Sunday, September 27, 2009

Menungan Tengah Hari

Terima Kasih Skrine And Company

Skrine And Company merupakan antara firma guaman yang terkemuka,
tertua dan juga antara yang terbesar di negara kita. Beberapa tahun
lalu, lokasinya ialah di Straits Trading Building, bersebelahan dengan
bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja, Kuala Lumpur. Kini ia
telah berpindah di Damansara.

Pada Januari 1992, Linda Kam Yoke Ying telah mula bertugas sebagai
operator telefon di firma guaman tersebut. Seingat saya, Linda Kam
merupakan kakitangan cacat penglihatan pertama yang telah diterima
bertugas dengan firma berkenaan. Pada bulan April 1992, saya pula
telah diterima bertugas di firma berkenaan juga sebagai operator
telefon. Waktu itu saya baru sahaja menamatkan pengajian saya dari
Universiti Malaya (UM). Walaupun saya baru dapat ijazah, namun saya
sembunyikan ijazah saya itu untuk membolehkan saya diterima sebagai
pekerja di situ. Maklumlah nak cuba hidup sendiri di samping mencari
peluang lain yang lebih baik. Ini bermakna, selepas bulan April 1992,
sudah ada 2 pekerja cacat penglihatan di Skrine, iaitu saya dan Linda.
Linda pula seorang rakan yang sangat spotting. Walaupun dia tahu
saya ada ijazah, tapi beliau turut sama-sama sembunyikannya dari
pengetahuan semua orang di Skrine. Terima kasih Linda!

Setelah diterima bekerja, saya sedaya upaya cuba melaksanakan tugas
dengan sebaik mungkin, walaupun tugas saya Cuma buat call, terima
call, sambung call, catat call dan yang berkaitan dengannya. Waktu
itu, bulan Julai merupakan bulan kenaikan gaji untuk semua kakitangan
di Skrine. Kebetulan juga, tempoh percubaan saya selaku kakitangan
baru telah berakhir pada hujung Jun dan terus mendapat pengesahan
(confirm). Salah seorang rakan sejawat yang berpenglihatan ada
memberitahu saya, untuk kenaikan gaji tahun tersebut (1992),
sepatutnya saya tidak dapat sebarang kenaikan kerana saya kakitangan
baru. Katanya lagi, mungkin atas dasar kasihan, saya mungkin
akandapat juga kenaikan sekitar RM 20.00. Saya diam sahaja.
Maklumlah orang baru yang tak tahu apa-apa!

Pada hujung Julai, setiap kakitangan Skrine sibuk melihat slip gaji
masing-masing. Saya juga begitu. Tapi saya suruh orang lain (bukan
kakitangan Skrine) yang bacakan butiran gaji saya. Saya terperanjat
kerana saya menerima kenaikan sebanyak RM 60.00. Saya bersyukur yang
amat sangat tapi diam sahaja. Saya yakin kenaikan sebanyak itu bukan
atas dasar kasihan, tetapi pihak pengurusan firma berkenaan telah
berpuas hati dengan cara saya bekerja. Ini dijelaskan lagi dengan
beberapa pujian yang saya dengar dan terima daripada beberapa orang
partners firma tersebut sebelumnya. Semuanya saya pendam dan simpan
sahaja.

Beberapa hari kemudian, kakitangan yang paling senior dalam Unit
Telefonis Dan Reseptionis, Molly namanya, memberitahu dia dapat
kenaikan untuk tahun tersebut sebanyak RM 30.00 sahaja. 5 orang
kakitangan lain dalam unit yang sama memberitahu mereka mendapat
kenaikan sekitar RM 20.00 sahaja. Salah seorang dari mereka bertanya
sama ada saya turut mendapat kenaikan atau tidak. Saya jawab, ada
kenaikan. Bila mereka bertanya berapa jumlahnya, saya jawab RM 20.00.
Rakan yang telah membuat jangkaan awal sebelumnya pun berkata, sudah
dijangka. Sampai sekarang pun mereka tak tahu perkara yang sebenar
(kecuali jika mereka mengunjungi blog ini).

Pada hujung Oktober 1992 dan setelah mendapat peluang yang lebih
baik, saya pun meletakkan jawatan di Skrine And Company. Sebenarnya
saya ingin meletakkan jawatan pada hujung September lagi, tetapi pihak
pengurusan meminta saya sambung sebulan lagi bagi membolehkan mereka
mencari kakitangan pengganti yang sesuai. Apa yang menariknya,
kekosongan yang saya tinggalkan telah diisi oleh En. Abu Seman yang
juga seorang cacat penglihatan. Di sinilah terserlahnya sikap
prihatin pihak pengurusan Skrine And Company. Kakitangan yang
meletakkan jawatan seorang cacat penglihatan, diganti pula dengan
kakitangan baru yang juga cacat penglihatan. Beberapa tahun kemudian,
saya mendapat maklumat, pihak Skrine And Company telah menerima
seorang lagi orang cacat penglihatan sebagai kakitangannya. Ini
bermakna sudah ada 3 orang cacat penglihatan yang bertugas dengan
Skrine And Company.

Pada hujung bulan ini, En. Abu Seman akan bersara dari Skrine.
Kekosongan yang ditinggalkan oleh En. Abu Seman akan diambil alih pula
oleh En. Abdul Rahman Siva Abdullah, yang juga merupakan seorang cacat
penglihatan. Sekali lagi pihak Skrine telah membuktikan akan
keprihatinannya khususnya terhadap golongan cacat penglihatan apabila
menggantikan kakitangannya yang cacat penglihatan yang bersara dengan
kakitangan baru yang juga cacat penglihatan.

Saya penuh yakin, keprihatinan yang ditunjukkan oleh Skrine And
Company bukan semata-mata atas belas kasihan, tetapi ia turut didokong
oleh keyakinan akan keupayaan dan kemampuan golongan cacat penglihatan
dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka selaku pekerja.
Bagi pekerja cacat penglihatan pula, marilah kita sama-sama laksanakan
tugas dan tanggungjawab kita selaku pekerja walau dalam sektor apa pun
dengan sebaik mungkin. Dengan cara itu, kita sebenarnya akan membuka
peluang yang lebih baik kepada generasi senasib kita di masa depan.

Terima kasih Skrine And Company!

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Tahniah dan terima kasih, Skrine! Memang, rasanya pada hari ini, nak cari badan korporat begitu, ibarat satu dalam sejuta! Semoga syarikat berkenaan akan terus kekal dengan dasar sedia ada, sekaligus menyumbang ke arah kemajuan yang dirahmati lagi diberkati.

Namun begitu, rasanya tidak menghairankan jika agensi lain tidak mahu/keberatan mengambil rakan-rakan kita bekerja. Manakan tidak? Adakah NGO senior kita memberikan contoh yang baik? Malah, sesetengahnya telah dikurniai kemudahan dan keselesaan, masih sanggup berdolak-dalih, justeru, bagaimana kita hendak meyakinkan orang lain aan eupayaan rakan-rakan kita? Tamat latihan, selesailah semuanya, begitukah? Oleh itu, ibarat kita punya cukup pancaindera, janganlah sampai kita meminta orang lain untuk menyuapkan makanan dan minuman ke mulut kita. Jika nak dicari kelemahan, semua insan, hatta para penyibuk akan kelemahan orang itu sendiri, lemah hingga mahu mencari salah dan aib orang. Dengan itu, jika kita benar-benar ingin agensi kerajaan dan swasta menggaji rakan-rakan kita sebagai pekerja mereka, kita sendiri yang patut memulakannya terlebih dahulu. Malah, banyak faedah dan idea rakan-rakan kita yang boleh dikongsi bersama jika tenaga dan buah fikiran mereka diproses dan dijana seafdhalnya menurut kemampuan.

Terima kasih.