Friday, March 14, 2014

Bomoh Oh Bomoh



Hari ini negara dan dunia digemparkan apabila seorang “bomoh” cuba menyelesaikan misteri kehilangan MH370 menerusi ilmu kebomohannya. Tok bomoh berkenaan telah melakukan beberapa aksi yang kononnya dapat membantu merungkai misteri kehilangan pesawat berkenaan. Perbuatan tok bomoh berkenaan bukan sahaja didperhatikan oleh orang-orang disekelilingnya, bahkan aksinya turut tersebar ke seluruh dunia dengan begitu pantas sekali. Pandai betul tok bomoh berkenaan mencari kesempatan!

Berusaha untuk membantu misteri kehilangan pesawat MH370 amat digalakkan. Walau bagaimanapun, ia hendaklah dilakukan secara betul pada niatnya, betul pada hukum dan juga betul pada kaedahnya. Kalau sekadar berbomoh depan khalayak ramai dengan gaya dan cara yang boleh menggugat akidah, itu bukan membantu. Bahkan aksi kebomohan sedemikian boleh mengakibatkan negara ditimpa mala petaka malu pula. Cukuplah petaka yang sudah sedia ada. Jangan ditambah lagi dengan yang lain!

Bomoh yang beraksi di KLIA baru-baru ini bukan sebarangan bomoh. Katanya beliau memang sudah dikenali ramai. Sebut sahaja namanya, semua orang sudah kenal. Wah gah sungguh tok bomoh yang seorang ini.

Seperkara yang menarik ialah, kata tok bomoh berkenaan, ada seseorang yang menyuruh beliau berbomoh di KLIA. Siapa orang tu tok? Orang kecil atau orang besar? Kebetulan pula, bomoh yang seorang ini bukan sebarangan orang. Khabarnya ada gelaran “datuk”. Kalau tok bomoh yang ini ada gelaran datuk, mungkin ilmu kebomohannya sudah pun diiktiraf oleh pihak tertentu pula. Bukan senang juga kalau nak dapat gelaran kebesaran semacam itu.

Seperkara lagi, bagaimana tok bomoh yang seorang ini boleh beraksi di KLIA? Siapa yang memberikan keizinan? Mungkin ilmu kebomohannya sudah tinggi, maka itu aksinya tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun.

Khabarnya aksi tok bomoh sudah pun mendapat pelbagai reaksi di peringkat antarabangsa. Betul ke? Kalau benar, maka sudah terpublisitilah tok bomoh yang seorang ini.

Ada juga pihak yang mengaitkan tok bomoh ini dengan sebuah parti politik. Khabarnya juga, di parlimen beberapa anggota parti politik berkenaan telah menafikan kononnya ada hubungan dengan tok bomoh berkenaan. Malang juga tok bomoh ini, publisiti sudah dapat tapi tak siapa pula yang hendak mengaku kawan.

Tertanya juga dalam hati saya, mengapa KLIA menjadi lokasi tok bomoh berkenaan? MH370 bukannya hilang di klia. Antara lokasi kehilangan pesawat berkenaan ialah di sekitar laut China Selatan. Mengapa tidak ke tepi laut berkenaan untuk melakukan aksi kebomohan? Takut bermain ombak ke tok?

Esok dan lusa hendak beraksi di mana pula tok?




Monday, March 10, 2014

Berkongsi Pemandangan Indah



Di bawah ini adalah keindahan pemandangan yang sempat dirakam ketika saya berada tidak jauh dari ibu pejabat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Ia agaknya macam musim bunga yang sedang bermula di Hemispera utara dunia.

















Memang tidak dapat dinafikan, golongan cacat penglihatan seperti saya tidak dapat menikmati keindahan sesuatu pemandangan menerusi deria penglihatan. Walau bagaimanapun, dengan anugerah Allah yang Maha Adil, ada kalanya kami juga turut dapat merasai tempias keindahan tersebut dengan cara tersendiri.

Sunday, March 9, 2014

Kapal Terbang Hilang: Antara Realiti Dan Spekulasi




Sebagaimana yang kita semua tahu, pada 8 Mac 2014 (Sabtu), sebuah kapal terbang milik Malaysia Airline telah hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Kapal terbang berkenaan telah berlepas dari KLIA pada jam 12.41 tengah malam dan dijangka tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi. Namun demikian, kapal terbang malang tersebut telah terputus hubungan dengan pengawal trafik udara sekitar 2 jam selepas berlepas dari lapangan terbang di KLIA. Menurut sumber berita, di lapangan terbang Beijing, status ketibaan penerbangan tersebut masih dikategorikan sebagai “delay”.

Kapal terbang berkenaan, MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Kebanyakan penumpangnya pula terdiri daripada warga China. Selain itu, dalam kalangan penumpangnya terdapat warganegara daripada berbelas negara. Antaranya termasuklah dari India, Indonesia, Ucraine, Austria dan Itali. Kehilangan kapal terbang berkenaan telah mendapat liputan berita dari seluruh dunia. Sejak semalam lagi, bila saya membuka siaran radio dari pelbagai negara, berita kehilangan kapal terbang berkenaan menjadi tajuk utama beritanya.

Setelah lebih 24 jam kehilangan kapal terbang berkenaan, masih belum ada sebarang petunjuk mengenai apa yang sebenarnya telah terjadi kepada kapal terbang berkenaan. Lewat semalam, pesawat terbang Vietnam terlihat dua tompokan tumpahan minyak tidak jauh dari pantai negara berkenaan. Walau bagaimanapun, ia masih gagal mengesan lokasi tepat kehilangan kapal terbang berkenaan. Bangkai kapal terbang itu juga masih belum dapat dikesan.

Menurut sumber berita daripada BBC World Service, penerbangan Malaysia Airlines mempunyai rekod yang baik. Justeru kehilangan kapal terbang berkenaan merupakan sesuatu yang telah menimbulkan tandatanya. Beberapa penganalisis dan pakar penerbangan antarabangsa mula mengutarakan beberapa teori berkenaan kehilangan kapal terbang tersebut.

Menurut berita BBC lagi, terdapat sekurang-kurangnya 2 penumpang yang nama mereka tersenarai dalam kalangan penumpang dalam kapal terbang berkenaan, telah tampil dan membuat pengakuan bahawa mereka tidak langsung berada dalam kapal terbang tersebut. Menurut berita itu lagi, kedua-duanya sihat dan selamat serta terkejut bila mendapati nama mereka tersenarai dalam kalangan penumpang kapal terbang malang berkenaan. Menurut kedua-duanya lagi, passport mereka telah hilang ketika mereka berada di Thailand beberapa tahun lalu.

Jadi siapakah yang telah berjaya menyuludup masuk sebagai penumpang kapal terbang tersebut dengan menggunakan passport yang telah dicuri? Apa yang pasti, penumpang yang menggunakan passport curian tersebut merupakan antara mereka yang masih hilang bersama-sama kapal terbang berkenaan. Bertitik tolak daripada maklumat ini, maka beberapa teori dan spekulasi mula diutarakan berkenaan kehilangan kapal terbang tersebut. Di sini saya tidaklah berhasrat untuk memanjang dan meluaskan spekulasi berkenaan.

Kita hanya mampu berdoa semoga kapal terbang dan penumpangnya akan selamat.


Sunday, March 2, 2014

Bank Islam Belum Mesra OKU Penglihatan



Pada 28 Februari (Jumaat) lalu, salah seorang kakitangan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang juga merupakan ahli persatuan ingin membuka akaun dengan Bank Islam di cawangannya yang terletak di KL Sentral. Beliau hanya dibenarkan menggunakan buku sahaja. Beliau tidak dibenarkan untuk menggunakan kad ATM kerana beliau seorang yang tidak berpenglihatan.

Apabila saya menghubungi Bank Islam Call Center di talian 03-26900900, pegawai yang bertugas ketika itu memaklumkan bahawa Bank Islam memang tidak membenarkan pelanggan yang cacat penglihatan untuk menggunakan kad ATM atas beberapa sebab. Antaranya, bank tidak mempunyai sistem Braille yang membolehkan pelanggan cacat penglihatan menggunakan mesin ATM. Faktor seterusnya ialah lebih kepada faktor keselamatan pelanggan. Seterusnya saya mengajukan soalan, adakah ia merupakan polisi bank atau bukan. Beliau memberitahu saya, ia bukan polisi bank. Maknanya ia lebih merupakan keputusan cawangan yang berkenaan sahaja. Beliau selanjutnya mengatakan jika pelanggan cacat penglihatan ingin juga menggunakan kad ATM, maka beliau mesti membuka akaun bersama dengan seorang yang berpenglihatan yang boleh dipercayai. Akhirnya kakitangan PERTIS berkenaan membuka juga akaunnya tanpa kad ATM.

Ini bukan kali pertama pihak Bank Islam bersikap sebegini. Saya sendiri pernah mengalaminya beberapa ketika yang lalu iaitu di cawangan Bank Islam di Taman Melawati. Waktu itu saya sekadar ingin memperbaharui kad ATM saya. Kakitangan yang bertugas ketika itu (saya masih ingat lagi nama dan suaranya) ingin menamatkan kad ATM saya. Saya membantah dengan agak keras di situ juga. Akhirnya kad ATM saya tidak ditamatkan.

Saya berpendapat, keputusan cawangan-cawangan Bank Islam tertentu yang tidak membenarkan golongan cacat penglihatan menggunakan kad ATM bukanlah keputusan orang yang pandai. Sebaliknya ia lebih merupakan satu keputusan yang memandai-mandai sahaja. Di sini, saya menyambut baik jika ada mana-mana bank ingin bekerjasama untuk menjaga keselamatan wang simpanan khususnya para pelanggannya yang cacat penglihatan. Namun demikian, sekiranya ia dilaksanakan secara membuta-tuli, tanpa berbincang dengan golongan yang terlibat dan sekadar memandai-mandai, maka ia bukan lagi untuk menjaga keselamatan pelanggan. Sebaliknya ia sudah menjurus kepada satu bentuk diskriminasi kepada golongan cacat penglihatan.

Jika pihak bank merasakan golongan cacat penglihatan tidak dibenarkan menggunakan kad ATM kerana tiada sistem Braille, mengapa pihak bank tidak menyediakan sistem berkenaan? Walhal penyediaan sistem Braille seperti yang dimaksudkan bukan tanggungjawab pelanggan, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab sosial bank. Satu lagi alternatif yang ada ialah dengan mewujudkan sistem bersuara bagi semua arahan yang dipaparkan di skrin. Pelanggan seharusnya diberi pilihan iaitu sama ada untuk menggunakan tanpa sistem suara atau sebaliknya. Oleh kerana alasannya sedemikian, maka dapatlah dibuat kesimpulan awal iaitu pihak bank sememangnya tidak berhasrat untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang mesra OKU penglihatan kerana tidak menyediakan satu sistem yang membolehkan golongan berkenaan dapat akses kepada kemudahan yang disediakan secara bebas halangan dan dengan selamat.

Selaku pelanggan institusi kewangan yang mana sekalipun, secara dasarnya kita tidak mungkin bersedia untuk membuka akaun peribadi secara bersama dengan orang lain, walaupun dengan kerabat sendiri. Jadi tidak mungkin bakal pelanggan yang cacat penglihatan akan bersedia untuk membuka akaun peribadinya dengan orang lain hanya semata-mata untuk membolehkannya menggunakan kad ATM.

Lagipun, berasaskan kepada sejarah silam, tidak semestinya pelanggan yang hanya menggunakan buku akan selamat wang mereka daripada ditipu oleh orang lain, terutama pekerja bank yang tidak jujur. Saya pernah mendengar kisah kononnya ada segelintir golongan cacat penglihatan yang telah ditipu ketika mengeluarkan wang di kaunter bank beberapa tahun lalu. Natijahnya, kalau menggunakan buku semata-mata bukanlah selamat seratus peratus. Sebaliknya jika menggunakan kad ATM dan sentiasa mengikut langkah keselamatan yang sesuai, insha-Allah ia akan selamat.

Jika dirasakan perlu dan wajar, pihak Bank Islam boleh mengeluarkan satu dokumen yang memaklumkan kepada pelanggan cacat penglihatan yang ingin menggunakan kad ATM iaitu sebarang kehilangan wang berpunca daripada kad ATM mereka adalah tanggungjawab pelanggan itu sendiri. Dokumen itu seharusnya ditandatangani oleh pelanggan yang berkenaan. Satu lagi, sewaktu pelanggan cacat penglihatan ingin membuka akaun, mereka seharusnya diberi pilihan sama ada untuk mengguna kad ATM atau sebaliknya. Jika mereka ingin menggunakan kad ATM, ini bermakna mereka sudah bersedia dengan langkah keselamatan mereka sendiri dan juga bersedia untuk menanggung kemungkinan risiko yang ada. Bagi saya, adalah amat tidak wajar sama sekali pihak bank secara semberono memutuskan tidak membenarkan terus golongan cacat penglihatan menggunakan kad ATM. Walaupun selama ini tiada mana-mana bank ada memikirkan untuk mewujudkan bebas halangan kepada pelanggan mereka yang cacat penglihatan, golongan cacat penglihatan masih berupaya untuk memikirkan kaedah yang paling selamat bagi mereka selaku pelanggan bank termasuklah yang menggunakan kad ATM.

Realitinya, kewujudan golongan cacat penglihatan selaku pengguna kad ATM bukanlah sesuatu yang baru. Saya sendiri merupakan pengguna kad ATM Bank Simpanan Nasional sudah lebih daripada 23 tahun. Alhamdulillah sehingga kini tiada apa yang berlaku. Mudah-mudahan keadaan akan terus selamat hingga ke akhirnya. Saya juga merupakan pengguna kad ATM Bank Islam Malaysia Bhd sejak tahun 1999 lagi. Alhamdulillah ia juga selamat hingga kini. Bukanlah saya bertujuan riak atau membangga diri. Saya sekadar berkongsi pengalaman dan maklumat kepada pihak yang buta hati dan buta mindanya.

Dalam hal ini, rasanya tidak keterlaluan untuk saya serta golongan yang senasib dengan saya bagi mengalungkan pujian yang setingginya kepada pihak Bank Simpanan Nasional kerana sejak awal lagi tidak mewujudkan halangan kepada golongan cacat penglihatan untuk menggunakan kad ATM-nya. Walaupun tiada kalimah “Islam” pada nama BSN, tetapi dalam hal ini nampaknya ia lebih islamik terutamanya kepada golongan OKU penglihatan.

Saya amat yakin dengan sepenuhnya, Allah, Rasulullah dan Islam tidak sekali-kali bersikap diskriminasi terhadap golongan OKU, khususnya OKU penglihatan. Oleh itu, besarlah harapan kita semua agar mana-mana institusi yang menggunakan Islam sebagai namanya juga turut bersikap sedemikian. Kalau tak tahu, bertanya. Kalau tak pandai, belajar. Janganlah berbuat sesuatu perkara kononnya untuk kebaikan orang lain, tetapi oleh kerana tak tahu, tak pandai dan tidak ada sikap ingin tahu, pelaksanaannya telah menyusahkan orang lain pula.

Untuk maklumat semua, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan pelanggan kepada Bank Islam.


Thursday, February 6, 2014

Azli Paat: Genap Setahun Pemergiannya




Pagi tadi, seperti biasa tatkala saya dalam perjalanan ke sekolah, saya akan mendengar siaran Bernama Radio 24. Kebetulan waktu itu rancangan khas memperingati genap setahun pemergian ke rahmatullah Azli Paat sedang berkumandang. Sayu dan hiba sekali rancangan yang dikumandangkan. Seolah-olahnya Allahyarham Azli Paat baru semalam meninggalkan kita. Saya amat bersetuju dengan pelbagai ulasan positif yang diketengahkan mengenai Allahyarham menerusi rancangan berkenaan.



Saya dan rasanya ramai lagi pendengar Bernama Radio 24 tidaklah mengenali Allahyarham Azli Paat secara dekat. Namun apa yang beliau sering kongsikan menerusi rancangan ICT Dan Anda yang disiarkan menerusi siaran radio berkenaan cukup bermanfaat dan terkesan hingga kini. Lebih jauh lagi, ilmu yang beliau kongsikan telah memberi manfaat kepada ramai pendengar termasuk diri saya sendiri hingga kini. Saya masih ingat lagi iaitu beliau juga pernah berkongsi maklumat mengenai perisian pembaca skrin seperti JAWS. Demikianlah luasnya pengetahuan yang telah dikurniakan Allah kepada Allahyarham. Beliau pula tidak kedekut dalam berkongsi ilmu yang beliau ada kepada semua orang.

Maka amat benarlah seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang antara lain mafhummya, “Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, doa dari anak yang solih dan ilmu yang bermanfaat yang pernah diajarkannya kepada orang lain”.

Sekali lagi saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Kalian kehilangan saudara tersayang, kami kehilangan guru tercinta. Doa kita semua untuknya sentiasa mengiringi Allahyarham setiap masa. Walaupun Allahyarham semakin jauh meninggalkan kita, tetapi apa yang beliau tinggalkan tidak mungkin lekang dek panas dan tidak akan luput dek zaman. Ia akan sentiasa harum bak kasturi sepanjang masa.

Di sini, saya juga tidak lupa untuk mengucapkan sekalung tahniah kepada Bernama Radio 24 kerana berjaya mengenengahkan tokoh yang cukup sederhana tetapi amat hebat peribadinya.


Monday, February 3, 2014

Fountain Di MAB Kini Berfungsi



Beberapa hari yang lalu, saya telah singgah di kompleks Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields, Kuala Lumpur. Tujuan utama saya ke sana adalah untuk bertemu seorang rakan.

(Foto pada 9 September 2012)


Seperti biasa, setelah pertemuan berkenaan selesai, saya akan ke bahagian hadapan kompleks berkenaan. Kali ini saya dapati air pancutnya telah berfungsi semula. Dari jarak dekat, kita boleh mendengar bunyi pancutan airnya seperti dahulu juga.

(Foto pada 16 September 2013)


Saya ketengahkan hal ini kerana beberapa bulan yang lalu, saya juga pernah menulis hal yang sama. Ketika itu, air pancutnya tidak berfungsi. Keadaan sekelilingnya tampak layu dan kusam. Ia seakan projek gajah putih sahaja.

(Foto pada 30 Januari 2014)


Justeru bila ada perubahan, maka wajarlah saya melakarkan coretan tentang perkembangan terkini mengenai air pancut tersebut.

Namun demikian, kekuatan bunyi air pancutannya masih tidak berubah. Seperti yang saya katakan, ia sama seperti sebelumnya. Jadi konon fungsinya sebagai mercu tanda kepada golongan yang cacat penglihatan memang masih jauh panggang dari api. Justeru tidak keterlaluan jika saya nyatakan fungsi air pancutan tersebut lebih merupakan perhiasan kepada si celik daripada sebagai mercu tanda kepada si buta.

Betul ke ada ura-ura untuk memindahkan kompleks MAB ke luar Kuala Lumpur?


Saturday, February 1, 2014

Politik PKR Di Selangor Bergegar




Mungkin ia sudah tidak terbendung lagi. Mungkin air sudah naik sampai ke kepala. Mungkin tahap kesabaran setiap pihak yang berkepentingan sudah sampai ke hujungnya. Maka berlakulah apa yang sedang berlaku masa ini. Politik PKR di Selangor dilanda gegar.

Pada 27 Januari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh telah melepaskan jawatannya selaku ADUN. Pada 28 Januari pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan akan bertanding bagi mengisi kekosongan di DUN berkenaan. Dengan pengumuman berkenaan, maka pelbagai persoalan berlegar di minda kita.

Secara umumnya, tiada berlaku sebarang pergolakan dalam kerajaan negeri Selangor. Ini ditentukan bilamana PAS dan DAP kelihatan masih tenang seakan tiada apa yang berlaku. Hakikatnya, PAS dan DAP masih berupaya meneruskan perjalanan kerajaan negeri tanpa melibatkan PKR. Dengan erti kata lain, jika dirasakan perlu, PAS dan DAP boleh memilih mana-mana individu dalam kalangan ADUN dari PAS untuk menjawat jawatan menteri besar asalkan ia mendapat perkenan daripada kebawah duli tuanku sultan Selangor.

Sejak semalam lagi, sudah heboh dan bising sekali orang memperkatakan tentang teori yang kononnya mengkhabarkan bahawa pengunduran ADUN Kajang merupakan satu stragegi untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melangkah ke bangunan Sultan Salahuddin. Apabila pengumuman dibuat iaitu Datuk Seri Anwar akan bertanding di DUN Kajang, maka teori tersebut semakin kuat diperkatakan orang. Maka berleluasalah komentar daripada pelbagai pihak. Mantan perdana menteri pun tidak terkecuali untuk melontarkan komen beliau terhadap situasi yang sedang melanda PKR Selangor.

Sepertimana yang sudah dijangka, Datuk Seri Anwar akan membuat penafian terhadap teori yang mengaitkannya dengan kemungkina akan menjadi menteri besar Selangor dan menganggap ia sebagai satu spekulasi semata-mata. Namun demikian, cakap orang politik daripada mana-mana parti politik pun sama sahaja. Mereka mungkin tidak berniat untuk bercakap bohong, tetapi apa yang mereka cakap boleh berubah dalam tempoh satu saat sahaja dengan seribu satu alasan. Kalau tidak ada apa-apa, takkan tempua bersarang rendah.

Seperkara yang tidak tersembunyi lagi ialah sememangnya berlaku pergolakan dalam PKR Selangor. Ia tentunya berkaitan dengan jawatan menteri besar. Dari kaca mata orang biasa, tiada masalah besar dengan pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim. Rakyat Selangor dapat menikmati beberapa manfaat sejak Selangor diperintah oleh Pakatan Rakyat dan diterajui oleh Tan Sri Khalid.

Namun demikian, kepuasan hati orang biasa tidak sama dengan kehendak dan matlamat orang politik. Dalam sistem pentadbiran yang sedia ada, keuntungan politik mesti juga ada khasnya kepada juak-juak politik. Perkara ini yang mungkin kurang difahami dan kurang diminati untuk dipenuhi oleh Tan Sri Khalid.

Pilihanraya umum ke-13 pada pertengahan tahun lalu sama sekali gagal menyelesaikan perbezaan yang wujud dalam kalangan ahli politik PKR Selangor. Sebaliknya ia semakin menjurangkan perselisihan pihak-pihak yang terlibat. Azmin mungkin rasa kecil hati bilamana beliau tidak dicalonkan sebagai menteri besar Selangor selepas PRU ke-13 lalu. Sedangkan mengikut hierarki dalam parti, kedudukan beliau lebih tinggi daripada Tan Sri Khalid Ibrahim. Pada masa sama, rakyat Selangor semakin selesa dengan corak dan gaya pentadbiran Tan Sri Khalid. Di samping itu, pelantikan Tan Sri Khalid selaku menteri besar selepas PRU ke-13 turut mendapat sokongan daripada ADUN PAS dan DAP. Pelantikan berkenaan juga turut mendapat perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan Selangor. Ini merupakan antara eleman yang turut mengukuhkan kedudukan Tan Sri Khalid selaku ketua badan eksekutif bagi negeri Selangor.

Akhirnya, bagi menyelesaikan kemelut politik dalam PKR Selangor, maka rancangan dan strategi tertentu telah diatur. Apa yang sedang berlaku merupakan pelaksanaan rancangan dan strategi berkenaan. Berkesan atau tidaknya rancangan dan strategi berkenaan, masa yang akan menentukannya kelak.

Dari satu sudut, apa yang sedang berlaku merupakan masalah dalaman dalam PKR di Selangor. Ia tiada kaitan dengan rakyat biasa ataupun para pengundi. Sebaliknya para pengundi di Selangor telah memberikan sokongan dan dokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat khususnya PKR dengan kejayaan yang lebih besar di Selangor. Maka itulah BN daripada 20 kerusi merudum tinggal 12 kerusi selepas PRU ke-13. Ini menunjukkan harapan rakyat Selangor yang cukup tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Justeru, pengunduran ADUN Kajang serta pengumuman Datuk Seri Anwar selaku calon PKR untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ADUN berkenaan sebagai kaedah untuk menyelesaikan kemelut dalaman yang sedang berlaku dalam PKR di Selangor adalah kurang wajar. Saya yakin, pengunduran Lee Chin Cheh selaku ADUN Kajang bukan kerana beliau uzur atau tidak lagi berkemampuan untuk bertugas. Ia lebih merupakan satu strategi untuk mengendurkan pergolakan yang sedang melanda PKR Selangor. Bila satu pilihanraya kecil perlu diadakan, ia sudah melibatkan rakyat biasa yang mana ada antara mereka bukan ahli PKR atau ahli mana-mana parti politik. Ia seolah-olah menunjukkan bahawa PKR di Selangor sudah gagal menyelesaikan masalah dalaman yang telah melanda parti tersebut sejak sekian lama secara dalaman. Kini rakyat biasa pula yang sedang diheret untuk turut sama terlibat secara langsung bagi menyelesaikan masalah dalaman dalam PKR Selangor menerusi pilihanraya kecil. Tidakkah ini merupakan satu pembaziran wang negara?

Penglibatan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara langsung dalam politik PKR Selangor menerusi usahanya untuk bertanding sebagai ADUN Kajang turut mendedahkan PKR Selangor kepada pelbagai definasi dan spekulasi politik. Ia menunjukkan ahli politik PKR Selangor sudah gagal untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sehingga memaksa ketua umum mereka campur dengan begitu jauh sekali. Selain itu, situasi ini turut menguatkan teori yang sedang berlegar iaitu Datuk Seri Anwar sedang berura-ura untuk masuk ke bangunan Sultan Salahuddin. Maka itu sudah mula kedengaran kini iaitu Datuk Seri Anwar ingin jadi menteri besar selepas usahanya untuk menjadi perdana menteri gagal. Pendapat yang mengatakan bahawa langkah ke Putrajaya akan bermula di Shah Alam juga merupakan gula-gula politik semata-mata bagi menutup kegagalan Pakatan Rakyat khususnya PKR untuk ke putrajaya sebelum ini.

Kalau betul Datuk Seri Anwar tidak langsung berhasrat untuk menjadi menteri besar Selangor, maka DUN Kajang tidak sepatutnya dikosongkan. Kaedah yang lain yang tidak melibatkan rakyat jelata harus dicari bagi menyelesaikan polimik pergeseran politik di Selangor. Ahli politik di Selangor tidak seharusnya bersikap mementingkan diri semata-mata. Mereka sepatutnya sentiasa bersikap berlapang dada dan harus bersedia untuk berkorban demi survival politik PKR dan kerajaan negeri Selangor.

Kalau pun DUN Kajang terpaksa dikosongkan, maka calon yang sepatutnya diletakkan untuk bertanding di situ bukannya Datuk Seri Anwar. Ia seharusnya diisi oleh orang Selangor sendiri. Adakah PKR Selangor sudah benar-benar ketandusan tokoh sehingga terpaksa mengimport tokoh dari luar? Jika PKR Selangor masih mempunyai tokoh yang cukup berwibawa tetapi Datuk Seri Anwar juga yang akan menjadi calon di DUN Kajang, maka ia semakin menguatkan teori bahawa Datuk Seri Anwar sememangnya bercita-cita untuk menduduki kerusi menteri besar.

Penafian iaitu Datuk Seri Anwar bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor hanya merupakan spekulasi mungkin boleh dipercayai oleh penyokong tegar PKR sahaja. Kita perlu faham dalam situasi hari ini bukan semua pengundi merupakan penyokong tegar sesebuah parti politik. Ramai juga di antara mereka merupakan pengundi atas pagar. Mereka akan melihat pembelaan kepentingan mereka lebih dahulu daripada kepentingan politik mana-mana kumpulan siasah termasuklah PKR. Jika tidak ada hasrat untuk menjadi menteri besar, mengapa Datuk Seri Anwar harus melibatkan diri dengan politik Selangor secara langsung? Jika masalah yang timbul dalamPKR Selangor sekarang berpunca daripada Tansri Khalid dan Azmin, mengapa kedua-dua mereka tidak boleh berlapang dada dan berkorban untuk kepentingan rakyat? Mengapa rakyat jelata pula yang harus dikorbankanbagi menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh seorang dua ahli politik PKR di Selangor?

Mungkin sebelum ini sudah ada semacam persefahaman bawah kertas dalam Pakatan Rakyat mengenai jawatan ketua menteri atau menteri besar di sesebuah negeri jika negeri berkenaan dapat dikuasai oleh PR. Dalam konteks negeri Selangor mungkin satu persefahaman sudah dicapai iaitu bilamana negeri berkenaan dapat dikuasai oleh PR maka jawatan menteri besarnya hendaklah diberikan kepada PKR. Dalam melaksanakan persefahaman ini, maka dua perkara harus dipertimbangkan dengan sehalusnya. Pertamanya, PKR itu sendiri mestilah stabil, kukuh dan terhindar daripada sebarang unsur pengkhianatan khususnya dari dalam. Keduanya, tokoh yang diketengahkan sebagai calon menteri besar harus mendapat perkenan daripada ke bawah duli tuanku sultan Selangor. Tanpa perkenan baginda sukar untuk seseorang itu menduduki kerusi menteri besar.

Oleh yang demikian, walaupun sebelum ini sudah ada semacam persefahaman iaitu jawatan menteri besar akan diserahkan kepada PKR jika PR menguasai negeri tersebut, jika dirasakan perlu persefahaman tersebut harus diketepikan jika PKR sendiri tidak mampu untuk mengenengahkan tokoh setempat yang benar-benar mendapat sokongan daripada ahli partinya sendiri. Demi kelangsungan dan survival kerajaan negeri yang ada, maka adalah tidak salah bilamana calon daripada parti lain pula yang diketengahkan asalkan beliau mendapat sokongan padu daripada ahli partinya dan partinya pula berkeadaan kukuh dan stabil. Dalam konteks ini persefahaman politik yang ada harus diketepikan dahulu bagi memberi laluan kepada tuntutan semasa.

Jika kita teliti rentetan perjalanan PKR sendiri sejak 2008, ia bukanlah parti politik yang benar-benar stabil. Pada tahun 2009 pembelotan Dua orang ADUN PKR Perak telah mengakibatkan ranapnya kerajaan PR di negeri tersebut. Pembelotan seorang ADUN PKR juga berlaku di Selangor tetapi ia tidak menggugat kerajaan negeri yang sedia ada ketika itu kerana majoriti kerusinya masih kukuh. Di peringkat parlimen Persekutuan dalam tempoh yang sama juga (2008-2013), tidak kurang dari 4 ahli perlimen dari PKR telah belot. Seorang ahli parlimen PKR pula telah dipecat. Manakala yang belot dan yang dipecat pula bukannya calang-calang orang. Sebelum ini, merekalah yang begitu kuat, gah dan lantang sekali mempertahankan Datuk Seri Anwar dan PKR. Apabila pembelotan tokoh-tokoh seperti ini berlaku, maka ia turut sama menghakis kepercayaan golongan atas pagar terhadap PKR. Maka timbul cakap-cakap dalam kalangan golongan bawahan iaitu untuk menstabilkan sebuah parti politik pun Datuk Seri Anwar masih belum berjaya, bagaimana pula untuk mentadbir sebuah negara?

Usaha yang pernah diwar-warkan oleh PKR dan Datuk Seri Anwar untuk menguasai Putrajaya pada 16 September 2008 tentunya masih segar dalam ingatan. Kononnya pada tarikh tersebut golongan pentadbir di Putrajaya akan bertukar wajah. Konon khabarnya juga sekitar 30 ahli parlimen khususnya dari Sabah dan Sarawak akan melompat menyebelahi pembangkang bagi merealisasikan rancangan menguasai Putrajaya. Akhirnya apa yang berlaku? Tarikh 16 September 2008 berlalu dengan aman dan tenang. Tiada sebarang perubahan yang berlaku di Putrajaya sebagaimana yang telah diwar-warkan sebelumnya. Yang tercalar dan yang tercemar ialah reputasi PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada 16 September 2008 gagal menguasai Putrajaya, menjelang Februari 2009 pula Perak terlepas dari genggaman PR. Inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua kita, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Hingga kini war-war 16 September 2008 tetap segar dalam igauan silam. Jadi bila puak UMNO dan BN melaungkan bahawa PKR hanya menipu rakyat, kenyataan mereka semacam ada asasnya.

Dalam soal pilihanraya kecil DUN Kajang pula, ahli politik PKR menggesa agar tumpuan diberikan kepada pilihanraya kecil berkenaan. Sedangkan pada masa yang sama, rakyat jelata dan golongan atas pagar tentunya ingin tahu siapa menteri besar selepas pilihanraya kecil tersebut. Kalau pilihanraya kecil berkenaan diadakan atas sebab-sebab yang lebih munasabah seperti kematian atau perletakan jawatan yang disebabkan oleh hilang kelayakan, sudah tentulah persoalan sedemikian tidak timbul. Namun demikian, pilihanraya kecil berkenaan diadakan berpunca daripada perletakan jawatan yang berasaskan sebab yang meragukan. Ketidakmampuan untuk berkhidmat oleh bekas ADUN Kajang dilihat lebih merupakan alasan daripada sebab. Rakyat jelata benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Mereka sudah muak bila diheret sama dalam pergeseran dalaman yang wujud dalam PKR.

Peluang yang secukupnya sentiasa diberikan kepada PKR terutamanya oleh DAP dan juga PAS. Hari ini, walaupun PKR bukannya parti politik pembangkang yang mempunyai wakil terbanyak di parlimen, tetapi ketua pembangkang tetap diberikan kepada Datuk Seri Anwar. Di Selangor pula, walaupun DAP dan PAS mempunyai kelebihan kerusi daripada PKR, tetapi jawatan menteri besar tetap diberikan kepada Tan Sri Khalid daripada PKR. Sepatutnya PKR menghargai dokongan dan kepercayaan yang selama ini telah diberikan oleh PAS dan DAP dengan memastikan PKR itu sendiri stabil, amanah dan tidak menimbulkan masalah.

Sebagaimana yang saya nyatakan di atas iaitu satu perkara penting yang harus dipertimbangkan dengan seteliti mungkin ialah hak untuk memperkenankan seseorang untuk menduduki kerusi menteri besar terletak kepada ke bawah duli tuanku sultan Selangor. Sekiranya baginda tidak memperkenankan tokoh tertentu sebagai menteri besar, jangan harap orang berkenaan akan dapat menduduki kerusi tersebut. Apa yang pernah terjadi di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum ke-12 pada tahun 2008 harus benar-benar dijadikan teladan dan sempadan. Raja-raja Melayu kini pun sudah cukup bijak dan matang untuk menggunakan kuasa baginda sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negeri masing-masing. Selepas pilihanraya kecil DUN Kajang nanti, seandainya ke bawah duli tuanku sultan Selangor menitahkan agar menteri besar dalam kalangan ADUN PAS, maka semua pihak sepatutnya akur dengan titah dan kehendak baginda. Pada ketika itulah PKR seharusnya memberikan sokongan pula kepada calon yang diketengahkan sebagaimana sokongan yang telah diberikan kepada calon dari PKR sebelumnya. Sesungguhnya dalam politik tiada yang mustahil.

Saya bukannya pendokong tegar mana-mana kumpulan politik. Ke kiri pun tiedak, ke kanan pun tidak.