Saturday, December 3, 2016

Hospital Besar Melaka




Pada 30 November (Rabu) yang lalu, saya bersama isteri telah menghantar ibu saya ke Hospital Besar Melaka. Kami berdua turut disertai oleh adik perempuan saya serta seorang anak perempuannya yang baru sahaja habis menduduki peperiksaan SPM. Tujuan utama kami ialah untuk menemui doktor pakar sebagaimana yang telah dijadualkan sebelum ini berkaitan kesihatan ibu saya.

Sebagaimana yang telah saya catatkan secara ringkas sebelum ini, kesihatan ibu saya sejak akhir-akhir ini semakin merosot. Walaupun ibu saya berusaha untuk menunjukkan dirinya sihat terutama ketika saya pulang ke kampung, namun saya faham dan cukup mengerti bahawa kesihatannya kian merosot.




Setibanya kami di lobi hospital, kami disambut oleh seorang kakitangan hospital dan terus bertanya sama ada ibu saya memerlukan kerusi roda atau sebaliknya. Sememangnya ibu memerlukan kerusi roda. Kaedah yang dilaksanakan oleh pihak hospital sebegini amat memudahkan pesakit seperti ibu saya. Kami tidak perlu mencari-cari bantuan kerana ia sudah pun disediakan di lobi. Maka itulah juga kelihatan banyak kerusi roda disediakan di lobi. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada pihak Hospital Besar Melaka.




Pemeriksaan kesihatan ibu saya berjalan lancar. Walaupun kami harus menanti sejam setengah sebelum dapat masuk berjumpa doktor pakar, ia bukanlah masalah besar. Memang begitu keadaannya di mana-mana hospital kerajaan.




Pertemuan dengan doktor pakar hari ini lebih menjurus kepada perbincangan. Doktor memberitahu tahap kesihatan ibu saya. Ibu saya harus menjalani satu pembedahan dalam masa terdekat. Untuk melancarkan perbincangan (kerana ibu saya juga turut serta), adakalanya saya terpaksa berbahasa inggeris. Saya memberitahu doktor sejak awal lagi ibu saya tidak mahu menjalani pembedahan tersebut. Manakala saya pula tidak berkemampuan untuk memaksa ibu saya supaya bersetuju dengan pembedahan berkenaan. Setelah doktor berkenaan memahami maksud saya, beliau dengan lembut, bersopan dan cukup profesional telah memujuk ibu saya agar memikirkan dengan mendalam tentang keperluan menjalani pembedahan berkenaan. Panjang lebar juga doktor berkenaan memberi penerangan kepada ibu saya. Di akhir perbincangan, ibu saya nampak berubah fikirannya. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada doktor berkenaan.

Sesungguhnya Hospital Besar Melaka juga mempunyai kenangan peribadi tersendiri buat saya. Sekitar 44 tahun yang lalu, ibu saya sering membawa saya ke hospital ini bagi membuat pemeriksaan mata saya. Waktu itu, kehidupan kami amat susah. Kata ibu saya, beliau dan ayah saya terpaksa menjual ubi kayu bagi mencari tambang untuk membawa saya ke hospital ini. 44 tahun kemudian (tahun 2016), giliran saya pula untuk membawa ibu saya ke hospital yang sama untuk urusan kesihatan ibu saya pula. Apa yang saya lakukan bukanlah untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu saya, tetapi ia lebih kepada melaksanakan tanggungjawab saya sebagai anaknya. Sampai bila-bila pun, jasa dan pengorbanan ibu dan bapa tidak mungkin dapat dibalas dengan apa cara sekali pun!


No comments: