Pada 12 Disember (Sabtu) yang lalu, saya berkesempatan menghadiri satu majlis yang mempertemukan bekas-bekas penuntut St. John’s Institution (SJI), Kuala Lumpur yang pernah menuntut di sekolah berkenaan pada tahun 1985. Ketika itu kami semua berada di tingkatan 5 dan turut menduduki SPM pada hujung tahun berkenaan. Majlis berkenaan telah berlangsung di sebelah petang. Lokasi pertemuan pula ialah di sekitar tapak perhimpunan sekolah tersebut.
St. John’s Institution telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1904. Ia terletak di Jalan Bukit Nanas, di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun pada awalnya ia merupakan sebuah sekolah kendalian mubaligh kristian, tetapi tahun-tahun berikutnya sekolah tersebut telah dibuka kepada semua murid tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan keturunan. Menurut catatan yang ada di bahagian hadapan sekolah, ramai bekas penuntut sekolah berkenaan kini merupakan orang ternama dan berjaya. Antara mereka termasuklah DYMM Sultan Selangor, DYMM Sultan Perak, Tan Sri AmRin Buang (Ketua Audit Negara), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (perdana menteri sekarang) dan ramai lagi. Manakala dalam kalangan warga cacat penglihatan yang pernah menuntut di sekolah berkenaan termasuklah Datuk Dr. (Allahyarham) Ismail Salleh.
Saya sendiri pernah menuntut di sekolah berkenaan dari tahun 1981 (tingkatan 1) hingga tahun 1987 (tingkatan 6 atas). Tiada kelas khas di SJI. Saya serta rakan-rakan senasib yang berpeluang menuntut di SJI belajar satu kelas dengan rakan-rakan lain yang berpenglihatan. Kami diajar oleh guru-guru mata pelajaran yang sama. Bezanya ialah saya serta rakan-rakan senasib menggunakan braille sebagai medium menulis dan membaca. Memang sejak dari dahulu, kini dan mungkin untuk selama-lamanya, keperluan bahan bacaan Braille tidak pernah cukup dan lengkap. Namun demikian ia sama sekali tidak pernah menjadi penghalang kepada kami yang tidak berpenglihatan untuk sama-sama bersaing dengan rakan-rakan yang berpenglihatan. Kalau hendak disenaraikan nama guru yang pernah mengajar saya ketika di SJI memang panjang dan ramai. Kepada mereka, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.
(Kami tetap mesra seperti dahulu juga)
Keunikan persekitaran pembelajaran di SJI ialah kesediaan rakan-rakan yang berpenglihatan untuk membantu kami yang tidak berpenglihatan pada bila-bila masa. Bantuan yang diberi termasuklah sebagai pembaca sukarela. Rakan-rakan yang berpenglihatan akan membacakan bahan-bahan bacaan yang tidak terdapat dalam tulisan Braille untuk manfaat kami yang tidak berpenglihatan. Selain itu, bila guru menulis di papan hitam, rakan yang duduk di sebelah akan membacakan kepada kami apa yang guru berkenaan tulis. Mereka yang sudi menghulurkan bantuan pula tidak mengira bangsa dan agama.
Pergaulan akrab antara murid yang tidak berpenglihatan dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan sejak dari bangku sekolah mempunyai kesan jangka panjang yang mungkin tidak terfikir oleh kita semua. Bagi mereka yang berpenglihatan yang pernah berpengalaman bergaul dengan rakan-rakan yang tidak berpenglihatan, setelah dewasa mereka lebih bersifat terbuka dan berfikiran lebih positif terhadap mereka yang tidak berpenglihatan. Lazimnya mereka lebih memahami dan menghargai kebolehan dan kemampuan ahli masyarakat lain yang tidak berpenglihatan.
Manakala bagi golongan tidak berpenglihatan yang berpengalaman bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan sejak di bangku sekolah, lazimnya mereka akan lebih berkemampuan untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat. Golongan yang berpengalaman sedemikian juga kebiasaannya lebih bersedia untuk bersaing secara terbuka dalam masyarakat dalam apa jua bidang yang sesuai.
Maka itulah, konsep sekolah percantuman (integrated program) iaitu yang membolehkan murid yang tidak berpenglihatan yang sesuai belajar satu kelas dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan harus diteruskan dan tidak sepatutnya dihentikan. Pandangan ini berdasarkan pengalaman peribadi yang pernah saya lalui sendiri. Ianya merupakan satu pengalaman yang cukup manis, berharga, berkesan dan tidak mungkin dilupakan dalam hidup buat selama-lamanya. Barang diingat, pengalaman saya belajar satu kelas dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan bukannya setahun setengah, tetapi menjangkau ke hampir 7 tahun lamanya.
Seperkara lagi yang perlu saya ketengahkan di sini ialah, antara pihak lain yang telah memberi sumbangan besar kepada murid-murid yang tidak berpenglihatan di SJI ketika itu ialah guru-guru resos dan juga kelab RRVS (Resource Room Voluntary Service). Kedua-duanya telah berperanan cukup penting bagi membolehkan murid-murid yang tidak berpenglihatan mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan sebaya yang berpenglihatan. Antara guru-guru resos ketika itu termasuklah Cikgu Majmin Din, Mr. Cheng, Mr. Khoo Peng Kui, Cikgu Aniat dan lain-lain lagi.
Kini setelah 30 tahun berlalu, bila bertemu semula, kami tetap mesra seperti dahulu juga. Jika 30 tahun yang lalu kami sama-sama menduduki SPM, 30 tahun kemudiannya ramai antara kami yang sudah berjaya dalam hidup masing-masing.
Di sini saya tidak lupa untuk mengkalung ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada guru-guru yang turut sama hadir dalam perjumpaan tempoh hari. Antara guru yang sempat saya temui termasuklah Mr. Tee Kok Bin, guru yang pernah mengajar saya mata pelajaran akaun. Saya turut mengambil mata pelajaran akaun hingga ke peringkat SPM dan telah beroleh keputusan yang baik.
(bila bertemu pelbagai kisah silam diceritakan semula)
Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih khasnya kepada rakan-rakan yang pernah belajar satu kelas dengan saya dari tingkatan 1 hinggalah tingkatan 6 atas kerana kalianlah yang cukup banyak membantu saya dalam bidang pelajaran. Kalau tidak kerana pertolongan dan kebaikan kalian masa lalu, mungkin sukar untuk saya mengecapi apa yang saya ada hari ini.
Di samping itu, saya juga tidak lupa mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah berusaha keras untuk menjayakan perjumpaan tempoh hari. Antara mereka termasuklah Sharifuddin, Azaddin dan lain-lainnya.
Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur panjang
Kita akan berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment