Tuesday, January 10, 2012

Pembebasan Anwar Ibrahim: Sekadar Coretan

Pagi semalam, hakim mahkamah tinggi di Jalan Duta telah membuat keputusan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan liwat. Mulanya saya sekadar mendengar berita tersebut dari kejauhan sahaja. Maklumlah pagi Isnin memang sibuk dengan tugas di sekolah. Akhirnya perkhabaran tersebut saya anggap sahih apabila saya menerima satu SMS daripada seorang ahli parlimen yang mengesahkan perkhabaran tersebut. Kepada individu berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Pada perkiraan saya, ahli parlimen berkenaan merupakan antara ribuan manusia yang berada di perkarangan mahkamah tinggi ketika itu.



Bagi penyokong dan pendokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah tentulah pembebasan beliau merupakan suatu rahmat yang paling besar setakat ini. Ada yang sampai mengalirkan air mata kesyukuran dan kegembiraan sebaik sahaja keputusan hakim diketahui. Ada juga yang akan berpuasa sunat sebagai tanda kesyukuran lantaran bebasnya Anwar. Pendek kata, pelbagai reaksi timbul ekoran daripada keputusan mahkamah yang telah membebaskan Datuk Seri Anwar.

Walau bagaimanapun, sepertimana yang telah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar sendiri, isu ini masih lagi belum selesai. Pihak pendakwaan mempunyai masa untuk membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi. Oleh itu, kepada para penyokong dan pendokong Datuk Seri Anwar, jangan terlalu suka yang berlebihan, kelak suka berakhir dengan duka!

Sekadar berkongsi dan untuk mengingatkan, apabila kita beroleh kejayaan, maka lakukanlah tiga perkara utama; bertasbih, bertahmid dan beristighfar (rujuk ayat 3, surah An-Nasr (110), juzuk 30.

Dalam membicarakan perkara mengenai pembebasan Datuk Seri Anwar, saya tertarik dengan apa yang telah ditulis oleh Datuk Kadir Jasin dalam blognya beberapa hari sebelum mahkamah membuat keputusannya semalam. Antara lain beliau menulis:

Sebenarnya banyak “kalau” yang boleh diperkatakan antara sekarang hingga 9 Jan dan selepas itu.
1. Kalau Parti Keadilan Rakyat dan sekutu politiknya berjaya dengan rancangan mereka, 100,000 orang akan berdemonstrasi di Kuala Lumpur pada 9 Jan ini;
2. Kalau Anwar dibebaskan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman memihak kepada mereka. Boleh jadi juga mereka akan memuji Kehakiman Malaysia kerana bebas dan berani;
3. Kalau Anwar disabitkan kesalahan, mereka akan berdemonstrasi kerana kehakiman tidak memihak kepada mereka dan, mungkin juga, menuduh Kehakiman Malaysia dikongkong pemerintah;
4. Kalau Anwar memang, Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak dan Barisan Nasional akan hadapi masalah besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Anwar akan menjadi hero dan kredibiliti Mohd Najib merudum;
5. Kalau Anwar kalah, dia akan sekali lagi dianggap mangsa penganiayaan politik dan “mati syahid” oleh penyokong tegarnya dan oleh generasi muda yang kurang faham mengenai sodomi satu dan salah guna kuasa 1999/2000;
6. Kalau Anwar masuk penjara, kesan undi simpati yang menyebabkan BN hilang banyak kerusi dan kalah DUN Terengganu dalam PRU 1999 mungkin berulang; dan
7. Kalau hal ini berlaku, BN akan mendapati lebih sukar mempertahankan kedudukannya kerana ia kini jauh lebih lemah daripada tahun 1999.
Itu adalah antara “kalau” yang terlintas di fikiran saya. ......




(Sumber:
http://www.kadirjasin.blogspot.com
Lihat posting bertajuk “Banyak Kalau Dalam Keputusan 9 Januari” bertarikh 5 Januari 2012).

Nampaknya antara beberapa ”kalau” yang beliau telah kalaukan dalam tulisannya telah pun terjadi. Pihak-pihak tertentu yang begitu gembira dengan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah semalam telah memuji sistem kehakiman di negara kita. Namun begitu, beliau (Datuk Kadir Jasin) terlupa untuk berkalau dengan satu lagi kalau, iaitu, kalau keputusan menyebelahi Datuk Seri Anwar, maka ada pihak akan berkata, ia membuktikan pihak kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sistem kehakiman di Malaysia, selama ini tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar ....

Selain itu, saya turut merasakan ucapan terima kasih juga harus diucapkan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia kerana telah melaksanakan solat sunat hajat bagi memohon kepada Allah agar tiada sesuatu yang buruk berlaku di sekitar ibu kota. Mungkin kerana doa dan solat hajatnya makbul juga, maka sebab itulah tiada perkara buruk yang benar-benar petaka telah berlaku. Apa yang telah berlaku adalah minimum sahaja. Walau bagaimanapun, lain kali, saya harap pihak berkenaan bolehlah merujuk kepada pihak yang lebih alim mengenai waktu yang paling mustajab untuk melaksanakan solat hajat!

Di samping itu, saya juga tidak lupa untuk melahirkan sekalung pujian kepada pihak-pihak yang berdukacita dengan keputusan mahkamah tinggi semalam. Walaupun keputusan tidak menyebelahi mereka, tetapi pihak-pihak berkenaan tidak menimbulkan sebarang huru-hara, demonstrasi jalanan, rusuhan, perarakan bantahan, atau yang seumpama dengannya. Pihak-pihak yang berkaitan setakat ini nampaknya boleh akur dengan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah semalam. Justeru tidak hairanlah keadaan sehari dua ini nampaknya tenang sekali. Pun begitu, kita jangan lupa dengan bidalan orang tua-tua dahulu kala, air yang tenang jangan disangka tiada buaya!



Akhir kalam (setakat ini), bersama-samalah kita ingat akan firman Allah dalam Alquran yang antara lain mafhumnya: ”Dan mereka merancang, dan Allah juga telah merancang, Dan Allah adalah sebaik-baik perancang”.
(ayat 54, surah Ali Imran (3), juzuk 3).

Sunday, January 8, 2012

Selamat Pengantin Baru Kepada Suhana Dan Firdaus

Tengah hari tadi, saya sekeluarga berkesempatan untuk menghadiri majlis walimatul urus antara Suhana binti Arifin dengan pasangannya Ahmad Firdaus bin Mohd Arifin. Majlis telah berlangsung di kompleks kejiranan, Presint 9, Putrajaya. Pn. Suhana merupakan seorang kakitangan yang sedang bertugas di SMPK Setapak.



Saya sekeluarga telah tiba di lokasi majlis sekitar jam 1.55 tengah hari. Waktu saya masuk ke dewan, pasangan mempelai masih lagi berada di atas pelamin. Pada pendengaran saya, para tetamu yang hadir masih lagi ramai.



Antara kakitangan SMPK Setapak yang sempat saya temui termasuklah Cikgu Karim, Cikgu Zaini, Kak Yati, En. Shahbudin serta beberapa orang lagi.



Pada pendengaran dan pengamatan saya, majlis ini meriah dan mengikut tertib istiadatnya. Daripadda atas pelamin, ada acara makan beradat. Kemudian disusuli dengan acara potong kek. Ia diikuti pula dengan acara beramah mesra dengan para tetamu. Kemudian diikuti acara karaoke pula.

Saya sempat juga berjumpa dengan mempelai perempuan. Sempat juga beliau bertanya beberapa orang rakan sekerja yang lain. Agaknya, mereka belum sampai lagi.

Sekitar jam 2.50 petang, saya sekeluarga pun meninggalkan lokasi majlis. Waktu itu, acara karaoke baru hendak bermula.

Kepada Suhana dan pasangannya, selamat pengantin baru saya ucapkan. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi mengundang saya sekeluarga. Kalau tergigit lidah sekali-sekala, itu perkara biasa dalam alam berumah tangga. Didoakan semoga anda berdua akan kekal bersama hingga ke akhir hayat, beroleh bahagia dunia akhirat, beroleh zuriat yang solihin dan solihat serta beroleh selamat dan dilimpahi berkat.

Orang ramai ke majlis pengantin,
Beramah mesra sambil tersenyum;
Dua mempelai di atas pelamin,
Umpama bunga dua sekuntum.

Hari ini menanam serai,
Hari esok menanam halia;
hari ini tetamu ramai,
hari esok hidup berdua.

Di bawah ini di kongsikan beberapa foto yang saya kira menarik yang sempat diambil dalam majlis tersebut. Maaf kerana foto sewaktu acara potong kek tidak sempat diambil kerana kami sibuk menjamu selera. Selamat menatap!

















Saturday, January 7, 2012

Gurindam Kalau Tuan Jadi Pengarah

Kalau tuan jadi pengarah,
Mulakan tugas dengan bismillah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Berhukumlah dengan kitabullah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jadikan pedoman Quran dan sunnah.
Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah bersyukur kepada Allah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah tuan bersifat amanah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah adil kepada yang diperintah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Akal yang waras selalulah asah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah saksama bila mengarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah faham apa yang diarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah betul siapa yangdiarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Tiadalah rugi kalau merendah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Elok dahulukan apa yang mudah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Kepada menteri khabarkan yang sah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hendaklah pelihara hati dan lidah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jadilah pengarah yang ada maruah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Segala mungkar hendaklah cegah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Sunnah Rasul jadikan lumrah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Selalulah jengah orang di bawah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Fakir dan miskin selalulah ziarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Banyak-banyaklah beri sedekah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Rumah anak yatim selalulah singgah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Usul dan periksa semua anak buah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Bercakaplah dengan bahasa yang indah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hadith nabi jangan disanggah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan ikutkan nafsu amarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan sekadar tahu mengarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Pengampu pembodek jauhkanlah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan gemar memberi susah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan cuba dekati rasuah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan gemar terima hadiah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan suka mendengar fitnah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan lupa rumput di bawah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan mudah menerima upah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan menindas orang yang lemah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan hanya menyebelah sesama pengarah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan zalim kepada yang rendah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jauhi sifat suka bermegah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan membela orang yang salah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Orang baik jangan diludah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Orang alim jangan dilangkah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Hak orang jangan dijajah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Jangan bezakan sesama anak buah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Dengan anak buah jangan bertelagah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Apa yang baik jangan ditegah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Buat pertimbangan janganlah salah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Harta negara jangan dibelasah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Undang-undang dan peraturan jangan diubah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Kepada yang batil jangan mengalah.

Kalau tuan jadi pengarah,
Neraka jahanam jangan ditempah.

(Sumber: Ilham sendiri).

Thursday, January 5, 2012

Melayu Islam: Sekadar Pandangan

Dalam posting terbaru menerusi blognya bertajuk “Melayu Islam”, bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menulis mengenai Melayu dan Islam. Setelah membaca tulisannya, teringin pula saya melontarkan secebis pandangan berdasarkan apa yang telah ditulis beliau.



Dari satu sudut, saya bersetuju dengan pandangan beliau iaitu orang Melayu di negara kita yang berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah dan sebahagian besar daripada mereka bermazhabkan Imam Shafie pula, sepatutnya tiada halangan untuk bersatu-padu dan tidak sepatutnya berpecah-belah. Sejak dari dahulu lagi, orang Melayu merupakan pengikut mazhab Shafie. Hari ini, kalau ada pun orang Melayu yang bukan lagi bermazhab Shafie, tetapi bilangan mereka masih kecil dan rasanya ia tidak langsung menjadi kuman dan kudis untuk bangsa melayu bersatu-padu antara sesama mereka.

Pada hari ini, realiti iaitu bangsa Melayu tidak lagi bersatu-padu bukan sesuatu yang aneh lagi. Ia sudah menjadi bualan dan persepsi di mana-mana sahaja. Rata-rata orang akan bercakap tentang perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Rasanya tahap perpecahan dalam kalangan bangsa Melayu bukan lagi setakat retak menanti belah, tetapi ia sudah tiba ke tahap sudah terbelah kian mendebu.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, ada tiga unsur penting bagi menentukan kemelayuan seseorang, bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan sebahagian besar adat Melayu dan mesti beragama Islam. Mungkin ketiga-tiga unsur ini lebih Melayu daripada Islam, maka hakikatnya hari ini ialah, ia gagal membendung kepupusan unsur keislaman bagi bangsa Melayu di negara ini. Justeru, tidak hairanlah isu murtad semakin berleluasa berlaku dalam kalangan orang Melayu sendiri. Bila ada orang Melayu yang murtad, siapa pun tidak mampu untuk melakukan apa jua pun bagi menghalang gejala tersebut. Walhal Alquran dan Hadith dengan jelas telah menetapkan kaedah dan hukuman yang harus dilaksanakan kepada golongan yang murtad ini, mengapa ia tidak dituruti?

Oleh kerana murtad merupakan satu gejala yangsangat serius, maka Khalifah Abu Bakar telah menanganinya secara ketenteraan, iaitu setelah usaha untuk mengembalikan semula mereka kepada Islam secara baik dan pujukan gagal. Di sini, Khalifah Abu Bakar tidak hanya menggunakan logik akalnya sahaja bagi gejala murtad, bahkan langkah-langkah yang telah beliau ambil amat kukuh berteraskan Alquran dan hadith. Ternyata, langkah-langkah yang telah diambilnya amat berkesan dan telah berjaya menjauhkan umat Islam ketika itu daripada ditimpa gejala murtad yang sekaligus turut berjaya mengembalikan kestabilan negara Madinah.

Kita harus sedar, gejala murtad merupakan musibah yang amat menakutkan bagi umat Islam. Ia tak ubah umpama api dalam sekam. Sekiranya kita gagal membendungnya sekarang, suatu hari ini ia bakal menjadi anasir yang akan menghancur-luluhkan orang Melayu sendiri. Dengan erti kata lain, kita harus faham, gejala murtad juga merupakan anasir yang boleh melemahkan perpaduan orang Melayu jika ia gagal ditangani dengan berkesan.

Hari ini, apabila gejala murtad mula melanda orang Melayu, adakah pihak yang berkenaan telah mengambil langkah yang sama sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh Khalifah Abu Bakar dahulu? Kita harus ingat, gejala murtad bukan mula berlaku semenjak setahun dua kebelakangan ini. Bahkan kita telah mula mendengar isu ini sejak kerajaan diketuai oleh perdana menteri keempat lagi.

Saya turut bersetuju dengan pandangan beliau, iaitu hari ini orang Melayu sudah menjadi pengemis di bumi sendiri. Pengemis yang dimaksudkan oleh beliau ialah pengemis politik. Oleh kerana perpecahan bangsa Melayu semakin kronik, mereka tidak lagi mampu untuk meneruskan survival politiknya tanpa sokongan dan dokongan daripada kumpulan bukan Melayu. Kalau dahulu bangsa Melayu sekadar menjadi pengemis ekonomi, nampaknya kini bangsa yang sama sudah menjadi pengemis politik pula. Apa yang lebih mendukacitakan dan yang amat menakutkan, orang Melayu kian menjadi pengemis di buminya sendiri.

Beliau juga turut menulis mengenai sikap taksub orang Melayu terhadap pemimpin yang mereka ikuti. Bagi saya, hal ini juga bukan suatu perkara baru. Tentu kita masih ingat semasa gerakan Semarak (pemimpin bersama rakyat) iaitu ketika pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan hendak dilakukan sekitar tahun 1982 dahulu. Ketika itu, rakyat Malaysia khususnya orang Melayu disuruh melaungkan kata-kata ”Hidup Mahathir” sebagai ganti kepada ”Hidup Melayu”. Tidakkah slogan sedemikian juga mengajar orang ramai supaya bersikap taksub kepada pemimpin-pemimpin tertentu?

Seperkara yang beliau tidak masukkan dalam tulisannya mengenai sebab perpecahan orang Melayu masa kini ialah faktor gejala fitnah. Saya kurang periksa pula mengapa faktor ini tidak beliau ulas dan perkatakan. Orang yang waras akal fikirannya tentu tidak akan menafikan iaitu gejala fitnah semakin berluasa dalam kalangan bangsa kita. Alquran dengan jelas telah memberitahu kita iaitu kesalahan memfitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Bilamana dosa memfitnah itu lebih besar, ia bermakna akibat dan kesan daripada gejala fitnah itu amat buruk. Gara-gara fitnah-memfitnah, ia boleh mengakibatkan institusi masyarakat hancur dan sesebuah negara itu musnah. Hari ini, gara-gara gejala fitnah yang kian tidak terkawal, maka kesannya ialah orangMelayu semakin menjadi pengemis di tanah airnya sendiri. Siapa yang telah menjadi tok guru dan mengajar orang Melayu supaya mengamalkan politik fitnah-memfitnah?

Bagi saya, tahap perpecahan dalam kalangan orang Melayu merupakan satu gejala yang sukar untuk dipulihkan kembali. Mungkin bangsa Melayu memerlukan satu lagi landaan musibah bagi menginsafkan ereka dan seterusnya tahu menghargai perpaduan???

Wednesday, January 4, 2012

Selamat Kembali Semula Ke Sekolah

Selamat Kembali Semula Ke Sekolah

Hari ini (4 Januari) merupakan hari pertama sesi persekolahan untuk tahun 2012 bagi kebanyakan negeri. Manakala tiga buah negeri lagi telah pun memulakan hari pertama sesi persekolahannya semalam. Kalau di sekolah rendah mungkin ragam muridnya agak pelbagai pada hari pertama persekolahan sebegini. Kalau di peringkat prasekolah pula, ragam kanak-kanaknya lebih beraneka dan lebih pelbagai.

Manakala di peringkat sekolah menengah pula seperti di SMPK Setapak, situasinya tak jauh bezanya daripada hari-hari persekolahan yang lain. Bezanya hari pertama ini ada pengagihan itu dan ini pada masa kedua dan ketiga. Manakala pada masa keempat pula, sesi pembelajaran dan pengajaran telah pun berjalan seperti sediakala. Demikianlah.

Kepada semua murid di semua tahap, saya ucapkan selamat kembali semula ke sekolah. Kepada murid-murid yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan pula, selamat menempuh alam persekolahan. Kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan awam pada tahun ini, buatlah persediaan pada hari pertama persekolahan lagi. Bila anda mula membuat persediaan pada hari kedua, anda telah pun kerugian sehari.

Bagi sesetengah orang, alam persekolahan merupakan zaman yang paling indah dalam hidupnya. Manakala bagi saya pula, alam kampus merupakan zaman yang paling bermakna, paling indah dan paling erat digenggam memori.

Sesungguhnya amat jauh bezanya antara suasana hari pertama persekolahan dengan suasana hari pertama cuti hujung tahun!

Tuesday, January 3, 2012

Terjun Lubang

Sangat benar bidalan orang tua-tua kita dahulu kala, malang memang tidak berbau. Begitulah yang telah menimpa salah seorang rakan kita pada awal pagi tadi.



Setelah selamat tiba di KL dari percutian hujung minggunya di Kedah, Norhar bin Majid pun terus pulang ke rumahnya. Beliau telah tiba di rumahnya di Gombak sekitar jam 12.30 tengah malam (3 Januari). Oleh kerana keesokan siangnya beliau akan bekerja, maka Norhar telah mengambil keputusan untuk tidur sahaja di pejabat PERTIS. Kebetulan lokasi pejabat PERTIS tidaklah berapa jauh dari rumahnya. Sekitar jam 1.00 pagi, beliau telah berjalan kaki sahaja seorang diri menuju ke pejabat PERTIS. Beliau memang amat biasa dengan jalan yang menjadi laluannya. Lagipun, Norhar merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun).

Tiba di satu tempat, iaitu tidak jauh dari stesen minyak Petronas sekira-kira di bawah jejambat berseberangan dengan Masjid Ash-Shakirin, tanpa diduga dan tidak disangka, beliau telah terterjun ke dalam sebuah lubang yang tidak bertutup. Sewaktu terjatuh, tongkatnya telah terpelanting dan tertinggal di atas. Kalau tak silap, selipar yang dipakainya juga turut sama terpelanting dan tertinggal di atas.

Menurut Norhar, lubangnya agak sempit. Nasib baik juga beliau terjatuh dalam keadaan berdiri. Nasibnya sedikit baik bilamana lubang tersebut tidak berair. Cuaca pula baik dan tidak hujan. Mulanya beliau cuba juga untuk naik semula ke atas tetapi gagal. Tangannya sendiri gagal mencapai bahagian permukaan lubang tersebut. Ini bermakna, kata Norhar, beliau telah terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Kata Norhar lagi, beliau menganggarkan lubang berkenaan berkedalaman sekitar 10 kaki. Bayangkan beliau menghadapi situasi berkenaan pada sekitar jam 1.15 awal pagi.

Nasibnya semakin baik bilamana telefon tangannya ada bersama beliau. Kata Norhar, kebiasaannya telefonnya seringkali hang, tapi semasa kejadian, telefonnya berada dalam keadaan baik.

Hendak menjerit meminta tolong, ia hampir mustahil kerana tidak mungkin orang lain dapat mendengar jeritannya dari dalam lubang sedalam itu. Lagipun ia berlaku pada awal pagi. Setelah bertenang beberapa ketika, akhirnya Norhar telah menghubungi Jabatan Bomba Dan Penyelamat menerusi nombor 999.

Pihak operator telefon yang menyambut panggilan Norhar bagus layanannya. Di samping membantu menghubungkan dengan Jabatan Bomba Dan Penyelamat, beliau turut cuba menenangkan dan menyabarkan Norhar.

Setelah beberapa ketika dihubungi, pihak bomba pun tiba di sekitar lokasi kejadian. Apa yang berlaku selepasnya ialah, pihak bomba sukar untuk mengesan lokasi lubang secara tepat di mana Norhar sedang berada di dalamnya. Kata Norhar, beberapa kali beliau mendengar siren bomba berlegar-legar di sekitar lokasi, tetapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa untuk memberitahu pihak bomba dengan lebih tepat lokasi di mana beliau sedang berada. Akhirnya, dengan tindakan bijak daripada pihak bomba sendiri, mereka telah menghubungi semula Norhar iaitu berdasarkan nombor yang telah digunakan oleh Norhar untuk menghubungi pihak berkenaan sebelumnya.

Setelah menemui lubang tempat di mana Norhar sedang berada, satu cabaran lain pula timbul. Lubang sempat menyebabkan anggota bomba tidak dapat turun ke dalamnya untuk memberi bantuan lebih lanjut. Mulanya mereka cuba gunakan tali tetapi tidak berjaya. Maklumlah bukan setakat lubangnya sempit, Norhar pula bukannya kecil budak. Akhirnya pihak bomba telah menggunakan tangga. Setelah dicuba beberapa kali, akhirnya mereka berjaya menurunkan tangga dan kemudiannya Norhar berjaya naik ke atas dengan selamat. Menurut Norhar, beliau berada dalam lubang berkenaan hampir setengah jam juga.

Setelah berjaya naik ke atas dan selepas mendapati dirinya tidak mengalami kecederaan serius, Norhar ingin meminta diri sahaja. Niatnya ditegah oleh anggota-anggota bomba yang bertugas. Sebaliknya, pihak bomba telah menasihatkan Norhar supaya membuat pemeriksaan segera di hospital. Pihak bomba sendiri telah menghubungi ambulan yang telah tiba di lokasi kejadian dengan agak pantas. Para anggota bomba terus berada di lokasi kejadian sehinggalah Norhar selamat dipindahkan ke ambulan. Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, pihak bomba telah menutup lubang berkenaan dengan papan. Tak tahulah pula dari mana mereka memperoleh papan berkenaan. Menurut Norhar, beliau sempat mendengar salah seorang anggota bomba yang bertugas berkata: ”Kalau macam ni lubangnya, jangankan orang buta, orang celik pun boleh terjun dibuatnya.”

Sementara itu, pihak ambulan terus membawa Norhar ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. Setelah mendapatkan rawatan, pihak perubatan HKL telah memberikan MC kepada Norhar. Sekitar jam 4 pagi baru Norhar tiba semula di Gombak.



Sebenarnya kisah ini merupakan secebis kisah daripada banyak kisah lain yang hampir serupa. Gara-gara jatuh lubang atau longkang, macam-macam perkara susulan yang lain boleh berlaku. Ada kerana jatuh longkang tidak mahu lagi meneruskan persekolahan. Ada yang kerana jatuh longkang, sampai merajuk hendak keluar kampus. Ada juga yang gara-gara jatuh longkang, terus balik kampung tak mahu lagi meneruskan kuliah di universiti, terpaksa dipujuk baru hendak sambung kuliah semula. Pendek kata, kalau dikisahkan memang tak cukup masa untuk mendengarnya.

Saya sendiri tidak berani mengatakan lokasi kejadian berada di dalam jagaan pihak berkuasa yang mana satu. Kalau salah kata, nanti kena saman pula.

Persoalannya ialah, mengapa lubang yang boleh membahayakan orang awam sebegitu tidak ditutup? Mungkin penutup asalnya sudah dicuri. Maklumlah si pencuri dari spesies mana sekalipun tidak pernah memikirkan kesan kepada orang lain hasil perbuatan kejinya itu. Namun demikian, langkah yang bersesuaian harus diambil bagi menangani kecurian penutup lubang sekiranya ia berlaku. Jika tidak, orang ramailah yang akan menjadi mangsanya. Pagi tadi si buta yang jadi mangsa. Esok lusa kalau tindakan yang bersesuaian tidak diambil, mungkin si celik pula yang akan menjadi mangsa berikutnya, sepertimana kata anggota bomba tadi.

Bagi saya, dalam soal keselamatan orang ramai, mana-mana pihak berkuasa sekalipun jangan mengambil sikap sudah terhantuk baru tengadah. Rumah sudah siap baru pahat hendak berbunyi. Dua tiga orang awam sudah terjun baru pihak-pihak yang berkenaan hendak mengambil tindakan. Jangan begitu .... !!!

Nasib baiklah Norhar tak terfikir untuk panggil media sekali. Hal sedemikian pernah dilakukannya dalam isu yang lain.

Tujuan saya paparkan kisah benar menerusi blog ini adalah sebagai iktibar dan teladan kepada sesiapa sahaja yang ingin mengambil manfaat daripadanya. Dalam apa keadaan sekalipun, sikap waspada dan berhati-hati amat penting. Bertenang dan tidak panik merupakan kunci kepada jalan menyelesaikan masalah. Apatah lagi bagi mereka yang tidak berpenglihatan. Janganlah kita bersikap bila hujan sudah turun baru kelam-kabut hendak cari payung. Bukankah sesal dahulu itu pendapatan!

Selamat Bersara Kepada Cikgu Maimun Ismail

Pada tahun 2011, Cikgu Maimun merupakan guru yang paling lama berkhidmat di SMPK Setapak. Beliau telah mula berkhidmat di sekolah tersebut pada 3 Januari 1985 lagi. Sayugia saya maklumkan, Cikgu Maimun adalah seorang guru yang berpenglihatan.



Dari segi perwatakan, Cikgu Maimun bersuara lembut. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, suaranya tidak begitu dimamah usia. Walaupun saya tidak pernah mendengar Cikgu Maimun menjerit atau meninggikan suara ketika mengajar, tetapi ada ketikanya, dalam kelembutan suaranya ada nada ketegasan. Hanya orang yang sudah lama bergaul dengan beliau akan lebih memahaminya.

Satu keunikan yang pernah ditempuh oleh Cikgu Maimun ialah sewaktu beliau ditempatkan di sekolah berkenaan, beliau langsung tidak tahu menulis dan membaca tulisan Braille. Dengan erti kata lain, Cikgu Maimun bukan seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Seingat saya, antara mata pelajaran yang pernah diajar beliau sewaktu mula-mula ditempatkan di sekolah berkenaan ialah Prinsip Akaun untuk tingkatan 4 dan 5. Sekaligus ia menyangkal pandangan sesetengah pihak kononnya murid cacat penglihatan tidak sesuai untuk mengambil mata pelajaran berkenaan.

Setelah ditempatkan di SMPK Setapak, Cikgu Maimun tidak membuang masa. Beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk belajar membaca dan menulis tulisan Braille. Selain belajar daripada rakan-rakan sejawat ketika itu, Cikgu Maimun tidak segan dan tidak merasa malu untuk belajar tulisan Braille daripada anak-anak muridnya sendiri. Berkat kesungguhannya, akhirnya Cikgu Maimun berjaya menguasai sistem tulisan Braille dengan baik. Setakat yang saya maklum, kejayaan Cikgu Maimun menguasai tulisan Braille bukan setakat setahun dua sebelum beliau bersara, bahkan ia jauh lebih awal daripada itu.

Apa yang telah dilalui oleh Cikgu Maimun membuktikan kepada semua bahawa walaupun tanpa latar belakang pendidikan khas dan berpenglihatan pula, ia sama sekali tidak menghalang hasrat dan iltizam beliau untuk menguasai sistem tulisan Braille dan selanjutnya terus bersama-sama dengan murid-muridnya yang cacat penglihatan sehingga ke saat akhir perkhidmatannya sebagai guru. Inilah yang dibidalkan orang tua-tua, kalau hendak seribu daya, kalau dah tak minat seribu dalih pula.

Seingat saya, kemampuan dan kemahiran Cikgu Maimun dalam sistem tulisan Braille pernah teruji oleh kenakalan muridnya sendiri. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 2000. Tatkala itu, saya baru sahaja berpindah ke SMPK Setapak. Dalam salah satu sesi pengajaran dan pembelajarannya di tingkatan 4B ketika itu, Cikgu Maimun telah meminta murid-muridnya membuat latihan dalam kelas. Salah seorang daripada muridnya bukan membuat latihan sepertimana yang dimita, sebaliknya telah menggunakan masa yang ada dengan menulis surat .... surat cinta agaknya. Perbuatan nakal muridnya itu telah dapat dikesan oleh Cikgu Maimun ketika beliau berjalan dari meja ke meja sambil membaca secara rambang apa yang ditulis oleh murid-muridnya. Kalau tidak berkemahiran dengan Braille, rasanya tidak mungkin Cikgu Maimun dapat mengesan apa yang sedang ditulis oleh anak-anak muridnya. Lagi pun, tulisan Braille yang digunakan oleh murid nakalnya itu ialah tulisan Braille Bahasa Melayu gred dua.

Peristiwa berkenaan masih segar dalam ingatan saya kerana setelah merampas kertas latihan (sebenarnya surat) berkenaan, Cikgu Maimun telah memberikannya kepada saya, sambil berkata: ”Cuba Zakaria baca apa yang budak ni tulis, dia ingat saya tak tahu Braille!” Saya telah membaca apa yang ditulis oleh murid perempuan tersebut. Dua baris pertama tulisan murid berkenaan masih kukuh dalam ingatan saya:

A’uzubillah pembuka kata,
Bismillah pembuka bicara ....


Berdasarkan peristiwa tersebut, fenomena murid beranggapan sesetengah daripada guru mereka tidak tahu tulisan Braille bukanlah satu perkara baru. Oleh kerana ketika itu Cikgu Maimun sudah pun mahir dengan Braille, maka beliau terselamat daripada menjadi mangsa kenakalan murid sendiri.

Selain itu, pada pemerhatian saya, bila timbul perkara berkaitan dengan kemahiran Braille, Cikgu Maimun akan konsisten dengan pandangannya iaitu setiap guru yang mengajar murid-murid cacat penglihatan mesti mahir dengan tulisan Braille. Saya perhatikan, pandangan beliau mengenainya tidak pernah berganjak dari dahulu hingga kini.

Secara peribadi, saya sendiri turut merasai kehilangan dengan persaraan Cikgu Maimun. Beliau adalah antara orang yang amat sesuai untuk ditanya pendapatnya khususnya mengenai hal ehwal murid-murid yang cacat penglihatan. Sebagai insan yang berpenglihatan yang begitu lama bergaul dengan murid-murid yang tidak berpenglihatan, sudah tentu Cikgu Maimun mempunyai pandangan tersendiri mengenai golongan berkenaan. Setahu saya, pandangan beliau seringkali berteraskan ketulusan dan ketelusan. Cikgu Maimun tidak semestinya akan memberikan pandangan yang bersifat memuji semata-mata terhadap golongan berkenaan.

Selain itu, Cikgu Maimun merupakan guru yang paling memahami apa yang saya tidak boleh makan terutamanya ketika mengendalikan jamuan peringkat sekolah. Kebetulan Beliau merupakan guru yang sering ditugaskan untuk menguruskan jamuan rasmi peringkat sekolah. Setiap kali menguruskan jamuan atau sebarang majlis makan, beliau sentiasa memastikan makanan alternatif disediakan untuk saya bagi menggantikan makanan yang saya tidak boleh jamah. Hal tersebut turut disedari oleh dua tiga orang rakan sejawat yang lain. Salah seorang daripada mereka pernah berkata: ”Ya, kau perasan tak, Cikgu Maimun mesti ingat yang kau tak makan ayam.” Demikianlah.

Hari ini (3 Januari) merupakan tarikh persaraan Cikgu Maimun. Ini bermakna, beliau telah pun bersama-sama dengan dunia golongan cacat penglihatan selama 27 tahun. Ia merupakan satu jangka masa yang bukan sekejap. Agaknya pengetahuan dan pengalaman yang kini dimiliki oleh Cikgu Maimun mengenai murid-murid yang cacat penglihatan jika dibukukan, mungkin setara dengan tesis peringkat sarjana.

Kini, apabila bersara selaku guru, Cikgu Maimun boleh tersenyum puas. Ramai bekas murid beliau sudah berjaya dalam hidup. Dua orang daripada anak-anak muridnya kini pemegang ijazah doktor falsafah (phD). Mereka ialah Dr. Makmor Tumin (kini pensyarah di Universiti Malaya) dan juga Dr. Wong Huey Siew (kini pensyarah di OUM).



Kepada Cikgu Maimun, selamat bersara saya ucapkan. Bagi saya serta rakan-rakan sejawat yang lain, persaraan Cikgu Maimun merupakan satu kehilangan. Sekalung doa dipanjatkan ke hadhrat Ilahi, semoga Cikgu Maimun sekeluarga akan sentiasa bahagia serta sentiasa dirahmati-Nya sepanjang masa.

Besarlah harapan kami semoga persaraan bukan pemisah antara kita. Kalau buat kenduri atau majlis sambut menantu jangan lupa undang kami.

Pulau Karimun nama diberi,
Nampak imbasnya dari Puntian;
Kepada Cikgu Maimun yang dikasihi,
Selamat bersara kami ucapkan.