Sunday, March 14, 2010

Menungan Malam

Apa Akan Jadi Bila Sudah Buta

Kalau ditanya, adakah anda mahu jadi buta? Saya rasa, orang yang sudah sedia buta pun akan menjawab “tidak”. Namun demikian, selaku makhluk-Nya, tiada siapa pun yang mampu menolak takdir. Setiap kejadian tentu ada hikmahnya. Bukankah Allah ada berfirman dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: “Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmatbuat kamu, dan jika kamu kufur, maka ingatlah azab-Ku amat pedih” (ayat 7, surah Ibrahim). Apakah bentuk nikmat yang akan diberi dan banyak mana pula yang akanditambah, itu semua kerja Yang Memberi Nikmat.

Saya ada seorang rakan. Asalnya berpenglihatan. Beliau telah hilang penglihatannya ketika berusia 21 tahun akibat kemalangan jalan raya. Ketika di peringkat awal penglihatannya hilang, beliau seakan tak mahu hidup. Perasaannya sering terganggu. Semuanya serba tak kena. Nasibnya agak baik kerana mempunyai kedua-dua ibu bapa yang tabah. Walau apa pun karenahnya, ibu bapanya sentiasa sabar. Bukannya sehari atau sebulan beliau bersikap sedemikian, tapi bertahun. Kadang-kadang dengan jiran pun bermasalah hanya kerana emosinya terganggu dek kerana jiran yang tak mengerti. Puas sudah berusaha berubat untuk memulihkan penglihatannya, tapi tak berjaya. Akhirnya, rakan saya itu sedikit demi sedikit terpaksa menerima takdir yang telah ditentukan buatnya. Hari ini, mungkin kerana dia sudah boleh menerima keadaan dirinya, dia sudah berjaya berdikari.

Semasa saya bertugas di Pulau Pinang, saya bertemu dengan seorang yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Hospital Pulau Pinang. Saya masih ingat lagi, namanya Tuan Haji Sharif. Beliau ada bercerita mengenai ibunya. Katanya, ibunya baru beberapa tahun hilang penglihatannya. Tak ingat pula apa sebabnya. Untuk memastikan ibunya tidak merasa keseorangan dan kehilangan, katanya, setiap pagi, semua adik-beradiknya akan menziarahi ibu mereka sebelum ke tempat kerja masing-masing. Walaupun ziarah mereka sekadar seminit dua, namun ia cukup bermakna kepada seorang ibu tua yang telah buta. Ibunya akan merasa sedih jika ada di antara anak-anaknya yang entah berapa ramai itu tidak datang menemuinya.

Ada juga di antara rakan-rakan saya yang telah hilang penglihatannya ketika sudah dewasa, sudah berkahwin dan sudah punya anak seorang dua. Apa yang berlaku, ada di antara mereka yang musnah rumah tangganya kerana si isteri tidak dapat menerima bahawa suaminya sekarang sudah hilang penglihatannya. Ada juga yang telah hilang pekerjaannya kerana penglihatannya sudah tiada.

Dalam kalangan warga pendidik, hal yang serupa juga pernah terjadi. Saya juga punya seorang dua rakan pendidik yang mana asalnya mereka berpenglihatan. Namun begitu, setelah bekerja sebagai cikgu, tiba-tiba penglihatannya hilang. Sebabnya pula macam-macam. Bila sudah jadi demikian, ada di antara mereka yang dipoolkan. Kononnya sudah tak produktif lagi. Semua pihak nak lepas tangan. Kata bahagian yang ini, guru berkenaan bukan di bawah tanggungjawabnya kerana asalnya guru itu dari aliran perdana. Manakala kata jabatan yang itu pula, guru berkenaan patut berada di bawah tanggungjawab bahagian lain kerana guru itu sekarang tidak lagi sesuai berada di aliran perdana. Maka jadilah guru yang baru jadi buta itu seperti bola, ditendang ke sana dan ke mari, sampai sudah tak masuk gol, asyik keluar padang permainan saja.

Sewaktu saya menuntut di UM hampir 2 dekad lalu, saya pernah berguru dengan seorang pensyarah. Beliau ialah Prof. Madya Omar Awang (Allahyarham). Asalnya beliau berpenglihatan. Ketika berusia 40 tahun, beliau telah hilang penglihatannya akibat demam panas. Kata beliau kepada saya, Mulanya beliau sedih juga. Nasib baiklah UM tak buang kerja kakitangannya yang sudah kehilangan penglihatan. Akhirnya setelah beliau dapat menerima takdir yang telah ditentukan buatnya, beliau dapat meneruskan tugasnya selaku pensyarah. Alhamdulillah isteri beliau juga seorang yang sangat baik. Walaupun suaminya sudah buta, beliau tetap di samping suaminya, bukan setakat di rumah, bahkan sampai di dewan kuliah. Prof. Madya Omar Awang merupakan pensyarah yang mengajar saya bahasa Arab. Setelah hilang penglihatannya, Prof. Madya Omar kemudiannya telah belajar sistem tulisan Braille, termasuklah tulisan Alquran dan jawi Braille. Sewaktu saya belajar dengan beliau, beliau telah pun menguasai sistem tulisan Braille dengan baik. Jadi mudahlah saya belajar dengan beliau. Nota-nota beliau yang sediakan. Kini, Prof. Madya Omar Awang dan isterinya telah mengadap Ilahi. Saya yakin, beliau mengadap Ilahi dalam keadaan redha dengan kehilangan penglihatannya.

Saya juga punya seorang dua rakan yang sehingga kini pun masih kuat berusaha berubat untuk memulihkan penglihatannya. Mereka sanggup ke sana dan ke sini demi untuk berubat. Kadang-kadang bertemu doktor. Ada juga yang sanggup bertemu dukun dan bomoh demi untuk memulihkan penglihatannya.

Memanglah bila sudah hilang penglihatan, banyak dugaan dan cabaran yang harus ditempuh. Tak perlulah saya perincikan di sini satu demi satu cabaran dan dugaannya. Cukuplah saya katakan, kadangkala ia cukup getir. Ada yang menganggap orang buta menyusahkan. Ada yang beranggapan orang buta membebankan. Ada juga yang mengatakan orang buta tak ada lain, suka sangat minta tolong pada orang lain. Kadang-kadang yang suka merungut macam itu bukannya daripada mereka yang gemar menolong, tapi daripada orang yang sekadar menonton orang lain menolong. Mungkin bila orang yang merungut semacam ini hilang penglihatannya, merekalah yang paling banyak minta pertolongan orang lain jika dibandingkan dengan orang yang sudah sedia hilang penglihatannya.

Sebenarnya kita semua mesti bersyukur dengan apa yang ada pada kita. Sama ada berpenglihatan atau tidak, semuanya sudah ditentukan buat kita. Kalau orang lain ramai juga yang sudah hilang penglihatannya walaupun setelah dewasa, maka hal yang serupa juga tidak mustahil untuk menimpa kita suatu hari nanti. Saya bukan mendoakan, hanya sekadar mengenengahkan yang hakikat. Bila saya bertemu dengan pelbagai kisah mengenai kehilangan penglihatan, maka saya bersyukur yang amat sangat kerana ditakdirkan hilang penglihatan sejak kecil lagi.

Saya bukan mencari simpati, Cuma ingin berkongsi realiti.

Salam dari Cheriting.

No comments: