Tuesday, September 13, 2011

Selamat Menduduki uPSR

Hari ini, Ujian Penilaian Sekolah rendah (UPSR) bermula. Ia akan berlangsung selama 3 hari. Kepada semua murid tahun 6 seluruh negara, diucapkan selamat menduduki UPSR.

Dalam kalangan anak buah kami, 2 orang mengambil UPSR tahun ini, seorang di Melaka dan seorang lagi di Kuantan. Insha-Allah, Luqman akan mendudukinya 2 tahun lagi.

Monday, September 12, 2011

Selamat Berangkat

Malam ini, salah seorang anak saudara kami telah berangkat ke Mesir. Tujuan beliau ke Mesir ialah untuk meneruskan pengajiannya di negara berkenaan dalam jurusan perubatan.

Berdasarkan keputusan SPM baru-baru ini, beliau telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan dari 3 universiti termasuklah sebuah dari Mesir. Akhirnya, beliau telah membuat pilihan sendiri iaitu dengan memilih Mesir sebagai destinasi pengajiannya. Kami seluruh keluarga akur sahaja dengan keputusan yang dibuatnya sendiri.

Sekitar jam 8.15 malam sebentar tadi, anak saudara kami itu telah membuat panggilantelefon kepada isteri saya dengan memaklumkan beliau sudah pun berada di KLIA. Sebelumnya, beliau telah bertolak ke KLIA dari lapangan terbang Kuantan. Mengikut jadual, beliau akan bertolak ke Mesir pada jam 10.00 malam ini.

Sebelum itu, pada Sabtu lepas, sadu kenduri doa selamat kecil telah diadakan di Kuantan. Oleh kerana kesihatan isteri saya tidak mengizinkan, maka rancangan saya sekeluarga untuk kembali ke Kuantan bagi sama-sama menghadiri kenduri berkenaan telah terbatal.



Kepada Naqib (yang kedua dari kiri), diucapkan selamat berangkat. Kami seluruh keluarga iringi keberangkatan Naqib ke Mesir dengan doa dan harapan semoga akan pulang dengan membawa kejayaan, insha-Allah.

Sunday, September 11, 2011

Corat-coret Isu Kenyataan Kontroversi Mad Sabu

Sudah sekitar dua minggu kenyataan kontroversi timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, diperkatakan di seluruh negara. Pihak yang heboh dan galak memperkatakannnya pula rata-ratanya orang politik Melayu yang beragama Islam. Sebut sahaja nama tokoh politik Melayu masa kini, boleh dikatakan hampir kesemuanya ada memperkatakan mengenai kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu. Mungkin sudah menjadi darah daging orang politik akan memberikan ulasan mengenai isu-isu sebegini. Kalau tidak, nanti dikatakan orang ahli politik tak ikut perkembangan pula. Jadi, mahu tak mahu, tahu atau tak tahu, ulas tetap kena ulas juga. Bentuk ulasan pula bukan berasaskan fakta sangat, tetapi lebih kepada aliran politik mana yang sedang dianuti. Demikianlah cara dan gaya bangsa Melayu berpolitik.

Kehangatan isu ini dipanaskan lagi bilamana ia turut menerobos ke segenap ruang pelbagai kategori media, sama ada yang bercetak, media elektronik dan yang paling hebat ialah menerusi ruang siber. Maklumlah di ruang siber kebebasannya tiada sekatan. Tulislah apa sahaja, tiada mana-mana pengarang atau ketua pengarang yang akan menapisnya. Terpulanglah sepenuhnya kepada golongan pembaca untuk menapisnya pula.

Kedua-dua pihak, sama ada UMNO mahupun PAS, mempunyai hujah masing-masing bagi menyokong pendapat dokongan setiap pihak. Waktu sebeginilah baru banyak pihak merasai akan kepentingan sejarah. Manakala bidang sejarah pula mempunyai kaedah tersendiri agar ia dapat difahami dengan cara yang betul. Sebab itu beberapa kali saya tegaskan membaca dan memahami sejarah bukan macam membaca novel atau cerpen! Waktu sebeginilah juga mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan sejarah akan dijadikan rujukan. Macam-macam soalan akan ditanya khususnya mengenai peristiwa Bukit Kepong tahun 1950. Guru-guru sejarah di sekolah juga tidak terkecuali.



Bagi sesetengah ahli PAS, Mad Sabu dianggap sebagai wira. Keberanian dan ketegasan Mad Sabu mempertahankan kenyataan kontroversinya amat disanjung tinggi oleh penyokong dan pendokongnya. Dalam mengenengahkan Mat Indera sebagai pejuang bangsa, dengan tak semena-mena Mad Sabu turut terangkat selaku wira PAS.

Manakala Prof. Bakar Hamid dan Datuk Ghani Osman pula terpaksa berhempas-pulas untuk mencari kewajaran mengapa dan bagaimana nama Mat Indera boleh berada setara dengan tokoh-tokoh lain dalam buku (jurnal) Pengukir Nama Johor. Saya pun hairan juga, macam mana hal sedemikian boleh terjadi. Itulah, lain kali jangan jadi tukang sign saha, kena teliti apa yang disign!

Konon khabarnya, esok Mad Sabu akan mula menyaman akhbar Utusan. Manakala Datuk Seri Mohd Nazri Aziz pula mengatakan, lebih ramai lagi orang yang akan menyaman Mad Sabu. Nampaknya isu ini sudah tiba ke tahap saman-menyaman. Yang akan menyaman Melayu dan yang akan kena saman pun Melayu juga. Agaknya beginilah cara bangsa Melayu menyelesaikan isu yang timbul di antara sesama mereka.

Nampak gayanya isu ini belum ada tanda akan reda dalam seminggu dua ini. Ada kemungkinan besar, isu ini akan dipanjangkan lagi entah sampai bila. Tidak terhenti dengan rentetan peristiwa yang sedang berlaku, saya rasa selepas ini pelbagai pihak akan menganjurkan pula pelbagai forum dan wacana ilmu bagi mencari kebenaran terhadap kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu.

Daripada interpretasi fakta sejarah mengenai tragedi Bukit Kepong, kini perdebatan masuk pula kepada topik sama ada Tanah Melayu pernah dijajah atau tidak. Ia ekoran daripada kenyataan bahawa negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah, sebaliknya ia pernah menjadi negeri-negeri naungan British sahaja. Di sini, sekali lagi ia menunjukkan keunikan disiplin sejarah sebagai satu bidang ilmu. Bagi sesetengah pihak, sama ada negeri naungan atau negeri jajahan, ia dilihat sama sahaja kerana pihak yang mengeksploitasi negeri-negeri Melayu ialah British yang dianggap sebagai penjajah. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang pernah menimba ilmu sejarah di dewan kuliah mana-mana universiti sebagai bidang pengajian utama (single major), sedikit sebanyak akan dapat memahami dan membezakan antara negeri naungan (protectorat states) dengan negeri jajahan (colonised states). Bagi saya, adalah kurang tepat kalau dikatakan negeri-negeri naungan tidak pernah dijajah. Apa yang berlaku ialah, wujud beberapa perbezaan dari segi bentuk penjajahan di antara negeri-negeri naungan dengan negeri-negeri jajahan.

Dalam konteks Tanah Melayu, Melaka, Singapura dan Pulau Pinang merupakan negeri-negeri jajahan. Manakala kebanyakan negeri Melayu yang lain merupakan negeri naungan British. Mungkin ada pula yang akan terkejut kalau saya katakan, Sarawak semasa era pemerintahan Brooke merupakan sebuah negeri yang merdeka!

Bagaimana status atau kedudukan sesebuah negeri Melayu yang dijajah itu ditentukan sama ada negeri jajahan atau negeri naungan? Ia boleh dilihat daripada dokumen perjanjian yang ditandatangani di antara pemerintah (raja-raja) sesebuah negeri Melayu dengan British. Ia juga turut ditentukan oleh pembahagian kuasa serta pelaksanaan kuasa di antara raja-raja dan para pembesar Melayu dengan British. Sebenarnya kalau hendak dihuraikan mengenai hal ini, memang unik dan kompleks. Inilah dia sejarah.

Seperkara lagi, mengapa kita menggunakan istilah “British” dan bukannya “Inggeris”? Inggeris atau English merujuk kepada orang England sahaja. Sedangkan para pegawai British yang pernah ditugaskan di Tanah Melayu datangnya dari pelbagai pelusuk Britain yang merangkumi Scotland, Wales atau Ireland Utara. Justeru, para sejarawan terutamanya yang mengkhusus dalam sejarah Tanah Melayu sependapat adalah lebih tepat untuk kita gunakan istilah British kepada pihak yang telah menjajah Tanah Melayu dan bukannya Inggeris. Itu baru satu istilah yang saya ketengahkan untuk perkongsian kita bersama. Demikianlah unik dan kompleksnya sejarah sebagai bidang ilmu. Bukanlah tujuan saya untuk memberi kuliah sejarah dalam tulisan ini, tetapi sekadar mengenengahkan keunikan disiplin sejarah sahaja agar kita lebih faham bagaimana untuk menilai satu-satu peristiwa itu dari kaca mata sejarah.

Berbalik kepada fakta serangan dan tragedi Bukit Kepong tahun 1950, fakta serta bukti sahih yang ada menunjukkan bahawa serangan telah dilakukan oleh gerombolan komunis. Tidak kiralah sama ada penyerang itu cina, Melayu, India atau kaum asli, selagi mereka menganut ideologi komunis maka anutan mereka adalah salah sama sekali. Tujuan utama komunis bukan untuk memerdekan tanah air, sebaliknya untuk menubuhkan rejim komunis di Tanah Melayu. Adakah halal haram komunisme tertakluk kepada bangsa para anggotanya? Maksudnya, bila anggota PKM itu Cina atau India ia menjadi haram. Sebaliknya jika bangsa anggota komunis itu Melayu atau beragama Islam maka ia menjadi halal pula. Begitu ke?

Justeru, apabila orang yang ada ilmu keagamaan (Islam) seperti Mat Indera memilih komunisme sebagai landasan perjuangan, ia menimbulkan seribu tandatanya. Dengan erti kata lain, Mat Indera gagal menggunakan ilmu agama (Islam) yang ada kepadanya untuk membuat pertimbangan yang betul ketika memilih landasan untuk melaksanakan perjuangannya. Jadi, apabila biodata Mat Indera turut termuat dalam jurnal Pengukir Nama Johor, ia juga turut menimbulkan seribu tandatanya. Adakah editor jurnal berkenaan telah cuai? Adakah Datuk Ghani Osman sekadar menurunkan tandatangan tanpa membaca keseluruhan isi kandungan jurnal berkenaan? Adakah Prof. Bakar Hamid dan Datuk Ghani Osman berlatarbelakangkan bidang sejarah?

Lihatlah apa yang terjadi kepada Vietnam Utara, oleh kerana para nasionalisnya menggunakan komunisme untuk berjuang membebaskan negara mereka daripada Perancis, maka itulah negara berkenaan telah menjadi sebuah negara komunis sebaik sahaja bebas daripada cengkaman penjajahan Perancis.

Dalam konteks Tanah Melayu, kita masih bernasib baik kerana majoriti para pejuang kemerdekaan kita tidak menggunakan landasan komunisme untuk membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan British. Walaupun tokoh-tokoh seperti Abu Bakar Al-Bakir, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan yang seumpamanya sering dicap sebagai golongan berhaluan kiri terutamanya oleh British dan pihak yang bersekutu dengannya, namun tokoh-tokoh berkenaan tidak pernah menggunakan komunisme sebagai wadah perjuangan untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British. Tokoh-tokoh seumpama inilah yang harus kita angkat, kita ingat dan kita kenang sebagai pejuang kemerdekaan di samping tokoh-tokoh UMNO seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak atau Tunku Abdul Rahman.

Permasalahan yang timbul kini ialah apabila fakta sejarah mula ditafsirkan mengikut aliran politik kumpulan siasah tertentu. Ia diburukkan lagi bilamana para pendokong aliran politik yang berkenaan turut menyokong tanpa hujah dan fakta yang jelas. Bila ditanya lebih lanjut mengenai pegangan dan sokongan mereka, jawapannya “Tanyalah pada Mad **** ”. Saya sangka selama ini hanya UMNO saja yang berjaya melahirkan golongan pak turut. Rupa-rupanya golongan sedemikian juga sudah bercambah dalam kalangan pengikut kumpulan siasah yang satu lagi. Mengapa kita harus menjadi pendokong dan penyokong secara taqlid?

Siapa sebenarnya yang sedang tersenyum lebar kerana beroleh untung besar bila isu kenyataan kontroversi cetusan Mad Sabu ini terus dipanjangkan?

Wednesday, September 7, 2011

“Nik Aziz Boleh Ditewaskan”

Dua tiga hari lepas, saya terbaca secebis berita yang dikeluarkan menerusi Utusan Online bertajuk “Nik Aziz Boleh Ditewaskan”. Ungkapan berkenaan telah diucapkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis jamuan hari raya. Antara lain, kandungan berita berkenaan berbunyi:


KOTA BHARU 4 Sept. – Ahli UMNO Kelantan perlu yakin dan tidak gentar untuk berhadapan dengan Pas pada pilihan raya umum akan datang kerana sejarah membuktikan parti itu termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah tewas di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat negeri ini mula menunjukkan perubahan dan ia seharusnya disambut dengan gerak kerja yang tersusun oleh keseluruhan jentera parti.

“Hari ini juga hari penting kerana kesemua jentera kita membulatkan tekad untuk berjuang, kita kena ada keyakinan diri, jangan takut. Ingat, Pas pernah tinggal batu nisan di negeri ini, Nik Aziz pernah kalah pada 1986 kepada Mohd. Zin Abdullah dengan majoriti 259 undi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Jamuan Hari Raya UMNO Kelantan dan Penyampaian Watikah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Negeri di sini hari ini.



Memang benar, dalam pilihanraya tahun 1978, PAS tewas teruk kepada Barisan Nasional. Waktu itulah PAS hanya memenangi 2 kerusi sahaja daripada 30 kerusi di DUN Kelantan. Kekalahan PAS di Kelantan tidak terhenti setakat tahun 1978 sahaja, bahkan ia telah berterusan dalam pilihanraya umum tahun 1982 dan tahun 1986. Di sini, saya bersetuju dengan rumusan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan iaitu tidak mustahil untuk menewaskan PAS di Kelantan.

Sebenarnya, kalau bercakap mengenai sejarah tewas dalam pilihanraya, bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Aziz yang pernah tewas, Datuk Seri Mustapha sendiri pernah tewas di parlimen Jeli di tangan Mohd Afandi Muhammad dalam pilihanraya umum 1999. Jadi, memang kena dan sesuailah bila orang yang pernah tewas bercakap mengenai sejarah ketewasan dalam pilihanraya.



Sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, tidak mustahil untuk UMNO Kelantan menewaskan PAS dan seterusnya membentuk kerajaan negeri Kelantan di bawah payung UMNO/BN. Untuk itu, UMNO Kelantan harus meneliti faktor-faktor tertentu sebelum dapat menggenggam kejayaan dalam misinya merampas tampuk pentadbiran negeri Kelantan.

Antara faktor penting ke arah merealisasikan cita-cita UMNO untuk merampas Kelantan ialah UMNO harus memastikan supaya PAS terutamanya di Kelantan berada dalam keadaan bergolak. Salah satu faktor penting kejayaan BN merampas Kelantan dalam pilihanraya tahun 1978 ialah ketika itu PAS di Kelantan sendiri berada dalam keadaan yang tidak stabil. Oleh itu, UMNO bolehlah buat sesuatu supaya berlaku sekali lagi ketidakstabilan dalam PAS. Kalau tidak dilemparkan batu ke air, manakan tahu kecil besar riak-riak pada air berkenaan!

Faktor kedua ialah UMNO sendiri harus memastikan tiada konflik dalaman parti khususnya di Kelantan yang bakal membantutkan usaha untuk memerintah semula Kelantan. Antara faktor penting terlepasnya Kelantan daripada genggaman UMNO/BN dalam pilihanraya umum 1990 ialah kerana berlakunya konflik dalaman UMNO khususnya di Kelantan. Kemuncak kepada konflik berkenaan pada waktu itu ialah perpecahan yang kemudiannya telah melahirkan Parti Melayu Semangat 46. Sesetengah pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 merupakan antara penggerak kuat UMNO/BN Kelantan sebelumnya. Oleh itu, jika pada hari ini masih berlaku lagi sikap berpuak dalam UMNO/BN Kelantan, maka hasrat untuk merampas semula kekuasaan di Kelantan tak ubah umpama mengejar bayang-bayang sahaja. Walaupun ia nampak dekat, sekuat mana pun kita cuba mengejarnya pasti kita tidak akan mendapatnya. Adakah UMNO Kelantan hari ini sudah benar-benar bebas dan lengang daripada konflik dalaman?



Faktor ketiga yang harus dilakukan oleh UMNO Kelantan ialah mencari seorang pemimpin dalam kalangan ahli UMNO yang sekurang-kurangnya sebanding dengan Tuan Guru Haji Nik Aziz. Antara ciri-ciri yang wajib dimiliki oleh bakal pemimpin yang dicadangkan termasuklah tutur katanya mesti lembut, ada program kuliah mingguan, berkelulusan agama dan kalau boleh biarlah dari India atau Mesir, kewarakannya mestilah diiktiraf sendiri oleh masyarakat, kalau boleh biarlah di pangkal namanya ada kalimah “Tuan Guru”, cakapnya sentiasa didengar orang ramai terutamanya oleh rakyat Kelantan dan pastikan tokoh yang bakal dicadangkan itu boleh bertutur sekurang-kurangnya 3 bahasa termasuklah bahasa Arab. Sekiranya UMNO Kelantan berkemampuan memperolehi calon yang lengkap mempunyai ciri-ciri sebagaimana di atas, maka dia (calon berkenaan) bakal berupaya untuk mencabar populariti Tuan Guru Haji Nik Aziz. Maklumlah, bak kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, bukanlah mustahil untuk menewaskan Nik Aziz dan ia pernah berlaku kira-kira 25 tahun yang lalu. Soalnya, sudah adakah calon yang mempunyai ciri-ciri sempurna sebagaimana di atas dalam kalangan ahli UMNO Kelantan? Sekiranya tokoh atau calon sedemikian baru di tahap hendak digilap, maka UMNO/BN Kelantan boleh melupakan sahaja cita-citta untuk merampas kekuasaan pentadbiran Kelantan dalam pilihanraya umum yang akan datang. Alasanya ialah kerana syarat-syarat yang diperlukan masih gagal dipenuhi. Lagi pun, tokoh yang diperlukan mestilah tokoh tulen dan bukannya tokoh yang bijak berlakon dan bersandiwara semata-mata.

Faktor keempat yang mesti diberi perhatian oleh UMNO Kelantan ialah faktor pengundi. Saya rasa, jika diharapkan pemilih yang sudah sedia ada di Kelantan, ia bukanlah satu langkah bijak. Ini kerana rata-rata orang Kelantan yang sedia menetap di Kelantan buat masa ini akan memberikan sokongan kepada pemimpin dan kerajaan negeri yang sudah sedia ada. Kesilapan strategi lepas ialah apabila pihak yang berkaitan memanggil pulang perantau Kelantan untuk pulang dan mengundi di Kelantan. Bagi saya, strategi yang lebih berkesan ialah jika pihak-pihak yang berkenaan berupaya untuk memastikan perantau dari luar Malaysia sebagai pemilih yang sah di Kelantan. Saya bukan menuduh atau menuding, tidak sama sekali. Saya sekadar mencadangkan sahaja. Menuduh dan mencadang merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

Hakikat sebenarnya, jauh dalam hati Datuk Seri Mustapha, beliau mungkin mengakui kejayaan merampas semula Kelantan daripada tangan PAS tak ubah umpama yang dikejar tak mungkin dapat, yang sedang dikendong pula mungkin akan keciciran. Beliau rasanya turut sedar sokongan dan dokongan rakyat Kelantan terhadap PAS setakat ini masih kukuh dan utuh. Kekalahan PAS di Galas pada hujung tahun 2010 sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukuran kepada sokongan rakyat Kelantan secara keseluruhan terhadap UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang. Sebaliknya wakil-wakil UMNO dalam DUN Kelantan yang menang dalam pilihanraya umum 2008 mungkin sedang sibuk mengatur strategi bagaimana untuk memastikan agar kerusi masing-masing supaya tidak terlepas ke tangan PAS dalam pilihanraya yang akan datang.



Walaupun stadium baru telah dijanjikan, jalan-jalan raya di Kelantan semakin sesak terutamanya pada musim cuti, masalah bekalan air masih belum selesai sepenuhnya, dan lahirkanlah apa sahaja isu yang lain, setakat yang saya tahu, sebahagian besar orang Kelantan masih mahu membangun bersama parti siasah yang jelas mendokong Islam. Orang politik yang bijak bestari seperti Datuk Seri Mustapha memang amat menyedari akan hakikat ini.

Sunday, September 4, 2011

Selamat Kembali Semula Ke Sekolah


Esok (Isnin, 5 September) murid-murid akan kembali semula ke sekolah selepas bercuti pertengahan semester kedua selama seminggu. Kebetulan pula, cuti kali ini bersamaan pula dengan sambutan hari raya aidil fitri 1432 Hijrah. Berkemungkinan juga ada yang telah terlebih raya sakan.

Kepada semua murid, saya ucapkan selamat kembali semula ke sekolah. Kepada murid-murid tingkatan 5 di Wilayah Persekutuan, jangan lupa juga, esok bermula peperiksaan percubaan SPM bagi sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan. Diucapkan juga selamat menduduki peperiksaan percubaan. Saya yakin, sejak sebelum bermula cuti lagi, para guru telah pun meninggalkan pesan berjela panjangnya supaya murid-murid tidak mengabaikan buku dan nota semasa dalam tempoh cuti. Walaupun sambutan hari raya aidil fitri, tetapi pelajaran sama sekali jangan dilupakan. Demikianlah.



Saya juga yakin, bagi golongan pendidik seperti saya, persediaan yang patut-patut juga telah dilakukan bagi meneruskan usaha mendidik anak watan. Kepada semua, diucapkan, selamat kembali semula ke sekolah.

Saturday, September 3, 2011

Buktikan Dahulu Baru Bercakap



Harakah Daily Online adalah dirujuk:



Mat Indera dapat tauliah agama dari kerajaan Johor

Harakahdaily
KUALA TERENGGANU, 2 Sept: Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari kerajaan negeri Johor, kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar).

"Umno dan penjajah yang tuduh Mad Indera komunis," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 500 perantau Terengganu yang pulang beraya di kampung semalam.

Beliau mengulas serangan Umno dan medianya yang bertubi-tubi terhadap timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang mancadangkan agar sejarah negara dikaji semula.

Ini berikutan dari dakwaan bahawa Umno melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya tetapi bukan cerita yang sebenar.

Mohamad Sabu berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 telah diceritakan Umno sebagai penjahat menyerang hero iaitu polis yang mempertahankan balai itu.

Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong pula berdasarkan persepsi itu.

Antara yang menyerangnya adalah kumpulan yang dipimpin oleh Mat Indera di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu.

Polis ketika itu adalah bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu.

Antara pihak yang menentang Inggeris adalah pejuang Islam yang dipelopori oleh Abu Bakar Al Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan juga komunis.

Namun kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan dan melawab bagi pengkisah sejarah negara yang dipimpin Umno tetapi yang menjadi hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman.

Padahal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British.

Seminar sejarah

Akibat salah faham ini, Abu Bakar Chik yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat berkata, pihaknya akan menganjurkan satu seminar khas bagi mengkaji balik sejarah ini.

"Kita akan adakan seminar untuk mengkaji balik sejarah ini, antaranya kes Mat Indera yang akan kita kaji semula.

