Tuesday, August 4, 2009

Menungan Malam

Tambang Teksi Naik!

Mulai awal bulan ini, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan
kenaikan tambang teksi. Di tempat saya bertugas, beberapa orang rakan
sejawat merungut hampir setiap hari mengenai kenaikan tambang teksi.
Kebetulan pula, mereka merupakan antara orang yang kerap menggunakan
perkhidmatan teksi. Kata seorang rakan pula, kalau sebelum ini dia
membayar RM2.30 dari Stesen LRT Wangsa Maju ke sekolah, tetapi selepas
kenaikan tambang baru, dia harus membayar RM3.50 untuk jarak
perjalanan yang sama. Ini bermakna, kenaikan yang harus beliau
tanggung dan tampung ialah sebanyak 52%.

Saya masih ingat kenyataan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri
tatkala memberi rasional mengenai kenaikan tambang teksi ini, antara
lain beliau berkata, orang yang naik teksi merupakan orang yang mampu.
Kenyataan ini jelas menunjukkan beliau tidak memahami dengan betul
antara keperluan dengan kemampuan. Pada hari ini, memiliki sebuah
kereta sudah merupakan satu keperluan, tetapi memiliki mercedes hanya
merupakan suatu kemampuan. Maka itu, dalam situasi tertentu,
menggunakan perkhidmatan teksi sudah merupakan suatu keperluan, tetapi
menggunakan perkhidmatan teksi limousine hanya merupakan suatu
kemampuan. Hal ini yang gagal difahami oleh menteri yang berkenaan.
Mungkin beliau tak pernah naik teksi. Jadi hal keadaan sebenar
pengguna teksi beliau tidak faham langsung.

Satu lagi, ada pihak yang kononnya "menggesa" para pemilik teksi agar
memperbaiki mutu perkhidmatannya selepas kadar tambang baru
dikuatkuasakan. Gesaan seumpama ini datangnya dari orang yang kurang
sempurna akalnya. Sepatutnya mutu perkhidmatan harus diperbaiki
sebelum kadar tambang baru boleh dipertimbangkan. Sebenarnya perkara
ini biasa berlaku bila kadar tambang pengangkutan awam dinaikkan.
Jaminan demi jaminan diberi bahawa selepas kenaikan kadar tambang
baru, mutu perkhidmatan akan dipertingkatkan. Realitinya, selepas
kadar tambang selanjutnya dinaikkan pun, mutu perkhidmatan masih di
takuk lama.

Golongan cacat penglihatan merupakan antara pengguna perkhidmatan
teksi yang paling kerap. Dalam kebanyakan situasi, mereka bukan
menggunakan perkhidmatan teksi kerana mereka mampu, tetapi kerana
terpaksa. Perkara ini juga sukar difahami oleh golongan
berpenglihatan. Bila mereka melihat orang cacat penglihatan berteksi,
mereka beranggapan pengguna teksi tersebut merupakan golongan
berkemampuan.

Bagi saya, bukanlah kita tidak boleh menaikkan tambang teksi
langsung. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, maka
sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menaikkan tambang teksi.
Bagi sesetengah pengguna pula, kenaikan kadar tambang baru agak besar.
Kalau perlu naikkan pun, janganlah sebesar ini.

Nampaknya, "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" masih jauh dari
jangkauan.

2 comments:

puterimualim said...

Betullah tu! rakyat didahulukan untuk tanggung beban, pemimpin diutamakan untuk tambah kekayaan dan kesenangan.Memang tepat tagline PM tu!

Unknown said...

Assalamu'alaikum, Saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Cipta slogan, semua orang boleh. Tapi, fahamkah akan tuntutan slogan yang dicipta itu?

Memang benar seperti yang saudara katakan. Nah, boleh saya katakan, ini juga satu bentuk diskriminasi golongan berada terhadap golongan bawahan. Kalau inilah gayanya, benarkah kita sebuah negara Islam? Sejarah membuktikan pemerintahan Saiyyiddina Umar Al-Khattab dan Saiyyiddina Umar bin Abdul Aziz, merupakan zaman yang paling bahagia, di mana kemiskinan bolehlah dikatakan telah terhapus. Justeru, bersamalah kita cermin diri tidak kira kita siapa agar kita tidak jadi ahli neraka tak semena-mena ekoran pelbagai janji manis yang kita mungkiri tanpa disedari. Kepada kepimpinan, slogan bukan hanya mainan lidah. Manakala, kepada kita semua, golongan yang dipimpin, marilah kita praktikkan pula kuasa penentu yang kita miliki agar siapa yang dipilih benar-benar daripada kalangan yang berkelayakan zahir dan batin.

Terima kasih.