Monday, January 5, 2015

Pemandangan Kesan Banjir Sekitar Temerloh

Pemandangan Kesan Banjir Di Sekitar Temerloh

Siang tadi, saya sekeluarga telah ke Jengka. Sekitar jam 10.00 pagi kami telah memulakan perjalanan. Tujuannya ialah menziarahi seorang ahli keluarga yang kurang sihat. Dalam perjalanan melalui Lebuhraya Pantai Timur, kami sempat merakam pemandangan beberapa kesan banjir tempoh hari.









(Pemandangan ketika melalui LPT)


Kami turut singgah di kawasan R n R Temerloh. Sekitar dua pertiga daripada gerai di situ tidak beroperasi. Daripada salah seorang pengusaha gerai, saya dimaklumkan hentian berkenaan tidak dinaiki air tetapi rumah kebanyakan pengusaha gerai di situ yang telah dinaiki air. Jadi mereka sedang sibuk mengemaskan rumah masing-masing akibat banjir tempoh hari.


(Kawasan R n R Temerloh)


Selain itu, saya sekeluarga juga turut ke salah sebuah kampung dalam daerah Temerloh. Kampung berkenaan tidak dinaiki air tetapi ia telah terputus dengan lain-lain kawasan gara-gara kawasan sekelilingnya dinaiki air. Sekitar 13 keluarga turut menjadikan dewan orang ramai di kampung berkenaan sebagai pusat pemindahan banjir.





(Pemandangan di sekitar salah sebuah kampung di Temerloh)


Walaupun kampung berkenaan tidak dinaiki air, tetapi hampir seminggu lamanya kampung berkenaan terputus bekalan air dan elektrik. Sengsara juga dibuatnya.

Sesungguhnya bencana banjir kali ini telah menimbulkan bermacam perkara dan cerita. Yang mana patut dijadikan teladan, sama-samalah kita meneladaninya. Yang mana patut kita jadikan sempadan, sama-samalah kita menyempadaninya.

Acap kali golongan makhluk yang bernama manusia ini bersikap sombong terhadap Penciptanya. Ini kerana mereka enggan mengambil iktibar daripada pelbagai peringatan yang telah diturunkan.


Sunday, January 4, 2015

Kenangan Bersama Allahyarham Samsudin Wahab





Sebagaimana yang kita telah sama-sama maklum, Allahyarham Samsudin Wahab telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi 18 Disember yang lalu. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu. Beliau meninggal dunia dalam usia 50 tahun. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dengan 3 orang anak yang berusia antara 10 dan 3 tahun.

(Allahyarham bersama salah seorang anaknya)


Selaku rakan, tentulah kita sama-sama merasai akan kehilangan beliau. Namun demikian, Allah lebih menyayanginya. Antara orang yang paling dukacita apabila mendengar berita pemergian beliau ialah Cikgu Salmah, bekas guru beliau. Selain itu, kebanyakan rakan-rakan yang sebaya beliau juga turut merasai kehilangan dengan pemergian Allahyarham.

Sebelumnya, pada 15 Disember lalu, saya sempat menziarahi Allahyarham di hospital. Saya berada di sisi beliau sekitar 25 minit lamanya. Sebagaimana yang sudah saya catatkan sebelum ini, beliau dapat mengenali saya tatkala saya menziarahinya. Beliau juga cuba bercakap dengan saya semahunya, tetapi saya sekadar mendiamkan diri dan bercakap bila perlu dan sekadar untuk menjawab pertanyaannya yang penting. Saya berbuat demikian kerana tidak sanggup mendengar beliau terus bercakap dalam keadaan yang amat sukar. Acap kali juga saya tidak memahami butir perkataannya dan terpaksa “diterjemahkan” semula oleh adik perempuannya yang juga turut bersama di sisi beliau ketika itu.

Saya mula mengenali Allahyarham Samsudin pada tahun 1975 lagi. Tahun 1975 merupakan tahun pertama saya mula bersekolah di Princess Elizabeth School (PES) di Johor Baru. Sedangkan Samsudin sudah pun bersekolah di sekolah yang sama lebih awal lagi. Maklumlah dari segi usia, beliau lebih senior daripada saya.

Dalam kalangan rakan-rakan yang pernah sama sekolah rendah dengan beliau, Allahyarham juga dikenali dengan panggilan “Jepun”. Kalau saya tidak silap, panggilan tersebut mula dipopularkan oleh Kak rohana, salah seorang kakitangan di PES ketika itu. Ia berpunca daripada Allahyarham yang dikatakan mengetuai sekumpulan murid yang bangun tengah malam dan membuat bising. Akhirnya mereka didenda di satu kawasan iaitu padang bawah. Mulai saat itulah beliau mula dipanggil dengan nama tersebut.

Apabila kami memasuki alam sekolah menengah, saya dan beliau tinggal di asrama yang sama iaitu di SMPK Setapak. Tatkala itu saya bersekolah di St. John’s Institution, KL, sedangkan beliau bersekolah di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), Setapak. Setelah tamat SPM, Allahyarham Samsudin telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke tingkatan 6 di sekolah yang sama dengan sekolah tempat saya belajar (SJI).

Setelah tamat persekolahan, Allahyarham Samsudin telah memulakan penghidupan barunya di KL. Maklumlah sebagai seorang yang sudah biasa merantau dari kecil lagi, maka tidak menghairankan bilamana tempat seperti KL menjadi pilihan utama untuk memulakan kehidupan yang baru iaitu setelah berakhirnya zaman persekolahan. Perkara ini merupakan suatu kelaziman kepada kebanyakan lepasan sekolah dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan. Mereka akan memilih kawasan bandar terutama KL untuk mencuba nasib atau memulakan penghidupan baru.

Hubungan akrab antara Allahyarham Samsudin dengan rakan-rakannya termasuk saya sedari kecil memudahkan kami untuk saling mehami antara satu sama lain ketika mengharungi alam dewasa. Justeru, amat mudah untuk kami tinggal serumah terutama selepas tamatnya persekolahan. Saya sendiri pernah tinggal serumah sewa dengan beliau pada tahun 1992 di Batu 6 Jalan Gombak bersama 4 orang rakan yang lain. Bila serumah dengan Allahyarham, satu kelebihan ialah beliau gemar masak. Manakala saya pula gemar makan. Jadi memang kena sangat buku dengan ruas. Bila beliau habis masak, saya akan jadi testernya.

Salah satu kemahiran yang ada kepada beliau ialah dari aspek teknikal. Beliau gemar mencuba itu dan ini yang berkaitan dengan bidang tersebut. Saya masih ingat lagi, ketika kami sama-sama tinggal di asrama SMPK Setapak pada dekad 80-an lalu, Allahyarham Samsudin telah mempamirkan kreativitinya yang agak unik. Dengan menggunakan jam, bateri, pita kaset yang telah dirakam, suis, radio kaset serta wayar tertentu, beliau telah berjaya menghasilkan penggera untuk mengejutkan rakan-rakan lain daripada tidur. Jam akan ditetapkan pada waktu yang ditentukan. Bila tiba pada waktu yang telah ditetapkan, contohnya jam 5.30 pagi, suara yang telah terlebih dahulu dirakam pada pita kaset yang dipasang pada radio kaset akan berbunyi “Bangun! Bangun! Bangun! ....”. Lazimnya suara yang dirakam ialah suara beliau sendiri.

Di samping itu, semasa beliau dan rakan-rakan lain sama-sama menyewa di Klang Gate, beliau ada menghasilkan alat penggera untuk memaklumkan bahawa air kolam yang ditadah sudah penuh. Beliau menggunakan buzzer, bateri, wayar dan suis. Alat penggera berkenaan akan dipasang pada kolam tadahan. Bila air kolam mencecah ke tahap tertentu, buzzer akan berbunyi dengan kuat. Maka penghuni rumah akan bergegas ke bilik air untuk menutup paip air. Demikianlah.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Allahyarham Samsudin ialah beliau pandai mengambil hati rakan dan taulannya. Kelebihan ini memang dimilikinya sejak zaman persekolahan lagi. Kerana itu, beliau tidak mudah ambil hati dengan apa yang orang lain kata terhadapnya. Beliau biarkan ia berlalu begitu sahaja. Mungkin kerana faktor itu jugalah ramai rakan dan kenalan mudah akrab dengan beliau.

Selain itu, beliau juga akrab dengan bekas guru-gurunya. Selain Cikgu Salmah seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Allahyarham juga memang akrab dengan ramai bekas gurunya yang lain. Antaranya, Allahyarham akrab dengan Cikgu Sitinah (Datin Sitinah), salah seorang bekas gurunya yang pernah mengajar beliau tatkala Allahyarham belajar di St. John’s Institution, KL. Untuk maklumat bersama, Datin Sitinah ialah isteri kepada Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, seorang ilmuwan ternama di negara kita. Datin Sitinah juga merupakan salah seorang bekas guru saya semasa saya menuntut di tingkatan 6. Inilah antara kelebihan kalau pernah belajar di sekolah yang mempunyai program integrasi seperti SJI kerana kita akan diajar oleh guru daripada pelbagai latar belakang. Kalau saya tidak silap, Datin Sitinah pernah menziarahi Allahyarham di rumahnya di Terengganu beberapa ketika dahulu. Demikian saya dimaklumkan.

Atas sebab tertentu, Allahyarham tidak lagi betah tinggal di KL. Dengan itu, beliau telah membuat keputusan untuk berpindah terus ke negeri kelahirannya, Terengganu. Maka sekitar 10 tahun yang lalu, bermulalah kehidupan barunya bersama keluarga di negeri kelahiran beliau sendiri.

(Allahyarham bersama Cikgu Zaki dalam sesi promosi e-braille Quran di Terengganu pada Mac 2011)


Di Terengganu, beliau amat aktif dengan kegiatan dalam badan bukan kerajaan (NGO), terutamanya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Terengganu. Dengan kebolehan yang ada padanya, beliau telah dilantik selaku salah seorang guru untuk mengajar di kelas Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu yang ditaja oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu. Allahyarham terus menabur bakti di PERTIS Terengganu sehinggalah beliau tidak lagi mampu untuk melaksanakan tugasnya.

Di samping itu, Allahyarham juga pernah membuka pusat urut bagi menyara keluarganya. Namun demikian, ia tidak dapat bertahan lama lantaran kesihatannya yang tidak mengizinkan. Apa yang beliau lakukan menunjukkan usaha gigih yang pernah dilakukannya untuk hidup secara lebih berdikari tanpa terlalu bergantung kepada ihsan orang lain.

Walaupun kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi beliau terus menggagahkan dirinya untuk menyertai apa sahaja aktiviti anjuran PERTIS selagi berupaya. Selain daripada terus menjadi tenaga pengajar di kelas Alquran PERTIS Terengganu, beliau juga pernah mengikuti kursus profesionalisme anjuran PERTIS dan JAKIM yang telah diadakan pada bulan Jun 2013 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut, Terengganu.

(Allahyarham bersama rakannya ketika menghadiri satu kursus di ILIM Besut pada Jun 2013)


Sebelumnya, pada tahun 2011 iaitu ketika pasukan penyelidik E-Braille Quran Teaching Aid dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkunjung ke PERTIS Terengganu dan mengadakan promosinya di sebuah hotel, Allahyarham juga turut bersama. Khabarnya ketika itu pun kesihatannya bukanlah stabil sangat. Oleh kerana semangat yang tinggi, beliau turut sama hadir bagi memperolehi info yang dirasakan bermanfaat.

(Allahyarham mengajar salah satu kelas Alquran Braille di PERTIS Terengganu)


Apa yang saya catatkan ini bukanlah bersifat menyeluruh mengenai diri dan latar belakang Allahyarham. Ia sekadar coretan ringkas mengenai kenangan bersama Allahyarham. Oleh itu, jika ada mana-mana bahagian riwayat yang tertinggal atau yang tidak saya sertakan di sini, saya mohon banyak maaf terutamanya kepada rakan-rakan yang sebaya dengan beliau.

Sesungguhnya yang pergi seperti beliau pasti tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Apa yang tinggal hanya kenangan buat ingatan kepada kita sementara kita yang masih ada belum pergi lagi.

Untuk ke sekian kalinya, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allahyarham sentiasa berada dalam perlindungan Allah hendaknya sepanjang masa dan ditempatkan bersama-sama dengan para hamba-Nya yang beroleh rahmat dan keampunan.




Saturday, January 3, 2015

Majlis Tahlil Dan Kenduri Di Rumah Amat Onggak




Tengah hari tadi, saya sekeluarga berkesempatan menghadiri jemputan majlis bacaan surah Yasin dan tahlil serta kenduri di rumah Saudara Amat Onggak di Putra Jaya. Menurut tuan rumah (Saudara Amat Onggak), antara tujuan majlis berkenaan ialah supaya keluarga yang baru dibinanya akan sentiasa mendapat rahmat daripada Allah. Ia juga bertujuan agar kita semua (para hadirin) akan selamat daripada apa jua perkara yang tidak diingini. Beliau juga memohon agar para hadirin mendoakan semoga rumah tangganya akan kekal bahagia.



Sekitar jam 1.00 tengah hari saya sekeluarga tiba di rumah beliau. Waktu itu, beberapa orang rakan sudah pun tiba lebih awal. Khabarnya ada yang sudah tiba sebelum jam 12.00 tengah hari lagi kerana khuatir jem di Putra Jaya.

Selain Saudara Amat dan isterinya, Siti Haida, kedatangan kami juga turut diraikan oleh kedua ibu bapa pengantin lelaki serta beberapa orang ahli keluarganya yang lain. Apa yang begitu menyerlah ialah kegembiraan daripada kedua ibu bapa pengantin lelaki bila dapat melihat anak mereka ke jinjang pelamin. Sejak Sabtu lepas lagi, bila saya bertemu dengan ibu pengantin lelaki, kegembiraan beliau begitu terserlah sekali. Dalam majlis kenduri siang tadi, bapa pengantin lelaki pula menyatakan perasaan riang dan rasa suka beliau melalui kata-kata ringkasnya kepada hadirin. Alhamdulillah!



Majlis dimulakan dengan solat zohor berjemaah. Ia disusuli dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan doa. Setelah itu barulah jamuan makan tengah hari dihidangkan. Bagi saya, hidangan yang disajikan cukup menyelerakan. Khabarnya ia dimasak sendiri oleh ahli keluarga pengantin lelaki.





Pada hemat saya, ramai rakan kedua-dua mempelai yang telah hadir. Antaranya termasuklah Abdul Rahman Siva, Mohd Bukhari, Abdul Rahman Rahmat, Shafiri, Muhammad Jusoh, Muhammad Mohd Ali, Ahmad Qushairi, Norlita Hanim, Abian Jambot, Saad Karim, Ali Shafudin, Siti Huraizah, Hasbullah Junus dan keluarga, Cikgu Wan Suhaimi sekeluarga, Mohd Rosmadi sekeluarga, .... dan beberapa orang lagi.



Sekali lagi, saya serta seluruh rakan mendoakan semoga rumah tangga yang dibina oleh Saudara Amat serta Siti Haida akan berkekalan hingga ke syurga. Terima kasih juga kerana sudi mengundang kami ke majlis tahlil dan kenduri yang telah berlangsung secara sederhana tetapi kemeriahannya tetap terasa dan keberkatannya tetap ada, insha-Allah.


Friday, January 2, 2015

Kota Johor Lama






Pada 26 Disember yang lalu (Jumaat), saya sekeluarga meneruskan kunjungan kami ke lokasi bersejarah di Kota Tinggi. Kali ini tempat yang menjadi tumpuan saya ialah kota Johor Lama. Letaknya kira-kira 73 km dari Johor Baru. Sekitar jam 9.30 pagi baru kami bertolak dari hotel penginapan ke tempat yang dituju. Waktu itu pula hujan turun, kadangkala lebat dan adakalanya renyai-renyai. Kalau tidak kuat semangat, rasanya hendak saja kami berpatah balik semula ke JB. Maklumlah hujan turun tidak menentu dan sekarang musim banjir pula. Namun demikian, setelah saya memikirkan bahawa entah bila lagi kami akan dapat peluang untuk berkunjung ke tempat seperti ini, maka saya telah memutuskan agar perjalanan harus diteruskan. Di samping itu, doa dan dan harapan kepada Allah tidak pernah ditinggalkan.

Setelah meredah hujan dan tercari-cari lokasi yang dituju, akhirnya sekitar jam 11.00 pagi kami pun tiba ke tempat yang dituju. Tempatnya sunyi dan sepi. Pekan yang paling hampir dengan kota bersejarah ini ialah Pekan Teluk Sengat.

(Pekan Teluk Sengat)


Setelah memerhati kawasan sekeliling, akhirnya saya memutuskan supaya kami ke muzium Kota Johor Lama yang terletak di kawasan bekas kota itu juga. Walaupun hari Jumaat, tetapi muziumnya dibuka untuk pengunjung. Sewaktu saya tiba, hanya ada satu keluarga lain yang sedang mengunjungi muzium ini. Selepas sejam kemudian barulah ada satu bas pengunjung daripada Bandar Baru UDA, Johor.








(Antara barangan yang dipamirkan)

Di muzium ini kita akan dapat memperolehi beberapa maklumat berharga mengenai kota Johor Lama ini. Beberapa catatan penting juga ada di sini dan harus dibaca oleh mereka yang mengunjungi muzium ini. 2 orang kakitangan muzium yang bertugas amat mesar melayan kunjungan saya sekeluarga. Setiap pertanyaan saya dijawab dengan baik. Saya juga diberitahu, satu naskah manuskrip lama masih ada dalam simpanan salah seorang penduduk kampung Johor Lama tetapi orang yang berkenaan hari itu tidak di situ kerana pergi ke rumah anaknya. Saya merasa sedikit kerugian. Di samping dapat merasa beberapa bahan yang dipamirkan, saya sekeluarga juga berpeluang menonton/mendengar dokumentari yang ditayangkan.







Kota Johor Lama terletak di tepi sungai Johor dan menghadap ke Laut China Selatan. Selepas kesultanan Melayu tewas di tangan Portugis pada tahun 1511, di kota inilah antara kota dan pusat pemerintahan awal yang telah dibina bagi menggantikan Melaka yang telah ditakluk itu. Menurut catatan sejarah, kota ini telahdibina pada tahun 1540 oleh Sultan Alauddin Riayat Syah II, iaitu putera kepada Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka yang terakhir.



Sebelum membina kota ini, baginda telah terlebih dahulu membuat pusat pemerintahannya di Kota Kara tetapi ia tidak bertahan lama kerana sering diganggu dan diserang oleh Portugis dari Melaka. Manakala lokasi Kota Kara pula ialah beberapa km dari kota Johor Lama ini.

(kubu Johor Lama)


Untuk perkongsian bersama, tempat yang saya kunjungi semalam iaitu di Kampung Makam, merupakan pusat pemerintahan kerajaan Melayu Johor-Riau pada kurun ke 17. Sedangkan kota Johor Lama ini merupakan pusat pemerintahan kerajaan Melayu Johor-Riau pada kurun ke-16 iaitu sejurus selepas Melaka tewas di tangan Portugis.






Kawasan sekitarnya cukup aman dan tenteram. Amat sesuai untuk mereka yang gemar menulis memantapkan lagi ilham dan hasil tulisan mereka. Suasana kekampungan yang tenang dan sunyi sangat terasa. Udara yang cukup segar amat menyegarkan minda. Bunyi unggas seperti burung dan unggas lainnya cukup menenangkan dan merupakan halwa telinga asli yang sukar dicari. Demikianlah.

Untuk perkongsian bersama, selepas Melaka ditewaskan oleh Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Syah yang juga merupakan sultan Melaka yang terakhir telah berundur dan telah membina pusat pemerintahan di beberapa tempat. Baginda dan para pengikutnya terpaksa berpindah dari satu lokasi ke lokasi yang lain kerana sering diserang oleh Portugis. Pusat pemerintahan yang telah dibina juga ada yang musnah diserang dan dibakar oleh Portugis. Inilah balasan yang menimpa kepada seorang raja Melayu yang telah gagal menunaikan amanah dan tanggungjawabnya terhadap “hamba” Melayu yang cukup setia kepada baginda.

Sebelumnmya Sultan Mahmud SYAH MERUPAKAN SEORANG RAJA YANG MEMERINTAH sebuah empayar yang cukup terkenal dan agung di alam Melayu. Gara-gara kezalimannya terhadap hamba rakyat yang dinaunginya, akhirnya baginda ditimpa balasan sebagaimana yang termaktub dalam Waadat antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Baginda bukan sahaja hilang negeri, bahkan hidup baginda juga tak ubah seperti orang pelarian yang terpaksa lari ke sana dan ke sini dihambat tentera Portugis. Akhirnya baginda telah bersemayam di Kampar, Sumatera. Di sanalah baginda dan raja perempuan (Tun Fatimah) telah mangkat. Konon khabarnya masih ada lagi makam baginda berdua di Kampar sana.

Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah, putera baginda yang bernama Raja Ali telah ditabalkan sebagai sultan yang baru dengan gelar Sultan Alauddin Syah II. Baginda telah memerintah dari tahun 1928 hingga tahun 1564. Setelah ditabalkan sebagai sultan, Sultan Alauddin Riayat Syah II telah kembali semula ke Johor. Baginda telah membina pusat pemerintahannya di kota Kara pada tahun 1535. Namun demikian kerana sebab tertentu, baginda telah memindahkan pusat pemerintahannya di kota Johor Lama ini.

Pusat pemerintahan di kota Johor Lama ini telah berjaya bertahan hingga tahun 1587. Kota ini telah dibina dengan kubu pertahanan yang kuat. Lokasinya juga memang strategik. Maka itulah juga ia telah menjadi pusat perdagangan yang maju sehingga menimbulkan rasa kurang senang daripada Portugis di Melaka. Beberapa kali kota ini telah diserang sama ada oleh Portugis mahupun oleh Acheh. Namun demikian, oleh kerana teguh dan kukuhnya pertahanannya, kota ini berjaya bertahan untuk beberapa puluh tahun lamanya.

Pada tahun 1564, kota ini telah diserang oleh tentera Acheh. Serangan yang hebat ini mengakibatkan tentera Johor tewas dan Sultan Alauddin Riayat Syah serta seluruh kerabat baginda telah ditawan dan dibawa ke Acheh. Pada tahun yang sama juga baginda dikatakan telah mangkat. Selepas kemangkatan baginda, putera baginda telah menaiki takhta dengan gelar Sultan Muzaffar Syah II. Baginda telah membuka pusat pemerintahan yang baru di Seluyud. Kota Johor Lama ini kembali semula dijadikan sebagai pusat pemerintahan ketika pemerintahan Sultan Ali Jallah Abdul Jalil Syah (1571-1597. Baginda telah memperkukuhkan semula kota ini dan berjaya bertahan daripada serangan sama ada dari Portugis mahupun Acheh.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1587, tentera Portugis di Melaka telah melancarkan serangan besar-besaran. Kota ini telah dikepung untuk tempoh sekurang-kurangnya sebulan lamanya. Akhirnya Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah terpaksa menyerah kalah dan berundur. Serangan Portugis kali inilangsung tidak kenal ampun. Setelah berjaya menawan kota ini, seluruh kota dan kawasan sekitarnya telah dibakar hangus. Mana yang boleh dirampas, dirampas habis. Maknanya serangan kali ini merupakan usaha Portugis yang tidak inginlagi melihat kota ini hidup semula.

Walaupun kota Johor Lama telah musnah, tetapi ia tidaklah bermakna kerajaan Melayu Johor-Riau juga ikut sama musnah. Namun demikian, serangan ini telah memberi kesan jangka panjang kepada survival kerajaan Melayu Johor-Riau. Gara-gara serangan ini, kerajaan Melayu Johor-Riau tidak mampu untuk mencapai zaman keemasan sebagaimana yang pernah dicapai oleh kerajaan kesultanan Melayu Melaka sebelumnya. Serangan ini juga telah membantutkan usaha untuk bersaing khususnya dengan kuasa Portugis dan Acheh sama ada dalam aspek perdagangan, politik mahupun dalam aspek perluasan empayar.

Akibat serangan ini, maka berakhirlah zaman kerajaan Melayu yang berpusat di kota Johor Lama. Selepas dari ini, pusat pemerintahan kerajaan Johor-Riau sering berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Sekejap ia berpusat di tanah besar Johor. Ada ketikanya pusat pemerintahannya berpusat pula di kepulauan Riau. Kita harus faham, pada ketika itu tiada sempadan di antara Johor dan Riau. Bahkan kedua-dua wilayah tersebut merupakan wilayah yang satu dibawah kerajaan yang satu iaitu kerajaan Johor-Riau.

Oleh kerana hebatnya serangan Portugis pada 1587, maka tidak banyak kesan sejarah yang boleh dilihat di tapak bekas kota Johor Lama ini. Apa yang ada merupakan serpihan dan puin yang gagal dimusnahkan oleh Portugis ketika itu. Terdapat juga beberapa makam lama yang mungkin tidak sempat dimusnahkan oleh si Benggali putih itu.

Hari ini, kita hanya mampu bernostalgia dan berimbas kembali di atas bekas kota yang telah musnah. Jika dahulu di kota ini tersergam istana yang melambangkan kekuasaan dan kemegahan bangsa Melayu, tetapi hari ini di atas kota ini juga hanya berdiri sebuah muzium yang sekadar menempatkan sisa-sisa tinggalan bangsa yang semakin dilupakan.

Jika suatu ketika dahulu kota ini merupakan tempat berkumpulnya pada pedagang dan konglomerat antarabangsa, tetapi hari ini bekas kota ini sekadar menjadi tempat kunjungan para pelawat dalam kalangan orang biasa dan golongan marhaen seperti saya. Jika suatu masa dahulu kota ini dihuni oleh golongan bangsawan dan para pembesar Melayu berprofil tinggi, hari ini bekas kota ini hanya dijaga oleh kakitangan muzium berpangkat biasa sahaja. Demikianlah putaran masa yang dilalui oleh Kota Johor Lama.



Di tepi kota Johor Lama ini, mengalir tenang Sungai Johor. Walaupun secara umumnya aliran air sungai ini tenang, tetapi di dasarnya terpendam banyak kisah sejarah bangsa Melayu. Pada ketenangan aliran airnya tersimpan sejarah jatuh bangun bangsa Melayu dahulu yang seharusnya dijadikan teladan dan sempadan.





(Saya di Kota Johor Lama)


Saya dan Luqman telah menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Johor Lama yang terletak betul-betul di tepi sungai Johor iaitu ke hilir sedikit daripada kota johor Lama. Selepas solat Jumaat dan setelah menjamu selera di pekan Teluk Sengat yang letaknya tidak jauh daripada lokasi bersejarah tadi, kami pun cuba pula untuk mencari kota Pancor. Kota Pancor merupakan satu lagi pusat pemerintahan kerajaan Melayu yang terkenal. Selain kota Pancor, Kota Seluyud dan Kota Kara juga merupakan antara tempat yang pernah menjadi lokasi pusat pemerintahan kerajaan Melayu dahulu kala.

Walau bagaimanapun, usaha saya sekeluarga untuk sampai ke kota berkenaan kali ini terpaksa ditangguhkan kerana cuaca yang kurang baik. Memandangkan hujan yang turun dan juga hari semakin petang, kami terpaksa berpatah semula ke JB. Kalau bertangguh nanti takut tak lepas pula untuk kembali semula ke JB. Saya tetap berazam akan kembali semula ke daerah ini bagi meneruskan lagi menjejaki tempat-tempat bersejarah yang pernah menjadi mercu keagungan bangsa Melayu suatu ketika dahulu, insha-Allah.

Di bawah ini, saya sertakan beberapa catatan dalam bentuk imej untuk perkongsian dan rujukan bersama. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia ada manfaatnya, insha-Allah.







(pelbagai catatan)




Senarai Sultan Johor Keturunan Kesultanan Melayu Melaka:

1. Sultan Mahmud Syah I (1511-1528).
2. Sultan Alauddin Riayat Syah II (1528-1564).
3. Sultan Muzaffar Syah II (Marhum Mangkat Di Seluyud) (1564-1570).
4. Sultan Abdul Jalil Syah I (1570-1571).
5. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II (1571-1597).
6. Sultan Alauddin Syah III (1597-1615).
7. Sultan Abdullah Muayat Syah (Marhum Pulau Tambelan/Timbalan) (1615-1623).
8. Sultan Abdul Jalil Syah III (1623-1677).
9. Sultan Ibrahim Syah I (1677-1685).
10. Sultan Mahmud Syah II (Marhum Mangkat Dijulang) (1685-1699).

Setelah kemangkatan sultan Mahmud Syah II ini, maka berakhirlah kesultanan Melayu Johor-Riau dari zuriat kesultanan Melayu Melaka.

Bermula sultan Johor yang ke-11, ia berasal daripada anak cucu Tun Habab pula. Perpecahan dalam kerajaan Johor-Riau semakin kritikal bilamana Tengku Hussein (Tengku Long) dengan disokong oleh Temenggung Abdul Rahman telah memasyhurkan dirinya sebagai raja di Singapura pula. Ini membawa kepada 2 orang raja dalam sebuah empayar, iaitu Sultan Abdul Rahman di Kepulauan Riau, sedangkan Sultan Hussein pula di Singapura dan tanah besar Johor.

(Inilah pemandangan sekitar Sungai Johor masa kini)






Thursday, January 1, 2015

Sasterawan Negara Abdullah Hussain Kembali Ke Rahmatullah (Catatan Lewat)





Dukacita dimaklumkan, pada 31 Disember 2014 (Rabu), Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain telah kembali ke rahmatullah dalam usia 94 tahun. Menurut sumber berita, beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ahli keluarganya dan di rumahnya.

Antara novel terkenal Datuk Abdullah Hussain termasuklah Imam dan Konserto Terakhir. Selain itu, beliau juga merupakan penulis novel Interlok yang telah dikontrobersikan. Novel Konserto Terakhir pernah digunakan sebagai buku teks untuk Komponen Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Melayu di peringkat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Semoga roh beliau dicucuri rahmat sepanjang masa dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang mendapat keampunan Allah hendaknya.

Alfatihah ....


Pengumuman Penurunan Harga Minyak




Catatan mukadimah tahun Masihi 2015 ini saya mulakan dengan pengumuman oleh pihak berkuasa tentang penurunan harga minyak di seluruh negara. Berkuat kuasa tengah malam tadi (1 Januari 2015), harga minyak di seluruh negara telah diturunkan. Bagi rhon95, ia telah diturunkan dari RM2.26 kepada RM1.91, turun sebanyak 35 sen. Bagi disel pula, ia telah diturunkan dari RM2.23 kepada RM1.93, turun sebanyak 30 sen. Manakala bagi rhon97 pula, harganya telah diturunkan dari RM2.46 kepada RM2.11, turun sebanyak 35 sen.

Oleh itu, selaku rakyat Malaysia, kita harus berterima kasih kepada kerajaan yang ada kerana sudi juga menurunkan harga minyak. Bak kata pepatah entah dari mana, yang ada itu lebih baik daripada tiada. Ataupun, lewat itu lebih baik daripada langsung tiada. Kalau kerajaan tidak turunkan harga minyak, siapa lagi yang akan turunkan harganya!

Selaku pengguna, kita seluruh rakyat Malaysia sedang dididik untuk membeli minyak mengikut harga pasaran semasa. Ia bermakna, harga minyak tidak akan tetap di satu-satu takuk untuk jangka masa yang lama. Harganya akan berubah tanpa mengira masa kerana ia amat terikat dengan harganya di pasaran antarabangsa. Masa kini, oleh kerana harga minyak dunia sudah turun, maka sama ada seronok atau sebaliknya, harga minyak di negara kita pun harus diturunkan.

Walau bagaimanapun, semua orang sudah maklum, harga minyak dunia bukannya turun berkuat kuasa 1 Januari 2015. Harganya sudah pun menjunam turun sejak beberapa bulan yang lalu. Jadi hendak dikatakan betul-betul ikut harga pasaran pun tak kena juga. Agaknya kalau harga semasa minyak dunia naik hari ini, tak sampai lusa harga minyak negara pun akan naik juga?

Sewaktu harga minyak di negara kita tinggi, pelbagai harga barangan lain turut sama meningkat. Alasannya mudah, kenaikan harga minyak telah mengakibatkan peningkatan pelbagai kos. Alasan yang diberi semacam ada rasionalnya.

Sekarang harga minyak sudah turun dengan agak besar jumlahnya. Ini juga bermakna pelbagai kos yang dikatakan telah meningkat sebelum ini ekoran kenaikan harga minyak sepatutnya turut sama turun. Persoalannya, adakah harga barangan di negara kita akan turut sama turun seiring dengan penurunan harga minyak? Hanya pengguna sahaja yang mampu menjawabnya. Berdasarkan trend kuasa pengguna di negara kita, jika harga barangan tidak turun, mereka pun tidak bolehbuat apa-apa. Hanya yang termampu dilakukan ialah mengeluh, mengeluh dan mengeluh. Itu sahaja.

Pada hemat saya, harga barangan tidak akan turun sepertimana yang diharapkan selaras dengan penurunan harga minyak. Dengan erti kata lain, untuk harga barangan naik ia sangat mudah. Tanpa disuruh ia akan naik sendiri. Tetapi untuk menurunkan harga barangan yang telah naik, ia teramat sukar walaupun hanya penurunan satu sen. Sebab itulah acap kali juga pihak yang berkuasa terpaksa menggunakan anggota penguat kuasa untuk memastikan agar harga barangan terpilih tidak dinaikkan. Itu pun hanya berlaku dalam musim tertentu sahaja.

Akhirnya siapa yang akan menanggungnya? Pengguna juga!!!