Friday, April 26, 2013

Rencah-rencah Pasca Penamaan Calon PRU 13




Pada 20 April 2013 (Sabtu) yang lalu, proses penamaan calon untuk Pilihanraya umum ke-13 telah berlangsung. Secara umumnya proses berkenaan telah berlangsung dengan aman dan baik. Untuk mendapat gambaran dan merasai suasana sebenar proses berkenaan, saya sendiri telah hadir ke salah satu pusat penamaan calon di Kuala Lumpur. Amat besar harapan saya semoga kehadiran saya tidak disedari oleh sesiapa pun. Maklumlah kehadiran orang buta mungkin tidak membawa sebarang erti. Sepertimana yang saya nyatakan, kehadiran saya hanya sekadar untuk merasai suasana sebenar di sebuah pusat penamaan calon. Itu sahaja. Rupa-rupanya sangkaan saya agak meleset.


Setelah beberapa hari proses penamaan calon berlangsung, nampaknya pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan PRU 13 telah dan sedang terjadi. Manakala setiap parti siasah pula sentiasa mengira untung dan rugi kumpulan siasah masing-masing berdasarkan kepada setiap peristiwa yang berlaku. Demikianlah.


Kemasukan Tan Sri Muhammad Muhd Taib Ke Dalam PAS





Antara berita hangat masa ini ialah apabila Tan Sri Muhammad Muhd Taib secara rasminya telah menyerahkan borang kemasukannya ke dalam Parti Islam Semalaysia (PAS). Menurut sumber berita, Tan Sri Muhammad Muhd Taib telah mula berjinak-jinak dengan pemimpin tertentu dalam PAS sejak setahun yang lalu. Manakala menurut sumber berita lain pula, beliau sudah pun berjinak-jinak dengan Islam sejak 4 atau 5 tahun lalu. Beliau (Tan Sri Muhammad) juga dikatakan turut terlibat dengan aktiviti mengaji kitab. Nasib baik hubungan akrab sebegitu tidak dapat dihidu dengan baik oleh pemimpin besar UMNO. Bagi PAS, kemasukan Tan Sri Muhammad ke dalam parti berkenaan mempunyai erti yang sangat besar. Sebagaimana biasa pula, Tan Sri Muhammad sudah bersedia untuk menjelajah ke seluruh negara bagi membantu perjuangan PAS. Pada masa yang sama juga, Tan Sri Muhammad juga harus bersedia untuk “ditelanjangkan” sehingga ke “qaf” dan “dal” oleh rakan taulan politiknya dahulu yang kini sudah menjadi musuh politiknya pula.


Kenyataan Serong Tan Sri Muhyiddin


Selepas selesai sahaja proses penamaan calon tempoh hari, Tan Sri Muhyiddin selaku Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah membuat kenyataan kononnya BN telah berjaya memenangi tanpa bertanding satu kerusi di DUN Senggarang. Menurut kenyataan beliau, kemenangan tersebut ekoran penolakan SPR terhadap kertas pencalonan calon PAS Dr. Mohd Ramli Kari. Bukan main lagi Timbalan Pengerusi BN yang seorang ini mencerca Dr. Ramli dengan mengatakan beliau (Dr. Ramli) tidak pandai mengisi borang. Kalau kita imbas kembali dalam pilihanraya 2004 lalu, Dr. Ramli telah menang tanpa bertanding sebagai calon PAS gara-gara kerana calon UMNO ketika itu yang tersalah isi borang. Jadi, siapa sebenarnya yang pandir mengisi borang? Lain kali, bila berita dan khabar sampai, teliti dahulu, jangan cepat melatah. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap tanggunglah akibatnya!


Penentangan Dari Dalam UMNO





Antara peristiwa yang mengejutkan ke atas UMNO ialah apabila Timbalan Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim telah bertanding sebagai calon bebas. Dengan ini, dua pemimpin tertinggi dalam Wanita UMNO telah terlepas bertanding dalam PRU ke-13 kali ini. Selain beliau, Ustaz Fadhil Hanafi yang juga merupakan bekas Exco kerajaan Kedah sewaktu di bawah BN turut bertanding sebagai calon bebas. Menurut satu sumber lain, terdapat seramai 61 ahli UMNO kesemuanya yang telah mencalonkan diri masing-masing sebagai calon bebas. Sebagai respons, Datuk Kamilia dan Ustaz Fadhil Hanafi telah dipecat serta-merta daripada UMNO. Rasanya tokoh-tokoh UMNO yang bertanding sebagai calon bebas sudah rif akan implikasi yang bakal mereka tanggung. Namun demikian, mereka sebenarnya sudah pun bersedia untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengan UMNO. Penentangan dari dalam UMNO ini jelas bahawa ada segelintir ahli UMNO sendiri yang tidak rela untuk patuh kepada seruan pucuk pimpinan parti supaya mereka menerima sesiapa sahaja yang telah dicalonkan untuk mewakili UMNO dalam PRU ke-13 kali ini. Selama ini UMNO sibuk selalu mengatakan sejumlah ahli parti lain telah masuk UMNO. Sekarang apa sudah jadi!!!


Kerusi Panas


Dalam PRU ke-13 kali ini, terdapat sejumlah kerusi sama ada DUN ataupun parlimen yang dikategorikan sebagai “kerusi panas”. Antara kriteria kerusi panas ialah, kemungkinan boleh menang calon-calon bertanding ialah 50%, calon-calon yang bertanding mempunyai kehebatan dan keunggulan yang tersendiri, ada isu-isu setempat yang mendominasi pilihan pengundi dan sebagainya. Antara kerusi yang dimaksudkan termasuklah Gelang Patah yang menampilkan Datuk Haji Abdul Ghani Osman (BN) dan Lim Kit Siang (DAP). Selain itu, Shah Alam juga merupakan kerusi panas kerana di sinilah bertemunya Khalid Samad (penyandang dari PAS) dan juga Datuk Zulkifli Nordin, seorang tokoh yang penuh dengan kontroversi yang mewakili BN kali ini. Beberapa kerusi lagi yang dianggap sebagai kerusi panas termasuklah parlimen Marang, parlimen Pulai, parlimen Johor Baru, parlimen Pasir Mas, parlimen Gua Musang, parlimen Kuantan, parlimen Indera Mahkota, parlimen Lembah Pantai dan sebagainya. Seluruh negara memberi perhatian istimewa ke atas keputusan yang bakal ditentukan oleh para pengundi di kerusi-kerusi berkenaan.


Kerusi Kejutan


Selain itu, bagi saya, terdapat beberapa kerusi yang rasanya calon yang bakal menang di kerusi berkenaan sudah hampir pasti. Apa yang akan menjadi kejutan ialah bilamana calon yang sepatutnya boleh menang tiba-tiba tumbang di kerusi berkenaan. Antara kawasan yang termasuk dalam kategori ini ialah parlimen pekan dan juga Parlimen Permatang Pauh. Di Pekan, rasanya sudah hampir pasti ia akan dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Seri Najib Tun Razak. Yang menjadi persoalan ialah banyak manakah majoriti yang bakal diraih oleh beliau. Kawasan ini hanya akan menjadi kerusi kejutan jika para pengundi memilih untuk memberi kemenangan kepada Fariz Musa dari PKR. Begitu juga dengan parlimen Permatang Pauh, ia sudah hampir pasti bakal dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kejutan akan berlaku jika para pengundi di kawasan berkenaan memberikan kemenangan kepada calon BN.


Kerusi Parlimen Pasir Mas





Kerusi parlimen Pasir Mas sejak dari awal lagi sudah menjadi buah mulut orang ramai seluruh negara. Ini adalah kerana salah seorang calonnya, Datuk Ibrahim Ali, merupakan orang yang penuh dengan kontroversi. Beliau seorang yang amat licik dalam berpolitik. Pada tahun 2008 melalui PRU ke-12, beliau telah bertanding dan menang di Pasir Mas atas tiket PAS. Maklumlah beliau telah pun dipecat oleh UMNO sebelumnya. Setelah menang, akhir beliau cerca pula PAS. Inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua bagai kacang lupakan kulit atau susu diberi tuba dibalas. Kali ini, Datuk Ibrahim Ali bertanding pula sebagai calon bebas. Maklumlah tiada satu parti politik pun yang sudi menerima beliau untuk bertanding atas lambang masing-masing. Apa yang pelik ketika hari penamaan calon ialah calon BN Che Johan Che Pa tidak menyerahkan kertas pencalonan beliau walaupun beliau dikatakan hadir di pusat penamaan calon. Setelah itu, pengerusi badan perhubungan UMNO Kelantan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan Che Johan itu di luar pengetahuan beliau. Perlakuan Che Johan ini telah membolehkan Datuk Ibrahim berlawan satu sama satu dengan calon PAS, Nik Muhammad Abduh. Di sini terserlahnya keajaiban ilmu kelicikan berpolitik yang sememangnya sudah mendarah daging dalam batang tubuh Datuk Ibrahim.


Rumusan


Hakikatnya, cara berpolitik di negara kita masih lagi di peringkat “membangun”. Proses ini akan terus berlaku dan ia akan memakan tempoh mungkin berpuluh tahun lagi. Sikap “mengunci” mulut pihak lain oleh pihak tertentu masih diamalkan dengan menebal walaupun kita sudah berada di PRU ke-13. Sikap ketidakadilan oleh pihak tertentu dalam pelbagai aspek masih ketara. Pihak yang berkaitan masih tidak boleh menerima hakikat bahawa orang ramai sudah mempunyai pelbagai saluran media untuk memperolehi fakta dan cerita. Mereka juga masih gagal menerima akikat bahawa fikiran dan hati manusia lain sama sekali tidak boleh dikuasai oleh sesiapa pun kecuali Penciptanya.





No comments: