Wednesday, September 7, 2011

“Nik Aziz Boleh Ditewaskan”

Dua tiga hari lepas, saya terbaca secebis berita yang dikeluarkan menerusi Utusan Online bertajuk “Nik Aziz Boleh Ditewaskan”. Ungkapan berkenaan telah diucapkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis jamuan hari raya. Antara lain, kandungan berita berkenaan berbunyi:


KOTA BHARU 4 Sept. – Ahli UMNO Kelantan perlu yakin dan tidak gentar untuk berhadapan dengan Pas pada pilihan raya umum akan datang kerana sejarah membuktikan parti itu termasuk Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah tewas di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rakyat negeri ini mula menunjukkan perubahan dan ia seharusnya disambut dengan gerak kerja yang tersusun oleh keseluruhan jentera parti.

“Hari ini juga hari penting kerana kesemua jentera kita membulatkan tekad untuk berjuang, kita kena ada keyakinan diri, jangan takut. Ingat, Pas pernah tinggal batu nisan di negeri ini, Nik Aziz pernah kalah pada 1986 kepada Mohd. Zin Abdullah dengan majoriti 259 undi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Jamuan Hari Raya UMNO Kelantan dan Penyampaian Watikah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Negeri di sini hari ini.



Memang benar, dalam pilihanraya tahun 1978, PAS tewas teruk kepada Barisan Nasional. Waktu itulah PAS hanya memenangi 2 kerusi sahaja daripada 30 kerusi di DUN Kelantan. Kekalahan PAS di Kelantan tidak terhenti setakat tahun 1978 sahaja, bahkan ia telah berterusan dalam pilihanraya umum tahun 1982 dan tahun 1986. Di sini, saya bersetuju dengan rumusan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan iaitu tidak mustahil untuk menewaskan PAS di Kelantan.

Sebenarnya, kalau bercakap mengenai sejarah tewas dalam pilihanraya, bukan sahaja Tuan Guru Haji Nik Aziz yang pernah tewas, Datuk Seri Mustapha sendiri pernah tewas di parlimen Jeli di tangan Mohd Afandi Muhammad dalam pilihanraya umum 1999. Jadi, memang kena dan sesuailah bila orang yang pernah tewas bercakap mengenai sejarah ketewasan dalam pilihanraya.



Sepertimana yang telah saya nyatakan tadi, tidak mustahil untuk UMNO Kelantan menewaskan PAS dan seterusnya membentuk kerajaan negeri Kelantan di bawah payung UMNO/BN. Untuk itu, UMNO Kelantan harus meneliti faktor-faktor tertentu sebelum dapat menggenggam kejayaan dalam misinya merampas tampuk pentadbiran negeri Kelantan.

Antara faktor penting ke arah merealisasikan cita-cita UMNO untuk merampas Kelantan ialah UMNO harus memastikan supaya PAS terutamanya di Kelantan berada dalam keadaan bergolak. Salah satu faktor penting kejayaan BN merampas Kelantan dalam pilihanraya tahun 1978 ialah ketika itu PAS di Kelantan sendiri berada dalam keadaan yang tidak stabil. Oleh itu, UMNO bolehlah buat sesuatu supaya berlaku sekali lagi ketidakstabilan dalam PAS. Kalau tidak dilemparkan batu ke air, manakan tahu kecil besar riak-riak pada air berkenaan!

Faktor kedua ialah UMNO sendiri harus memastikan tiada konflik dalaman parti khususnya di Kelantan yang bakal membantutkan usaha untuk memerintah semula Kelantan. Antara faktor penting terlepasnya Kelantan daripada genggaman UMNO/BN dalam pilihanraya umum 1990 ialah kerana berlakunya konflik dalaman UMNO khususnya di Kelantan. Kemuncak kepada konflik berkenaan pada waktu itu ialah perpecahan yang kemudiannya telah melahirkan Parti Melayu Semangat 46. Sesetengah pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 merupakan antara penggerak kuat UMNO/BN Kelantan sebelumnya. Oleh itu, jika pada hari ini masih berlaku lagi sikap berpuak dalam UMNO/BN Kelantan, maka hasrat untuk merampas semula kekuasaan di Kelantan tak ubah umpama mengejar bayang-bayang sahaja. Walaupun ia nampak dekat, sekuat mana pun kita cuba mengejarnya pasti kita tidak akan mendapatnya. Adakah UMNO Kelantan hari ini sudah benar-benar bebas dan lengang daripada konflik dalaman?



Faktor ketiga yang harus dilakukan oleh UMNO Kelantan ialah mencari seorang pemimpin dalam kalangan ahli UMNO yang sekurang-kurangnya sebanding dengan Tuan Guru Haji Nik Aziz. Antara ciri-ciri yang wajib dimiliki oleh bakal pemimpin yang dicadangkan termasuklah tutur katanya mesti lembut, ada program kuliah mingguan, berkelulusan agama dan kalau boleh biarlah dari India atau Mesir, kewarakannya mestilah diiktiraf sendiri oleh masyarakat, kalau boleh biarlah di pangkal namanya ada kalimah “Tuan Guru”, cakapnya sentiasa didengar orang ramai terutamanya oleh rakyat Kelantan dan pastikan tokoh yang bakal dicadangkan itu boleh bertutur sekurang-kurangnya 3 bahasa termasuklah bahasa Arab. Sekiranya UMNO Kelantan berkemampuan memperolehi calon yang lengkap mempunyai ciri-ciri sebagaimana di atas, maka dia (calon berkenaan) bakal berupaya untuk mencabar populariti Tuan Guru Haji Nik Aziz. Maklumlah, bak kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, bukanlah mustahil untuk menewaskan Nik Aziz dan ia pernah berlaku kira-kira 25 tahun yang lalu. Soalnya, sudah adakah calon yang mempunyai ciri-ciri sempurna sebagaimana di atas dalam kalangan ahli UMNO Kelantan? Sekiranya tokoh atau calon sedemikian baru di tahap hendak digilap, maka UMNO/BN Kelantan boleh melupakan sahaja cita-citta untuk merampas kekuasaan pentadbiran Kelantan dalam pilihanraya umum yang akan datang. Alasanya ialah kerana syarat-syarat yang diperlukan masih gagal dipenuhi. Lagi pun, tokoh yang diperlukan mestilah tokoh tulen dan bukannya tokoh yang bijak berlakon dan bersandiwara semata-mata.

Faktor keempat yang mesti diberi perhatian oleh UMNO Kelantan ialah faktor pengundi. Saya rasa, jika diharapkan pemilih yang sudah sedia ada di Kelantan, ia bukanlah satu langkah bijak. Ini kerana rata-rata orang Kelantan yang sedia menetap di Kelantan buat masa ini akan memberikan sokongan kepada pemimpin dan kerajaan negeri yang sudah sedia ada. Kesilapan strategi lepas ialah apabila pihak yang berkaitan memanggil pulang perantau Kelantan untuk pulang dan mengundi di Kelantan. Bagi saya, strategi yang lebih berkesan ialah jika pihak-pihak yang berkenaan berupaya untuk memastikan perantau dari luar Malaysia sebagai pemilih yang sah di Kelantan. Saya bukan menuduh atau menuding, tidak sama sekali. Saya sekadar mencadangkan sahaja. Menuduh dan mencadang merupakan dua perkara yang jauh berbeza.

Hakikat sebenarnya, jauh dalam hati Datuk Seri Mustapha, beliau mungkin mengakui kejayaan merampas semula Kelantan daripada tangan PAS tak ubah umpama yang dikejar tak mungkin dapat, yang sedang dikendong pula mungkin akan keciciran. Beliau rasanya turut sedar sokongan dan dokongan rakyat Kelantan terhadap PAS setakat ini masih kukuh dan utuh. Kekalahan PAS di Galas pada hujung tahun 2010 sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukuran kepada sokongan rakyat Kelantan secara keseluruhan terhadap UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang. Sebaliknya wakil-wakil UMNO dalam DUN Kelantan yang menang dalam pilihanraya umum 2008 mungkin sedang sibuk mengatur strategi bagaimana untuk memastikan agar kerusi masing-masing supaya tidak terlepas ke tangan PAS dalam pilihanraya yang akan datang.



Walaupun stadium baru telah dijanjikan, jalan-jalan raya di Kelantan semakin sesak terutamanya pada musim cuti, masalah bekalan air masih belum selesai sepenuhnya, dan lahirkanlah apa sahaja isu yang lain, setakat yang saya tahu, sebahagian besar orang Kelantan masih mahu membangun bersama parti siasah yang jelas mendokong Islam. Orang politik yang bijak bestari seperti Datuk Seri Mustapha memang amat menyedari akan hakikat ini.

No comments: