Sunday, September 13, 2009

Bicara Politik

Samy Vellu Boleh Tersenyum

Hari ini, ahli politik yang paling lebar senyumnya mungkin sekali
Datuk Seri S. Samy Vellu. Beliau boleh tersenyum lebar apabila
kedudukanya selaku presiden MIC tidak dicabar dalam pemilihan semalam.
Beliau juga berhak untuk terus tersenyum lebar kerana beliau telah
berjaya menyungkurkan semua tokoh yang berpotensi untuk mencabar
kedudukannya dari awal-awal lagi. Oleh itu, beliau telah pun
menikmati keselesaan selaku pemimpin nombor 1 MIC lebih awal daripada
tokoh-tokoh pemimpin MIC yang lain. Dalam konteks ini, mungkin sudah
lama Samy Vellu tersenyum puas.

Berdasarkan keputusan pemilihan dalam MIC semalam, hampir kesemua
barisan pemimpin yang telah terpilih merupakan orang-orang yang telah
mendapat "perkenan" daripada beliau. Datuk G. Palanivel yang berjaya
mengekalkan jawatanya selaku Timbalan Presiden dengan memperoleh 629
undi merupakan "tangan kanan" Datuk Seri S. Samy Vellu. Sejak dari
awal lagi, Datuk Seri S. Samy Vellu telah memberi sokongan terbuka
kepada Datuk G. Palanivel untuk menjadi timbalan beliau. Bila
keputusan diumumkan, mungkin Datuk Seri Samy Vellulah orang yang
pertama yang tersenyum.

Bagi 3 jawatan Naib Presiden pula, iaitu Datuk dr. S. Subramaniam
(1260 undi), Datuk s. k. Devamany (1122 undi) dan Datuk M. Saravanan
(1030 undi), juga merupakan tokoh-tokoh yang telah ditonjolkan oleh
Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai orang-orang pilihannya. Sementara
itu, sebahagian besar daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC
juga merupakan "orang-orang Samy Vellu". Dengan itu, Samy Vellu telah
berjaya merencanakan "tokoh mana yang patut mengisi potfolio apa"
dengan jayanya dalam pemilihan semalam. Sebenarnya bukan mudah untuk
membuat dan melaksanakan rencana sebegitu rupa. Hanya pemimpin yang
berkemampuan dan benar-benar berani sahaja yang mampu untuk
melakukannya. Nampaknya semakin panjanglah senyuman Datuk Seri Samy
Vellu.

Selain itu, keupayaan Datuk Seri Samy Vellu untuk mempengaruhi
sebahagian besar perwakilan tak kiralah dengan apa cara sekalipun
supaya memangkah calon-calon yang mendapat restu beliau juga merupakan
suatu kebolehan yang tidak harus dipandang sepi. Para perwakilan
begitu akur dengan memangkah sahaja tokoh yang direstui oleh Samy
Vellu tanpa banyak soal dan tanpa memikirkan kesannya untuk esok dan
lusa. Ini juga merupakan suatu keberanian yang ada pada tokoh yang
bernama Samy Vellu. Bila apa yang dirancang menjadi realiti, maka
tiada sebab Samy Vellu tak boleh tersenyum.
Selain itu, Datuk Seri S. Samy Vellu juga turut menyatakan bahawa
Datuk S. Subramaniam yang kalah dalam pertandingan untuk jawatan
Timbalan Presiden MIC semalam akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin MIC
kerana didakwa telah membawa "orang luar" untuk menimbulkan ketegangan
dalam persidangan MIC semalam. Menurut Samy Vellu, seramai 500 orang
yang berpotensi untuk menimbulkan ketegangan telah dibawa oleh Datuk
S. Subramaniam. Kasihan Datuk S. Subramaniam, sudahlah kalah,
tindakan disiplin pula bakal dikenakan ke atas beliau. Ini semua
gara-gara keberanian yang ada pada Datuk Seri S. Samy Velu. Jika
sebarang tindakan seperti pemecatan dikenakan ke atas Datuk S.
Subramaniam nanti, mungkin Datuk Seri S. Samy Vellu merupakan orang
yang paling lebar senyumnya. Tiada lagi tokoh yang benar-benar
berpotensi untuk mencabar kedudukanya dalam MIC sekurang-kurangnya
buat masa ini.

Ketika mengulas kekalahannya semalam, Datuk S. Subramaniam antara
lain mengatakan antara penyebab kekalahannya ialah kerana politik wang
yang dilakukan secara terbuka. Mungkin bila mendengar ulasan
sedemikian, Datuk Seri Samy Vellu juga turut tersenyum, tapi kali ini
senyumannya kelihatan sinis.

Datuk Seri S. Samy Vellu juga boleh tersenyum selebar-lebarnya
apabila beliau berjaya bertahan selaku pemimpin nombor 1 MIC sejak
tahun 1981. Jika kita teliti, ramai pemimpin BN yang seangkatan
dengan beliau telah berundur atau dipaksa supaya berundur. Antaranya
termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Dr. Ling Leong Sek, Tan Sri
Rafidah Aziz, Tun Dr. Lim Keng Yaik, Tan Sri Ong Ka Ting dan
lain-lainnya. Kedudukan Datuk Seri S. Samy Vellu pernah juga dicabar,
tetapi kesemua pencabarnya telah disungkurkan dengan jayanya.
Sehingga kini pun, Datuk Seri S. Samy Vellu enggan menyatakan tarikh
bila beliau akan benar-benar berundur selaku pemimpin nombor 1 MIC.

"Selamat tersenyum Datuk Seri"

No comments: