Sunday, March 2, 2014

Bank Islam Belum Mesra OKU Penglihatan



Pada 28 Februari (Jumaat) lalu, salah seorang kakitangan Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang juga merupakan ahli persatuan ingin membuka akaun dengan Bank Islam di cawangannya yang terletak di KL Sentral. Beliau hanya dibenarkan menggunakan buku sahaja. Beliau tidak dibenarkan untuk menggunakan kad ATM kerana beliau seorang yang tidak berpenglihatan.

Apabila saya menghubungi Bank Islam Call Center di talian 03-26900900, pegawai yang bertugas ketika itu memaklumkan bahawa Bank Islam memang tidak membenarkan pelanggan yang cacat penglihatan untuk menggunakan kad ATM atas beberapa sebab. Antaranya, bank tidak mempunyai sistem Braille yang membolehkan pelanggan cacat penglihatan menggunakan mesin ATM. Faktor seterusnya ialah lebih kepada faktor keselamatan pelanggan. Seterusnya saya mengajukan soalan, adakah ia merupakan polisi bank atau bukan. Beliau memberitahu saya, ia bukan polisi bank. Maknanya ia lebih merupakan keputusan cawangan yang berkenaan sahaja. Beliau selanjutnya mengatakan jika pelanggan cacat penglihatan ingin juga menggunakan kad ATM, maka beliau mesti membuka akaun bersama dengan seorang yang berpenglihatan yang boleh dipercayai. Akhirnya kakitangan PERTIS berkenaan membuka juga akaunnya tanpa kad ATM.

Ini bukan kali pertama pihak Bank Islam bersikap sebegini. Saya sendiri pernah mengalaminya beberapa ketika yang lalu iaitu di cawangan Bank Islam di Taman Melawati. Waktu itu saya sekadar ingin memperbaharui kad ATM saya. Kakitangan yang bertugas ketika itu (saya masih ingat lagi nama dan suaranya) ingin menamatkan kad ATM saya. Saya membantah dengan agak keras di situ juga. Akhirnya kad ATM saya tidak ditamatkan.

Saya berpendapat, keputusan cawangan-cawangan Bank Islam tertentu yang tidak membenarkan golongan cacat penglihatan menggunakan kad ATM bukanlah keputusan orang yang pandai. Sebaliknya ia lebih merupakan satu keputusan yang memandai-mandai sahaja. Di sini, saya menyambut baik jika ada mana-mana bank ingin bekerjasama untuk menjaga keselamatan wang simpanan khususnya para pelanggannya yang cacat penglihatan. Namun demikian, sekiranya ia dilaksanakan secara membuta-tuli, tanpa berbincang dengan golongan yang terlibat dan sekadar memandai-mandai, maka ia bukan lagi untuk menjaga keselamatan pelanggan. Sebaliknya ia sudah menjurus kepada satu bentuk diskriminasi kepada golongan cacat penglihatan.

Jika pihak bank merasakan golongan cacat penglihatan tidak dibenarkan menggunakan kad ATM kerana tiada sistem Braille, mengapa pihak bank tidak menyediakan sistem berkenaan? Walhal penyediaan sistem Braille seperti yang dimaksudkan bukan tanggungjawab pelanggan, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab sosial bank. Satu lagi alternatif yang ada ialah dengan mewujudkan sistem bersuara bagi semua arahan yang dipaparkan di skrin. Pelanggan seharusnya diberi pilihan iaitu sama ada untuk menggunakan tanpa sistem suara atau sebaliknya. Oleh kerana alasannya sedemikian, maka dapatlah dibuat kesimpulan awal iaitu pihak bank sememangnya tidak berhasrat untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang mesra OKU penglihatan kerana tidak menyediakan satu sistem yang membolehkan golongan berkenaan dapat akses kepada kemudahan yang disediakan secara bebas halangan dan dengan selamat.

Selaku pelanggan institusi kewangan yang mana sekalipun, secara dasarnya kita tidak mungkin bersedia untuk membuka akaun peribadi secara bersama dengan orang lain, walaupun dengan kerabat sendiri. Jadi tidak mungkin bakal pelanggan yang cacat penglihatan akan bersedia untuk membuka akaun peribadinya dengan orang lain hanya semata-mata untuk membolehkannya menggunakan kad ATM.

Lagipun, berasaskan kepada sejarah silam, tidak semestinya pelanggan yang hanya menggunakan buku akan selamat wang mereka daripada ditipu oleh orang lain, terutama pekerja bank yang tidak jujur. Saya pernah mendengar kisah kononnya ada segelintir golongan cacat penglihatan yang telah ditipu ketika mengeluarkan wang di kaunter bank beberapa tahun lalu. Natijahnya, kalau menggunakan buku semata-mata bukanlah selamat seratus peratus. Sebaliknya jika menggunakan kad ATM dan sentiasa mengikut langkah keselamatan yang sesuai, insha-Allah ia akan selamat.

Jika dirasakan perlu dan wajar, pihak Bank Islam boleh mengeluarkan satu dokumen yang memaklumkan kepada pelanggan cacat penglihatan yang ingin menggunakan kad ATM iaitu sebarang kehilangan wang berpunca daripada kad ATM mereka adalah tanggungjawab pelanggan itu sendiri. Dokumen itu seharusnya ditandatangani oleh pelanggan yang berkenaan. Satu lagi, sewaktu pelanggan cacat penglihatan ingin membuka akaun, mereka seharusnya diberi pilihan sama ada untuk mengguna kad ATM atau sebaliknya. Jika mereka ingin menggunakan kad ATM, ini bermakna mereka sudah bersedia dengan langkah keselamatan mereka sendiri dan juga bersedia untuk menanggung kemungkinan risiko yang ada. Bagi saya, adalah amat tidak wajar sama sekali pihak bank secara semberono memutuskan tidak membenarkan terus golongan cacat penglihatan menggunakan kad ATM. Walaupun selama ini tiada mana-mana bank ada memikirkan untuk mewujudkan bebas halangan kepada pelanggan mereka yang cacat penglihatan, golongan cacat penglihatan masih berupaya untuk memikirkan kaedah yang paling selamat bagi mereka selaku pelanggan bank termasuklah yang menggunakan kad ATM.

Realitinya, kewujudan golongan cacat penglihatan selaku pengguna kad ATM bukanlah sesuatu yang baru. Saya sendiri merupakan pengguna kad ATM Bank Simpanan Nasional sudah lebih daripada 23 tahun. Alhamdulillah sehingga kini tiada apa yang berlaku. Mudah-mudahan keadaan akan terus selamat hingga ke akhirnya. Saya juga merupakan pengguna kad ATM Bank Islam Malaysia Bhd sejak tahun 1999 lagi. Alhamdulillah ia juga selamat hingga kini. Bukanlah saya bertujuan riak atau membangga diri. Saya sekadar berkongsi pengalaman dan maklumat kepada pihak yang buta hati dan buta mindanya.

Dalam hal ini, rasanya tidak keterlaluan untuk saya serta golongan yang senasib dengan saya bagi mengalungkan pujian yang setingginya kepada pihak Bank Simpanan Nasional kerana sejak awal lagi tidak mewujudkan halangan kepada golongan cacat penglihatan untuk menggunakan kad ATM-nya. Walaupun tiada kalimah “Islam” pada nama BSN, tetapi dalam hal ini nampaknya ia lebih islamik terutamanya kepada golongan OKU penglihatan.

Saya amat yakin dengan sepenuhnya, Allah, Rasulullah dan Islam tidak sekali-kali bersikap diskriminasi terhadap golongan OKU, khususnya OKU penglihatan. Oleh itu, besarlah harapan kita semua agar mana-mana institusi yang menggunakan Islam sebagai namanya juga turut bersikap sedemikian. Kalau tak tahu, bertanya. Kalau tak pandai, belajar. Janganlah berbuat sesuatu perkara kononnya untuk kebaikan orang lain, tetapi oleh kerana tak tahu, tak pandai dan tidak ada sikap ingin tahu, pelaksanaannya telah menyusahkan orang lain pula.

Untuk maklumat semua, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merupakan pelanggan kepada Bank Islam.


No comments: