Sunday, September 18, 2011

Pemansuhan ISA: Sekadar Coretan

Beberapa hari lepas, dalam ucapannya ke seluruh negara bersempena sambutan kemerdekaan negara ke-54 dan juga Hari Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah membuat pengumuman yang kemudiannya telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada segenap lapisan rakyat. Pengumuman yang dimaksudkan ialah mengenai pemansuhan atau pindaan beberapa akta yang sememangnya selama ini pun menjadi kontroversi dalam negara.

Antara intisari penting kandungan ucapan perdana menteri adalah seperti berikut:


  • Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (1960);

  • Pemansuhan Akta Buang Negeri (1959);

  • dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah supaya ketenteraman dan keselamatan awam sentiasa terpelihara;

  • undang-undang baru ini juga akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah;

  • undang-undang berkaitan keganasan masih dikekalkan bawah kuasa Menteri;

  • mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik;

  • Kuasa untuk melanjutkan penahanan juga akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecuali undang-undang berkaitan keganasan;

  • Kajian semula secara komprehensif akan dilakukan ke atas Akta Kediaman Terhad (1933);

  • Kajian semula secara komprehensif juga akan dilakukan ke atas Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan (1984) di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan sebaliknya akan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga ia dibatalkan;

  • mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan



Mungkin kerana menyampah sangat dengan ISA, maka saya telah mendengar banyak pengertian yang telah diberikan berhubung dengan akronim ISA oleh ramai orang. Antaranya ada yang mengatakan ISA sebagai Ikut Suka Aku, Ini Siksaan Awal, Insaf Sebelum Ajal, Ini Semua Auta, Ingin Selamat Akur, dan macam-macam lagi. Sepertimana yang saya katakan tadi, kreativiti tersebut timbul mungkin kerana golongan sedemikian sudah menyampah sangat dengan ISA. Namun begitu, bagi yang ada kuasa, anggap sahaja itu Cuma hiburan atau gurauan semata-mata.

Akta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA) telah diperkenalkan pada tahun 1960. Tujuan utamanya ketika itu ialah untuk menangani masalah yang berkaitan dengan gerakan komunisme serta kegiatan subversif. Ia juga dikatakan bertujuan untuk menangani masalah yang berpunca daripada golongan ekstrim dan pelampau. Justeru tidak hairanlah bilamana akta tersebut juga telah digunakan untuk menahan tokoh-tokoh tertentu yang dianggap pelampau dan boleh membawa ancaman kepada keselamatan negara. Demikianlah.

Antara reaksi spontan yang sempat saya jenguk termasuklah ramai yang gembira dengan pemansuhan ISA. Ada juga yang menganggap pemansuhan berkenaan adalah kerana terdesak. Ada juga yang berpendapat ia sebagai umpan kepada rakyat untuk pilihanraya umum yang akan datang. Ada juga yang menyatakan kegusaran masing-masing terhadap pemansuhan akta berkenaan. Ada juga yang berpendapat, yang sepatutnya dilakukan bukannya pemansuhan tetapi penambahbaikan. Ada juga yang masih enggan memberikan respon dengan alasan menanti undang-undang baru yang bakal menggantikan ISA. Ada juga yang minta maaf dengan perdana menteri kerana kononnya telah tersalah tanggap terhadap kemampuan Datuk Seri Najib. Betul ke Zaid?

Bila diimbas semula, sebenarnya tuntutan supaya ISA ini dimansuhkan bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lama dahulu pelbagai pihak, khususnya parti-parti pembangkang telah mengusulkan bahkan mendesak agar kerajaan memansuhkan sahaja ISA. Namun demikian, sejak ia diperkenalkan sehinggalah tarikh 15 September lalu, tiada mana-mana perdana menteri yang bersetuju dan berani memansuhkan akta berkenaan. Bahkan sebuah badan khas yang bertujuan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan ISA turut ditubuhkan. Badan yang dimaksudkan ialah Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Nampaknya, bila termansuh sahaja ISA, GMI juga akan mansuh dengan sendirinya?

Jadi, bila Datuk Seri Najib bersetuju untuk memansuhkan ISA, maka langkah beliau bolehlah dianggap sebagai langkah yang berani. Tidak kiralah sama ada beliau didesak, terdesak atau sebagai umpan untuk pilihanraya, hakikatnya Datuk Seri Najib adalah perdana menteri yang telah memansuhkan undang-undang ISA. Dengan erti kata lain, belum sempat ISA dimansuhkan oleh tokoh atau parti siasah yang lain, Datuk Seri Najib telah memansuhkannya lebih dahulu. Ia akan menjadi fakta sejarah untuk tatapan anak cucu masa depan. Oleh itu, tolong jangan ubah fakta ini!

Saya juga bersetuju dengan pendapat agar kita tunggu dahulu bentuk undang-undang yang akan diperkenalkan bagi menggantikan ISA. Adakah undang-undang yang bakal diperkenalkan lebih baik atau lebih bersifat mengongkong daripada ISA. Kelak jangan dikatakan orang, keluar dari mulut harimau, masuk dalam mulut buaya!

Saya kurang bersetuju jika dikatakan pemansuhan ISA ini merupakan hadiah kepada rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan kemerdekaan ke-54 dan juga Hari Malaysia. Ini adalah kerana undang-undang yang bakal menggantikan ISA belum lagi dikemukakan. Jadi apa yang baru diberikan kepada rakyat Malaysia ialah baunya sahaja. Baunya memang sedap semerba. Walau bagaimanapun, kita masih belum dibenarkan untuk menyentuhnya lagi, apatah lagi untuk merasainya. Walaupun baunya sedap dan semerbak, tetapi kita sebenarnya masih belum tahu sama ada ia benar-benar enak bila dijamah atau sebaliknya. Pun begitu, Datuk Zaid Ibrahim sudah awal-awal minta maaf kepada Datuk Seri Najib.

Seperkara yang terserlah di sini, bila pemimpin berstatus perdana menteri melakukan sesuatu seperti memansuhkan ISA, maka ramailah tokoh terutamanya dalam UMNO/BN yang memuji-muji langkah berkenaan. Kata mereka, ia adalah langkah yang berani, tepat, kena pada masanya, dan macam-macam lagi. Saya rasa, sekiranya Datuk Seri Najib ditakdirkan mengumumkan sebaliknya, umpamanya ISA akan dikekalkan, pujian dan dokongan yang mana nadanya serupa juga turut akan kedengaran. Tentunya golongan berkenaan akan mengatakan langkah tersebut baik, tepat, dan macam-macam lagi. Sifat seumpama ini masih sukar untuk dikikis daripada pemimpin kita. Sukar bagi mereka untuk memperkatakan sesuatu itu secara tulus, ikhlas dan berani. Bahkan, sifat dan sikap seumpama ini sudah lama berjangkit dalam sektor awam. Sebab itulah ada kumpulan boss yang menganggap mereka yang melontarkan kritikan sebagai menentang!

Salah seorang kerabat saya ada mengemukakan teorinya sendiri. Katanya, tujuan pemansuhan ISA ialah kerana Datuk Seri Mohd Najib dan UMNO/BN mungkin telah dapat menjangkakan bahawa dalam pilihanraya umum yangakandatang, mereka akan tewas. Ini bermakna kerajaan baru akan dibentuk. Jadi, pemansuhan ISA lebih bertujuan untuk mencegah bekas tokoh-tokoh politik kerajaan daripada disumbat dalam penjara mengikut ISA. Itu sekadar teori sahaja, tapi mungkin ada kebenarannya!

Apa-apa hal pun, kita masih menanti kesudahan episod pemansuhan ISA ini. Ia sebenarnya masih lagi belum berakhir. Akta yang bakal menggantikan ISA masih lagi di awang-awangan. Jadi, jangan keterlaluan bila memberikan respon atau reaksi. Kalau sudah mohon maaf jangan tarik balik pula!

Salam dari Temerloh.

No comments: