Pada 20 Disember (Selasa) lalu, saya telah diundang oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk menyampaikan satu ceramah (lebih kepada berkongsi pengalaman serta sedikit pengetahuan). Ceramah tersebut adalah bersempena dengan kem yang sedang berlangsung di Nur Laman Bestari, Ulu Yam, mengenai pemantapan organisasi. Tajuk yang diamanahkan kepada saya ialah “Ke Arah Mengarusperdanakan PERTIS Sebagai NGO Islam Cacat Penglihatan”.
Dalam perkongsian tersebut, saya telah menekankan 3 perkara prasyarat penting sebelum PERTIS berada di landasan arus perdana. Selain itu, saya turut berkongsi pandangan iaitu sekurang-kurangnya 8 perkara penting yang perlu direalisasikan oleh PERTIS ke arah mengarusperdanakan organisasi berkenaan. Antaranya termasuklah pemantapan dalaman dalam organisasi, pengurusan kewangan yang baik, hubungan luar yang luas, memaksimumkan penggunaan ICT, meluaskan lagi perkhidmatan yang sedia ada, dan saya juga tidak lupa menyarakan iaitu sudah tiba masanya untuk PERTIS menjalin hubungan di peringkat global pula.
Sebagaimana biasa, bila saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah di mana-mana sekali pun, saya akan menggunakan slide (Power Point). Walaupun majoriti audien saya adalah mereka yang cacat penglihatan, tetapi masih ada sebilangan kecil audien yang berpenglihatan penuh. Jika mata/penglihatan mereka tidak “dijamu”, mungkin fokus mereka terhadap apa yang saya sampaikan akan berada di tahap minimum. Selain itu, saya juga harus peka dengan kehadiran mereka yang berpenglihatan dalam sesi ceramah yang saya kendalikan sebagaimana saya sering mengharapkan golongan mereka juga peka dengan kehadiran orang seperti saya bila mereka pula menyampaikan ceramah.
Di sini, saya tidak lupa untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak penganjur, khususnya AJK Pusat PERTIS yang masih ingat dan masih sudi untuk mengundang saya bagi perkongsian yang kecil ini. Mudah-mudahan juga, apa yang saya kongsikan tempoh hari ada manfaatnya untuk kebaikan bersama.
Di bawah ini, saya turut kongsikan beberapa foto berkaitan slot ceramah berkenaan.
No comments:
Post a Comment