Saturday, February 5, 2011

PERTIS Meniti Liku-liku Cabaran

Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1996. Sebenarnya sebelum penubuhan rasminya, PERTIS telah pun melalui sejarahnya yang panjang. Usaha-usaha ke arah penubuhan PERTIS telah pun mula digerakkan sejak akhir dekad 70-an lagi. Demikianlah antara fakta yang sempat saya kutip daripada beberapa rakan yang lebih berusia daripada saya dan pernah terlibat atau menyaksikan kewujudan PERTIS sebelum tahun 1996. Namun demikian, dalam tulisan saya kali ini, saya tidaklah berhasrat untuk mengenengahkan fakta dan data mengenai PERTIS sebelum tahun 1996.

Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang sedang berkembang atau yang masih lagi berstatus ikan bilis (sebagaimana tanggapan sesetengah pihak), sudah tentu PERTIS tidak sunyi daripada menghadapi pelbagai cabaran dalam pelbagai bentuk dan daripada pelbagai pihak pula. Bila cabaran berkenaan datangnya dari luar PERTIS, kebiasaannya ia lebih mudah untuk ditangani. Kebiasaannya begitulah. Namun begitu, apabila cabaran itu datangnya dalam kalangan para ahlinya sendiri, maka kebiasaannya ia lebih sukar untuk ditangani. Demikianlah.

Sejak akhir-akhir ini, ada pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fungsi serta matlamat penubuhan PERTIS. Putar belit yang dimaksudkan tidak dilakukan dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Ini mungkin kerana sebahagian besar masyarakat cacat penglihatan sudah pun tahu den kenal dengan PERTIS. Sebaliknya jarum halus putar belit berkenaan seringkali dibenamkan kepada mereka yang berpenglihatan yang kebiasaannya berstatus baka ikan jerung. Saya sendiri kurang pasti mengapa pihak yang tidak bertanggungjawab itu sanggup menyebarkan fakta-fakta palsu mengenai PERTIS. Adakah pihak berkenaan semakin mencemburui PERTIS? Adakah pihak berkenaan ingin bertakhta semula di singgahsana kepimpinan PERTIS? Adakah pihak berkenaan sakit hati dengan barisan kepimpinan PERTIS yang sedia ada? Adakah kewujudan PERTIS hari ini sudah mula mengganggu periuk nasi mana-mana pihak? Hanya Allah jua yang Maha Mengetahuinya.

Antara fakta yang diputarbelitkan adalah:

1. Perkhidmatan PERTIS hanya untuk para ahlinya sahaja;

2. Kemampuan PERTIS (saya kurang pasti dalam aspek apa) adalah terhad;

3. Perkhidmatan PERTIS hanya tertumpu kepada negeri-negeri yang mana PERTIS mempunyai cawangannya;

4. Kegiatan PERTIS hanya mencakupi bidang keagamaan semata-mata;

5. Pihak berkenaan juga mendakwa iaitu golongan cacat penglihatan yang beragama Islam di negeri-negeri yang mana PERTIS tidak mempunyai cawangan tidak mendapat perhatian langsung daripada PERTIS.

Benarkah PERTIS hanya untuk para ahlinya semata-mata? Adakah suatu kesalahan bila PERTIS turut memberikan perkhidmatannya kepada mereka yang masih belum menjadi ahli? Adakah benar aktiviti PERTIS hanya mencakupi hal-hal keagamaan semata-mata?

Berdasarkan perkara-perkara yang terkandung dalam Fasal 3, Perlembagaan PERTIS, perkara-perkara berikut menjadi tujuan utama penubuhan PERTIS:

1. Memupuk dan mengeratkan tali persaudaraan di kalangan ahli-ahli dan di kalangan orang-orang cacat penglihatan Islam;

2. Menganjur dan menggalakkan kegiatan-kegiatan dakwah bagi faedah orang-orang cacat penglihatan Islam;

3. Meningkatkan taraf pelajaran orang-orang cacat penglihatan Islam;

4. Mendedah, menggalak dan meneroka peluang-peluang ekonomi bagi faedah orang-orang cacat penglihatan Islam;

5. Menyelenggara dan menyelaras apa-apa kegiatan yang bertujuan membela dan bertanggungjawab atas kebajikan orang-orang cacat penglihatan Islam;

6. Menyalur, menyelaras dan menyelia apa-apa bantuan atau pemberian dari badan-badan atau orang perseorangan kepada orang-orang cacat penglihatan Islam;

7. Melibatkan dalam apa-apa kegiatan lain yang difikirkan berfaedah kepada ahli-ahli dan / atau orang-orang cacat penglihatan Islam.

(Sumber: Fasal 3, Perlembagaan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia).

Berdasarkan peruntukan-peruntukan sebagaimana di atas, PERTIS boleh memberikan perkhidmatannya kepada setiap orang cacat penglihatan yang beragama Islam tanpa mengira ahli atau pun tidak. Selain itu, aktiviti PERTIS juga boleh mencakupi bidang-bidang seperti ekonomi dan juga pelajaran. Ia tidak semestinya hanya terbatas dalam bidang keagamaan semata-mata. PERTIS juga boleh terlibat dalam hal-hal kebajikan untuk mereka yang cacat penglihatan yang beragama Islam. Demikianlah antara skop yang boleh diceburi oleh PERTIS sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Jika diselusuri aktiviti yang pernah dianjurkannya, kegiatan PERTIS sentiasa dibuka kepada sesiapa sahaja. Majlis-majlis ceramah, kelas-kelas pengajian dan sebagainya seringkali dihadiri oleh mereka yang belum menjadi ahli PERTIS. Pada masa yang sama, mereka turut dipelawa supaya menjadi ahli persatuan ini. Selain itu, Alquran Braille tajaan yang dicetak oleh PERTIS juga turut diedar secara percuma kepada mereka yang belum menjadi ahli PERTIS tanpa mengira di negeri mana mereka sedang bermastautin. Karnival dan tilawah Alquran yang pernah dianjurkan oleh persatuan ini beberapa tahun lalu turut disertai oleh mereka yang masih belum menjadi ahli. Selanjutnya, untuk pengetahuan kita juga, PERTIS Kedah juga turut memberikan perkhidmatannya kepada mereka yang cacat penglihatan sama ada di Pulau Pinang mahupun di Perlis, sedangkan kedua-dua buah negeri ini PERTIS masih belum lagi menubuhkan cawangannya.



Seingat saya, selama ini pun, insha-Allah, PERTIS dan saf kepimpinannya tidak pernah memburuk-burukkan orang/organisasi lain kalau pun ada niat untuk menggapai populariti sendiri. Hal sedemikian bukan sahaja dimurkai Allah bahkan keperluan untuknya pun tidak pernah wujud. Lagi pun saya dan seluruh barisan kepimpinan PERTIS yang sedia ada tidak pernah terniat walaupun sebesar zarrah untuk menjadikan PERTIS sebagai sumber dan kuda tunggangan untuk melimpahkan periuk nasi sendiri.

Oleh itu, kepada semua ahli PERTIS, marilah kita perkukuhkan persatuan dan kesatuan ukhwah di antara sesama kita. Kepada pihak yang masih ada di luar sana, jika ingin mendapatkan sebarang maklumat mengenai PERTIS, seeloknya dapatkanlah terus daripada persatuan ini. Jika selama ini anda telah mendapatkan maklumat mengenai PERTIS bukan daripada sumber yang sahih, silalah semak kesahihan maklumat yang anda telah perolehi itu daripada persatuan ini supaya tidak timbul sebarang keraguan padanya.



Kita semua harus ingat, walaupun Allahyarham Dato’ Onn Jaafar adalah pengasas UMNO, sehingga ke akhir hayatnya beliau tidak pernah kesal kerana tidak mendapat apa-apa pangkat, jawatan atau lain-lain kemewahan dan kebesaran menerusi UMNO. Bahkan beliau tidak pernah mengungkit-ungkit dan membesar-besar diri kononnya kerana beliaulah UMNO ditubuhkan dan seterusnya menjadi wadah kepada bangsa Melayu untuk berjuang mencapai kemerdekaan. Begitulah besarnya jiwa seorang pejuang bangsa seperti Dato’ Onn Jaafar. Demikianlah teladan yang dapat kita sama-sama perolehi bila membuka kitab-kitab sejarah. Oleh itu marilah sama-sama kita buka kitab sejarah supaya sedikit sebanyak dapat juga kita beroleh teladan daripadanya. Jangan asyik leka mencanang kitab sendiri untuk dipromosikan di tengah khalayak.

Salam dari Kuantan.

No comments: