Thursday, September 1, 2016

Sambutan Ambang Malam Merdeka Peringkat SMPK Setapak 2016 (Catatan Lewat)




Pada 30 Ogos lalu, sekolah tempat saya bertugas telah mengadakan sambutan ambang kemerdekaan peringkat sekolah. Secara terperincinya, sambutan ini adalah di bawah anjuran pihak asrama. Namun demikian, pelbagai pihak telahmemberi kerjasama yang baik dalam memastikan agar acara berkenaan berjalan lancar. Sambutan berkenaan turut dihadiri oleh semua murid yang tinggal di asrama. Selain itu, barisan pentadbir serta sebilangan guru juga turut hadir bersama-sama dengan keluarga masing-masing.

Acara sambutan telah bermula pada sekitar jam 9.30 malam. Pelbagai persembahan telah diadakan bagi menanti detik 12 malam 31 Ogos. Antaranya termasuklah nyanyian, lakonan, dan pelbagai persembahan lain. Tema utamanya ialah patriotisme dan 1Malaysia.

Acara sambutan pada malam berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh murid. Daripada pengacara majlis sehinggalah ke persembahan nyanyian, lakonan dan sebagainya, semuanya dikendalikan oleh murid. Manakala para guru pula, mana yang terkena untuk buat persembahan pula, tidak keberatan untuk melakukannya. Spottinglah katakan. Ternyata mereka mempunyai bakat yang cukup besar jika diberi kepercayaan dan latihan untuk mengendalikan majlis rasmi tetapi santai seperti ini.

Selain pelbagai persembahan, malam berkenaan juga turut disertakan dengan jamuan beraneka makanan. Antaranya termasuklah kambing bakar yang cukup menyelerakan, nasi lemak serta pelbagai jenis kuih-muih. Makanan berkenaan adalah sumbangan daripada warga sekolah sendiri.

Akhirnya, setelah sampai masanya, kiraan detik 12 tengah malam pun bermula. Semua yang hadir memang teruja dan penuh debar ketika detik tersebut dikira secara beramai-ramai oleh seluruh hadirin. Bila tiba saatnya, seluruh warga sekolah yang hadir bersorak kegirangan, seolah-olahnya macam baru dapat kemerdekaan lagaknya. Demikianlah.

(Untuk menonton kiraan detik 12 tengah malam, sila klik
di sini).

Sesungguhnya semangat patriotik yang ditunjukkan dan disemarakkan oleh murid-murid sekolah tempat saya bertugas sama taranya dengan sambutan yang sama di tempat lain. Sebab itulah kemeriahan yang terserlah cukup sebanding dengan majlis yang serupa di tempat lain. Pendedahan, latihan serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka untuk mengendalikan majlis sambutan seperti ini tidak pernah mereka sia-siakan. Sokongan untuk mereka daripada semua pihak terutama daripada para guru bagi memupuk sikap yakin diri sememangnya penting. Asasnya ialah para guru di sini memang yakin bahawa murid-murid kami memang boleh melakukannya bila kepercayaan diberi.

Sebagai tatapan bersama, di bawah ini saya kongsikan beberapa keping foto berkaitan dengan sambutan malam ambang kemerdekaan di sekolah tempat saya bertugas yang sempat diambil.






No comments: