Hari ini (1 Januari) merupakan hari pertama untuk tahun Miladi 2012. Ada yang melangkah ke tahun baru dengan penuh gah. Ada yang melangkah ke tahun baru dengan penuh azam dan tekad. Ada yang melangkah ke tahun baru dengan azam lama yang masih berbaki dan belum tertunai sepenuhnya. Ada juga yang melangkah ke tahun baru dengan penuh semangat, iltizam serta azam membumbung.
Selain itu, malam tadi pula ada juga yang masuk ke tahun baru dengan pelbagai cara dan gaya. Ada yang berpesta, ada yang menghadiri program anjuran pelbagai pihak di merata-rata tempat seluruh pelusuk tanah air, ada yang sekadar makan-makan dan minum-minum sahaja, ada yang sekadar di rumah sahaja bersama sanak keluarga. Konon khabarnya ada yang sampai hilang harga hak yang paling berharga. Semuanya gara-gar menyambut tahun baru.
Manakala saya sekeluarga pula, tatkala detik pertama tahun baru mula mengintai maya, kami dalam perjalanan pulang ke Kuantan dari Terengganu. Demikianlah.
Sebagaimana yang acapkali saya nyatakan, tahun baru tidak pernah menjanjikan apa-apa untuk kita. Sebaliknya, kitalah yang harus mengisinya dengan perkara-perkara baru selagi kita mampu.
Bagi rakyat negara yang tercinta ini, tahun baru hadir dengan pelbagai persoalan kenegaraan. Adakah tahun ini akan berlakunya pilihanraya umum yang ke-13? Adakah tahun ini juga akan berlakunya realiti teori RAHMAN yang sudah begitu lama diteorikan? Yang paling hampir dengan kita ialah, apakah nasib yang bakal ditanggung oleh ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari 2012 nanti?
Bagi kakitangan awam pula, tahun 2012 merupakan tahun pertama kita diserap dengan sistem baru (SBPA) terutamanya bagi mereka yang telah menandatangani dan bersetuju dengannya. Itu sahaja yang boleh saya perkatakan mengenai hal ini setakat ini ....
Bagi golongan yang percaya kepada angka 13 sebagai malang dan sial, mereka sangat berharap agar pilihanraya umum ke-13 akandapat diadakan pada tahun ini (2012. Kerana kalau diadakan juga pada tahun hadapan (2013), malang dan sialnya akan bertambah dua kali ganda kerana akan ada dua angka 13 di sana, pilihanraya umum 13 tahun 2013. Demikianlah kepercayaan karut marut sesetengah orang kita.
Dalam kalangan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk OKU penglihatan tahun 2012 juga turut menimbulkan beberapa persoalan. Adakah Tuan Haji Nazari dapat mempertahankan jawatannya selaku presiden SBM tahun ini? Adakah Jawatan Yang Di-Pertua Persatuan Orang-orang Cacatt Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang sedang disandang oleh Cikgu Zakaria akan ada pencabarnya nanti? Semuanya itu akan terjawab dalam tahun ini (2012).
Selamat menyambut tahun baru Masihi 2012 saya ucapkan khusus kepada semua pengunjung blog ini sama ada yang saya kenali secara langsung mahupun yang belum saya kenali.
Marilah kita bersama-sama jadikan tahun ini lebih baik daripada tahun lepas.
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment