Tuesday, October 20, 2009

Bicara Umum

Cuti Umum Pada Setiap 16 September

Semalam (19 Oktober), YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun
Razak telah mengumumkan, mulai tahun hadapan, 16 September merupakan
cuti umum bagi seluruh negara. Selaku pekerja makan gaji seperti
saya, sudah tentulah pengumuman sedemikian sesuatu yang
menggembirakan. Maklumlah cuti umum tahunan akan bertambah sehari
lagi.

Cuti umum pada 16 September tersebut adalah bersempena dengan Hari
Malaysia, iaitu tarikh di mana Persekutuan Malaysia telah
diisytiharkan secara rasmi pada 16 September 1963.

Saya masih ingat lagi, beberapa tahun lalu, ada sebuah kerajaan
negeri mencadangkan agar tarikh kemerdekaan negara diubah dari 31 Ogos
kepada 16 September. Namun demikian, cadangan tersebut telah ditolak
oleh kerajaan Persekutuan. Saya juga bersetuju dengan langkah
kerajaan Persekutuan tersebut.

Pada perkiraan saya, tarikh 16 September lebih memberi makna kepada
penduduk Sabah dan Sarawak jika dibandingkan dengan penduduk di
Semenanjung. Ini kerana, pada tarikh tersebutlah, Sabah dan Sarawak
telah mencapai kemerdekaan masing-masing daripada penjajah British dan
kemerdekaan yang diperolehi itu pula melalui penyertaan kedua-dua
negeri tersebut ke dalam Persekutuan Malaysia. Sebuah lagi negeri
yang turut sama ialah Singapura. Namun begitu, pada 9 Ogos 1965,
Singapura telah dipecat daripada Persekutuan Malaysia. Sejak itu,
Republik Singapura telah muncul sebagai entiti politik yang merdeka
dan tersendiri.

Sebelum ini pun, di peringkat sekolah, aktiviti bulan patriotik akan
bermula pada 17 Ogos dan akan berakhir pada 16 September. Tarikh 16
September dipilih sudah tentulah kerana ia merupakan Hari Malaysia.

Bagi saya, jika tarikh 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum
tetapi tiada aktiviti atau pengisian yang sesuai dilakukan pada hari
tersebut, maka cuti umum berkenaan tidak menyumbang ke arah
peningkatan semangat patriotisme khasnya dalam kalangan rakyat negara
kita. Oleh itu, saya merasakan, sesuatu perlu dirancangkan untuk
memenuhi hari cuti tersebut supaya ia lebih bermakna dan tidak
sia-sia.

Seperkara yang saya rasa kita semua harus beri perhatian ialah,
semangat patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini masih lagi tidak
berada pada tahap yang sepatutnya. Sebagai contoh, apabila kerajaan
menyeru agar kita semua mengibarkan Jalur Gemilang, ia tidak mendapat
sambutan yang sewajarnya. Walau bagaimanapun, saya tidaklah bermaksud
agar semangat patriotisme harus disemai hingga ke tahap melampau
hingga bisa mengancam jiran tetangga. Jangan sampai begitu pak!

Oleh itu, bagi saya, cuti umum pada 16 September nanti bukan sekadar
cuti semata-mata, tetapi biarlah ia merupakan cuti yang bermakna
kepada setiap rakyat Malaysia.

1 comment:

puterimualim said...

Wow!! bestnya cuti. terima kasih pm. Agaknya antara pengisiannya ialah boleh jalan-jalan cari makan, ziarah kawan-kawan dan sedara mara. Bagi remaja-remaja pula mungkin ramai di dataran medeka atau tempat-tempat yang mengembirakan mereka. Kita tengoklah nanti. Tapi apapun terima kasih pm.