Datuk Wan Muhammad bin Datuk sheikh Abdul Aziz merupakan salah seorang mantan Ketua Pengarah (KP) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau telah pun bersara pada bulan April tahun lalu. Beliau juga mesra dengan panggilan Datuk Wan. Walaupun setelah bersara, namun hubungan silatul rahim khususnya di antara Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan beliau masih terjalin akrab. Sebab itulah juga beliau telah menjadi tetamu kehormat PERTIS sewaktu majlis berbuka puasa yang telah diadakan pada bulan Ogos 2011, iaitu 4 bulan selepas persaraan beliau.
Tengah hari tadi, saya dengan ditemani isteri telah berkesempatan bertamu dan seterusnya makan tengah hari bersama Datuk Wan dan Datin di kediaman mereka. Sebenarnya, Datuk Wan sudah beberapa kali mengundang saya ke rumahnya. Seingat saya, kali pertama beliau mengundang saya ke rumahnya ialah pada 13 Jun 2009 (Sabtu) iaitu ketika beliau merasmikan mesyuarat agung PERTIS di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi. Pendek kata, setiap kali bertemu, beliau tidak lupa mengundang saya ke rumahnya. Mulanya saya beranggapan undangan beliau sekadar basa-basi dan mujamalah semata-mata. Namun begitu, apabila undangan dinyatakan agak kerap, saya mula tersedar mungkin beliau benar-benar ikhlas dengan undangannya. Akhirnya, pada awal bulan ini, Datuk Wan telah menghantar email kepada saya dengan undangan serta alamat rumahnya sekali. Dari situlah saya berazam untuk memenuhi undangan beliau.
Sekitar jam 1.00 tengah hari, saya dan isteri tiba di rumah Datuk Wan. Kami disambut dengan penuh mesra sekali. Mulanya saya menyangka akan ada tetamu lain selain kami berdua. Namun begitu, sangkaan saya meleset. Hanya kami berdua sahaja tetamunya. Seingat saya, ini kali kedua sangkaan saya meleset sebegini berkenaan bertamu di rumah orang. Kali pertama ialah pada 24 Julai 2011 lalu iaitu ketika bertamu di rumah MSO. Waktu itu, saya turut menaruh sangkaan yang serupa dan kemelesetan yang sama turut terjadi.
Pada pengamatan saya, rumah Datuk Wan agak besar tetapi penuh dengan kesederhanaan. Setakat yang saya tahu, perhiasan yang paling bernilai yang menghiasi rumahnya ialah pelbagai jenis kitab dan buku. Selain kitab-kitab agama, buku yang mencakupi pelbagai disiplin limu yang lain turut menghiasi rumahnya.
Kami berdua turut diperkenalkan dengan ibu mertua Datuk Wan. Usianya sudah mencecah 87 tahun. Saya amat seronok mendengar ibu mertuanya bercerita khasnya mengenai pengalaman hidupnya. Beliau pernah menetap di Makkah selama 22 tahun. Pada masa yang sama, saya juga dapat merasakan betapa akrabnya hubungan antara Datuk Wan dan ibu mertuanya.
Setelah duduk dan berbual seketika, Datuk Wan kemudiannya mempelawa saya dan isteri menjamu selera di ruang makan. Kami dijamu dengan lauk-pauk masakan kampung yang sungguh menyelerakan. Datuk Wan sendiri yang membawa saya ke ruang makan dan beliau sendiri yang menuangkan nasi dan lauk-pauk ke pinggan saya. Di sini, saya dapat merasai betapa tingginya sifat ikram yang ada pada Datuk Wan. Kami berempat sahaja di meja makan.
Selesai makan, kami ke ruang tamu semula. Perbualan kami kali ini lebih tertumpu kepada bagaimana untuk memajukan lagi PERTIS. Datuk Wan turut mengutarakan dua saranan yang mana pada perkiraan saya amat penting untuk diberikan perhatian khususnya oleh AJK Pusat PERTIS yang ada sekarang. Datuk Wan turut memperincikan saranannya supaya mudah untuk dilaksanakan oleh PERTIS kelak. Insha-Allah saya akan membawa saranan beliau untuk diperhalusi lagi dalam mesyuarat AJK Kerja PERTIS minggu hadapan. Beginilah Datuk Wan, bila bercakap dengan saya ada sahaja lontaran ideanya ke arah memperkasakan lagi PERTIS.
Sekitar jam 3 petang, saya serta isteri pun meminta diri. Saya harus segera pulang ke rumah untuk membuat catatan awal terhadap saranan-saranan yang baru sahaja diutarakan oleh Datuk Wan.
Kepada Datuk Wan Muhammad sekeluarga, saya serta isteri mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas undangan serta layanan yang sungguh mesra ketika kami bertamu di kediamannya. Kebaikannya amat tatkala dikecapi dan tak mungkin saya lupakan sehingga ke akhirnya.
Bukanlah tujuan tulisan ini untuk menunjuk-nunjuk ke rumah siapa saya bertamu atau dengan siapa saya berkawan. Apa yang ingin saya kongsikan ialah ketinggian budi serta kemuliaan akhlak yang masih menjadi pakaian segelintir manusia yang mana adakalanya Dia mempertemukan saya dengan golongan seperti ini. Mereka berjawatan tinggi tetapi tidak meninggi diri atau berpangkat besar tetapi tidak bercakap besar. Sikap redha serta sifat zuhud yang sentiasa terserlah dalam diri mereka yang bukan dibuat-buat sentiasa menjadi inspirasi kepada saya dalam diam. Bagi saya, kita harus mengambil kesempatan untuk berukhwah seakrabnya dengan golongan seperti ini bukan kerana hartanya atau pangkatnya atau pengaruh yang ada padanya, tetapi dengan doa dan harapan mudah-mudahan suatu hari kelak kita juga akan jadi mulia seperti mereka, insha-Allah.
Justeru, bagi saya amat dangkal dan sangat dungu sifatnya jika ada orang yang baru naik gaji sesen dua dan baru naik pangkat setakuk dua tapi sombongnya sudah mula melangit, cakapnya sudah mula tak melihat rumput lagi dan lagaknya pula sudah seperti Qarun atau Namrud. Golongan seumpama ini sering beranggapan mereka mampu menongkat langit sampai ke akhirat.
Sayugia saya tegaskan di sini, sifat dan sikap keji serta jijik ini boleh melekat dan berkarat daalam hati dan jiwa sesiapa sahaja yang lemah iman dan akidahnya sama ada yang berpenglihatan mahupun yang tidak berpenglihatan. Maknanya, kecacatan atau kesempurnaan penglihatan seseorang bukanlah penghalang atau pendinding untuknya daripada sebarang landaan musibah hati dan jiwa. Hanya iman yang teguh serta akidah yang kukuh sahaja yang akan dapat menahan seseorang itu daripada terjangkit dek penyakit hati yang maha merosakkan itu.
Semoga Allah menjauhkan kita daripada bersifat keji sedemikian dan juga menjauhkan kita daripada orang yang bersifat keji seperti itu.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment