Hari ini, setelah 70 tahun penubuhannya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) masih merupakan parti politik yang unggul dan masih mendapat sokongan majoriti orang Melayu. Walaupun pelbagai cabaran, masalah, karenah, gelombang dan taufan pernah melanda parti berkenaan, setakat ini ia masih utuh dan mampu menghadapinya dengan jaya. Tentulah UMNO ada kekuatan tersendiri sehingga berhasil menghadapi apa jua halangan. Tidak keterlaluan jika saya katakan, sekiranya parti-parti politik pembangkang salah membuat percaturan, hasrat UMNO untuk terus berada di tampuk kekuasaan terutamanya di peringkat Persekutuan akan mampu dicapai menerusi pilihanraya umum selanjutnya.
Antara kekuatan UMNO yang penting ialah ia masih mendapat sokongan dan dokongan daripada majoriti pengundi Melayu di kawasan-kawasan luar bandar. Ini terbukti bilamana kebanyakan kerusi yang berjaya dipertahankan oleh UMNO adalah kerusi-kerusi yang terletak di kawasan berkenaan. Walaupun kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar semakin terlepas daripada genggaman UMNO, sokongan padu daripada pengundi kawasan luaer bandar masih merupakan penyelamat kepada UMNO setakat ini.
Di samping itu, kekuatan UMNO juga turut disumbangkan oleh kumpulan pengundi Melayu yang berusia separuh abad dan ke atas. Mereka merupakan antara penyokong dan pendokong asal UMNO. Ada antara mereka yang pernah menyaksikan sendiri perjuangan UMNO sejak dari awal. Mereka pernah menyaksikan pengorbanan para pemimpin UMNO pada masa lalu. Mereka juga pernah menyaksikan ketidakadilan penjajah khasnya ke atas orang Melayu. Kini, walaupun banyak perubahan yang telah berlaku dalam UMNO itu sendiri, tetapi golongan pendokong tegar UMNO ini tidak mungkin berubah lagi. Bagi mereka, corak kepimpinan UMNO yang ada sekarang tidak berubah dan sama seperti dahulu. Mereka tetap percaya, keikhlasan, pengorbanan serta latar belakang perjuangan pemimpin sekarang saling tak tumpah sebagaimana para pemimpin UMNO yang terdahulu. Mereka juga turut berkeyakinan, apa yang disebarkan oleh golongan pembangkang merupakan fitnah dan sekadar ingin meruntuhkan UMNO selaku parti keramat orang Melayu. Mungkin bila pupusnya generasi seperti ini, barulah akan turut sama pupusnya sokongan tegar terhadap UMNO.
Faktor kekuatan UMNO seterusnya ialah parti tersebut bersama-sama parti-parti dalam komponen dalam Barisan Nasional (BN) masih lagi berada di tampuk kekuasaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di kebanyakan negeri di Malaysia. Keadaan ini memberi banyak kelebihan kepada parti berkenaan. Oleh kerana masih berkuasa, maka secara umumnya UMNO boleh menentukan tarikh pilihanraya umum yang paling kondusif untuk kemenangan parti berkenaan. Sebagai contoh, tarikh pilihanraya umum pilihanraya umum ke-13 telah diadakan pada bulan Mei 2013 kerana tarikh itulah sahaja yang boleh nmenjamin pengekalan kekuasaan UMNO/Bn pada perkiraan UMNO. Sekiranya pilihanraya umum diadakan lebih awal, ia berkemungkinan UMNO boleh kalah lebih banyak kerusi. Kita harus faham, parlimen (Dewan Rakyat) boleh dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada perdana menteri.
Di samping itu, gabungan pelbagai parti politik konsep BN juga satu lagi faktor kekuatan UMNO. Sejak era Perikatan lagi, konsep pakatan murni yang menjadi teras kukuh kepada perpaduan BN telah membuktikan keutuhan dan kekukuhan perpaduan yang tiada tolok bandingnya. Walaupun pernah dilanda masalah dan cabaran namun BN terus utuh meredah masa sehingga kini. Parti-parti pembangkang pernah cuba mewujudkan gabungan stail mereka tetapi ia tidak berkekalan. Lihat sahaja apa yang sudah terjadi kepada gabungan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat dan juga Pakatan Rakyat. Semuanya berakhir dengan perpecahan dan kehancuran. Hal yang serupa juga mungkin bakal menimpa Pakatan Harapan jika terjadi lagi salah percaturan.
Gagasan pelaksanaan hukum hudud merupakan satu lagi faktor kekuatan untuk UMNO. Dengan strategi tertentu, UMNO telah berjaya melunakkan barisan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bekerjasama secara senyap dengan UMNO. Sokongan dan kerjasama secara senyap sebegini amat penting bagi survival UMNO yang semakin berada dalam keadaan telur di hujung tanduk. Walaupun pelaksanaan hukum hudud turut ditolak oleh parti-parti politik dalam BN tetapi ia tidak sampai memecah-belahkan BN itu sendiri. Ini sama sekali berbeza dengan parti-parti pembangkang kerana hanya dengan cadangan pelaksanaan hukum berkenaan, ia bukan sahaja ditolak oleh parti tertentu bahkan ia turut menjadi antara punca kehancuran Pakatan Rakyat. Di sinilah tersiratnya keampuhan strategi halus UMNO dalam mendepani cabaran rumit dan kompleks seperti cadangan pelaksanaan hukum hudud.
Bagi umat Islam, kita sepatutnya sentiasa berusaha agar hukum Allah itu akhirnya berjaya dilaksanakan di tanah air umat Islam seperti negara kita. Semua orang Islam, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik sepatutnya bersatu atas nama Islam. Sama ada kita faham atau tidak dengan hukum berkenaan, kita harus memberi sokongan secara total ke arah pelaksanaannya. Itulah yang sepatutnya berlaku.
Kewujudan Parti Tindakan Demokrasi (DAP) juga turut menyumbang kepada kekuatan UMNO. DAP sering digunakan untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Menyokong DAP sama seperti bersetuju supaya negara ini diperintah oleh Cina sepenuhnya. Bila Cina yang memerintah Malaysia, maka segala yang bernama Melayu akan dihapuskan secara perlahan-lahan. Demikianlah kepercayaan sebilangan orang Melayu.
Bagi sebilangan orang Melayu, apa yang dinyatakan ada kebenarannya. Dalam hal ini, mereka akan segera menuding ke negara jiran di seberang tambak untuk dijadikan contoh. Ciri-ciri kemelayuan di sana semakin terhapus sedikit demi sedikit. Hari ini, ramai orang Melayu di sana yang lebih selesa untuk berbahasa Inggeris daripada bahasa sendiri. Istana Kampung Gelam bukan lagi jadi tempat tinggal keturunan Sultan Hussein, bahkan ia sekadar jadi pusat warisan orang Melayu sahaja. Penempatan orang Melayu di sana sengaja “diselerakkan” supaya orang Melayu tidak boleh membentuk satu masyarakat yang kuat. Laungan azan di sana pula sudah lama tidak berkumandang secara terbuka. Sedangkan laungan azan secara terbuka yang masih diamalkan di negara ini masih gagal mengimarahkan masjid terutamanya pada waktu subuh.
Bagi sebilangan orang Melayu, mereka sangat gerun sekiranya hal yang serupa yang sedang terjadi di negara jiran akan terjadi pula di negara sendiri. Walaupun pihak yang satu lagi boleh berhujah iaitu hal sedemikian tidak terjadi di Pulau Pinang yang sedang diperintah oleh DAP, tetapi sebilangan orang Melayu berhujah pula iaitu hal yang amat digeruni itu bakal terjadi bilamana kerajaan Persekutuan dikuasai oleh DAP dan mereka yang bersekongkol dengannya. Demikianlah. Berbeza dengan MCA, parti berkenaan langsung tidak boleh diperkudakan untuk menakutkan orang Melayu kerana ia merupakan antara komponen penting BN.
Perpecahan dalam kalangan parti-parti pembangkang juga merupakan faktor penyumbang kepada kekuatan UMNO dan BN. Semakin serius perpecahan yang balaku, maka semakin utuhlah kedudukan UMNO/BN. Ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan membuatkan strategi satu lawan satu ke atas UMNO/BN dalam pilihanraya umum yang akan datang semakin sukar. Keinginan Perkasa kononnya untuk meletakkan 50 calonnya dalam pilihanraya umum akan datang juga mengakibatkan pelaksanaan strategi satu lawan satu semakin jauh panggang dari api. Ia sekaligus memberi kekuatan tambahan kepada UMNO/BN bagi sekurang-kurangnya mengekalkan kuasa mereka walaupun dengan majoriti mudah.
Jika diteliti parti-parti seperti UMNO, PKR, PAN dan PAS, ia merupakan parti-parti politik yang sedang didominasi oleh Melayu. Pada masa yang sama, parti-parti ini pula sedang menghadapi pelbagai masalah. Sedangkan jika parti-parti ini bersatu, maka kuasa politik Melayu di tanah air sendiri tentunya kukuh dan tidak akan tergugat lagi. Impian dan kenyataan adakalanya tidak serupa. Kita mengimpikan satu bangsa yang kuat, kukuh dan bersatu padu. Kenyataannya ialah bangsa kita sedang berpecah-belah, berkelahi dan saling bersetruan. Sudahlah kita sudah lama hilang kuasa ekonomi di bumi sendiri, kini kuasa politik yang ada dalam genggaman kita pula sedang terhakis secara perlahan-lahan. Peristiwa terlepasnya pulau Batu Putih dari genggaman bangsa kita sama sekali belum menyedarkan kita betapa pentingnya perpaduan antara sesama kita.
Lagu Tanah Pusaka kini hanya sekadar nyanyian semata-mata tanpa makna lagi. Kalau diteliti lirik dalam lagu berkenaan, bukan maih gahnya bangsa kita. Hakikatnya tanah yang tak sampai pun sekangkang kera pun gagal kita pertahankan, bagaimana pula untuk mempertahankan tanah air yang tercinta ini.
(Untuk menonton/mendengar lagu Tanah Pusaka, sila klik
Di sini
Eloklah lirik akhir lagu berkenaan,
“Biar putih tulang jangan putih mata”
Ditukar kepada,
“sebelum putih tulang kita sudah putih mata”.
No comments:
Post a Comment