Saturday, January 1, 2011

Menghadiri Mesyuarat Dan Bengkel E-Braille Quran Bersama Penyelidik UTM

Sejak Khamis lalu, saya sekeluarga telah berada di Lumut. Kami menginap di sebuah hotel yang letaknya tidak jauh dari Lumut. Lokasi hotel ini memang strategik, tetapi jalan untuk tiba ke sini mencabar, bahkan agak menggerunkan juga pada waktu malam.



Tujuan utama saya di sini ialah untuk menghadiri mesyuarat dan bengkel berkaitan dengan penyelidikan E-Braille Quran For Teaching Aid. Selain saya, mesyuarat dan bengkel ini turut dihadiri kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Seingat saya, ini merupakan bengkel ketiga di sepanjang tahun 2010. Untuk bengkel kali ini, ia telah berlangsung sejak Khamis lalu (2010) dan akan berakhir pada hari esok (2011).



Pagi tadi, telah berlangsung demonstrasi hasil penyelidikan (setakat ini) khusus untuk ahli keluarga para kumpulan penyelidik yang hadir. Selain itu, ia juga turut mendedahkan perkembangan terkini mengenai penyelidikan yang sedang berjalan.





Di sini, saya tidaklah berhasrat untuk menerangkan aspek teknikal mengenai penyelidikan yang akan siap insha-Allah sekitar 10 bulan lagi itu. Lagi pun, itu bukan bidang saya. Namun demikian, saya akan cuba berkongsi beberapa maklumat terkini untuk pengetahuan kita bersama. Pada perkiraan saya, perkembangan setakat ini amat menarik. Saya amat yakin, antara orang yang sedang teruja dengan perkembangan sebegini ialah En. Ahmad Bustamam, dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.



Secara ringkasnya, matlamat akhir penyelidikan ini ialah untuk menghasilkan sejumlah penal elektronik yang boleh menimbulkan huruf-huruf Braille secara timbul dan boleh dirasa oleh mereka yang cacat penglihatan. Saiz penal ini pula lebih kecil daripada mesin Braille (Perkin’s Brailler). Manakala beratnya pula lebih ringan daripada mesin Braille berkenaan.



Kegunaan utama penal elektronik ini nanti ialah sebagai alat untuk menyimpan data Alquran Braille. Selain itu, alat (penal ) inni juga boleh digunakan sebagai alat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille. Bahkan penal ini juga berpotensi besar untuk digunakan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran untuk subjek-subjek lainn.



Secara umumnya, penal ini terbahagi kepada dua mod. Mod yang pertama ialah apa yang dikenali sebagai stand alone. Pada penal ini sudah tersimpan data-data Alquran Braille 30 juzuk. Oleh itu, para pengguna Alquran Braille hanya memerlukan penal ini sahaja untuk membaca Alquran Braille. Huruf-huruf Alquran Braille akan tibul pada satu bahagian di penal ini secara silih berganti. Pengguna boleh menentukan sendiri ayat dan surah mana yang hendak dibaca. Selain itu, pengguna juga boleh mengakses surah dan ayat yang diingini menerusi penal ini dengan amat mudah.

Selain itu, menerusi penal ini juga, para pengguna juga boleh memilih untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci Alquran. Ini kerana selain daripada titik-titik Braille, penal ini juga turut dilengkapi dengan audio bacaan Alquran.



Selain itu, penal ini juga mempunyai apa yang dikenali sebagai mod kluster. Menerusi mod ini, penal ini boleh digunakan sebagai alat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Sebagai contoh, katakanlah dalam sebuah kelas ada 6 orang pelajar. Kesemua 6 pelajar berkenaan akan dibekalkan dengan seunit penal seorang. Manakala guru pula akan menggunakan penal utama atau komputer. Apabila guru menekan huruf-huruf Braille yang berkaitan dengan pengajarannya, maka secara serentak huruf-huruf Braille yang telah ditekan oleh guru berkenaan akan turut timbul pada setiap penal yang ada pada setiap murid tadi. Lebih menarik lagi, kesemua penal yang terlibat tidak dihubungkan dengan wayar. Maknanya kesemua penal tersebut dikawal secara wireless. Di awal penyelidikan dahulu, saya amat menekankan perkara ini supaya semasa penggunaan penal kelak, tiada murid cacat penglihatan yang tersandung kakinya kerana wayar yang berselirat.



Sebagaimana yang saya nyatakan tadi, oleh kerana saiz dan berat penal ini lebih kecil dan lebih ringan daripada sebuah mesin Braille, maka penal ini bersifat portable dan boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah. Insha-Allah bila penal ini sudah mula diketengahkan untuk manfaat kumpulan sasar, maka kita tidak perlu lagi membawa senaskah Alquran Braille bercetak yang lebih berat dan lebih besar saiznya itu. Demikianlah kebesaran Allah.



Seperkara yang menarik ialah, sewaktu penyelidikan sedang berjalan, ada ahli kumpulan penyelidik yang berkemahiran dengan software telah menemui kaedah untuk menyemak ketepatan penggunaan rasam Uthmani dalam Alquran Braille menerusi penggunaan ICT. Saya rasa, penemuan kaedah ini bukan sahaja penting bahkan ia bakal memudahkan perancangan dan hala tuju Alquran Braille selanjutnya. Namun begitu, saya tidak dapatlah untuk menghuraikan dengan lebih terperinci mengenai hal itu di sini. Takut-takut software berkenaan dikebas pula oleh puak yang suka menangguk di air keruh.



Perlu saya nyatakan di sini, kehadiran saya di sini sebagai mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Lagi pun, penyelidikan ini adalah merupakan kerjasama antara UTM dengan PERTIS.



Tidak terlalu awal untuk saya mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM. Mereka merupakan lulusan universiti tempatan dan mereka juga sebelum ini langsung tidak berpengetahuan mengenai Braille dan dunia bolongan cacat penglihatan. Namun demikian, ia sama sekali tidak menghalang untuk mereka menyumbang sesuatu kepada golongan seperti saya. Ucapan yang serupa juga ditujukan kepada 5 orang pensyarah yang terlibat yang mempunyai komitmen yang sangat tinggi ke arah memastikan kejayaan penyelidikan yang sedang berjalan.

Kepada rakan-rakan senasib, marilah kita sama-sama berdoa semoga usaha murni mereka ini akan diberkati Allah dan akan membuahkan hasil kelak. Lagipun, penyelidikan yang sedang mereka laksanakan bukan untuk mereka, tetapi untuk orang seperti kita. Di sepanjang perkenalan dan pergaulan saya dengan mereka, sifat-sifat seperti suka menangguk di air keruh langsung tiada kepada mereka.

Salam dari Lumut.

1 comment:

Mama Haikal said...

Inshaallah,Allah akan makbulkan niatsuci mereka. dan saya amat berharap, gulungan bukan pelajar juga dapat memunafaatkannya.