Tuesday, April 8, 2014

Memali: Cerita Lama Disingkap Semula



Tragedi Memali telah berlaku pada 19 November 1985. Tatkala itu saya sedang menduduki peperiksaan SPM. Mungkin pada ketika itu minat saya terhadap isu-isu semasa sudah pun mendalam, maka tragedi tersebut turut menarik perhatian saya walaupun pada waktu itu saya juga sedang bergelut dengan kertas-kertas peperiksaan. Berita mengenai tragedi tersebut bukan sahaja saya mendengarnya menerusi media tempatan, bahkan saya juga turut mendengar berita serta ulasan mengenai tragedi berkenaan menerusi siaran radio luar negara, terutamanya siaran BBC.



Kini setelah hampir 30 tahun tragedi berkenaan, kisah dan peristiwa mengenainya mula disingkap kembali. Penyingkapan kisah berkenaan bermula dalam satu forum yang berlangsung di Kota Bharu hujung bulan lepas. Sebagaimana yang kita semua ketahui, Tun Musa Hitam telah mendedahkan bahawa sewaktu hari tragedi berkenaan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan perdana menteri masih lagi berada dalam negeri. Beliau bukan berada di China sepertimana yang menjadi kepercayaan kita semua dan juga para pengkaji selama ini.

Setakat ini, reaksi Tun Dr. Mahathir terhadap pendedahan Tun Musa Hitam masih lagi tergantung. Menurut sumber berita, beliau (Tun Dr. Mahathir) mengatakan perlu menyemak semula bagi memastikan dengan tepat dan sahih di mana beliau berada ketika itu. Lagi pun, menurut beliau lagi, peristiwa itu sudah lama berlalu.



Reaksi awal daripada Tun Mahathir telah menimbulkan rasa kehairanan dalam kalangan sesetengah pihak. Bagi mereka, Tun Dr. Mahathir merupakan seorang yang cukup cermat dalam menyimpan data dan fakta. Iia telah membolehkan beliau memberi reaksi spontan yang cukup meyakinkan dalam kebanyakan isu yang dihadapkan kepadanya. Bilamana Tun Dr. Mahathir menjawab, beliau tidak ingat di mana beliau berada ketika tragedi Memali berlaku, seolahnya ada sesuatu yang tidak ingin disingkap kembali oleh Tun Dr. Mahathir. Sedangkan banyak lagi peristiwa yang telah berlaku sebelum tragedi Memali boleh diingat dan boleh diulas kembali oleh Tun Dr. Mahathir. Satu lagi kemungkinan ialah Tun Dr. Mahathir sedang menunggu masa yang paling sesuai untuk memberi reaksi beliau terhadap persoalan yang telah dibangkitkan oleh Tun Musa Hitam.

Pendedahan oleh Tun Musa Hitam sudah pasti mempunyai pelbagai implikasi ke atas pelbagai pihak. Ia mungkin membuat sesetengah pihak akan berada dalam keadaan cacing kepanasan. Ia juga mungkin bakal merupakan suatu turning point kepada isu Memali itu sendiri. Beberapa pihak sudah mula mencadangkan agar Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kembali tragedi Memali. Ia juga menyebabkan isu Memali kembali hangat untuk diperkatakan di negara ini. Ia juga mungkin bakal memberi satu sudut pandangan yang baru terhadap isu Memali. Isu ini juga bakal menyebabkan ada pihak yang akan dituduh sebagai berbohong.



Saya juga turut hairan, mengapa setelah hampir 30 tahun baru Tun Musa Hitam mendedahkan perkara di atas. Kalau pun tiada ruang untuk membuat pendedahan sebelum ini, Tun Musa boleh mendedahkannya menerusi buku yang beliau sendiri boleh menulis mengenainya. Tun Musa boleh menulis mengenai tragedi Memali dari perspektif beliau dan juga boleh membuat apa-apa pendedahan yang relevan dalam buku berkenaan.

Walau bagaimanapun, sebagai negarawan hebat, saya juga berkeyakinan, Tun Musa sudah tentu ada asas tertentu bagi menyokong pendedahan yang telah beliau buat. Beliau juga tentunya ada sebab tersendiri mengapa pendedahan sedemikian dibuat setelah hampir 30 tahun tragedi itu berlaku. Beliau juga tentunya lebih maklum kesan dan akibatnya sekiranya pendedahan yang beliau buat itu didapati tidak benar.

Apa-apa hal pun, semua pihak sedang ternanti-nanti akan reaksi dan jawapan lanjut daripada Tun Dr. Mahathir.

Jangan tunggu lama-lama, tun!




No comments: