Sunday, November 27, 2016

Khalid Samad Diserang Di Kawasan Parlimen: Sekadar Ulasan Kecil



Beberapa hari lalu, seluruh negara dan dunia dapat menyaksikan rakaman video yang tersebar dengan begitu cepat dan meluas tentang ahli parlimen Shah Alam diserang di kawasan parlimen Malaysia.

(Untuk menonton video kejadian, sila klik
Di sini)

Berdasarkan rakaman video tersebut, ternyata bahawa mereka yang terlibat dengan kekecohan di atas berasal dari Pasir Salak. Pelbagai kata maki dan nesta dihamburkan ke atas ahli parlimen Shah Alam. Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak profesional, bahkan ia lebih menjurus kepada sikap gangsterisme dan ala samseng sahaja.

Kawasan sekitar parlimen sepatutnya aman dan tenang daripada sebarang gangguan daripada mana-mana pihak. Setiap ahli parlimen sepatutnya tidak boleh diganggu atas tujuan yang tidak baik ketika mereka berada di kawasan parlimen. Dalam hal ini, sekalung tahniah harus ditujukan kepada pasukan keselamatan parlimen yang telah menjalankan tugas mereka dengan cukup baik dan profesional.

Dewan Rakyat juga turut membincangkan isu berkenaan pada hari yang sama. (Untuk menonton perbincangan ringkas di parlimen mengenai isu sama, sila klik
Di sini)

Hal yang dibincangkan dalam Dewan tidak sepatutnya terbawa-bawa hingga ke luar dewan, terutamanya oleh para penyokong dan pendokong ahli parlimen dan parti politik yang terlibat. Para penyokong dan pendokong seharusnya bertindak lebih rasional dan profesional. Ada ketikanya ahli dewan boleh bertegang urat macam nak putus urat ketika perbahasan di dalam Dewan, tetapi bila mereka keluar dewan, adakalanya mereka boleh duduk minum kopi semeja sambil bergelak ketawa. Jadi tidak perlu rasanya para penyokong dan pendokong di luar parlimen terlalu beremosi sehingga ke tahap lebih sudu dari kuah.

Sesiapa pun akan berpandangan bahawa tindakan menyerang mana-mana ahli parlimen di kawasan parlimen merupakan tindakan yang salah dan tidak profesional. Oleh kerana isu ini melibatkan seorang ahli parlimen daripada parti pembangkang, maka isu ini lebih meriah diperkatakan di media sosial sahaja. Kejadian yang hampir serupa pernah menimpa ke atas ahli parlimen Bukit Gelugor pada tahun 2009 lalu. Oleh itu, satu tindakan yang lebih berkesan perlu diambil oleh pihak yang berkenaan bagi menjamin keselamatan setiap ahli parlimen terutamanya ketika mereka berada di kawasan parlimen. Ia selaras dengan usul yang diluluskan secara sebulat suara pada permulaan setiap sesi parlimen yang menjamin kebebasan dan perlindungan ke atas setiap ahli parlimen daripada sebarang anasir yang cuba melakukan kacau ganggu.

Pasir Salak memang cukup terkenal dengan darah kepahlawanannya. Di sanalah Birch, seorang penjajah British dibunuh. Namun demikian darah pahlawan yang masih mengalir di Pasir Salak tidak seharusnya dicemari dengan tindakan ala samseng dan gangsterisme yang mengaibkan. Kelak nanti kerana setitik nila habis rosak susu sebelanga.


No comments: