Sunday, February 13, 2011

Takziah Kepada Keluarga Allahyarham ADUN Kerdau

Semalam (12 Februari), Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Pahang telah kembali ke rahmatullah. Menurut berita, beliau menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Syah, Temerloh. Sebelumnya, Allahyarham dikatakan telah terjatuh di bilik mandi.



Saya pernah bertemu dengan Allahyarham pada 16 Februari 2010 lalu iaitu ketika kami sama-sama menziarahi jenazah Allahyarham Saini Senawi, salah seorang ahli PERTIS Pahang yang telah meninggal dunia ketika itu. Kawasan tempat tinggal Allahyarham Saini terletak dalam kawasan DUN Kerdau.

Allahyarham Datuk Zaharuddin seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, termasuklah dengan golongan cacat penglihatan. Saya masih ingat lagi, ketika sama-sama menziarahi jenazah Allahyarham Saini, Datuk Zaharuddin sendiri yang mula menegur golongan cacat penglihatan, berbual mesra sambil bertanyakan khabar. Beliau turut sama-sama menyembahyangkan jenazah Allahyarham Saini. Bila mengetahui kehadiran saya selaku Nayb Yang Dipertua PERTIS Pusat (ketika itu), Datuk Zaharuddin langsung mengucapkan terima kasih kepada saya kerana sudi datang dan menziarahi jenazah Saini (orang yang bermastautin dalam kawasan pilihanrayanya).



Jika setahun lalu Datuk Zaharuddin menziarahi Allahyarham Saini, kini jenazah beliau pula diziarahi dan disolatkan oleh orang ramai pula. Demikianlah ketentuan Ilahi yang tiada terduga oleh sesiapa pun. Tatkala posting ini dilakukan, jenazah Allahyarham telah pun selamat dikebumikan.

Kepada keluarga Allahyarham Datuk Zaharuddin, diucapkan takziah. Marilah sama-sama kita semua berdoa semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan solihin dan sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah sepanjang masa.
Alfatihah ....

No comments: