Tuesday, January 3, 2012

Selamat Bersara Kepada Cikgu Maimun Ismail

Pada tahun 2011, Cikgu Maimun merupakan guru yang paling lama berkhidmat di SMPK Setapak. Beliau telah mula berkhidmat di sekolah tersebut pada 3 Januari 1985 lagi. Sayugia saya maklumkan, Cikgu Maimun adalah seorang guru yang berpenglihatan.



Dari segi perwatakan, Cikgu Maimun bersuara lembut. Tidak keterlaluan kalau saya katakan, suaranya tidak begitu dimamah usia. Walaupun saya tidak pernah mendengar Cikgu Maimun menjerit atau meninggikan suara ketika mengajar, tetapi ada ketikanya, dalam kelembutan suaranya ada nada ketegasan. Hanya orang yang sudah lama bergaul dengan beliau akan lebih memahaminya.

Satu keunikan yang pernah ditempuh oleh Cikgu Maimun ialah sewaktu beliau ditempatkan di sekolah berkenaan, beliau langsung tidak tahu menulis dan membaca tulisan Braille. Dengan erti kata lain, Cikgu Maimun bukan seorang guru yang berlatarbelakangkan pendidikan khas. Seingat saya, antara mata pelajaran yang pernah diajar beliau sewaktu mula-mula ditempatkan di sekolah berkenaan ialah Prinsip Akaun untuk tingkatan 4 dan 5. Sekaligus ia menyangkal pandangan sesetengah pihak kononnya murid cacat penglihatan tidak sesuai untuk mengambil mata pelajaran berkenaan.

Setelah ditempatkan di SMPK Setapak, Cikgu Maimun tidak membuang masa. Beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk belajar membaca dan menulis tulisan Braille. Selain belajar daripada rakan-rakan sejawat ketika itu, Cikgu Maimun tidak segan dan tidak merasa malu untuk belajar tulisan Braille daripada anak-anak muridnya sendiri. Berkat kesungguhannya, akhirnya Cikgu Maimun berjaya menguasai sistem tulisan Braille dengan baik. Setakat yang saya maklum, kejayaan Cikgu Maimun menguasai tulisan Braille bukan setakat setahun dua sebelum beliau bersara, bahkan ia jauh lebih awal daripada itu.

Apa yang telah dilalui oleh Cikgu Maimun membuktikan kepada semua bahawa walaupun tanpa latar belakang pendidikan khas dan berpenglihatan pula, ia sama sekali tidak menghalang hasrat dan iltizam beliau untuk menguasai sistem tulisan Braille dan selanjutnya terus bersama-sama dengan murid-muridnya yang cacat penglihatan sehingga ke saat akhir perkhidmatannya sebagai guru. Inilah yang dibidalkan orang tua-tua, kalau hendak seribu daya, kalau dah tak minat seribu dalih pula.

Seingat saya, kemampuan dan kemahiran Cikgu Maimun dalam sistem tulisan Braille pernah teruji oleh kenakalan muridnya sendiri. Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 2000. Tatkala itu, saya baru sahaja berpindah ke SMPK Setapak. Dalam salah satu sesi pengajaran dan pembelajarannya di tingkatan 4B ketika itu, Cikgu Maimun telah meminta murid-muridnya membuat latihan dalam kelas. Salah seorang daripada muridnya bukan membuat latihan sepertimana yang dimita, sebaliknya telah menggunakan masa yang ada dengan menulis surat .... surat cinta agaknya. Perbuatan nakal muridnya itu telah dapat dikesan oleh Cikgu Maimun ketika beliau berjalan dari meja ke meja sambil membaca secara rambang apa yang ditulis oleh murid-muridnya. Kalau tidak berkemahiran dengan Braille, rasanya tidak mungkin Cikgu Maimun dapat mengesan apa yang sedang ditulis oleh anak-anak muridnya. Lagi pun, tulisan Braille yang digunakan oleh murid nakalnya itu ialah tulisan Braille Bahasa Melayu gred dua.

Peristiwa berkenaan masih segar dalam ingatan saya kerana setelah merampas kertas latihan (sebenarnya surat) berkenaan, Cikgu Maimun telah memberikannya kepada saya, sambil berkata: ”Cuba Zakaria baca apa yang budak ni tulis, dia ingat saya tak tahu Braille!” Saya telah membaca apa yang ditulis oleh murid perempuan tersebut. Dua baris pertama tulisan murid berkenaan masih kukuh dalam ingatan saya:

A’uzubillah pembuka kata,
Bismillah pembuka bicara ....


Berdasarkan peristiwa tersebut, fenomena murid beranggapan sesetengah daripada guru mereka tidak tahu tulisan Braille bukanlah satu perkara baru. Oleh kerana ketika itu Cikgu Maimun sudah pun mahir dengan Braille, maka beliau terselamat daripada menjadi mangsa kenakalan murid sendiri.

Selain itu, pada pemerhatian saya, bila timbul perkara berkaitan dengan kemahiran Braille, Cikgu Maimun akan konsisten dengan pandangannya iaitu setiap guru yang mengajar murid-murid cacat penglihatan mesti mahir dengan tulisan Braille. Saya perhatikan, pandangan beliau mengenainya tidak pernah berganjak dari dahulu hingga kini.

Secara peribadi, saya sendiri turut merasai kehilangan dengan persaraan Cikgu Maimun. Beliau adalah antara orang yang amat sesuai untuk ditanya pendapatnya khususnya mengenai hal ehwal murid-murid yang cacat penglihatan. Sebagai insan yang berpenglihatan yang begitu lama bergaul dengan murid-murid yang tidak berpenglihatan, sudah tentu Cikgu Maimun mempunyai pandangan tersendiri mengenai golongan berkenaan. Setahu saya, pandangan beliau seringkali berteraskan ketulusan dan ketelusan. Cikgu Maimun tidak semestinya akan memberikan pandangan yang bersifat memuji semata-mata terhadap golongan berkenaan.

Selain itu, Cikgu Maimun merupakan guru yang paling memahami apa yang saya tidak boleh makan terutamanya ketika mengendalikan jamuan peringkat sekolah. Kebetulan Beliau merupakan guru yang sering ditugaskan untuk menguruskan jamuan rasmi peringkat sekolah. Setiap kali menguruskan jamuan atau sebarang majlis makan, beliau sentiasa memastikan makanan alternatif disediakan untuk saya bagi menggantikan makanan yang saya tidak boleh jamah. Hal tersebut turut disedari oleh dua tiga orang rakan sejawat yang lain. Salah seorang daripada mereka pernah berkata: ”Ya, kau perasan tak, Cikgu Maimun mesti ingat yang kau tak makan ayam.” Demikianlah.

Hari ini (3 Januari) merupakan tarikh persaraan Cikgu Maimun. Ini bermakna, beliau telah pun bersama-sama dengan dunia golongan cacat penglihatan selama 27 tahun. Ia merupakan satu jangka masa yang bukan sekejap. Agaknya pengetahuan dan pengalaman yang kini dimiliki oleh Cikgu Maimun mengenai murid-murid yang cacat penglihatan jika dibukukan, mungkin setara dengan tesis peringkat sarjana.

Kini, apabila bersara selaku guru, Cikgu Maimun boleh tersenyum puas. Ramai bekas murid beliau sudah berjaya dalam hidup. Dua orang daripada anak-anak muridnya kini pemegang ijazah doktor falsafah (phD). Mereka ialah Dr. Makmor Tumin (kini pensyarah di Universiti Malaya) dan juga Dr. Wong Huey Siew (kini pensyarah di OUM).



Kepada Cikgu Maimun, selamat bersara saya ucapkan. Bagi saya serta rakan-rakan sejawat yang lain, persaraan Cikgu Maimun merupakan satu kehilangan. Sekalung doa dipanjatkan ke hadhrat Ilahi, semoga Cikgu Maimun sekeluarga akan sentiasa bahagia serta sentiasa dirahmati-Nya sepanjang masa.

Besarlah harapan kami semoga persaraan bukan pemisah antara kita. Kalau buat kenduri atau majlis sambut menantu jangan lupa undang kami.

Pulau Karimun nama diberi,
Nampak imbasnya dari Puntian;
Kepada Cikgu Maimun yang dikasihi,
Selamat bersara kami ucapkan.

No comments: