Awal malam tadi, saya sekeluarga telah menjamu selera di sebuah restoran Cina Muslim yang terletak di Wangsa Maju. Makan-makan seumpama ini memang menjadi kegemaran saya dan keluarga. Maklumlah kami keluarga kecil. Jadi kalau hendak masak selalu di rumah kurang ekonomikal sedikit. Kebetulan pula, malam ini malam minggu. Jadi ada masa sedikit untuk bersantai.
Kewujudan restoran ini sudah pun saya dengar sebelum ini. Sebelum ini pun, ada rakan-rakan sejawat di sekolah memberitahu tentang keenakan makanan di restoran ini. Baru-baru ini, Cikgu Rizal Tan, salah seorang rakan sejawat di sekolah telah menjamu selera di restoran yang sama. Beliau telah memberitahu saya dengan agak trperinci tentang jenis-jenis makanan yang terdapat di restoran berkenaan. Katanya lagi, walaupun ia merupakan restoran masakan China, tetapi makanannya bukan makanan biasa yang biasa ditemui di restoran Cina sebelum ini. Masakannya lebih kepada makanan orang-orang Islam yang tinggal di sebelah barat China seperti wilayah Sinjiang.
Teruja dengan apa yang disampaikan oleh Cikgu Rizal Tan, maka awal malam tadi saya dan keluarga telah menjamu selera di restoran berkenaan. Ternyata ia tidak menghampakan. Walaupun yang menjamu selera kami berlima (termasuk dua orang rakan sekelas Luqman), tetapi harganya baru RM119.00 sahaja. Banyak juga makanannya yang berasaskan kambing. Makanannya pula beraneka jenis sama ada nasi, mee, pelbagai sup, serta lauk-pauk yang lain. Seperti juga di restoran masakan China di tempat lain, di restoran ini juga ada menyediakan air minuman percuma iaitu chinese tea. Suasananya pula tidak bising dengan muzik kerana memang tiada muzik. Maknanya kita boleh menjamu selera dengan aman di restoran berkenaan.
Luqman pula, dengan nakalnya telah berkongsi juadah yang kami makan dengan ahli keluarga yang lain menerusi whatsapps. Ada juga yang terliur. Apakan daya mereka jauh di Kuantan sana.
Kesimpulannya, memang tanggung puas bila menjamu selera di restoran ini. Lain kali boleh bawa saudara-mara yang lain ke restoran ini untuk menjamu selera pula.
No comments:
Post a Comment