"Kita akan kaji dan nilai siapa pejuang kemerdekaan sebenarnya," kata beliau dalam majlis itu.

Bagi beliau, apa yang cuba dikatakan oleh Mohamad Sabu adalah meminta rakyat negara ini mengkaji semula sejarah yang ditulis selama ini oleh kerajaan Umno untuk kepentingan politik parti itu.



Nampaknya isu kenyataan kontrovesi mengenai tragedi Bukit Kepong yang telah ditimbulkan oleh Haji Muhammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, masih hangat dan seakan tidak mahu reda. Beberapa individu, khususnya dalam PAS sendiri telah mula mengeluarkan pelbagai kenyataan yang rata-rata membela kenyataan yang telah dibuat oleh Muhammad Sabu. Oleh kerana kenyataan yang telah dibuat oleh Haji Muhammad Sabu sebenarnya berlatarbelakangkan sejarah, maka seeloknya ia dilihat dari perspektif sejarah. Sebagaimana yang pernah saya tulis menerusi blog ini, membaca sejarah bukan macam membaca novel. Kalau mengeluarkan kenyataan sekadar untuk membela rakan separti tetapi tiada fakta baru yang sahih yang boleh menyokong kenyataan sedemikian, maka kenyataan sebegitu bukan sahaja bersifat bias (berat sebelah) bahkan kenyataan sedemikian hanya menonjolkan sifat dangkal sesetengah pihak khususnya dalam mengenengahkan satu-satu fakta dan isu.

Menurut Harakah Daily Online, 2 September, salah seorang AJK PAS Pusat ada mencadangkan supaya satu seminar diadakan bagi mengkaji perjuangan Mat Indera. Antara tujuan penganjuran seminar yang dicadangkan itu ialah untuk mengkaji bentuk perjuangan orang seperti Mat Indera. Selain itu, AJK yang sama juga turut mendakwa bahawa Dato’ Onn Jaafar adalah menteri besar Johor yang dilantik oleh Inggeris. Selain itu, menurut AJK itu lagi, Mat Indera telah mendapat tauliah daripada kerajaan Johor.

Mengenai tauliah kepada Mat Indera oleh kerajaan Johor, saya tidak begitu pasti kerana saya tidak pernah bertemu dengan dokumen sahih yang mengesahkan mengenainya. Namun demikian, saya pernah bertemu dengan seorang tua yang masih hidup lagi hingga hari ini. Menurut orang yang saya maksudkan, Mat Indera adalah kawan baik suaminya (Allahyarham). Menurut orang berkenaan lagi, Mat Indera adalah seorang guru agama yang pernah sama-sama mengajar agama dengan suami beliau di sekitar Johor. Walau bagaimanapun, saya yakin, kalau pun Mat Indera beroleh tauliah daripada kerajaan Johor, tauliah tersebut adalah tauliah untuk melayakkan beliau mengajar agama di Johor dan bukannya tauliah untuk Mat Indera mengangkat senjata bersama-sama dengan PKM. Kesilapan Mat Indera di sini ialah dengan memilih PKM sebagai landasan perjuangannya. Saya tidaklah sampai mengatakan bahawa Mat Indera ialah komunis totok.

Selain itu, kesangsian kesahihan fakta yang cuba diketengahkan oleh Haji Muhammad Sabu terutamanya mengenai tragedi Bukit Kepong baru-baru ini semakin ketara bilamana AJK PAS Pusat mencadangkan supaya satu seminar dianjurkan bagi mengkaji semula sejarah terutama mengenai perjuangan Mat Indera. Ini bermakna, status fakta yang cuba dikemukakan oleh Haji Muhammad Sabu masih lagi di peringkat baru hendak dikaji dan ia bermakna ia masih belum sahih lagi. Jika itulah tahap dan status fakta yang cuba hendak dikemukakan oleh Haji Muhammad Sabu, bagi saya, seeloknya dianjurkan seminar dahulu dan setelah kesahihannya terbukti baru fakta sedemikian diketengahkan beserta dengan bukti sahih yang ada.

Untuk ke sekian kalinya saya ingin menegaskan iaitu persepsi bahawa sesiapa sahaja yang bekerja dengan Inggeris adalah boneka dan tali barut Inggeris dan sesiapa sahaja yang menentang Inggeris adalah pejuang adalah satu jeneralisasi yang kurang tepat. Saya telah pun jelaskan dalam tulisan saya sebelum ini mengapa generalisasi sedemikian kurang tepat. Lagi pun, jika jeneralisasi sedemikian diguna pakai, isu ini akan bertambah panjang, akan semakin keliru dan ia turut akan melibatkan ramai pihak. Sudah bersediakah pihak-pihak terutamanya yang telah menimbulkan kenyataan kontrovesi ini untuk menghadapinya? Satu soalan yang boleh difikirkan bersama, siapakah yang telah memetrai perjanjian sehingga negeri-negeri Melayu menjadi negeri-negeri naungan Inggeris? Sedarkah kita bahawa dalam proses penjajahan ke atas Tanah Melayu, pihak Inggeris lebih berjaya menjajah negeri-negeri Melayu menerusi perjanjian daripada pertempuran? Siapakah yang telah menandatangani perjanjian-perjanjian berkenaan? Pada waktu ini, beranikah pihak-pihak yang berkenaan mengatakan bahawa pihak-pihak yang telah menandatangani perjanjian sebagaimana yang saya maksudkan di atas adalah juga pengkhianat bangsa? Sudah bersediakah pihak-pihak yang berkenaan untuk mengatakan bahawa pihak yang telah memetrai perjanjian dengan Inggeris sehingga negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British adalah golongan bacul kerana tidak berani mempertahankan tanah air dengan darah dan senjata? Sudah bersediakah untuk itu?

Ada ke yang tidak faham dengan istilah “jeneralisasi”? Saya memahami istilah tersebut ketika saya mengambil kertas Teori Dan Kaedah Sejarah. Sebab itulah saya sudah katakan, membaca dan memahami sejarah sama sekali berbeza daripada kita membaca novel.

Saya juga tertarik dengan dakwaan AJK PAS Pusat yang sama yang mengatakan bahawa Dato’ Onn Jaafar adalah menteri besar Johor yang dilantik oleh Inggeris. Untuk pengetahuan kita bersama, Johor adalah negeri Melayu pertama yang mempunyai undang-undang tubuhnya sendiri secara bertulis iaitu sejak tahun 1895 dan ia diikuti oleh terengganu pada tahun 1911. Antara kandungan dalam undang-undang tubuh Johor, pelantikan menteri besar Johor adalah hak mutlak ke bawah Duli Sultan Johor. Ini bermakna, menurut undang-undang berkenaan, Sultan Johor mempunyai kuasa dan budibicara baginda sendiri untuk melantik sesiapa sahaja dalam kalangan rakyat Johor sebagai menteri besar. Untuk pengetahuan kita bersama juga, status pegawai tertinggi British yang ditugaskan di Johor sejak tahun 1914 lebih rendah daripada seorang residen di negeri-negeri Melayu yang lain. Johor berjaya mengekalkan kedaulatan negerinya kerana hubungan baik yang terjalin antara keluarga diraja Johor dengan keluarga diraja Britain sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar lagi. Dengan situasi yang ada, Johor dapat mengekalkan sebahagian besar kuasa sultannya ini termasuklah pelantikan menteri besarnya tanpa campur tangan daripada pihak Inggeris. Bahkan kalau kita mengkaji latar belakang sejarah Dato’ Onn terutama sewaktu kecilnya, sejak dari bangku sekolah lagi beliau sudah bersifat tidak sukakan Inggeris. Hanya kerana beliau anak kepada seorang menteri besar, pihak atasan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap sifat dan sikapnya itu.

Dalam ilmu sejarah, satu-satu fakta itu tidaklah bersifat statik. Ia boleh berubah jika ada penemuan baru atau ada bukti terkini yang sahih. Apabila satu-satu fakta sejarah itu sudah berubah, maka tafsiran dan huraian mengenainya juga akan turut berubah. Beberapa tahun sebelum ini dan berdasarkan fakta yang ada ketika itu, ramai mempercayai bahawa kesultanan Melaka merupakan kerajaan Islam yang awal di Tanah Melayu. Berdasarkan fakta yang ada ketika itu, apa yang ramai percayai ketika itu tidak menjadi kesalahan. Walau bagaimanapun, dengan penemuan batu bersurat Terengganu (1303 Masihi), maka ia sekaligus telah mengubah fakta yang ada sebelumnya. Berdasarkan bukti yang lebih terkini menunjukkan bahawa kewujudan kerajaan Islam di Terengganu lebih awal daripada Melaka. Dari sudut ilmu sejarah, filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jim Syamsuddin bukanlah bahan utama atau primary sources. Demikianlah sejarah.

Dalam konteks tragedi Bukit Kepong pula, sepatutnya kemukakan dahulu fakta baru jika ada untuk dianalisis. Setelah ianya sahih bahawa pihak penyerang bukan komunis dan merupakan para mujahid Islam yang berjuang menentang British ketika itu, barulah kenyataan mengenainya dibuat. Demikianlah adab dan adatnya dalam ilmu sejarah. Dalam hal ini, apa yang seolah-olahnya berlaku ialah kenyataan telah dibuat, tetapi seminar mengenainya baru hendak dianjurkan dan kajian mengenai perjuangan Mat Indera baru hendak dilakukan. Apa ini!!!

Justeru, tidak menghairankan bilamana kenyataan Haji Muhammad Sabu telah mendapat bantahan daripada ramai pakar sejarah negara. Sesetengah pakar sejarah negara berkenaan bukannya ahli politik pun. Mereka bercakap/membantah berdasarkan kepakaran/keilmuan yang ada pada mereka. Jika Haji Muhammad Sabu atau rakan-rakan yang sewaktu dengan beliau berupaya mengemukakan fakta terkini dan bukti sahih mengenai apa yang didakwa, saya amat yakin golongan pakar sejarah negara berkenaan akan berlapang dada dan tidak keberatan untuk bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan. Saya boleh mengatakan demikian kerana saya memang mengenali sesetengah daripada mereka.

Dari aspek siasah pula, kenyataan oleh Haji Muhammad Sabu sama sekali tidak membawa keuntungan kepada PAS atau Pakatan Rakyat (PR). Bahkan ia telah membuka ruang yang luas terutamanya kepada musuh-musuh politik parti pembangkang untuk membantai dan membelasah PR. Seharusnya dalam situasi tarikh pilihanraya semakin menjadi teka-teki, para pemimpin PR sepatutnya mengurangkan daripada membuat kenyataan-kenyataan yang akan memakan diri sendiri. Dalam hal ini, strategi UMNO/BN nampaknya semakin berkesan. Mereka tidak memberi peluang, sebaliknya menanti peluang untuk membantai dan membelasah musuh politiknya sebagaimana yang sedang berlaku sekarang.

Pada masa yang sama juga, saya sama sekali tidak menafikan bahawa dalam menukilkan sejarah negara terutamanya di peringkat sekolah, pensejarahannya lebih banyak memberi penekanan kepada tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan UMNO dan Perikatan sahaja. Ketokohan Dato’ Onn Jaafar sendiri hanya diberi penekanan semasa beliau dalam UMNO, tetapi setelah Dato’ Onn meninggalkan UMNO, sumbangan dan ketokohannya tidak lagi diberi perhatian yang sewajarnya. Saya turut bersetuju bahawa tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof. Zulkifli Muhammad, Ishak Haji Mohamad, Haji Ahmad Fuad Hassan serta Haji Ahmad Tuan Hussein perlu diketengahkan buat tatapan generasi masa kini. Tokoh-tokoh ini turut berjuang dan menyumbang ke arah kemerdekaan Tanah Melayu tetapi sumbangan mereka setakat ini masih dipinggirkan.

Suka saya jelaskan di sini, saya bukan bersekongkol dengan mana-mana media. Sebaliknya apa yang saya tulis ini adalah berdasarkan sedikit pengetahuan sejarah yang ada pada saya. Saya amat-amat mengalu-alukan jika ada fakta baru yang hendak dikongsikan. Namun begitu, kita harus faham perbezaan antara fakta dengan emosi.

Insha-Allah, pagi esok saya akan kembali semula ke KL.

Salam dari Jasin, Melaka.

Friday, September 2, 2011

Tergendala



Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf khususnya kepada para pengunjung blog ini. Nampaknya sejak Rabu lalu tiada posting baru. Sebenarnya, ada perkara yang ingin saya kongsikan, namun begitu kekangan kemudahan internet di tempat saya di Melaka menyebabkan ianya telah tergendala.

Sejak Rabu lalu, saya telah pun berada di kampung sendiri, iaitu di Melaka. Walau bagaimanapun, kemudahan komunikasi menerusi broadban nampaknya sangat tidak memuaskan. Justeru, saya tidak dapat melayari internet. Kebetulan lokasi kampung saya di kawasan luar bandar, iaitu kira-kira 52 km dari Bandaraya Melaka. Kawasan terhampir yang boleh saya kunjungi untuk akses kepada internet dengan baik ialah Jasin, kira-kira 24 km dari rumah saya. Demikianlah.

Saya pun tak pasti sama ada wakil rakyat kampung saya sama ada ahli parlimennya atau ADUNnya tahu atau tidak bahawa kawasan yang mereka wakili menghadapi masalah untuk akses kepada internet. Tolong bantulah untuk merapatkan jurang ICT dan kemudahan internet antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar. Dr. Rais Yatim bukan main lagi melaung di KL supaya rapatkan jurang ICT di antara kedua-dua kawasan ini, apa pula peranan anda berdua selaku wakil-wakil rakyat di kawasan luar bandar???

Waktu ini, saya dapat akses kepada internet dengan baik kerana saya sedang berada di pusat bandaraya Melaka kerana mengikuti adik perempuan saya untuk urusan beliau. Jadi kesempatan yang ada saya ambil untuk menghantar posting ringkas ini.

Sempat juga saya membaca bahan yang telah dipostingkan oleh Mat Geleng menerusi SMPKSetapak Group. Macam itulah Mad Geleng. Nampaknya anda tidak lagi hanya sekadar pandai bercakap sahaja. Kali ini anda sudah pandai pula menyumbang. Bila lagi akan ada blog sendiri? Kaveinthran tentu tahu siapa si Mat Geleng tu!

Salam dari Melaka.