Tuesday, July 21, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Memasuki Alam Blogger

Kalau dua hari lepas, saya mengalu-alukan kehadiran blogger baru dari
kalangan orang cacat penglihatan, pada kali ini, saya juga ingin
melakukan hal yang sama. Siang tadi, seorang lagi sahabat saya, Cikgu
Zamri menghubungi saya dan memaklumkan yang dia juga sudah mempunyai
blog sendiri.

Sudah tentu saya rasa gembira bilamana beliau juga sudah mempunyai
blog sendiri. Beliau seorang yang sentiasa mempunyai idea dan
pendapat khususnya yang mencakupi golongan cacat penglihatan dalam
pelbagai aspek kehidupan. Saya tidak nafikan adakalanya idea dan
pandangan beliau tidak sealiran dengan pandangan dan pendapat
sesetengah pihak. Itu perkara biasa. Bagi saya, yang pentingnya
sejauh mana pula kita berupaya menyaring nilai-nilai positif dalam
setiap buah fikiran yang dilontarkan.

Kemunculan blogger baru yang kian bercambah dalam kalangan golongan
cacat penglihatan mempunyai signifikan yang tersendiri. Melalui blog,
kita berupaya menyuarakan apa jua pandangan dan pendapat kita khasnya
yang mencakupi perkara-perkara yang berkait langsung dengan golongan
cacat penglihatan. Maklumlah, hari ini, seperkara yang tidak dapat
disembunyikan lagi, sesetengah institusi pendidikan khas sudah pun
diketuai oleh mereka yang tidak berlatarbelakangkan dan juga tidak
berpengalaman dengan mereka yang cacat penglihatan. Justeru,
adakalanya wawasan dan hala tuju kepimpinan mereka tidak serasi dengan
apa yang sepatut dilakukan ke arah memantapkan institusi yang
berkaitan demi manfaat golongan cacat penglihatan sendiri. Apa yang
lebih malang lagi, bilamana ada di antara mereka yang sebenarnya tidak
mempunyai pengetahuan pun mengenai hal ehwal golongan cacat
penglihatan, tetapi mereka inilah yang kadangkala dipanggil menghadiri
mesyuarat-mesyuarat tertentu bagi menangani permasalahan, menentukan
hala tuju, merangka sesuatu perkara yang berkait dengan golongan cacat
penglihatan, atau setidak-tidaknya bercakap bagi pihak dan untuk
kepentingan golongan yang cacat penglihatan. Mereka dipanggil ke
mesyuarat-mesyuarat berkenaan hanya semata-mata kerana mereka sudah
terlibat dalam pendidikan khas. Walhal pengetahuan dan pengalaman
mereka mengenai hal ehwal golongan cacat penglihatan masih boleh
disukat dengan ibu jari.

Ada di antara mereka yang berlagak sudah khatam dengan ilmu yang
berkaitan dengan golongan cacat penglihatan, sedangkan usia mereka
dengan golongan cacat penglihatan tak sampai pun setahun jagung.
Justeru, tidak hairanlah bilamana orang yang tak mahir dengan tulisan
Braille pun kini sudah boleh dapat anugerah cemerlang. Sepatutnya,
kalau hendak juga anugerah cemerlang tetapi tak berminat mempelajari
Braille, maka institusi pendidikan khas cacat penglihatan bukan tempat
yang sesuai untuk insan seperti mereka apatah lagi jika institusi
berkenaan hanya dijadikan batu loncatan untuk memperoleh kecemerlangan
peribadi.

Bagi masyarakat awam, hal seumpama ini sangat jauh dari jangkauan
pengetahuan mereka. Bagi mereka, sesiapa sahaja yang terlibat dengan
pendidikan khas diandaikan memangnya arif mengenai bidang yang
diceburi. Sesungguhnya pandangan suci masyarakat umum ini masih belum
ternoda oleh realiti nan hakiki.

Kepada Cikgu Zamri, tahniah saya ucapkan kerana telah menambah jumlah
blogger dalam kalangan cacat penglihatan. Marilah kita bersama-sama
mendokong dan mengusung obor kebenaran demi manfaat "orang kita" juga.
Setakat sebentar tadi, saya dapati blog Cikgu Zamri masih belum
berisi. Kepada mereka yang sudi, singgahilah ke
www.dotbraille.blogspot.com

Biarlah kita dibenci orang kerana kebenaran, jangan kita dipuji orang
kerana kepalsuan.

4 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Syabas dan tahniah, Cikgu Zamri! Saya juga sependapat dengan saudara dalam hal ini. Sememangnya apa yang saudara sebutkan itu benar belaka, bukan sekadar omong kosong. Malah, saya pernah terserempak sendiri akan gejala "kejahilan melampau" sebegitu di salah satu daripada institusi pendidikan khas cacat penglihatan. Malah, sepanjang pengetahuan saya, sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran, kecemerlangan fungsinya begitu terserlah. Namun, setelah itu, satu demi satu masalah mulai timbul, khususnya mengenai tulisan Braille, yang melibatkan penulisan Al-Quran. Apakah dengan hanya merubah sistem penomboran pada teks Al-Quran, daripada kaedah pemerengganan kepada kaedah "outline", insan tersebut patut beroleh anugerah? Sedangkan, kaedah sebegitu menggalakkan pembaziran, sekaligus mampu menghakis pemahaman dan kecenderungan pelajar dalam mempelajari Al-Quran?

Terima kasih sekali lagi di atas fakta sebegini. Juga, maaf dipinta andainya kisah yang dimuatkan ini menyentuh sensiviti mana-mana pihak. Apa hal pun, semoga kita menjadi antara para pejuang kebenaran, meskipun kita akan disisih menjadi golongan minoriti di mata ramai.

Unknown said...

salam cikgu zakaria. nampaknya bertambah lagi blog rakan-rakan kita. sekadar cadangan;

1. letakkanlah link kawan-kawan di dalam blog cikgu agar pengunjung lain dapat melihat blog rakan-rakan lain.

Cikgu Zakaria said...

Terima kasih Cabai. Walaupun namanya Cabai, cadangan yang dikemukakan bukan sahaja tak pedas, bahkan bernas pula. Insha Allah akan saya cuba laksanakan nanti. Terima kasih sekali lagi.

pen buruk ™ said...

salam cikgu.

keep good work.

jangan lupa letak blog saya sekali ya. terima kasih

http://www.myazhar4u.blogspot.com