal bulan Oktober 1948. Selepas tamat
perang dunia kedua, beliau telah dijaga oleh kakak iparnya kerana
abangnya telah mati sewaktu perang. Oleh kerana kedaifan hidup yang
begitu mencengkam waktu itu, Kakak iparnya kemudian telah menyuruh
sebuah teksi menghantar dan meninggalkan Ashari di perkarangan
hospital besar Johor Baru. Beliau kemudiannya telah dijaga oleh
sekumpulan kakitangan hospital yang mana melalui pemeriksaan doktor
kemudiannya telah mengesahkan bahawa Ashari cacat penglihatan.
Melalui seorang doktor, Ashari telah diserahkan pula kepada Cik Enid
Fernandez, seorang sukarelawan British yang seterusnya telah
menempatkan Ashari di rumah kebajikan seperti di atas. Demikianlah
antara sejarah awal Allahyarham Ashari Abdullah.

Sewaktu beliau saya jadikan sebahagian daripada "sumber dan bahan"
kajian untuk menyempurnakan latihan ilmiah saya, beliau begitu seronok
sekali bercerita mengenai Sekolah Princess Elizabeth di zaman awal
penubuhannya. Banyak cerita dan pengalaman beliau yang dicurahkan
yang dapat saya jadikan teladan hingga ke hari ini. Selain itu, saya
dapati beliau juga mempunyai pengetahuan yang luas mengenai hal ehwal
antarabangsa. Pengetahuan berkenaan beliau peroleh melalui
kegemarannya yang suka mendengar radio ketika masa lapang. Antara
siaran radio kegemaran beliau ialah Perbadanan Penyiaran British
(BBC). Selain itu, menurut rakan-rakan seangkatannya, Shaari
merupakan seorang yang sangat komited dengan kerjanya. Bahkan ada
"orang lama" di MAB mengatakan, sukar untuk mencari seorang kakitangan
yang begitu komited seperti Shaari.

Antara buah tangan yang pernah diberikan kepada saya sekitar 20 tahun
lalu oleh Allahyarham dan masih tersimpan rapi hingga kini ialah
catatan peribadi mengenai diri beliau serta kehidupannya dari sejak
kecil. Banyak fakta mengenai Sekolah Princess Elizabeth pada zaman
awal penubuhannya yang termuat dalam catatan berkenaan dan sukar untuk
dicari di tempat lain. Catatan ringkas tersebut diberikan kepada saya
sebagai salah satu usaha beliau untuk membantu saya dalam menyiapkan
latihan ilmiah saya.

Kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham ialah dalam satu majlis
jamuan yang mempertemukan bekas-bekas murid lama Sekolah Princess
Elizabeth yang telah diadakan di rumah Yang Berbahagia Dato' Ann
Majeed pada 15 Mac 2008 yang lalu. Ketika itu, beliau tetap ceria,
banyak bercerita dan kadangkala suka mengusik rakan-rakan
seangkatannya.

Kini Allahyarham telah dijemput Ilahi. Marilah sama-sama kita berdoa
semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan golongan yang
solihin. Di sini, saya dan keluarga ingin mengucapkan takziah kepada
keluarga Allahyarham. Bersabarlah menghadapi saat yang duka ini.
Alfatihah ….

3 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara penulis dan rakan-rakan sekalian.

Pada kesempatan ini, saya turut ingin mengungkapkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Shaari. Semoga pemergiannya mengadap Ilahi ini akan mampu diterima dengan penuh kesabaran dan keredhaan. Terima kasih saudara, kerana telah memaparkan sedikit sebanyak fakta diri Allahyarham. Bersamalah kita doakan semoga Allahyarham dirahmati, diampuni, seterusnya diterima sebagai antara para hamba-Nya yang berbakti.

Saya juga ingin memohon maaf kepada saudara untuk melakukan sedikit pembetulan: Allahyarham Cikgu Ismail Abdullah, telah meninggal dunia tepat pada hari Rabu, 1 April, 1987. Saya amat mengingati peristiwa itu kerana ketika itu, saya bersama rakan-rakan setingkatan (tingkatan 2) di Rancangan Percantuman Maktab Sultan Abu Bakar, telah menghadiri sukan tahunan Maktab di Stadium Larkin pagi itu. Setelah pulang ke SKPK Princess Elizabeth, kami pun berlatihlah kugiran. Setelah selesai berlatih lagu "Kepulangan", nyanyian Razis Ismail, salah seorang guru "resource" kami yang kebetulan turut berada di sekolah itu, mengarahkan kami berhenti, lalu menyampaikan berita sedih tersebut. Ketika itu, jam menunjukkan tepat pukul 4 petang. Cuma, saya tak ingat dengan tepat bilakah waktunya Allahyarham dijemput.

Terima kasih.

Cikgu Zakaria said...

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada En. Adam Lee kerana kesudian membuat pembetulan fakta. Komen sebegini sangat saya alu-alukan. Terima kasih sekali lagi.

Unknown said...

Terima kasih juga kepada saudara. Rasanya, inilah antara kaedah terbaik berkongsi maklumat, sekaligus kita tidaklah dikatakan orang "bina laman blog songsang" (dengan matlamat jahat/mengaburi pandangan). Teruskan menulis lagi. Insha Allah, kita akan saling berkongsi maklumat dan pengetahuan untuk kebaikan semua.

Terima kasih.