Thursday, October 6, 2016

Coretan Malam



Sudah sebulan saya tidak menitipkan sebarang catatan pada blog ini. Kesuntukan masa merupakan penyebab utama hal sedemikian berlaku. Apatah lagi waktu sekarang saya sememangnya sibuk dalam mempersediakan murid-murid saya bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan tiba sekitar sebulan sahaja lagi. Mata pelajaran Sejarah yang saya ajar merupakan mata pelajaran wajib diduduki dan wajib lulus pula. Sekiranya mana-mana calon gagal dalam mata pelajaran Sejarah, maka dia akan gagal seluruhnya. Demikianlah.

Di samping itu, saya juga harus memberi masa untuk menziarahi ibu saya di kampung kerana sejak akhir-akhir ini kesihatannya semakin menurun. Ibu saya sentiasa merahsiakan keadaan kesihatan terkininya daripada saya. Namun demikian, saya dapat memperolehi maklumat terkini mengenai kesihatan ibu saya melalui adik perempuan saya yang tinggal di kampung. Kini saya semakin faham, sebesar mana sekalipun kasih kita kepada ibu kita, ia tidak mungkin dapat menandingi kasih, sayang serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibu kita kepada kita buat selama-lamanya.

Banyak perkara, peristiwa serta isu yang terlepas untuk saya ulas menerusi blog ini. Situasi UMNO masa kini, kemungkinan yang mungkin berlaku kepada beberapa parti politik dalam pilihanraya umum yang akan datang, penubuhan dan pendaftaran PPBM, kembalinya Datuk Dr. Harun Din ke rahmatullah, sambutan Hari Malaysia, politik orang Melayu, kembalinya rakan senasib ke rahmatullah, isu-isu yang berkaitan dengan golongan senasib dan banyak lagi, semuanya tidak dapat saya ulas kerana masa yang tidak begitu mengizinkan.

Namun demikian, jika masa mengizinkan, saya akan tetap meriahkan blog ini dengan catatan cara saya seperti biasa. Maklumlah blog inilah sahaja jaringan sosial yang saya ada.


No comments: