Sunday, March 23, 2014

Pilihanraya Kecil Kajang: Sekadar Pandangan



Hari ini, para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan keluar untuk membuang undi. Mereka akan membuat pilihan sama ada untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN)Datin Paduka Chu Mei Fun ataupun calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Pilihanraya kecil ini diadakan ekoran daripada perletakan jawatan penyandang sebelumnya, Lee Chin Cheh. Perletakan jawatan berkenaan konon khabarnya kerana ADUN sebelumnya tidak dapat lagi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ADUN. Ada juga yang menspekulasikan iaitu ia ada kaitan dengan strategi PKR untuk menenangkan suasana politik PKR di Selangor.



Gesaan pertama saya kepada para pengundi DUN Kajang, keluarlah beramai-ramai untuk membuang undi. Sama ada tuan/puan merasa selesa akan menang ataupun yang akan yakin akan kalah, keluar juga untuk membuang undi. Inilah demokrasi namanya.

Pilihanraya kecil Kajang merupakan pilihanraya kecil ketiga yang diadakan selepas pilihanraya umum ke-13 pada pertengahan tahun lepas. Dua pilihanraya kecil yang telah diadakan sebelum ini adalah disebab kan penyandangnya telah kembali ke rahmatullah. Keputusan kedua-dua pilihanraya kecil sebelum ini hanya sekadar mengekalkan statusquo yang ada sahaja. BN dapat mengekalkan kerusinya di Besut. Manakala PAS pula dapat mengekalkan kerusinya di Sungai Limau.

Manakala untuk pilihanraya Kajang hari ini pula, dari awal lagi saya menjangkakan PKR akan dapat mengekalkan kerusinya di Kajang. Datuk Seri Dr. Wan Azizah hampir pasti akan dipilih sebagai ADUN baru bagi DUN Kajang. Pelbagai faktor bakal menyumbang kepada kemenangan Datuk Seri Dr. Wan Azizah di Kajang. Kesemua faktor ini akan saya ketengahkan dalam perbincangan selanjutnya nanti.

Bagi UMNO dan BN pula, saya merasakan parti berkenaan juga maklum dan amat menyedari iaitu kemungkinan untuk menang di DUN Kajang tidaklah sebesar mana. Parti itu juga sedar iaitu berlandaskan kepada situasi yang ada kemungkinan untuk menang sememangnya tipis. Keyakinan ini bukan berasaskan kepada kenyataan-kenyataan pemimpin besar UMNO dan BN, tetapi berdasarkan kepada pendapat golongan bawahan dalam UMNO. Kalau berdasarkan kenyataan pemimpin besar UMNO dan BN, mereka sentiasa yakin akan menang walaupun nyawa politik sudah di kerongkong. Bagi saya, golongan bawahan ini lebih dekat dengan pengundi dan lebih merasai denyut nadi golongan pengundi di DUN Kajang. Manakala puak pembesar politik UMNO dan BN sekadar menerima pandangan daripada golongan strategis yang sering kali kurang memahami hakikat sebenar dan realiti hasrat pengundi di sesebuah kawasan pilihanraya. Maklumlah mereka harus melaporkan yang enak-enak sahaja kepada boss mereka!

Oleh itu, tidak keterlaluan jika saya nyatakan iaitu pilihanraya kecil DUN Kajang sekali lagi hanya sekadar akan mengekalkan statusquo yang ada sahaja. PKR hampir pasti akan dapat mengekalkan kerusinya di DUN Kajang. Hanya suasana yang benar-benar ajaib sahaja yang akan mengubah situasi yang ada.

Persoalan yang sedang bermain di minda saya masa ini ialah, sejauh mana pilihanraya kecil Kajang dapat menenangkan situasi politik PKR di Selangor? Adakah Tan Sri Khalid Ibrahim akan terus kekal selaku menteri besar di Selangor selepas PRK Kajang? Bagaimana pula dengan reaksi dan aksi Azmin Ali selepas PRK Kajang nanti?

Kepada para pengundi DUN Kajang, selamat mengundi.

Saya bukan membuat ramalan, sekadar mengutarakan pandangan sahaja.


No comments: