Sunday, August 16, 2009

Bicara Tokoh

Cikgu Sulaiman Bin Shafie

Bila bercakap sahaja mengenai sejarah dan perkembangan Alquran
Braille di negara kita, sebenarnya tokoh yang sama sekali tidak boleh
dipisahkan dari sejarah tersebut ialah Ustadz Sulaiman bin Shafie.
Dalam kalangan bekas muridnya, beliau lebih mesra dengan panggilan
Cikgu Leman. Walaupun beliau seorang guru agama, tetapi beliau lebih
mesra dengan panggilan "cikgu" daripada "ustaz".

Cikgu Sulaiman bin Shafie telah dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan
pada 3 Jun 1934. Sememangnya sedari kecil lagi beliau telah menerima
pendidikan agama di Johor Bharu. Ketika itu, beliau tinggal
bersama-sama bapa saudaranya. Di zaman Jepun, beliau pulang ke
kampung dan dipelihara oleh datuknya. Setelah pendudukan Jepun tamat,
beliau telah kembali semula ke Johor Bharu dan meneruskan pelajaran
agamanya. Selain dari menerima pendidikan agama, beliau juga turut
menerima pendidikan Inggeris. Perlu saya jelaskan bahawa sejak
dilahirkan hingga ke akhir hayatnya, Cikgu Sulaiman merupakan seorang
yang berpenglihatan.

Pada 15 September 1954, tatkala cita-citanya untuk melanjutkan
pelajaran di sekolah Inggeris sedang memuncak, tiba-tiba datang
sepucuk surat (yang lebih merupakan sekeping kertas kecil) dari
Jabatan Agama Islam Johor yang mengarahkan beliau supaya menjadi
tenaga pengajar agama untuk Sekolah Agama Princess Elizabeth yang
bakal bermula sebaik sahaja sekolah tersebut berpindah ke bangunan
baru (di tempatnya yang ada sekarang). Menurut Cikgu Sulaiman, beliau
telah ditugaskan untuk mengajaar di Sekolah Agama Princess Elizabeth
kerana beliau berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun
latar belakang pendidikannya ialah agama Islam.

Sejak tahun 1948 lagi, pendidikan agama untuk murid-murid Sekolah
Princess elizabeth telah bermula. Waktu itu, sekolah tersebut masih
menumpang di bangunan yang lebih merupakan rumah kebajikan untuk
kanak-kanak pelbagai kecacatan dan juga pelbagai masalah yang terletak
di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bharu. Rumah kebajikan itu pula di
bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sejak awal penubuhannya
lagi, Sekolah Princess elizabeth telah mengikuti kurikulum arus
perdana. Walau bagaimanapun, pendidikan agama Islam di sekolah
tersebut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam Johor.
Oleh itu, tenaga pengajar bagi agama Islam juga didatangkan daripada
Jabatan Agama Islam Johor.

Dalam era antara tahun 1948–1954, percubaan awal pernah diusahakan
untuk memperkenalkan sistem tulisan Jawi Braille untuk murid-murid
Sekolah Princess Elizabeth. Ini bertujuan untuk membolehkan
pendidikan agama Islam yang dijalankan di bawah kendalian Jabatan
Agama Islam Johor dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna lagi dan
tidak hanya terhad kepada kaedah hafalan semata-mata. Pada masa itu,
sistem tulisan Braille telah pun diperkenalkan di sekolah tersebut,
tetapi sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille masih belum
diperkenalkan lagi. Cikgu Ann (Yang Berbahagia Dato' Ann Majeed) yang
juga merupakan guru besar pertama Sekolah Princess Elizabeth
bersama-sama dengan Major D.R. Bridges cuba mencari kaedah yang sesuai
untuk sistem tulisan Jawi Braille. Kebetulan pula, kedua-dua tokoh di
atas merupakan mereka yang mahir dengan tulisan Braille. Namun
begitu, oleh kerana tiada panduan khusus, maka usaha mereka berdua
ketika itu belum menampakkan hasil. Mereka hanya mampu menghasilkan
huruf alif hingga ya, itu pun dengan menggunakan titik-titik Braille
yang agak berbeza daripada sistem tulisan jawi Braille yang ada
sekarang. Sistem baris masih belum berjaya dihasilkan.

Keadaan mula berubah apabila senaskah Alquran Braille telah diterima
oleh Sekolah Princess Elizabeth dari negara Jordan di sekitar tahun
1953 atau 1954. Walau bagaimanapun, usaha untuk meneroka lebih jauh
lagi sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille terhenti. Antara
sebabnya ialah tiada guru yang benar-benar mengkhusus dalam pendidikan
agama Islam. Lagipun, Major Bridges telah pun berpindah ke Kuala
Lumpur. Jadi, untuk seketika, naskah Alquran Braille tersebut
tersimpan begitu sahaja.

Pada bulan Oktober tahun 1954, Cikgu Sulaiman bin Shafie telah mula
bertugas sebagai guru agama bagi Sekolah Princess Elizabeth. Walaupun
beliau telah ditugaskan mengajar murid-murid cacat penglihatan, namun
beliau tidak pernah mengikuti sebarang latihan untuk mengajar
murid-murid yang mengalami kecacatan sedemikian. Biar pun begitu,
demi memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan, beliau tidak
pernah menjadikan sebab tersebut sebagai alasan untuk beliau
melepaskan tanggungjawabnya. Sebaliknya, beliau telah mengambil
inisiatif sendiri dengan melakukan apa sahaja bagi membolehkan beliau
mengajar dan menyampaikan ilmu agama kepada murid-murid cacat
penglihatan di sekolah tersebut.

Untuk permulaan, beliau telah mempelajari sistem tulisan Braille
rumi. Biar pun beliau bertaraf guru, demi untuk memajukan diri, tanpa
segan dan silu beliau telah mempelajari tulisan Braille melalui
beberapa orang murid cacat penglihatan yang juga merupakan
murid-muridnya sendiri.

Setelah Cikgu Sulaiman mahir dengan sistem tulisan Braille rumi,
beliau mula beralih untuk mempelajari sistem tulisan jawi Braille dan
Alquran Braille pula. Tetapi, di mana dan dengan siapa beliau harus
belajar? Lagi pun, pada masa itu (tahun-tahun 1950-an), tiada seorang
individu pun yang mahir dengan tulisan jawi Braille di seluruh Tanah
Melayu. Kalau institusi memang jauh sekali. Yang ada hanya senaskah
Alquran Braille dari negara Jordan.

Oleh kerana tiada cara lain, akhirnya Cikgu Sulaiman telah
menggunakan Alquran Braille tersebut sebagai panduan. Bila buka
beberapa helaian Alquran Braille dan dibandingkan pula dengan Alquran
biasa, beliau mula merasai kesukaran. Ini disebabkan wujudnya
beberapa perbezaan besar antara kaedah penulisan Alquran Braille
dengan Alquran biasa yang tidak beliau ketahui ketika itu. Setelah
dicuba beberapa ketika, beliau mula merasa putus asa. Beliau mula
menyimpan hasrat untuk meninggalkan sahaja sekolah Princess Elizabeth
dan menyambung pengajiannya di sekolah Inggeris. Menurut cerita Cikgu
Sulaiman kepada saya, tatkala semangat tersebut sedang meluap-luap,
beliau melihat dan merenung anak-anak muridnya yang cacat penglihatan
itu. Patutkah beliau meninggalkan anak-anak muridnya dalam keadaan
demikian tanpa pendidikan agama? Sudahlah mereka tidak nampak (cacat
penglihatan), siapa pula yang akan ajar mereka baca Quran nanti?
Mengalir juga air mata beliau. Demikian antara yang pernah
diceritakan oleh Cikgu Sulaiman kepada saya suatu ketika dahulu.

Akhirnya, setelah berfikir panjang, beliau pun memutuskan untuk terus
mengajar di Sekolah Princess Elizabeth selagi diperlukan. Alquran
Braille dibuka semula bersama-sama Alquran bertulisan biasa. Satu
demi satu huruf beliau teliti. Satu demi satu baris beliau kaji.
Walaupun kadangkala penglihatan beliau agak terganggu dek kerana
melihat tulisan Braille yang terlalu lama, namun begitu, beliau gagahi
juga. Beliau sudah bertekad, walau apa pun, anak-anak muridnya yang
cacat penglihatan itu tidak akan beliau tinggalkan begitu sahaja.
Demikianlah erti sebenar pengorbanan seorang guru.

Menurut Cikgu Sulaiman, antara cabaran yang paling getir semasa
mempelajari dan mendalami tulisan Alquran Braille ialah cara membaca
dan menulisnya. Tidak seperti alquran Biasa di mana ia ditulis dan
dibaca dari kanan ke kiri, Alquran Braille pula ditulis dan dibaca
dari kiri ke kanan. Selain itu, kaedah penulisan Alquran Braille yang
meletakkan kedudukan antara huruf dan baris yang ditulis dalam barisan
yang sama juga merupakan cabaran yang getir pada peringkat awalnya.
Satu lagi cabaran getir yang harus beliau tempuhi ialah di mana kaedah
penulisan Braille pada naskah Alquran Braille yang ada ditulis secara
double sided (bahagian hadapan dan belakang setiap halaman bertulisan
Braille). Keadaan ini sudah tentu menyukarkan beliau untuk membaca
Alquran Braille tersebut kerana beliau membacanya dengan mata dan
bukan dengan hujung jari sebagaimana pembaca cacat penglihatan. Demi
untuk murid-muridnya, beliau gagahi juga mempelajari dan mendalaminya
walaupun ia amat meletihkan mata. Demikianlah besarnya beliau
berkorban demi untuk mencelikkan hati anak-anak muridnya.

Akhirnya, dengan berkat usaha beliau siang dan malam serta tanpa
henti dan jemu, berjaya juga beliau memahami kaedah dan perbezaan
penulisan antara Alquran bertulisan biasa dengan Alquran Braille.
Setelah itu, beliau mula memahami bentuk huruf alif hingga ya.
Setelah itu pula, beliau mula memahami titik-titik yang membentuk
pelbagai baris. Seterusnya, beliau mula memahami kaedah menulisnya di
mana huruf dan baris akan ditulis dalam barisan yang sama.
Demikianlah gigihnya seorang guru yang berpenglihatan demi anak-anak
muridnya yang tidak berpenglihatan.

Usaha-usaha beliau ke arah memajukan lagi pendidikan agama di Sekolah
Princess Elizabeth tidak terhenti setakat itu sahaja. Setelah beliau
mahir menulis dan membaca tulisan Braille, khususnya jawi Braille dan
Alquran Braille, beliau telah memulakan pula usaha untuk mengalih
tulis kitab-kitab agama yang bertulisan biasa ke dalam tulisan
Braille. Kitab-kitab tersebut merupakan teks bacan untuk pendidikan
agama kendalian Jabatan Agama Islam Johor. Pada peringkat awal, Cikgu
Sulaiman terpaksa mengendalikan 5 buah kelas yang berlainan secara
berseorangan iaitu dari kelas yang paling bawah hinggalah kelas yang
tertinggi. Setiap kelas pula, terdapat 4 hingga 6 mata pelajaran
seperti tauhid, tafsir, tajwid, tarikh (sejarah), adab dan ibadat
(feqah). Setiap kitab itu pula, beliau alih tulis secara
bersendirian. Beliaulah yang membacanya dari kitab bertulisan biasa
dan beliau jugalah yang menulisnya kembali ke dalam tulisan Braille.
Oleh kerana kesemua kitab itu bertulisan jawi, maka beliau telah
menulisnya semula ke dalam tulisan jawi Braille. Beliau benar-benar
umpama lilin yang telah membakar dirinya untuk menerangi
murid-muridnya yang cacat penglihatan.

Usaha-usaha di atas telah beliau lakukan secara bersendirian dan
tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Setelah kedatangan mesin cetak
Braille (thermoform) di Sekolah Princess Elizabeth dan dengan
kebenaran daripada guru besar sekolah tersebut ketika itu iaitu En.
Lesly Cheah, beliau telah mula mencetak kitab-kitab agama yang telah
beliau Braillekan itu. Usaha-usaha untuk mengalih tulis kitab-kitab
agama ke tulisan Braille telah dilakukan secara berterusan dan
bersendirian pula dan ia bergantung kepada keperluan semasa.
Sememangnya lantaran berusaha seorang diri, beliau tidak mungkin untuk
mengalih tulis kesemua kitab yang diperlukan bagi menampung keperluan
5 buah kelas agama pada waktu itu. Namun begitu, kebanyakan kitab
yang diperlukan telah berjaya beliau alih tulis ke dalam tulisan
Braille.

Satu lagi cabaran utama yang dihadapi oleh Cikgu Sulaiman ketika itu
ialah bagaimana untuk mengajar membaca Alquran Braille kepada
murid-muridnya. Pada waktu itu, hanya ada senaskah Alquran Braille
sahaja, iaitu naskah Alquran Braille yang datangnya dari negara
Jordan. Sedangkan bilangan muridnya semakin bertambah setiap tahun.
Beliau pernah mencuba untuk mengalih tulis Alquran ke dalam tulisan
Braille. Walaupun Alquran tersebut tidak dapat dialih tulis
sepenuhnya, namun ia amat berguna kepada murid-murid cacat
penglihatan, khususnya di Sekolah Princess Elizabeth, terutamanya
untuk memahirkan mereka dengan Alquran Braille. Seingat saya, antara
bahagian Alquran yang sempat dialih tulis ke dalam bentuk Alquran
Braille termasuklah sebahagian juzuk 30 serta juzuk 1 hingga ayat 108
surah Albaqarah. Dalam situasi ini, dan untuk memastikan supaya
pelajaran membaca Alquran untuk murid-muridnya tidak terus terabai,
beliau telah membahagikan masa untuk pelajaran membaca Alquran kepada
2 masa, satu masa untuk menyalin ayat-ayat yang akan dibaca. Beliau
akan membacakan huruf dan baris satu demi satu dan ia akan disalin
oleh murid-muridnya. Masa kedua pula ialah di mana anak-anak muridnya
akan membacakan keseluruhan ayat-ayat yang disalin tadi. Kaedah ini
merupakan serampang dua mata di mana anak-anak muridnya akan mahir
dalam aspek membaca dan aspek menulis Alquran Braille. Sesungguhnya
naskah Alquran Braille yang terdapat di negara ini sekarang yang
dikeluarkan oleh Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam
Malaysia (PERTIS) merupakan hasil usaha penyalinan yang telah
dilakukan daripada bekas anak muridnya. Demikianlah ilmu yang
bermanfaat itu terus mengalir.

Cikgu Sulaiman juga merupakan orang yang bertanggungjawab ke arah
memperkenalkan dan menyebarkan sistem tulisan jawi Braille kepada
golongan cacat penglihatan di negara ini melalui pendidikan agama di
Sekolah Agama Princess Elizabeth. Lagi pun, pada ketika itu, Sekolah
Princess Elizabeth merupakan satu-satunya institusi pendidikan khas
cacat penglihatan yang memartabatkan sistem tulisan jawi Braille dan
Alquran Braille. Melalui Cikgu Sulaiman, ramai golongan cacat
penglihatan di negara kita berkebolehan dan berkemampuan untuk
mentelaah kitab suci Alquran iaitu menerusi alquran Braille. Malahan
beberapa orang bekas murid beliau telah berjaya menghafaz keseluruhan
Alquran (30 juzuk) melalui kebolehan mereka membaca kitab suci
tersebut dalam tulisan Braille.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab mengajar tulisan Braille
khususnya jawi Braille dan Alquran Braille kepada mana-mana guru agama
yang baru dihantar oleh Jabatan Agama Islam Johor untuk mengajar di
Sekolah Agama Princess Elizabeth. Beliau juga merupakan orang yang
sering ditugaskan untuk mengalih tulis kertas-kertas soalan
peperiksaan kendalian Jabatan Agama islam Johor untuk murid-murid
Sekolah Agama Princess Elizabeth.

Selain daripada mengajar dalam kelas, Cikgu sulaiman turut mengajar
anak-anak muridnya pelajaran tertentu secara praktikal. Saya masih
ingat bagaimana beliau mengajar saya berwudhu' (mengambil air
sembahyang). Mulanya beliau sendiri akan membasuhkan
bahagian-bahagian anggota wudhu' saya. Setelah itu, beliau akan
menyuruh saya membasuhnya kembali. Demikian juga cara beliau mengajar
rukun fe'li dalam solat. Beliau akan melakukannya, anak-anak muridnya
akan menyentuh untuk mengetahui bagaimana ia dilakukan, setelah itu
beliau akan menyuruh anak-anak muridnya melakukannya pula. Walaupun
Cikgu Sulaiman tidak pernah mengikuti latihan untuk mengajar
murid-murid cacat penglihatan, demi keikhlasan untuk melaksanakan
hasrat dan tekadnya, beliau telah mampu melaksanakannya secara
berkesan. Hasilnya, anak-anak muridnya mampu untuk melaksanakan
ibadah dengan lebih sempurna lagi.

Adakalanya Cikgu Sulaiman merupakan seorang guru yang tegas dan
kadangkala agak keras bila mendidik. Saya masih ingat lagi, ada
segelintir kecil anak-anak muridnya yang malas solat dan adakalanya
bersembunyi di bawah katil di asrama. Beliau akan ke asrama,
mengambil batang mop dan menjolok di bawah katil tempat persembunyian
murid tadi hingga murid berkenaan terpaksa keluar dari tempat
persembunyiannya. Kebiasaannya, bila kami solat berjamaah, jarang
sekali Cikgu Sulaiman mengimamkannya. Beliau akan menyuruh mana-mana
murid yang senior dan sesuai untuk menjadi imam. Beliau sendiri akan
memerhati perjalanan solat hingga selesai. Mana-mana muridnya yang
main-main ketika solat, pasti akan "kena". Mana-mana yang sempat
"ditangankan" akan "ditangankan". Mana-mana yang main-main tapi
kedudukannya yang agar sukar untuk "ditangankan", beliau akan
melemparkan tasbihnya kepada murid yang main-main tadi. Dalam soal
ini, beliau nampaknya tidak pernah berkompromi dengan kecacatan yang
ada. Demikianlah cara beliau melentur anak-anak yang masih rebung.

Saya masih ingat lagi, jika ada masa lapang, Cikgu Sulaiman suka
membacakan kepada kami pelbagai berita daripada surat khabar.
Adakalanya beliau akan membacakan kepada kami cerita-cerita ambia'
dari kitab-kitab tertentu. Sesungguhnya, dalam konteks ini, beliau
amat memahami apa yang kami perlukan walaupun beliau tidak pernah
dilatih untuk mengajar murid-murid yang cacat penglihatan seperti
kami.

Pada 3 Jun 1989, tarikh persaraan beliau tiba. Walau bagaimanapun,
Jabatan Agama Islam Johor telah menyambung perkhidmatan beliau secara
kontrak. Hanya pada tahun 1991 barulah Cikgu Sulaiman benar-benar
bersara dari tugasnya, iaitu setelah berkhidmat selama 37 tahun
(1954-1991). Sebenarnya, beliau tidak lagi menyambung kontraknya
lantaran kesihatannya yang tidak begitu memuaskan ketika itu. Setelah
bersara, beliau telah pulang ke kampungnya di Pulau Sebang, Tampin.
Pada bulan November 1993, Cikgu sulaiman telah kembali ke rahmatullah.

Setakat yang saya ketahui, setelah berkhidmat selama 37 tahun untuk
mendidik murid-murid cacat penglihatan, beliau tidak pernah mendapat
sebarang anugerah. Seingat saya, beliau tidak pernah sekalipun
mengeluh kerana mengajar kami yang cacat penglihatan ini. Walau
bagaimanapun, beliau akan bersikap tegas jika ada di antara kami yang
malas, main-main, cuai atau sebagainya.

Sesungguhnya pemergian Cikgu Sulaiman mengadap Ilahi tiada pengganti
budi dan jasa beliau tiada tandingan pada zaman ini
keikhlasan beliau dalam berbakti terasa hingga kini
suara dan cara beliau mendidik amat kami rindui
ketokohan dan kegigihan beliau sukar dicari ganti.

"Walaupun Cikgu Sulaiman tidak mencelikkan penglihatan kami, tetapi
beliau telah mencelikkan hati kami dengan Alquran. Semoga beliau
sentiasa dalam keredhaan Allah selama-lamanya."

2 comments:

puterimualim said...

Terharu dan tersentuh sungguh sungguh baca artikel ini.
"Ya Allah rahmatilah almarhum Cikgu Sulaiman tempatkanlah beliau bersama para syuhada' dan solihin."
Sepatutnya semua cikgu tak kira apa keadaan sekalipun samada mengajar di sekolah cacat atau bukan cacat mesti mencontohi kegigihan dan keikhlasan cikgu Sulaiman dalam mendidik anak-anak murid.
Yang pasti, beliau bukan jadi cikgu sebab nak cari nama, sebab nak terima anugerah guru cemerlang jauh sekali nak mohon guru cemerlang sebab nak dapat gaji lebih kerana berubah gred jawatan, bukan itu yang dikejar. Tapi beliaulah orang amat cemerlang di sisi Allah s.w.t.Anugerah yang diterima dari Allah s.w.t lebih tinggi, nilai di sisi Allah s.w.t lebih bererti dari nilai pandangan manusia. Apa yang jelas, keikhlasannya dalam mendidik, tanpa mengira ganjaran di dunia mengalirkan keberkatan dari ilmu yang diajarnya.
Doa anak-anak muridnya sentiasa mengalir untuk beliau. Amin!!!!!!

Anonymous said...

salam ramadhan buat cikgu, maaf kerana lambat menulis komen. sungguh menarik sekali artikel ini. Arwah bukan sahaja menjadi lilin tapi menerangkan mereka yang yang gelap jiwanya sejak dilahirkan. di bulan yang penuh barokah ini, saya berdoa agar allah s.w.t sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya dan memelihara keluarga dan keturunannya. satu lagi tokoh yang tak kurang penting ialah cikgu salmah. mungkin dapat saya membacanya pada posting-posting mendatang. wasalam and allah hafiz