Friday, July 30, 2010

Bicara Jumaat

Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang




Daripada Abdullah bin Amr (R.A.) berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Bahawasanya Allah S.W.T. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah S.W.T. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulamak. Maka apabila sudah ditiadakan ulamak, orang ramai akan memiliih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.
(Diriwayatkan oleh Muslim).

Sekarang ini alim ulamak sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku pada alim ulamak. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari alim ulamak. Maka pada masa itu, sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah hilang nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim ulamaklah yang telah memberikan makna dan erti pada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila sudah pupus alim ulamak, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini, kita telah lihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya dengan zaman yang dikatakan oleh Rasulullah S.A.W. itu tadi di mana bilangan alim ulamak hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang akan meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.




(Sumber: Buku Hadith Akhir Zaman, oleh Ustaz Ahmad Zamzam Albanjari, lihat hadith yang keempat).

Sunday, July 25, 2010

Terima Kasih Kepada Ahli PERTIS

Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada para pengunjung blog ini kerana saya gagal mengemas kini kandungan blog ini terutamanya pada hari Jumaat lalu. Dalam posting saya pada 21 Julai lalu, saya ada memberitahu bahawa saya akan memaklumkan mengenai hala tuju saya dalam kepimpinan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) sebelum solat Jumaat pada 23 Julai lalu. Namun begitu, saya gagal melakukannya oleh kerana saya memang tiada langsung kesempatan untuk saya berbuat demikian. Pada waktu itu, masa saya memang sepenuhnya digunakan untuk membuat dan memantau pelbagai persediaan terakhir untuk penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Ke-15 pada keesokan harinya.

Sebenarnya, saya telah memutuskan untuk bertanding jawatan Yang Dipertua PERTIS pada pagi Jumaat lalu. Keputusan tersebut saya ambil setelah saya mempertimbangkan pelbagai faktor dan situasi terkini di antara PERTIS dan saya. Selain itu, keputusan sedemikian juga saya ambil apabila saya dimaklumkan bahawa setakat saat itu tiada sesiapa pun yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan berkenaan. Namun demikian, sepertimana yang telah saya nyatakan di atas, saya tiada langsung kesempatan untuk memaklumkannya menerusi blog ini. Perlu saya tegaskan di sini, keputusan yang telah saya ambil itu sama sekali tidak dipengaruhi oleh pelbagai cadangan, sokongan, apatah lagi Sedikit Desakan daripada pihak-pihak tertentu ke atas saya supaya bertanding jawatan YDP PERTIS.

Pada pagi Sabtu (semalam), mantan YDP, Cikgu Mohamed Ismail, memaklumkan kepada saya bahawa beliau baru sahaja menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan YDP. Beliau juga baru mengetahuidaripada orang lain bahawa saya juga telah menghantar borang pencalonan. Setelah melalui sedikit perbincangan, akhirnya Cikgu Mohamed telah membuat pengumuman iaitu sejurus sebelum pengundian dilakukan bahawa beliau telah menarik diri daripada mempertahankan jawatan YDP yang telah disandangnya selama 6 tahun. Sebab itulah saya telah memenangi jawatan YDP PERTIS tanpa bertanding. Untuk maklumat bersama, dari sejak PERTIS sekarang ditubuhkan pada tahun 1996, saya merupakan YDP PERTIS yang keempat.

Di sini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan YDP, Cikgu Mohamed Ismail, di atas perkhidmatan dan sumbangannya sepanjang beliau terlibat dalam barisan kepimpinan PERTIS. Sebelumnya beliau pernah menjadi Pengerusi PERTIS Terengganu sebelum menyandang jawatan YDP PERTIS Pusat selama 6 tahun. Saya penuh yakin, Cikgu Mad tidak akan menyepi daripada PERTIS walaupun kini beliau tidak lagi terlibat secara langsung dalam kepimpinan persatuan ini. Sememangnya kami, iaitu barisan kepimpinan PERTIS sekarang, amat memerlukan sokongan, dokongan serta perkongsian pengalaman dan pengetahuan daripada orang seperti Cikgu Mohamed Ismail.

Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada seluruh ahli PERTIS yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-15 semalam kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi YDP PERTIS. Sekiranya apa yang saya lakukan nanti baik, betul dan selari dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya, maka saya memohon sokongan yang tidak berbelah bagi daripada seluruh warga PERTIS, dan, sekiranya apa yang saya lakukan nanti salah, bercanggah dan tidak selari dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya, maka hendaklah ada antara warga PERTIS yang menegur saya, dan sekiranya saya teruskan juga melaksanakan apa yang salah itu, jangan sekali-kali memberi sokongan kepada saya.

PERTIS adalah landasan dakwah kita.

Thursday, July 22, 2010

Kami Kelihatan Macam Pengemis Ke?

Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku ke atas saya dan isteri kira-kira 6 atau 7 tahun yang lalu. Suatu hari, tatkala memeriksa peti surat di luar rumah, isteri saya menemui sepucuk surat yang antara lain memohon sumbangan derma untuk kebajikan penduduk di taman perumahan tempat kami tinggal. Surat itu juga lengkap dengan senarai nama dan alamat mereka yang boleh dihubungi atau ditemui untuk menghulurkan sumbangan. Saya dan isteri pun memutuskan bahawa kami akan menghulurkan sumbangan walaupun tidak seberapa.

Saya masih ingat lagi, beberapa hari kemudian, bila kami ada kelapangan, kami berdua pun pergilah ke salah sebuah rumah yang mana alamatnya tertera dalam surat rayuan derma tersebut. Kebetulan pula rumah berkenaan tidaklah berapa jauh dari rumah saya. Setibanya kami ke rumah berkenaan, kami dapati pintu rumahnya terbuka sedikit. Isteri saya dapat melihat dengan jelas seorang lelaki sedang berbaring di bahagian ruang tamu.

Saya pun memberi salam. Salam tidak dijawab. Saya beri salam lagi. Masih tidak dijawab. Saya bertanya kepada isteri saya, adakah orang berkenaan sedang tidur. Isteri saya memberitahu, orang berkenaan hanya baring-baring sahaja. Lalu kami berdua pun memberi salam lagi. Pintu rumah masih tidak berubah kedudukannya, macam tadi juga. Akhirnya yang terbuka bukannya pintu rumah si hamba Allah yang ini, tetapi pintu rumah seorang dua jirannya yang lain.

Melihatkan keadaan yang semakin tidak selesa, akhirnya saya memutuskan agar sampul surat yang berisi wang yang tak seberapa tersebut diselitkan sahaja pada wiper kereta volvonya. Dalam hati saya tertanya juga, mengapa si hamba Allah berkenaan enggan membuka pintu rumahnya? Bukankah namanya selaku mereka yang boleh menerima derma bagi pihak tertentu tertera dalam surat rayuan sumbangan yang dihantar ke serata rumah di taman perumahan ini? Tidak terpandangkah beliau sampul surat yang tergenggam erat di tangan saya?

Agaknya, orang berkenaan enggan membuka pintu rumahnya kerana mungkin berpersepsi si buta yang datang ini adalah seorang pengemis dan isteri saya pula dianggap sebagai orang yang membantu si pengemis buta ini. Kalau pun yang datang si pengemis, salahkah kalau salam yang diberi dijawab dengan baik? Salahkah kalau beliau bertanya dahulu tentang tujuan kedatangan saya? Mengapa beliau harus mematikan dirinya sebegitu rupa sebelum beliau benar-benar mati? Kalau pun beliau lupa bahawa Allah itu Maha Melihat, lupakah beliau bahawa saya datang bersama-sama dengan orang yang berpenglihatan seperti beliau juga?

Bagi saya yang sudah lali dengan keadaan sedemikian, kejadian sebegini tidaklah mendatangkan apa-apa kesan. Tetapi saya kasihan dengan isteri saya kerana harus melalui dan merasai pengalaman sebegini hanya kerana suaminya buta. Sewaktu berjalan meninggalkan rumah si hamba Allah itu, saya bertanya kepada isteri saya, Bagaimana perasaannya dengan kejadian sebentar tadi? Kata isteri saya, beliau semakin memahami persepsi masyarakat terhadap orang seperti saya. Demikianlah antara liku-liku hidup yang sering saya dan rakan-rakan senasib harus tempuhi.

Saya bukan mencari simpati, hanya sekadar berkongsi realiti.

Wednesday, July 21, 2010

Sekadar Makluman

Sebagaimana yang kita mungkin telah tahu, khususnya para ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan islam Malaysia (PERTIS), pada 24 Julai nanti, Persatuan ini akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya kali ke-15. Mungkin agenda yang bakal mendapat perhatian daripada semua ahli nanti ialah di mana dalam mesyuarat agung kali ini akan diadakan pemilihan untuk Ahli Jawatankuasa Pusat PERTIS untuk sesi 2010-2011/12 bagi semua posisi, iaitu dari jawatan Yang Dipertua hinggalah ke jawatan AJK biasa.

Semenjak beberapa minggu yang lalu, saya mula menerima pertanyaan dari rakan dan taulan, sama ada saya akan mempertahankan jawatan Naib Yang Dipertua yang sedang saya sandang sekarang, atau adakah saya akan berubah posisi, atau adakah saya tidak akan bertanding apa-apa jawatan pun. Sejak 2 3 hari ini, pertanyaan, cadangan serta sokongan semakin kerap saya terima menerusi pelbagai saluran komunikasi yang ingin mengetahui pendirian dan arah tuju saya dalam mesyuarat agung itu nanti.

Untuk pengetahuan bersama, setakat ini, saya masih mempertimbangkan dengan seteliti mungkin mengenai kedudukan serta arah tuju yang akan saya ambil dalam mesyuarat agung itu nanti. Banyak perkara yang perlu saya perhalusi sebelum saya membuat apa-apa jua keputusan muktamad.

Antara perkara yang sedang saya perhalusi sebelum saya memuktamadkan pendirian saya ialah, adakah gaya kepimpinan saya selama ini sememangnya diterima oleh para ahli PERTIS di semua peringkat? Adakah saya masih punya hutang dengan PERTIS, sama ada hutang yuran tahunan, hutang yuran mesyuarat agung yang lepas-lepas, atau apa sahaja bentuk hutang lain? Bagi saya, tiada gunanya saya menjadi pemimpin walaupun yang akan saya pimpin itu hanyalah sebuah NGO yang kecil jika perkara hutang saya sendiri pun gagal saya selesaikan. Jika demikianlah yang berlaku, bagaimana pula saya akan menyelesaikan masalah ahli dan NGO itu sendiri yang saya kira lebih besar? Ada dua tiga perkara lagi yang sedang saya pertimbangkan dengan teliti sebelum saya dapat mengambil keputusan yang muktamad.

Kepada para ahli yang telah mengajukan pertanyaan, cadangan dan juga sokongan untuk saya, berbanyak-banyak terima kasih saya ucapkan. Insha-Allah, saya akan membuat keputusan muktamad pada hari Jumaat ini dan jika berkesempatan saya akan maklumkan pendirian dan keputusan saya itu sebelum solat Jumaat ini menerusi blog ini.

Sekian, terima kasih

Tuesday, July 20, 2010

Menghadiri Majlis Israk Mikraj Anjuran PERTIS Pahang

Pada 18 Julai (Ahad) lalu, saya telah menghadiri majlis sambutan Israk Mikraj anjuran Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) negeri Pahang. Majlis telah berlangsung di pejabat PERTIS Pahang diMambang Brulang, Mentakab. Selain selaku Naib Yang Dipertua PERTIS pusat, saya juga merupakan penyelaras bagi PERTIS Pahang.



Sekitar jam 10.00 pagi, saya sekeluarga tiba di pejabat PERTIS Pahang dari Kuala Lumpur. Saya dapati, para hadirin sudah ramai juga yang tiba. Antara yang tiba lebih awal daripada saya ialah penceramah jemputan yang tidak asing lagi, Ustaz Hamdan Yusi Yusuf, seorang penceramah yang cukup tersohor terutamanya di sekitar Pahang.



Sekitar jam 10.15, majlis pun bermula. Ia dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, En. Md Sihab yang juga merupakan Naib Pengerusi PERTIS Pahang. Kemudian ia diteruskan lagi dengan bacaan doa oleh Pak Ngah Singah, seorang yang berpenglihatan dan juga merupakan bilal di Kampung Chatin. Setelah itu, bacaan ayat-ayat suci Alquran pula diperdengarkan.



Majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi PERTIS Pahang, En. Bidin bin Md Ali. Beliau sekadar mengalu-alukan kehadiran para hadirin, kehadiran penceramah dan juga kehadiran saya selaku NYDP PERTIS Pusat.



Setelah itu, majlis diteruskan pula dengan ucapan daripada saya sendiri. Saya mengambil peluang dalam ucapan tersebut untuk memaklumkan perkembangan-perkembangan terkini mengenai Mesyuarat Agung Tahunan PERTIS Kali Ke-15 yang akan berlangsung pada 24 Julai nanti. Selain itu, saya juga turut berkongsi maklumat mengenai perkembangan terkini yang lain mengenai PERTIS. Ini penting agar para ahli PERTIS khususnya yang ada di Pahang mendapat berita sahih terus daripada pihak Pusat. Ia juga bertujuan untuk membiasakan kepada para ahli PERTIS supaya sentiasa memperoleh berita yang tepat dengan cara yang betul. Ia sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada suka mendengar khabar angin, apatah lagi daripada sumber yang tidak sah atau daripada sumber yang hanya gemar membuat spekulasi semata-mata.



Setelah itu, Ustaz Hamdan pula mengambil giliran bagi menyampaikan ceramahnya. Dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai slate & Stylus dapat juga saya mencatat isi-isi penting ceramah yang disampaikan oleh beliau. Bagi saya, cara Ustaz Hamdan menyampaikan ceramahnya ada keistimewaan yang tersendiri. Beliau amat peka dengan kategori audien yang mendengar ceramahnya. Maka itulah ceramahnya menarik, mudah difaham dan tidak menjemukan.



Antara isi penting ceramah Ustaz Hamdan ialah, hidup ini ialah sekadar antara azan dan solat sahaja. Maksudnya, bila kita solat di masjid atau surau, bila masuk sahaja waktu bilal akan melaungkan azan. Tidak lama kemudian, solat pun didirikan. Maka ruang masa antara azan dan solat itulah usia sebenar kita. Maksud kedua ialah, bila kita lahir sahaja, maka kita akan diazankan. Bila kita meninggal dunia, orang lain akan solatkan jenazah kita.



Ustaz Hamdan juga meminta para hadirin supaya sentiasa menjaga 7 perkara sunat yang amat dijaga oleh Rasulullah, iaitu, sentiasa berwudhu’ (dalam air sembahyang), kerap membaca Alquran, kerap solat malam, banyakkan beristighfar (meminta ampun kepada Allah), banyakkan solat sunat dhuha, banyakkan bersedekah dan kerap berpuasa sunat.



Selain itu, Ustaz Hamdan juga turut menyelitkan beberapa iktibar yang boleh diambil daripada beberapa kejadian yang ditemui oleh Rasulullah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Ini termasuklah mengapa arak itu diharamkan, peranan kaum Yahudi pada masa depan dan sebagainya.



Seperti biasa, sebelum mengakhiri ceramahnya, Ustaz Hamdan akan memberikan peluang kepada hadirin untuk bertanyakan sebarang soalan kepadanya. Peluang telah dimanfaatkan dengan baik oleh para hadirin.

Saya pernah menulis sedikit mengenai Ustaz Hamdan dalam posting pada awal tahun ini. Beliau merupakan seorang pegawai yang bertugas di pejabat agama Islam daerah Kuantan. Walaupun Ustaz Hamdan seorang yang berpenglihatan, namun keakrabannya dengan PERTIS, khususnya PERTIS Pahang memang tidak dapat disangkal lagi. Beliau merupakan antara orang berpenglihatan yang menjadi Ahli Seumur Hidup PERTIS. Sumbangan beliau kepada PERTIS dan juga pertolongan beliau kepada sebilangan ahli PERTIS khasnya di Pahang memang sudah tidak terkira lagi. Demikian bakti yang sentiasa dicurahkan oleh Ustaz Hamdan kepada PERTIS dan ahli-ahlinya.



Di sini, saya ingin mengucapkan syabas khususnya kepada Pengerusi PERTIS Pahang, En. Bidin bin Md Ali. Setelah memimpin PERTIS Pahang untuk beberapa tahun, saya dapat merasakan banyak perubahan yang telah berjaya beliau lakukan untuk faedah dan manfaat golongan cacat penglihatan yang beragama Islam di Pahang. Banyak aktiviti yang telah dan sedang dilaksanakan. Selain daripada majlis-majlis bersifat semasa seperti majlis Israk dan Mikraj, antara aktiviti tetap yang sedang dijalankan termasuklah belajar mengenali huruf-huruf Alquran Braille yang diadakan pada setiap hari Ahad. Manakala pada setiap pagi Sabtu pula diadakan kelas menghafaz Alquran. Walaupun taraf pendidikan En. Bidin tidaklah setinggi mana, tetapi ia sama sekali tidak menghalang beliau daripada berusaha keras untuk meningkatkan ikatan ukhwah dalam kalangan ahli-ahli PERTIS Pahang menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan. Walau apa pun rintangan yang datang, En. Bidin tidak pernah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mengatasinya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, En. Bidin bukanlah orang yang banyak bercakap tetapi beliau seorang yang kuat bekerja dan berusaha.

Sunday, July 18, 2010

Ke Arah Pelaksanaan Pengurangan Subsidi: Antara Kesan Dan Harapan

Pada 16 Julai (Jumaat), akhbar-akhbar telah menyiarkan berita mengenai pengurangan subsidi untuk petron RON 95, disel, LPG serta gula. Manakala bagi RON 97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik. Berikut adalah sedutan kecil daripada apa yang tersiar di akhbar semalam:


PUTRAJAYA 15 Julai – Kerajaan hari ini mengumumkan subsidi petrol RON 95 dan diesel dikurangkan 5 sen seliter manakala LPG dikurangkan 10 sen sekilogram berkuat kuasa esok. Ini bermakna petrol RON 95 dijual pada harga RM1.85 seliter, diesel RM1.75 seliter manakala LPG, RM1.85 sekilogram. Petrol RON97 pula tidak lagi diberikan subsidi dan harga akan tertakluk kepada apungan secara terkawal dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan di sini turut mengumumkan pelarasan harga gula sebanyak 25 sen sekilogram menjadikan RM1.90 sekilogram.

“Ini sebahagian daripada Program Rasionalisasi Subsidi. Penyelarasan semula harga barang ini akan membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya melebihi RM750 juta untuk tahun ini.


“Walaupun begitu, setelah harga barang ini diselaraskan, kerajaan masih lagi membelanjakan lebih kurang RM7.82 bilion setahun untuk subsidi bahan bakar dan gula,” jelasnya.


(Sumber: Utusan Online, 16 Julai 2010).

Barang perlu diingat bahawa kesemua barangan yang telah dikurangkan subsidi merupakan barang keperluan semua orang, terutamanya petrol. Kenaikan harga petrol walaupun 1 sen akan mengakibatkan harga barangan lain turut sama naik. Alasannya mudah sahaja, kenaikan harga petrol menyebabkan kos pengangkutan naik. Semua barangan lain diedarkan ke seluruh negara melalui sektor pengangkutan. Walaupun ada jaminan daripada beberapa persatuan pengangkutan komersial untuk tidak menaikkan harga sektor pengangkutan, tetapi realitinya ia tidak berlaku. Kebiasaannya walaupun harga sektor pengangkutan tidak dinaikkan, pihak lain pula yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan kos masing-masing dengan alasan kos sudah meningkat. Hal seperti ini memang sukar untuk dibendung.

Namun begitu, kita tidak boleh lari daripada menerima kesan negatif terutama untuk jangka pendek hasil pengurangan subsidi berkenaan. Kumpulan yang paling terasa dengan pengurangan subsidi berkenaan ialah mereka yang bekerja sendiri dan tinggal di luar bandar. Walhal, kumpulan inilah yang merupakan golongan yang sering memberikan undi mereka kepada kerajaan dalam setiap pilihanraya. Sepatutnya pihak kerajaan terlebih dahulu perlu mencari mekanisme tertentu agar kumpulan ini tidak merasai kesan buruk dan beban ekoran daripada pengurangan subsidi berkenaan.

Untuk mengelakkan rakyat asing daripada terus menikmati harga subsidi, kerajaan sepatutnya mengadakan peraturan agar setiap pengguna yang membeli barangan yang disubsidi haruslah menunjukkan kad pengenalan masing-masing sebagai tanda bahawa pembeli tersebut adalah rakyat tempatan. Saya rasa, menunjukkan kad pengenalan lebih mudah daripada untuk menunjukkan kad nikah. Lagipun, semua rakyat harus membawa kad pengenalan masing-masing ke mana-mana sahaja mereka pergi. Jika pembeli itu rakyat Malaysia, maka mereka wajar untuk membeli dengan harga subsidi. Sebaliknya jika pembeli itu bukan rakyat tempatan, maka mereka harus membayar mengikut harga pasaran yang boleh ditentukan dari semasa ke semasa. Sudah tentulah kaedah ini memerlukan kerjasama daripada semua peniaga di semua peringkat. Mana-mana peniaga yang engkar, dakwa sahaja mereka dengan mana-mana peraturan yang sedia ada, atau jika perlu, wujudkan peraturan baru yang membolehkan peniaga yang berkenaan boleh didakwa di atas kesalahan seperti yang tersebut. Jika kerajaan tidak cukup kakitangan untuk menguatkuasakan peraturan tersebut, tambah saja kakitangan baru. Dengan cara ini, ia bukan sahaja akan menambah pekerjaan untuk rakyat kita, ia sekaligus akan mengurangkan statistik pengangguran dalam kalangan penduduk negara ini.

Antara sebab kerajaan mengurangkan subsidi ialah untuk menghalan rakyat asing daripada menikmati harga subsidi sebagaimana yang dinikmati oleh rakyat tempatan. Walau bagaimanapun, jika pengurangan tersebut tidak disusuli dengan mekanisme yang sesuai bagi membolehkan rakyat tempatan terus menikmati subsidi yang sedia ada, maka apa yang berlaku ialah rakyat tempatan dan asing perlu membayar harga yang sama selepas pengurangan subsidi. Jadi, di sini tiada bezanya antara rakyat tempatan dengan asing. Kedua-dua golongan harus membayar harga yang sama setelah subsidi dikurangkan. Agaknya inilah yang dikatakan, kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.

Dari satu segi, saya bersetuju bahawa kita tidak selamanya boleh hidup dengan subsidi sahaja. Akan tiba masanya di mana subsidi yang diberi perlu ditarik kembali bagi tujuan untuk dihalakan kepada perbelanjaan yang lebih bermanfaat untuk semua. Lagipun, masyarakat kita sudah lama menjadi masyarakat subsidi sehingga ramai yang merasakan bahawa subsidi adalah sebahagian daripada kehidupan kita dan amat sukar untuk dipisahkan. Sama macam rasuah juga, oleh kerana ia berleluasa maka ia juga sangat sukar dipisahkan daripada mereka yang sering terlibat.

Saya turut bersetuju dengan pandangan Yang Berbahagia Datuk A. Kadir Jasin mengenai pengurangan subsidi ini. Beliau antara lain menulis dalam blognya:


Elok juga kita berdikari. Bila kita tak bergantung sangat kepada kerajaan dan kerajaan pun tak bagi banyak sangat bantuan, kita lebih bebas buat keputusan bila sampai masa mengundi.

Inilah antara sebab mengapa orang Cina lebih mirip sokong pembangkang daripada sokong kerajaan. Sebagai taiko, peniaga dan pekerja profesional, orang Cina lebih berdikari, jadi mereka tidak berasa terhutang budi kepada kerajaan. Justeru itu, mereka tidak berasa bersalah tidak mengundi parti kerajaan.

Saya rasa orang Melayu pun kena lebih berdikari. Susah memang susah. Tapi kalau tak mula dan tak cuba, kita tak tahu keupayaan kita.


(Sumber: www.kadirjasin.blogspot.com dan lihat posting bertajuk “Dinamisme Politik, Kepenggunaan dan Pilihan Raya” bertarikh 16 Julai 2010).

Ini bermakna, mahu tidak mahu, suka tidak suka, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu harus memulakan langkah supaya lebih berdikari dalam semua aspek kehidupan. Kita harus bersedia untuk keluar secara perlahan-lahan dari kepompong subsidi. Lagipun, waktu pilihanraya dan masa kita mengundi dalam keadaan tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak, pilihan dan undian kita itu akan lebih rasional dan lebih berpertimbangan.

Bagi saya, dalam melaksanakan pengurangan subsidi, adalah kurang wajar bilamana kerajaan membuat pengurangan subsidi ke atas beberapa barangan keperluan secara serentak. Sesiapa pun akan terkejut dibuatnya. Pengurangan subsidi terhadap beberapa barangan keperluan secara serentak juga bakal mengakibatkan harga barangan lain akan naik secara mendadak dan mungkin juga sukar dikawal. Sepatutnya kerajaan harus membuat pengurangan terhadap satu barang terlebih dahulu untuk satu tempoh jangka masa. Setelah itu, barulah pengurangan subsidi dilakukan ke atas barangan kedua pula. Begitulah seterusnya. Di antara tempoh jangka masa pengurangan subsidi itu, pihak kerajaan boleh memantau kesan serta reaksi pelbagai pihak mengenai pengurangan subsidi yang telah dilaksanakan. Sekiranya reaksi rakyat jelata positif dan kesannya pula memuaskan, maka kerajaan bukan sahaja boleh melaksanakan pengurangan subsidi untuk barangan berikutnya, bahkan nilai subsidi yang dikurangkan itu pula boleh ditingkatkan lagi.

Selain itu, kerajaan juga sepatutnya mendidik rakyat jelata mengenai kesan buruk yang bakal ditanggung oleh negara dalam tempoh jangka panjang jika rakyat jelata terus-terusan menjadi warga subsidi. Pendidikan sebegini pula harus berjalan secara berterusan tanpa henti. Maklumlah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada insan bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan masa yang panjang pula. Bila semakin ramai rakyat mula sedar kesan negatif ke atas pemberian subsidi yang besar untuk jangka panjang, maka pengurangan subsidi akan lebih mudah untuk dilaksanakan. Jika semua rakyat mempunyai tahap kesedaran yang sama mengenai kesan negatif ke atas pelaksanaan subsidi, ada kemungkinan rakyat pula yang akan memohon agar kerajaan mempercepatkan lagi pelaksanaan pengurangan subsidi tersebut. Dalam pendidikan di sekolah, kalau seseorang murid itu tidak pandai juga, maka gurulah yang akan dipersalahkan.

Seperkara lagi, Saya berpendapat, mentadbir negara tidak sama macam mentadbir sesebuah konglomerat. Bagi sesebuah konglomerat, perkara dan agenda yang terpenting sekali ialah keuntungan. Oleh itu, para pengurus akan berusaha keras bukan sahaja untuk mengelakkan kerugian, tetapi keuntungan tahunan konglomerat berkenaan mesti ditingkatkan. Kadangkala, dalam menjayakan misi peningkatan keuntungan ini, seringkali kebajikan pekerjanya terabai. Sesuaikah kaedah yang sama juga diaplikasikan ke atas pentadbiran negara?

Bagi saya, bila mentadbir negara, keutamaan sepatut diberi kepada kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan setiap rakyat. Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh setiap warganegara. Pelaksanaan pengurangan subsidi yang kurang berhemah hanya akan mengelirukan rakyat. Rakyat mungkin akan keliru mengenai matlamat sebenar yang ingin dicapai oleh kerajaan menerusi pelan pelaksanaan pengurangan subsidi, iaitu penjimatan atau keuntungan.

Dari aspek politik pula, saya penuh yakin pengurangan subsidi tidak akan mengakibatkan pengurangan undi kepada kerajaan sekarang. Ini berdasarkan kepada 2 sifat yang sering ada kepada masyarakat kita, khususnya orang Melayu, iaitu mudah terpedaya dan mudah lupa. Orang kita memang mudah terpedaya dengan janji-janji politik. Selain itu juga, orang kita juga mudah lupa dengan apa yang telah dijanjikan oleh orang-orang politik. Lagipun, bagi saya, penurunan jumlah undi yang telah diperolehi oleh kerajaan sekarang dalam pilihanraya umum tahun 1999 dan tahun 2008 tidak didominasi oleh faktor pelaksanaan pengurangan subsidi. Ia lebih disebabkan oleh faktor politik semasa waktu pilihanraya umum itu diadakan.

Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya sekadar melontarkan pandangan sahaja.

Thursday, July 15, 2010

Kami Bukan Orang Istimewa

Kami Bukan Orang Istimewa

Hari ini, kita sama-sama dapat mendengar pelbagai istilah digunakan yang dimaksudkan kepada golongan orang kelainan upaya (OKU). Istilah yang biasa dan umum didengar dan digunakan ialah “orang cacat”. Antara istilah lain yang biasa digunakan termasuklah orang kurang upaya, golongan bermasalah penglihatan (jika cacat penglihatannya), orang buta/pekak/bisu, golongan istimewa, dan macam-macam istilah lagi. Persoalannya, sesuaikah kesemua istilah berkenaan untuk digunakan bagi maksud ditujukan kepada golongan cacat?

Ada yang berhujah, istilah-istilah sedemikian digunakan untuk menjaga hati golongan berkaitan. Ia juga bertujuan supaya golongan berkenaan tidak bersikap rendah diri lantaran kecacatan yang dialami. Bagi saya, jika istilah-istilah yang digunakan berlebih-lebihan, apa yang terserlah nanti ialah sikap hipokrit masyarakat terhadap golongan berkenaan. Harapkan istilahnya sahaja yang manis, tetapi realiti kehidupannya pahit bak hempedu.

Bagi saya, secara terus-terang, istilah yang paling tidak saya gemari mendengarnya ialah golongan istimewa. Bila saya dengar sahaja ungkapan orang istimewa, golongan istimewa, guru istimewa, murid istimewa ... , terasa geli-geleman seluruh anggota badan.

Dalam Kamus Dewan, perkataan “istimewa” bermaksud:



istimewa:
1. khas (untuk sesuatu tujuan tertentu), khusus: kami melihat pertunjukan itu dari satu pentas istimewa; gabungan sel yang istimewa untuk menghantar utusan ke bahagian-bahagian badan dinamakan tisu saraf;
2. lain dpd yang lain, luar biasa: rombongan muhibah itu telah diberi layanan yang paling istimewa; soal bahasa Kebangsaan menerima perhatian yang istimewa dlm perdebatan Dewan Rakyat;
3. istimewa lagi, istimewa pula, apa lagi, betapa lagi, lebih-lebih lagi, terutamanya: negeri tuan hamba lagi dikalahkannya, istimewa tuan hamba seorang; sedangkan orang tua-tua tidak dapat menyelesaikan perkara itu istimewa pula kanak-kanak;
mengistimewakan, mengekhaskan, mengutamakan, meluarbiasakan; kedudukan Malaya samalah dengan negara-negara lain yang mengistimewakan pengeluaran satu atau dua jenis barang untuk eksport; tidak ada seorang pun yang diistimewakan dlm undang-undang negeri ini;


Hakikatnya, kami bukannya golongan luar biasa. Kami juga bukanlah kumpulan manusia yang punyai kelebihan luar biasa atau yang benar-benar menonjol, bahkan apa yang kami ada sama seperti orang lain, ada kelebihan tertentu dan ada pula kekurangan tertentu. Realitinya, kami adalah cacat, sama ada cacat penglihatan, cacat pendengaran, cacat anggota dan sebagainya. Dalam mengharungi kehidupan sehari-harian, adakalanya cabaran dan dugaan yang harus kami hadapi berganda hebat dan peritnya.

Benarkah golongan cacat adalah golongan istimewa terutama dari kaca mata masyarakat kita? Tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, pengalaman peribadi saya serta pengalaman rakan-rakan yang senasib sudah cukup menyerlahkan realiti dan hakikat yang sebenar. Pengalaman ini pula kami harungi bukan sehari dua, bahkan sepanjang hidup kami.

Adakah kami ini istimewa jika sebahagian besar masyarakat masih menganggap semua orang cacat (terutamanya golongan yang tidak berpenglihatan) sebagai pengemis dan peminta sedekah? Adakah kami ini istimewa jika usaha kami selama ini untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang biasa sering mendapat sambutan dingin daripada masyarakat? Adakah kami ini istimewa jika pencapaian yang telah dicapai oleh sebahagian daripada kami dalam pelbagai bidang lebih dianggap kerana belas ihsan orang lain dan bukannya kemampuan sendiri? Adakah kami ini istimewa jika usaha-usaha pihak-pihak tertentu untuk memartabatkan golongan seperti kami hanya sekadar menanam tebu di bibir sahaja? Adakah kami ini istimewa jika kami sekadar diperkudakan untuk kepentingan orang lain? Adakah kami ini istimewa jika bakat besar yang ada kepada sebahagian kami dalam bidang tertentu tidak digilap dengan sempurna dan dibiarkan sia-sia? Adakah kami ini istimewa jika kami masih menjadi mangsa diskriminasi di tanah air sendiri?

Dalam kalangan orang politik dan orang-orang besar negara, kadangkala terpacul juga dari mulut mereka ungkapan “golongan istimewa” yang sebenarnya ditujukan kepada golongan cacat. Jika benar kami ini golongan istimewa, mengapa sehingga sekarang dasar penempatan 1% untuk golongan cacat dalam sektor awam masih belum tercapai? Walhal dasar tersebut sudah berdekad dilancarkan. Adakah kami ini terlalu istimewa sehingga dasar berkenaan masih jauh untuk dicapai dan digapai?

Secara peribadi, saya lebih gemar kalau golongan yang cacat ini diistilahkan sebagai “orang kelainan upaya” sahaja. Selain bunyinya lebih positif, kita juga lebih hampir dengan realiti hidup, iaitu setiap insan mempunyai keupayaan masing-masing, mungkin kerana kecacatannya, maka mereka mempunyai keupayaan yang berlainan sedikit daripada orang yang tidak cacat. Berbeza dengan ungkapan “orang kurang upaya”, selain daripada ia bernada negatif, pemahaman umum orang ramai ialah, walau sebaik mana pun keupayannya dia tetap “kurang upaya”.

Kami bukanlah orang istimewa, yang istimewa ialah apabila orang yang sempurna berjaya menjiwai kami.