Tuesday, July 20, 2010

Menghadiri Majlis Israk Mikraj Anjuran PERTIS Pahang

Pada 18 Julai (Ahad) lalu, saya telah menghadiri majlis sambutan Israk Mikraj anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang. Majlis telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang diMambang Brulang, Mentakab. Selain selaku Naib Yang Dipertua PERTIS pusat, saya juga merupakan penyelaras bagi PERTIS Pahang.



Sekitar jam 10.00 pagi, saya sekeluarga tiba di pejabat PERTIS Pahang dari Kuala Lumpur. Saya dapati, para hadirin sudah ramai juga yang tiba. Antara yang tiba lebih awal daripada saya ialah penceramah jemputan yang tidak asing lagi, Ustaz Hamdan Yusi Yusuf, seorang penceramah yang cukup tersohor terutamanya di sekitar Pahang.



Sekitar jam 10.15, majlis pun bermula. Ia dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, En. Md Sihab yang juga merupakan Naib Pengerusi PERTIS Pahang. Kemudian ia diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh Pak Ngah Singah, seorang yang berpenglihatan dan juga merupakan bilal di Kampung Chatin. Setelah itu, bacaan ayat-ayat suci Alquran pula diperdengarkan.



Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PERTIS Pahang, En. Bidin bin Md Ali. Beliau sekadar mengalu-alukan kehadiran para hadirin, kehadiran penceramah dan juga kehadiran saya selaku NYDP PERTIS Pusat.



Setelah itu, majlis diteruskan pula dengan ucapan daripada saya sendiri. Saya mengambil peluang dalam ucapan tersebut untuk memaklumkan perkembangan-perkembangan terkini mengenai Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Ke-15 yang akan berlangsung pada 24 Julai nanti. Selain itu, saya juga turut berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini yang lain mengenai PERTIS. Ini penting agar para ahli PERTIS khususnya yang ada di Pahang mendapat berita sahih terus daripada pihak Pusat. Ia juga bertujuan untuk membiasakan kepada para ahli PERTIS supaya sentiasa memperoleh berita yang tepat dengan cara yang betul. Ia sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada suka mendengar khabar angin, apatah lagi daripada sumber yang tidak sah atau daripada sumber yang hanya gemar membuat spekulasi semata-mata.



Setelah itu, Ustaz Hamdan pula mengambil giliran bagi menyampaikan ceramahnya. Dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai slate & Stylus dapat juga saya mencatat isi-isi penting ceramah yang disampaikan oleh beliau. Bagi saya, cara Ustaz Hamdan menyampaikan ceramahnya ada keistimewaan yang tersendiri. Beliau amat peka dengan kategori audien yang mendengar ceramahnya. Maka itulah ceramahnya menarik, mudah difaham dan tidak menjemukan.



Antara isi penting ceramah Ustaz Hamdan ialah, hidup ini ialah sekadar antara azan dan solat sahaja. Maksudnya, bila kita solat di masjid atau surau, bila masuk sahaja waktu bilal akan melaungkan azan. Tidak lama kemudian, solat pun didirikan. Maka ruang masa antara azan dan solat itulah usia sebenar kita. Maksud kedua ialah, bila kita lahir sahaja, maka kita akan diazankan. Bila kita meninggal dunia, orang lain akan solatkan jenazah kita.



Ustaz Hamdan juga meminta para hadirin supaya sentiasa menjaga 7 perkara sunat yang amat dijaga oleh Rasulullah, iaitu, sentiasa berwudhu’ (dalam air sembahyang), kerap membaca Alquran, kerap solat malam, banyakkan beristighfar (meminta ampun kepada Allah), banyakkan solat sunat dhuha, banyakkan bersedekah dan kerap berpuasa sunat.



Selain itu, Ustaz Hamdan juga turut menyelitkan beberapa iktibar yang boleh diambil daripada beberapa kejadian yang ditemui oleh Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ini termasuklah mengapa arak itu diharamkan, peranan kaum Yahudi pada masa depan dan sebagainya.



Seperti biasa, sebelum mengakhiri ceramahnya, Ustaz Hamdan akan memberikan peluang kepada hadirin untuk bertanyakan sebarang soalan kepadanya. Peluang telah dimanfaatkan dengan baik oleh para hadirin.

Saya pernah menulis sedikit mengenai Ustaz Hamdan dalam posting pada awal tahun ini. Beliau merupakan seorang pegawai yang bertugas di pejabat agama Islam daerah Kuantan. Walaupun Ustaz Hamdan seorang yang berpenglihatan, namun keakrabannya dengan PERTIS, khususnya PERTIS Pahang memang tidak dapat disangkal lagi. Beliau merupakan antara orang berpenglihatan yang menjadi Ahli Seumur Hidup PERTIS. Sumbangan beliau kepada PERTIS dan juga pertolongan beliau kepada sebilangan ahli PERTIS khasnya di Pahang memang sudah tidak terkira lagi. Demikian bakti yang sentiasa dicurahkan oleh Ustaz Hamdan kepada PERTIS dan ahli-ahlinya.



Di sini, saya ingin mengucapkan syabas khususnya kepada Pengerusi PERTIS Pahang, En. Bidin bin Md Ali. Setelah memimpin PERTIS Pahang untuk beberapa tahun, saya dapat merasakan banyak perubahan yang telah berjaya beliau lakukan untuk faedah dan manfaat golongan cacat penglihatan yang beragama Islam di Pahang. Banyak aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan. Selain daripada majlis-majlis bersifat semasa seperti majlis Israk dan Mikraj, antara aktiviti tetap yang sedang dijalankan termasuklah belajar mengenali huruf-huruf Alquran Braille yang diadakan pada setiap hari Ahad. Manakala pada setiap pagi Sabtu pula diadakan kelas menghafaz Alquran. Walaupun taraf pendidikan En. Bidin tidaklah setinggi mana, tetapi ia sama sekali tidak menghalang beliau daripada berusaha keras untuk meningkatkan ikatan ukhwah dalam kalangan ahli-ahli PERTIS Pahang menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Walau apa pun rintangan yang datang, En. Bidin tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, En. Bidin bukanlah orang yang banyak bercakap tetapi beliau seorang yang kuat bekerja dan berusaha.

No comments: