Thursday, August 6, 2009

Bicara Ucapan

Selamat Hari Lahir Untuk Luqman

Hari ini, 15 Syaaban, merupakan tarikh lahir anak tunggal kami,
Luqman, mengikut takwim Hijrah. Luqman telah selamat diputerakan pada
15 Syaaban 1422 Hijrah (1 November 2001) di sebuah klinik swasta,
Kuala Lumpur, tepat pada jam 3.43 petang.

Di saat kelahirannya, hanya saya dan ibu saya sahaja yang menunggu di
luar wad bersalin. Sejurus Luqman dilahirkan, ibu saya berkesempatan
untuk menatapnya buat seketika. Perkhabaran pertama yang disampaikan
oleh ibu saya kepada saya setelah menatap cucunya ialah "Mata anakmu
celik". Ibu saya bukan mengkhabarkan kepada saya tentang jantina
cucunya, warna kulitnya atau setidak-tidaknya susuk tubuh anak saya.

Di sebalik bait-bait kalimah perkhabaran itu, saya mungkin dapat
menyelami dan memahami maksud dan harapan yang tersirat. Walaupun ibu
saya sudah boleh menerima yang anaknya "begini", tetapi mungkin ibu
saya belum bersedia untuk menerima keadaan jika ditakdirkan yang
cucunya pun "begini" juga. Walau apa pun, saya, isteri serta seluruh
keluarga dari kedua-dua belah pihak sentiasa bersyukur ke hadhrat
Allah dengan kehadiran Luqman dalam hidup kami. Kami turut bersyukur
kerana Allah telah mengurniakan putera yang sempurna fizikalnya, tidak
seperti abahnya.

Kini, Luqman sudah berusia 8 tahun. Saya bersyukur lagi apabila saya
mendapati Luqman tidak merasa kekok, canggung, malu atau segan
khususnya kepada rakan-rakan sebayanya kerana abahnya "begini".
Sebaliknya, Luqman akan bersikap "membela" jika ada mana-mana pihak
yang cuba "mempersendakan" abahnya. Saya masih ingat lagi, tak berapa
lama dahulu, Luqman pulang dari sekolah dengan keadaan marah-marah.
Bila ditanya beberapa kali, baru dia menjawab, "Di sekolah tadi, cikgu
kata abah Luqman buta".

Sudah tentulah besar doa dan harapan kami supaya Luqman menjadi insan
yang solih, beroleh kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta
terpelihara daripada azab seksa neraka.

"Selamat hari lahir, Luqman" (dari abah dan umi).

2 comments:

puterimualim said...

ربنا هب لنا من الصالحين
ربنا ءاتنا في الدنيا حسنة
و في الاخرة حسنة وقنا عذاب النار

-Umi-

rosniza said...

Happy belated birthday Luqman, baru baca post ni...untuk umi dan abah luqman....bila kami kwn2 ana tau yang ana akan berjodoh dgn insan yang cacat penglihatan, kami semua bangga atas keputusan ana, sebab dia berhak untuk berbahagia dengan sesiapa pun, bila luqman lahir, kami berbangga sebab akan lahir zuriat pasangan yang kami sayang...sayang sangat....Semoga bahagia selama-lamanya....