Monday, November 16, 2009

Bicara Isu

Golongan Cacat Penglihatan Dan Fahaman Shiah
"Sebelum Parah Menjadi Barah, Masih Ada Jalan Pulang" (Tajuk Forum)

Sebelum saya meneruskan dengan tulisan kali ini, terlebih dahulu saya
mohon berbanyak maaf kerana ada beberapa maklumat yang telah saya
ketengahkan dalam posting semalam tidak tepat. Pertama, nama salah
seorang ahli panel bukannya Dr. Fadhli Hisham, tetapi nama beliau
ialah Dr. Badli Hisham bin Mohd Nasir. Kedua, beliau bukan pensyarah
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebaliknya beliau
merupakan seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Ketiga, saya juga terlupa untuk
memaklumkan bahawa majlis forum berkenaan turut disiarkan menerusi
Radioweb PERTIS. Mereka yang tidak sempat untuk menghadiri forum
berkenaan masih boleh mengikutinya melalui alamat radioweb yang
sepatutnya saya nyatakan dan saya sepatutnya memautkan alamat tersebut
dalam blog ini. Segala kesilapan adalah bukan disengajakan.

Sepertimana yang telah dirancang, maka sekitar jam 10.30 pagi (Ahad
15 November), forum sebagaimana tajuknya di atas pun bermula.
Ketiga-tiga ahli panel yang terlibat ialah Ustaz Wan Mohd Nasir bin
Wan Abdul Wahab (penceramah bebas), Prof. Madya Dr. Badli Hisham bin
Mohd Nasir, pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Forum dimulakan oleh Ustaz Wan Mohd Nasir yang mengupas persoalan
mengenai sebab-sebab berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir, Kewafatan Rasulullah S.A.W. merupakan
detik penting bermulanya perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
kerana , dengan kewafatan Rasulullah S.A.W., umat Islam telah
bertelingkah mengenai pelantikan khalifah bagi menggantikan Rasulullah
S.A.W. Walau bagaimanapun, ia telah dapat diselesaikan dengan baik.
Pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan, pelantikan Saidina Ali
selaku khalifah untuk menggantikan Khalifah Uthman serta penentangan
daripada Muawiyah bin Abu Sufian telah menyemarakkan lagi perpecahan
dalam kalangan umat Islam. Kemunculan gerakan Abdullah bin Saba' juga
telah menyumbakgn kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
ditambah pula dengan kemunculan gerakan lain seperti Khawarij,
Qadariyah dan sebagainya. Faktor selanjutnya ialah faktor politik.
Kadang kala, orang politik lebih mengutamakan politik mereka daripada
agama. Hal ini bukan perkara baru, bahkan telah berlaku sejak sekian
lama. Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir lagi, penduduk Iran, sebahagian
penduduk Lubnan, Iraq dan beberapa buah negara lagi merupakan penganut
Shiah Imamiyah Jaafariyah. Kata beliau, fahaman tersebut antara yang
ekstrim.

Seterusnya, Ustaz Wan Mohd Nasir juga menyatakan bahawa perpecahan
dalam kalangan umat islam punya implikasi tertentu. Umat Islam
menjadi lemah. Pergaduhan sesama umat islam sering berlaku.
Sebenarnya panjang lebar Ustaz Wan Mohd Nasir mengupas dan mengulas
persoalan-persoalan yang diberi. Apa yang saya kemukakan dalam
tulisan ini hanyalah ringkasan ulasan dan kupasan yang telah beliau
utarakan.

Prof. Madya Dr. Badli Hisham Mohd Nasir pula mengupas persoalan
mengenai mengapa sesetengah ahli masyarakat kita boleh tertarik dengan
fahaman Shiah. Kata beliau, ada antara pengikut ahli sunnah yang
belum benar-benar mendalami ilmu berkaitan dengan ahli sunnah. Bila
mereka diajukan mengenai unsur-unsur fahaman Shiah, mereka cepat
terpengaruh. Seterusnya kata beliau, unsur pernikahan mut'ah juga
menarik sebilangan orang untuk menganuti fahaman Shiah. Selanjutnya
menurut beliau, kepandaian pendakwah Shiah dalam membentangkan
hujah-hujah mereka untuk membuktikan bahawa Shiah merupakan ajaran
yang benar. Seterusnya, orang ramai juga tertarik kerana kecintaan
golongan Shiah terhadap Rasulullah serta para ahlul bait.

Seterusnya beliau juga diminta mengupas mengapa kerajaan hanya
mengizinkan satu fahaman sahaja untuk diamalkan di negara ini, iaitu
ahli sunnah waljamaah. Kata Dr. Badli Hisham, ia bertujuan untuk
mengelakkan umat Islam di negara ini daripada berpecah-belah dan
menjadi lemah. Ia juga bertujuan mengelakkan daripada berlakunya
kecelaruan dalam ajaran Islam yang diamalkan di negara ini. Lagi pun,
kata beliau, fahaman ahli sunnah telah diamalkan oleh umat Islam di
negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Bukanlah sesuatu yang mudah
untuk menukar fahaman dalam sekelip mata sahaja kerana implikasinya
sangat buruk.

Setelah itu, saya pula selaku Naib Yang Dipertua PERTIS, mengambil
giliran. Mulanya saya diminta mengupas mengenai satu kursus yang
pernah diajar di UM sekitar dekad 90-an lalu. Saya memberitahu,
kursus yang dimaksudkan ialah Perkembangan Pemikiran Islam I dan II.
Kursus ini mendedahkan kepada penuntut mengenai perkara-perkara asas
mengenai fahaman Shiah. Antaranya termasuklah hadith-hadith yang
mengizinkan untuk mengerjakan solat jamak dan kasar walaupun bukan
dalam musafir. Ia juga turut merangkumi kemuliaan keluarga Nabi
Muhammad S.A.W. serta zuriatnya. Ia juga mencakupi hujah mengapa
Saidina Ali yang sepatutnya menggantikan Nabi Muhammad selaku pemimpin
dan bukannya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar atau Saidina Uthman.
Selanjutnya, ia turut mencakupi beberapa kesalahan yang pernah
dilakukan sama ada oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar ataupun
Saidina Uthman bin Affan.

Seterusnya saya juga diminta untuk mengulas mengenai sejauh manakah
golongan cacat penglihatan sudah terpengaruh dengan fahaman Shiah.
Setakat yang saya maklum, sekurang-kurangnya 3 penuntut cacat
penglihatan pernah mengikuti kuliah mengenai Perkembangan Pemikiran
Islam di UM pada dekad 80-an dan 90-an lalu. Namun demikian, tiada
seorang pun dari mereka yang telah menukar fahaman mereka kepada
Shiah. Namun demikian, saya juga tidak menafikan bahawa sudah ada
sebilangan kecil golongan cacat penglihatan Islam di negara ini yang
mula cenderung kepada fahaman Shiah. Namun begitu, ia masih di
peringkat awal dan kecenderungan mereka pula belum pergi jauh. Saya
juga memaklumkan setakat ini saya kurang pasti berapakah jumlah
sebenar orang cacat penglihatan Islam di negara ini yang telah mula
cenderung dengan fahaman Shiah. Namun begitu, saya yakin jumlahnya
masih sangat kecil. Antara faktor mereka boleh terpengaruh dengan
fahaman Shiah ialah pergaulan dan hubungan dengan rakan-rakan mereka
yang berpenglihatan dan berfahaman Shiah.

Akhir sekali, saya selaku NYDP PERTIS memberi jaminan bahawa
persatuan akan berusaha memastikan supaya para ahlinya kekal dalam
anutan ahli sunnah waljamaah.

Apa yang saya tulis di sini merupakan ringkasan daripada perjalanan
forum berkenaan. Forum berkenaan sepatutnya berlangsung selama 2 jam
tetapi ia telah berlarutan sehingga 2 jam dan 45 minit. Kehadiran
juga amat memberangsangkan.

Untuk pengetahuan kita bersama, forum berkenaan juga telah dirakam
dalam bentuk CD audio. Mereka yang berminat boleh memperolehi CD
berkenaan. Untuk memperolehinya, sila hubungi Tuan Haji Muhammad Lee
Abdullah, kakitangan unit Penerbitan PERTIS di talian tangannya,
013-3403045, atau hubungi beliau di talian ibu pejabat PERTIS,
03-40212631 pada waktu pejabat.

Saturday, November 14, 2009

Bicara Isu

Golongan Cacat Penglihatan Dan Fahaman Shiah
(Sekadar Mukadimah)

Sejak akhir-akhir ini negara dikejutkan dengan kononnya wujudnya
fahaman Wahhabi dalam masyarakat kita. Sebelum ini, sudah terdengar
kisah dan perkhabaran bahawa fahaman Shiah telah pun bertapak dalam
masyarakat kita. Sebenarnya, bagi saya, perkara mengenai kewujudan
fahaman Shiah dalam masyarakat kita bukanlah sesuatu yang baru. Saya
masih ingat lagi, pada dekad 90-an dahulu, saya sendiri pernah
menghadiri satu seminar yang bertemakan "Taqrib Bainal Mazahib"
(Perpaduan Antara Dua Mazhab). Namun demikian, bagi masyarakat umum,
mungkin adalah sesuatu yang agak memeranjatkan bilamana ada pihak yang
mendakwa bahawa fahaman Shiah mula menular dalam kalangan golongan
cacat penglihatan di negara ini.

Persoalannya, benarkah fahaman Shiah benar-benar sudah menular dalam
kalangan golongan cacat penglihatan Islam di negara kita? Jika benar,
bagaimanakah segelintir golongan cacat penglihatan boleh terdedah dan
dipengaruhi oleh fahaman berkenaan? Sudah berapa ramaikah orang cacat
penglihatan yang telah "menganut" fahaman Shiah? Jika dakwaan di atas
benar-benar wujud, bagaimana pula untuk menangani fahaman berkenaan
dalam kalangan golongan cacat penglihatan Islam? Pihak mana pula yang
harus dipertanggungjawab untuk melaksanakannya?

Baru-baru ini, Setiausaha Agung (merangkap Pengerusi Biro Pendidikan
Dan Dakwah) Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia
(PERTIS), En. Abu Hassan, ada memaklumkan kepada saya mengenai
beberapa perkembangan mengenai perkara di atas khasnya dalam kalangan
golongan cacat penglihatan Islam di Negara ini. Tanpa beliau sedari,
beberapa maklumat yang beliau sampaikan kepada saya bukanlah perkara
baru bagi saya. Seterusnya, En. Abu Hassan telah mencadangkan agar
PERTIS selaku satu-satunya NGO untuk golongan cacat penglihatan Islam
di Negara ini menganjurkan satu forum dengan tujuan untuk memberi
pendedahan kepada ahli dan juga masyarakat cacat penglihatan umumnya
mengenai fahaman Shiah. Setelah memikirkannya, akhirnya saya
bersetuju supaya forum berkenaan dianjurkan oleh PERTIS.

Setelah melalui beberapa perbincangan, akhirnya PERTIS telah
memutuskan untuk mengadakan forum yang berkaitan pada pagi esok, 15
November 2009 (Ahad). Forum berkenaan akan diadakan di dewan utama
Kompleks MAB di Brickfields. Ia dijangka akan bermula pada jam 10.00
pagi. Tiga penalis telah diundang bagi menyerikan forum berkenaan,
iaitu Ustaz Wan Mohd Nasir bin Wan Abdul Wahab (pendakwah bebas),
Prof. Madya Dr. Fadhli Hisham (pensyarah dari Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia) dan saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua
PERTIS.

Adalah diharapkan semoga forum esok akan sedikit sebanyak dapat
memberi input baru lagi terkini khususnya kepada golongan cacat
penglihatan Islam mengenai isu yang sedang berbangkit. Perlu saya
jelaskan dan tegaskan di sini, bukanlah hasrat dan niat PERTIS ketika
menganjurkan forum di atas untuk menuding dan menetapkan pendirian
bahawa pihak anu itu salah dan pihak polan sahaja yang betul. Hal ini
saya kemukakan kerana, pada petang tadi sewaktu saya singgah di
Brickfields, kedengaran di telinga saya ada pihak yang kononnya akan
membawa "juara" untuk mewakili pihaknya untuk berdebat dengan ahli
penal esok. Saya perlu tegaskan di sini bahawa forum esok bukan
berformatkan perdebatan. Ia hanya sekadar pendedahan secara umum dan
akan disusuli dengan sesi soal jawab ringkas dan terbatas. Besarlah
harapan saya semoga semua pihak yang bakal hadir di forum berkenaan
pagi esok akan bersikap rasional dan profesional.

Insha Allah, dalam posting selanjutnya akan saya muatkan mengenai
perjalanan dan hasil forum tersebut.

Friday, November 13, 2009

Menungan Malam

Penghargaan Kepada BPK

Baru-baru ini, untuk kesekian kalinya saya tela dijemput untuk
menghadiri satu mesyuarat anjuran Bahagian Pembangunan Kurikulum,
Kementerian pelajaran Malaysia (BPK). Tujuan mesyuarat berkenaan
ialah untuk menyudahkan kerja-kerja akhir yang berkaitan dengan
kurikulum khususnya yang ada kaitan dengan bidang pendidikan khas.
Sudah semestinyalah saya terlibat secara langsung dengan pendidikan
khas untuk golongan cacat penglihatan.

Fokus dan objektif utama kesemua mesyuarat berkenaan ialah untuk
memastikan agar murid-murid cacat penglihatan tidak terpinggir dari
arus perdana pendidikan negara. Jika objektif utama ini tercapai,
barulah "Education For All" akan dapat dicapai. Selain itu,
diskriminasi terhadap golongan cacat penglihatan dalam pendidikan juga
dapat dikurangkan. Di samping itu, ia juga dapat menjamin kualiti
pendidikan untuk golongan cacat penglihatan setara dan setanding
dengan mereka yang berpenglihatan. Seterusnya, ia juga akan dapat
memastikan supaya golongan cacat penglihatan yang berkemampuan
sentiasa mampu bersaing dengan mereka yang berpenlihatan di arus
perdana pendidikan negara sehinggalah ke peringkat yang tertinggi.

Sejak dari mula saya dilibatkan dengan mesyuarat berkenaan,
sehinggalah ke mesyuarat yang terakhir yang saya hadiri baru-baru ini,
satu perkara yang sentiasa menjadi perhatian saya ialah komitmen para
pegawai khususnya dari unit Masalah Penglihatan BPK. Walaupun kesemua
para pegawai yang terlibat berpenglihatan belaka, namun niat yang
tersirat untuk melihat murid-murid cacat penglihatan akan dapat
mencapai objektif yang disasarkan sentiasa meluap dan membara. Bila
berbicara dengan mereka, topik yang sering diperkatakan ialah
bagaimana untuk meningkatkan lagi kualiti pendidikan dalam kalangan
mereka yang cacat penglihatan. Bual bicara juga sering berkisar
bagaimana golongan cacat penglihatan dapat sentiasa berada di arus
perdana pendidikan. Bahkan, ada seorang pegawai secara terus-terang
memberitahu saya, sekiranya pendidikan untuk murid-murid cacat
penglihatan dipisahkan dari arus perdana pendidikan, beliau sanggup
meninggalkan BPK. Beliau bukan bermaksud untuk meletakkan jawatan,
tetapi mungkin rela berhijrah ke bahagian/jabatan lain.

Saya juga tertarik dengan keakraban hubungan di luar mesyuarat antara
para pegawai BPK dengan peserta mesyuarat khususnya dengan golongan
cacat penglihatan. Saya tidaklah bermaksud supaya golongan cacat
penglihatan mesti dilayan umpama menatang minyak yang penuh. Hubungan
baik di luar mesyuarat menunjukkan bahawa kesungguhan para pegawai
berkenaan membantu golongan cacat penglihatan bukan setakat di atas
kertas semata-mata. Hal seumpama ini saya ketengahkan kerana saya
juga turut punya pengalaman yang tidak menyeronokkan dengan bahagian
lain ketika bermesyuarat.

Justeru, malu rasanya jika saya gagal membantu dan menyumbang sesuatu
kepada Unit Masalah Penglihatan BPK sedangkan di pihak mereka nampak
kesungguhan yang tinggi untuk membantu golongan cacat penglihatan.
Sebab itulah, walau sesibuk mana pun, jika saya dipanggil
bermesyuarat, saya pasti hadir jika dapat pelepasan.

Di sini, saya seikhlasnya ingin mengucapkan penghargaan dan terima
kasih yang tidak terhingga kepada En. Rasid selaku Ketua Unit yang
bagi saya telah berjaya mengemudikan unitnya dengan baik. Saya juga
ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada En. Ahmad
Bustamam Ali (kini sedang berkursus di Jepun), En. Megat Hafiz dan
juga tidak lupa kepada Ketua Bidang Pendidikan Khas BPK, Pn. Siti
Syamsinar. Ucapan terima kasih yang sama juga saya tujukan kepada
semua pihak yang mempunyai haluan dan matlamat yang sama seperti para
pegawai BPK. Golongan seperti andalah yang mampu memartabatkan kami
di tengah-tengah masyarakat.

Thursday, November 12, 2009

Bicara Isu

Pengajian Alquran Braille Di Terengganu

Sekitar jam 8.25 malam tadi, saya sempat bersembang dengan Saudara
Samsudin Wahab menerusi skype selama lebih kurang 20 minit. Beliau
merupakan ahli PERTIS Terengganu dan sekarang pun beliau menetap di
Batu Rakit, Terengganu. Beliau merupakan tenaga pengajar untuk kelas
Alquran Braille di Terengganu. Kelas berkenaan adalah anjuran bersama
antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS)
Terengganu dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM)
Terengganu.

Menurut Samsudin, Kelas berkenaan dijalan sebanyak 3 kali seminggu
dan ia berlangsung selama 2 jam bagi setiap sesi. Kelas berkenaan
dijalankan bertempat di pejabat PERTIS Terengganu.

Kata Samsudin lagi, pada peringkat permulaan, hanya ada 4 orang
pelajar sahaja. Walau bagaimanapun, hari ini kelas tersebut mempunyai
30 orang pelajar. Pelajar yang termuda berusia 20 tahun, manakala
pelajar tertua berusia sekitar 50-an. Kesemua mereka adalah cacat
penglihatan dan mereka pula tiada asas pengetahuan mengenai tulisan
Braille. Ada di antara pelajarnya yang memang tidak berpeluang untuk
ke sekolah sebelum ini. Ada juga pelajarnya yang mengalami kecacatan
penglihatan setelah dewasa.

Saya merasa gembira dan bersyukur kerana golongan cacat penglihatan
yang beragama Islam di Terengganu begitu bersemangat untuk mendalami
Alquran menerusi Alquran Braille. Walaupun sebilangan besar antara
mereka memang tiada pengetahuan asas mengenai tulisan Braille, namun
keinginan mereka untuk belajar dan mengenal Alquran menerusi tulisan
Alquran Braille patut dipuji. Kebetulan pula, tenaga pengajarnya
(Saudara Samsudin Wahab) merupakan seorang yang memang berpengetahuan
mengenai sistem Alquran Braille. Justeru, tidak menghairankan
bilamana PERTIS Terengganu merupakan antara PERTIS peringkat negeri
yang aktif dalam pengendalian kelas pengajian Alquran Braille.

Kata Samsudin, pada masa hadapan, beliau turut merancang untuk
melaksanakan kelas pelajaran untuk sistem tulisan Braille rumi pula.
Bagi saya, itu merupakan satu rancangan yang baik.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada tenaga
pengajar dan juga para pelajar untuk kelas Alquran Braille di
Terengganu kerana mempunyai semangat waja untuk mendekati Allah
menerusi pengajian Alquran Braille. Saya juga ingin mengucapkan
terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang terus menyokong dan
mendokong aktiviti kelas Alquran Braille menerusi MAIDAM.

Bagi saya, antara faktor penting pelaksanaan kelas pengajian Alquran
Braille di Terengganu dapat berjalan lancar ialah kerana mereka tidak
terjebak dengan sistem kod Alquran Braille alternatif versi Malaysia.
Bagi golongan yang sudah terjebak dengan kod Alquran Braille
alternatif versi Malaysia, banyak masa yang telah terbuang, banyak
wang telah dibazirkan dan banyak program ke arah memajukan Alquran
Braille khususnya di negara ini telah tergendala.

Perkara ini diburukkan lagi bilamana mereka yang beria-ia benar untuk
memartabatkan kod Alquran Braille alternatif bersi Malaysia merupakan
mereka yang tidak mahir dengan tulisan Alquran Braille dan bukan juga
pengguna asli Alquran Braille itu sendiri. Pada hemat saya, sekiranya
golongan berkenaan tidak terjebak dengan kod Alquran Braille
alternatif versi Malaysia, banyak yang boleh dilakukan demi untuk
memartabatkan Alquran Braille sama ada di peringkat nasional mahupun
di arena antarabangsa. Saya pun tidak pasti, apa sebenarnya yang
sedang mereka tangguk!

Wednesday, November 11, 2009

Bicara Isu

Keluhan Seorang Rakan

Hari Sabtu lalu, saya telah ke Brickfields untuk mendapatkan rawatan
urut dari seorang rakan. Rakan saya yang ini merupakan juruurut yang
bagus. Sebenarnya saya amat jarang sekali menerima rawatan urut.
Kali ini saya seakan wajib untuk menerima rawatan urut kerana badan
dan otak terasa terlalu letih. Maklumlah hujung tahun begini, guru
mana yang tak sibuk. Apatah lagi kalau guru berkenaan mengajar kelas
yang bakal menduduki peperiksaan awam yang penting seperti SPM. Ia
ditambah pula dengan tugasan lain yang bersangkutan yang semuanya
mempunyai aras kepentingan yang sama.

Berbalik kepada rakan saya yang ini, beliau merupakan seorang
kakitangan yang sedang bertugas dengan salah sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan.
Kerja sebagai juruurut merupakan kerja sampingan beliau. Namun
begitu, hampir keseluruhan masa lapangnya digunakan untuk melakukan
kerja selaku juruurut untuk menjana pendapatan tambahan untuknya dan
keluarga beliau.

Memang sudah menjadi kelaziman kebanyakan juruurut gemar bercerita
ketika mengurut. Kisah yang diceritakan pula macam-macam.
Setidak-tidaknya juruurut berkenaan akan bercerita mengenai kesihatan
badan. Urat ini ada kaitan dengan perut; urat ini ada kaitan dengan
otak dan kepala; urat ini ada kaitan dengan jantung dan hati; urat
yang ini pula ada kaitan dengan benda itu!

Kali ini, rakan saya yang ini bercerita mengenai rasa tidak puas
hatinya terhadap badan NGO di mana beliau sedang berkhidmat. Katanya,
sebilangan kakitangan dalam pentadbiran bukan lagi bekerja untuk
kepentingan golongan cacat penglihatan, walaupun mereka adalah
peneraju badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan yang
cacat penglihatan. Kata rakan saya, sesetengah pentadbir NGO
berkenaan langsung tidak menghormati pengalaman yang dimiliki oleh
kakitangan tertentu yang sudah lama berkhidmat. Katanya lagi,
sesetengah kakitangan ditukarkan ke bahagian lain sesuka hati.
Sebagai contoh, katanya lagi, kakitangan X telah berkhidmat selama
puluhan tahun di satu bahagian, bahkan kepakaran kakitangan berkenaan
sudah mendapat pengiktirafan meluas. Malangnya kakitangan berkenaan
telah ditukarkan ke bahagian lain yang tiada kena mengena dengan
kepakaran yang telah beliau miliki. Bukankah langkah sedemikian
merugikan semua pihak? Apakah ada pihak lain yang sedang menangguk di
air keruh? Demikian soalnya pula.

Seperkara lagi, katanya, sejak akhir-akhir ini, hanya puak tertentu
sahaja yang mendapat manfaat dari NGO berkenaan. NGO berkaitan hanya
mementingkan puak tertentu dalam aspek-aspek tertentu. Ini sudah
tentulah merugikan pihak lain. Katanya, oleh kerana NGO berkenaan
ditubuhkan untuk orang buta, mendapat gran dan kemudahan lain atas
nama orang buta, mencari derma juga atas nama orang buta, maka sudah
sewajarnyalah dalam apa-apa hal pun golongan cacat penglihatan harus
diutamakan. Tetapi mengapa pentadbir tertentu nampaknya hanya memberi
tumpuan hanya kepada puak tertentu sahaja?

Menurut rakan saya itu, ada pentadbir tertentu, kalau bercakap dengan
orang luar, lembut gigi dari lidah. Kononnya dialah selama ini yang
menjadi juara dalam membantu golongan cacat penglihatan. Walhal,
dalam pentadbiran, ianya lebih kepada indah khabar dari rupa. Kata
rakan saya lagi, inilah akibatnya jika sesebuah NGO untuk golongan
cacat penglihatan ditadbir oleh sicelik yang tidak mengutamakan
golongan sasaran.

Oleh kerana kecewa dengan sikap pentadbir berkenaan, kata rakan saya
itu, ada sesetengah kakitangan yang sudah lama berkhidmat mula
memikirkan untuk berhenti/bersara lebih awal. Beliau sedar ia mungkin
akan merugikan golongan cacat penglihatan. Maklumlah kepakaran yang
diperolehi melalui pengalaman bukannya mudah untuk dicari. Namun
begitu, jika tiaperubahan dan jika tiada pilihan lain, maka
terpaksalah kakitangan yang kecewa itu memilih untuk berhenti sahaja.
Rakan saya itu juga termasuk dalam golongan kakitangan berkenaan.

Akhirnya, beliau meminta saya supaya menulis sesuatu mengenai
kepincangan NGO berkenaan. Tujuannya bukan untuk memburukkan NGO
berkaitan, tetapi supaya golongan penderma tidak berasa kecewa di atas
sumbangan yang telah mereka hulurkan. Beliau mencadangkan supaya saya
menulis dalam surat khabar. Saya sekadar diam dan mendengar sahaja.
Namun begitu, saya turut memberitahu rakan saya itu, kalau hendak
tulis di surat khabar, kena ada banyak data, fakta dan bukti. Beliau
memberi jaminan akan membantu ke arah itu. Saya sekadar diam tanpa
memberi sebarang komitmen.

Demikianlah antara keluhan rakan saya itu. Bayangkan, beliau
mengurut saya hampir 2 jam. Selama itulah juga beliau bercerita.

Selama ini, saya sangka masalah sedemikian hanya melanda
bahagian-bahagian tertentu di sektor awam, rupa-rupanya ia mula
berjangkit kepada NGO pula. Kalau di sektor awam, orang yang tak tahu
Braille dalam pendidikan khas boleh dapat cemerlang. Orang yang tidak
ada wawasan untuk memajukan orang cacat penglihatan pun boleh
diiktiraf sebagai juara kononnya banyak berjasa kepada golongan
tersebut. Orang yang baru setahun jagung dalam pendidikan khas pun
boleh diiktiraf sebagai pentadbir cemerlang. Sedangkan pengetahuan
dan pengalamannya mengenai perihal orang cacat penglihatan begitu
terbatas dalam lingkungan tempat dia bekerja sahaja.

Bagi saya, adalah amat malang sekali bilamana ada badan bukan
kerajaan (NGO) yang sepatutnya membantu golongan cacat penglihatan,
tetapi tidak lagi mementingkan golongan berkenaan.

Di sinilah perlunya semua golongan cacat penglihatan supaya bersatu
untuk membela nasib sendiri. Sikap berpuak-puak, mementingkan diri
dan NGO tertentu serta memburuk-burukkan orang lain harus dihentikan.
Memang ada orang yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan dan
kecacatan orang lain. Bila kita tidak bersatu, kita seolah-olahnya
memberi kesempatan yang lebih luas pula kepada pihak berkenaan untuk
meraih keuntungan peribadi.

Monday, November 9, 2009

Ucapan Takziah

Bapa Kak Rosnah Meninggal Dunia

Dalam tulisan saya semalam, antara nama yang terkandung dalam email
daripada Saudara Zahari yang saya sisipkan ialah bapa kepada Pn.
Rosnah yang tergolong dalam kalangan mereka yang tidak sihat. (sila
lihat posting semalam untuk perincian lanjut). Sekitar jam 10.30 pagi
tadi, saya menerima SMS daripada Saudara Zahari Hashim yang
memberitahu bahawa bapa Kak Rosnah telah kembali ke rahmatullah. Saya
sekeluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada
Kak Rosnah sekeluarga. Sesungguhnya ketentuan Allah tiada siapa yang
dapat menegahnya.

Kepada Kak Rosnah dan keluarga, bersabarlah banyak-banyak. Marilah
bersama-sama kita mendoakan semoga roh Allahyarham Haji Ahmad sentiasa
di dalam perlindungan Allah sepanjang masa dan tergolong dalam
kalangan mereka yang solihin.
Alfatihah ......

Sunday, November 8, 2009

Bicara Basri

Basri Masih Belum Sihat

Pada awal malam tadi, tatkala saya menyemak email, saya menemui email
yang dihantar oleh sahabat saya, Saudara Zahari Hashim. Antara lain,
kandungan email beliau ialah mengenai musibah/ujian yang sedang
ditanggung oleh beberapa rakan dan salah seorangnya ialah Basri.
Menurut kandungan email berkenaan, Basri telah dimasukkan semula ke
Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada Khamis lepas kerana
penyakitnya. Nampaknya, musibah/ujian yang sedang ditanggung Basri
masih belum berakhir.

Sekitar jam 9.30 malam sebentar tadi, isteri Basri pula menghubungi
saya melalui telefon. Beliau memaklumkan kepada saya keadaan terkini
Basri. Menurutnya, satu pembedahan akan dilakukan ke atas Basri esok.
Saya tidak pasti pula pembedahan apa. Katanya lagi, Basri juga
memerlukan bantuan darah. Kata isteri Basri lagi, jika sekiranya
pembedahan yang dilakukan gagal, maka usaha terakhir ialah kaki Basri
terpaksa dipotong. Menurut isteri Basri lagi, kebanyakan saudara-mara
Basri tidak mahu kaki Basri dipotong.

Saya memberitahu isteri Basri, dalam hal ini doktor tentunya lebih
tahu. Sekiranya doktor menyatakan potong kaki merupakan satu-satunya
ikhtiar yang masih ada, maka semua pihak mesti akur. Saya berkata
demikian supaya isteri dan keluarga Basri bersedia untuk menghadapi
sebarang kemungkinan. Saya faham, sesiapa pun tidak mahu anggotanya
cacat, apatah lagi kalau dua kecacatan.

Akhirnya, isteri Basri merayu supaya saya mengusahakan sesuatu untuk
membantu Basri dan keluarganya. Saya memberi jaminan, selagi ada
usaha saya akan lakukan. Lagi pun, Basri bukan orang lain, sahabat
lama saya juga.

Marilah kita sama-sama mengusahakan apa jua yang terdaya oleh kita
untuk membantu Basri. Paling tidak pun, setelah membaca tulisan ini,
panjatkanlah secebis doa untuk kesejahteraan Basri. Kepada mereka
yang sudi membantu walau dalam bentuk apa jua sekali pun, saya bagi
pihak Basri dahului dengan ucapan berbanyak-banyak terima kasih.

Di bawah ini, saya sisipkan kandungan email yang telah dihantar
kepada saya oleh Saudara Zahari Hashim.

Rakan-rakan dan Para sahabat sekalian.

Assalamualaikum dan salam ukhwah.

Ada beberapa orang rakan kita yang sedang kritikal dan terlantar di
hospital sekarang ni yang sangat-sangat mengharap bantuan dari kita.
Paling tidak pun, marilah kita bantu berdoa atau menunaikan sembahyang
hajat untuk membantu mereka ini.

1. Basri.

Dia telah dibenarkan pulang ke rumah sebelum Deepavali hari tu setelah
didapati keadaan kesihatannya memuaskan. Sehingga itu tidak
kedengaran lagi suara-suara untuk memotong kakinya itu.

Bagaimanapun, minggu lalu dia telah dimasukkan semula ke Pusat
Perubatan Universiti Malaya akibat betisnya terlangar katil. Harus
diterangkan juga bahawa pehanya telah dibedah untuk mengambil kulit
bahagian itu bagi menutup bahagian tapak kakinya yang juga telah
dibedah sebelumnya. Belum pun baik bahagian peha itu, kini bahagian
betisnya pula perlu dibedah. Khamis lepas, pembedahan tersebut telah
pun dilakukan. Bagaimanapun, menurut isterinya yang telah menghubungi
saya pagi tadi, satu lagi pembedahan ke atas betisnya akan dilakukan
pada hari ini. Kalau tak berjaya, ada berkemungkinan kaki kirinya itu
akan dipotong. Oleh itu, isterinya meminta sangat-sangat agar kita
semua melakukan sembahyang hajat dan berdoa agar kaki Basri tidak
sampai ke tahap perlu dipotong. Itulah pesanan daripada isteri Basri
kepada saya untuk disampaikan kepada kalian semua.

2. Bapa Rosnah.

Menurut apa yang disampaikan kepada saya minggu lalu, bapa Rosnah
sudahpun dibenarkan pulang ke rumah setelah berada dalam wad selepas
raya puasa tempoh hari. Sama-samalah kita berdoa agar keadaan
kesihatan bapanuya yang sedang menghidap barah usus itu cepat sembuh.

3. Zuraidah Ali.

Dia adalah seorang oku penglihatan yang juga berkerusi roda. Dia
adalah bekas pelajar Sek. Men. Tunku Melek di Alor Setar.

Selepas menduduki SPM, keadaan kesihatannya menjadi bertambah
kritikal. Telah beberapa kali keluar masuk hospital. Kini dia sedang
terlantar di Hospital Alor Setar. Ada kalanya, dia berada dalam koma
hingga tidak dapat berinteraksi dengan orang di sekelilingnya. Ada
kalanya dia sedar. Semoga dia juga akan berada dalam doa kita semua
agar akan cepat sembuh.

Apalah daya kita untuk membantu insan-insan yang sedang diuji ini
selain dari memohon kepada Allah SWT agar mereka akan cepat sembuh.
Berdoalah untuk mereka.

Salam dari kejauhan