Thursday, October 13, 2016

Takziah Untuk Ustaz Kalam Mazad




Pada 11 Oktober (Selasa), saya dihubungi oleh Ustaz Kalam Mazad. Beliau memberitahu saya bahawa ibunya telah pun kembali ke rahmatullah pada 9 Oktober (Ahad) yang lalu. Katanya lagi, beliau tidak dapat memberitahu saya lebih awal kerana kesedihan yang teramat sangat dan juga keadaan yang tidak mengizinkan terutamanya pada hari ibunya kembali ke rahmatullah. Untuk maklumat bersama, Ustaz Kalam Mazad merupakan seorang cacat penglihatan yang sedang bertugas di Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya.


(Ustaz Kalam Mazad)


Secara peribadi saya serta keluarga memang rapat dengan keluarga Ustaz Kalam lebih dari sedekad lamanya. Bukan sahaja dengan Ustaz Kalam, bahkan dengan kedua-dua ibu bapanya serta 3 adik-beradiknya yang lain. Selain itu, kami sekeluarga juga turut mesra dengan 2 orang ipar Ustaz Kalam.

Kami juga agak kerap singgah di rumah keluarga Ustaz Kalam di Keluang, Johor. Seingat saya, saya sekeluarga pernah bermalam sekali di rumah berkenaan pada tahun 2005 kerana kebetulan ada urusan rasmi di SMK Sultan Abdul Jalil ketika itu. Setiap kali saya dan keluarga bertamu di rumahnya, pasti kami akan diberi layanan yang cukup mesra dan sangat baik, terutamanya oleh kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam. Anak saya sering dilayan macam cucunya sendiri. Kami akan dijamu dengan hidangan yang pelbagai. Kalau kebetulan musim buah, maka sibuklah kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam menjamu kami dengan buah-buahan pula. Oleh kerana kemesraan dan keikhlasan yang dapat saya dan keluarga rasakan daripada kedua-dua ibu bapa Ustaz Kalam terutamanya tatkala kami bertamu di rumahnya, maka itulah saya tidak pernah serik untuk datang dan terus bertamu di rumah mereka di Keluang.


(Ibu Ustaz Kalam Mazad)

Kepada Ustaz Kalam dan keluarga, takziah saya ucapkan. Sebesar mana sekalipun sayang kita kepada arwah, Allah lebih lagi menyayanginya.


Kini ibu Ustaz Kalam sudah dijemput Ilahi. Saya dan keluarga kehilangan seorang insan yang cukup baik, sangat mesra dan amat terasa keikhlasan layanannya. Saya sekeluarga berdoa semoga Makcik Nab akan sentiasa beroleh keampunan dan perlindungan daripada Allah setiap masa. Semoga rohnya akan dihimpunkan bersama-sama dengan mereka yang solihin, insha-Allah.

Alfatihah ....



No comments: