Thursday, March 18, 2010

Bicara Peristiwa

Menghadiri Kolokium Pengajian Quran Di Kalangan Golongan Cacat Penglihatan Di USIM

Pagi semalam, sekitar jam 8.40 pagi, saya tiba di perkarangan Fakulti Quran Dan Sunnah, universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Tujuan saya ke sini ialah sebagai salah seorang penceramah jemputan untuk Kolokium Pengajian Quran Di Kalangan Golongan Cacat Penglihatan anjuran fakulti berkenaan. Seperti biasalah, saya juga akan turut disertai oleh isteri dan Luqman. Selain saya, 2 penceramah lain ialah Tuan Haji Muhammad Lee Abdullah daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan juga ustaz Muhammad Kalam Mazad bin Abdul Rahman, Penolong Pengarah di Unit Ukhwah, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan islam Malaysia (JAKIM).



Setibanya saya dan keluarga, saya terus di bawa ke bilik menunggu. Di sini, Tuan Haji Muhammad Lee dengan diiringi oleh Norhar Majid serta Ustaz Muhammad Kalam sudah pun tiba. Selain itu, antara mereka yang turut berada di bilik ini ialah Dr. Fauzi Mohd Amin selaku Timbalan Dekan 1, Dr. Muhammad Mustaqim (pensyarah), Ustazah Noornajihan Jaafar (pensyarah), Ustaz Khairi (pensyarah) serta para urus setia yang terdiri daripada para penuntut di fakulti ini. Saya dijamu dengan secawan teh yang enak rasanya.







Sekitar jam 8.55 pagi, kami yang berada di bilik menunggu pun bergerak masuk ke dewan utama fakulti. Saya difahamkan, sekitar 269 penuntut menghidiri kolokium kali ini. Mereka terdiri daripada para mahasiswa yang mengambil subjek Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran. Kesemua mereka berpenglihatan, tetapi yang uniknya mereka berminat dengan Braille, khususnya pengajian mengenai Alquran Braille.





Kolokium dimulakan dengan ucapan aluan daripada pengacara majlis, kemudian diikuti pula dengan bacaan doa. Setelah itu, ia diteruskan lagi dengan ucapan aluan daripada pengarah program, Saudara Mohd Ridhwan Ramli. Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan ucapan dan perasmian yang disempurnakan oleh Dr. Fauzi Mohd Amin, selaku Timbalan Dekan 1.



Dalam ucapannya, beliau merasa bersyukur dan berbangga kerana USIM merupakan satu-satunya IPT yang menawarkan kursus berkaitan aplikasi Braille dalam pengajian Quran. Katanya lagi, Naib Canselor USIM juga sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan kursus ini. Demikianlah antara intipati ucapan Dr. Fauzi.



Sebenarnya, USIM menerusi Fakultti Quran dan Sunnah telah pun mula menawarkan kursus Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran sejak tahun 2008 lagi. Seperti yang dinyatakan tadi, yang uniknya, mereka yang mengikuti kursis ini terdiri daripada para mahasiswa yang berpenglihatan. Namun demikian, kesungguhan serta minat yang ditunjukkan oleh para mahasiswanya amat patut dipuji. Selain itu, para pensyarahnya juga sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengembangkan lagi ilmu berkaitan Alquran Braille.



Setelah selesai upacara perasmian, maka saya pula mengambil giliran untuk mengendalikan slot selama sekitar sejam. Tajuk yang diberi untuk slot saya ialah “Perkembangan Dan Isu-isu Terkini Mengenai Quran Braille”. Sebagaimana biasa, untuk memantapkan lagi penyampaian, saya menggunakan Power Point. Untuk sesi ini, saya telah menyediakan 39 slide untuk dikongsikan dengan para hadirin. Saya harus menggunakan komputer (netbook) saya sendiri kerana ia dilengkapi dengan perisian pembaca skrin. Pihak penganjur juga ada menyediakan komputer berserta LCD, tetapi oleh kerana ia tidak dilengkapi dengan perisian sebagaimana di atas, maka ia tidak dapat saya manfaatkan. Namun demikian, ia bukanlah masalah kepada saya kerana saya telah bersedia dengan komputer sendiri. Semasa menyampaikan ceramah, saya sendiri yang mengendalikan slide berkenaan dengan bantuan perisian pembaca skrin. Demikianlah besarnya kuasa Alllah, kerana semasa saya di sekolah rendah, saya sendiri tidak pernah terfikir akan dikurniakan sedikit kemampuan untuk mengendalikan semuanya ini.



Dalam slot ini, saya telah mengutarakan mengenai bahan-bahan rujukan yang boleh dimanfaatkan mengenai pengajian Quran Braille. Memang ia masih sedikit lagi. Selain itu, saya turut mengemukakan isu-isu yang masih membelit pengkajian serta penggunaan Quran Braille. Saya juga turut mengutarakan pandangan saya mengenai kod wasilah Alquran Braille yang sedang diwar-warkan oleh pihak tertentu. Selain itu, saya juga mengenengahkan beberapa saranan ke arah penambahbaikan pengkajian dan penggunaan Alquran Braille. Akhir sekali, saya juga turut mengenengahkan perkembangan terkini mengenai Alquran Braille, iaitu kerjasama penyelidikan yang sedang dijalinkan antara Persatuan Orang-orang
Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dengan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dari UTM.



Selepas kudapan, tiba pula giliran Tuan Haji Muhammad Lee Abdullah menyampaikan ceramah beliau. Ceramah beliau bertajuk “Hidayah Allah Kepada Sesiapa Yang Dikehendaki-Nya”. Tuan Haji Muhammad Lee telah berkongsi dengan para peserta mengenai pengalaman serta cabaran yang telah beliau lalui sehinggalah beliau beroleh hidayah daripada Allah. Oleh kerana ceramah beliau banyak bersandarkan kepada pengalamannya sendiri, maka ia mempunyai kekuatan tersendiri yang sekaligus telah memukau para peserta. Saya dimaklumkan, ada juga antara para peserta yang mengalir air mata mereka bila mendengarkan pengalaman yang telah ditempuhi oleh Tuan Haji Muhammad Lee tatkala mencari sinar yang hakiki. Sebahagian besar daripada pengalaman beliau pernah saya saksikan kerana kebetulan kami sama-sama masuk alam sekolah rendah dan menengah.



Setelah selesai slot Tuan Haji Muhammad Lee, maka tiba pula giliran Ustaz Muhammad Kalam Mazad bin Abdul Rahman mengambil giliran. Beliau merupakan Penolong Pengarah di unit Ukhwah, Bahagian Dakwah, JAKIM. Tajuk slot beliau ialah “Mensyukuri Nikmat Tuhan”. Saya rasa, slot ini memang sesuai dengan beliau berdasarkan latar belakang sejarah beliau sendiri. Ustaz Kalam Mazad asalnya seorang yang berpenglihatan. Beliau telah hilang penglihatannya ketika berusia 21 tahun, iaitu dalam satu kemalangan jalan raya di Beserah, Kuantan. Dalam ceramahnya, Ustaz Kalam Mazad menerangkan betapa pentingnya kita semua bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan kepada kita oleh Allah. Beliau juga turut mengenengahkan pengalaman serta cabaran yang pernah beliau tempuh setelah kehilangan penghilatan, sehinggalah membawa kepada kejayaan beliau melanjutkan pengajiannya di UM dan seterusnya mendapat pekerjaan di JAKIM.





Sekitar jam 12.45 tengah hari, sesi sebelah pagi/tengah hari pun selesai. Kami semua turut dijamu dengan makan tengah hari yang enak dan menyelerakan. Sesi sebelah petang pula dipenuhi dengan pembentangan daripada para mahasiswa yang mengambil kursus Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran. Namun begitu, saya terpaksa meninggalkan majlis kerana saya sekeluarga harus ke Kuantan semula petang ini juga.

Sesungguhnya bagi saya, kolokium seperti ini memang jarang dianjurkan. Apatah lagi ia menyentuh aplikasi Braille dalam pengajian Quran. Lagipun, tidak ramai yang berminat untuk menganjurkan majlis seperti ini. Mungkin kerana ia disebabkan kekurangan kepentingan, kemahiran, kemahuan dan juga pengalaman. Langkah berani pihak USIM menerusi Fakulti Quran Sunnah dalam memperkenalkan kursus Aplikasi Braille Dalam Pengajian Quran patut dipuji dan saya sentiasa berdoa semoga mereka yang terlibat akan sentiasa mendapat keredhaan serta pertolongan Allah hendaknya.

Saya serta rakan-rakan penceramah yang lain berharap apa yang kami telah sampaikan akan benar-benar bermanfaat kepada yang mendengarnya. Lagi pun, saya bukanlah berilmu sangat, sekadar berkongsi dengan sekadar apa yang saya ada.

Di sini, saya bagi pihak Tuan Haji Muhammad Lee dan Ustaz Muhammad Kalam Mazad ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi mengundang kami untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas layanan yang begitu istimewa dan penuh mesra yang telah diberikan kepada kami di sepanjang kami berada di Fakulti Quran Sunnah, USIM. Sesungguhnya, layanan yang sebegini istimewa dan sebegitu mesra jarang ditemui di tempat lain. Hanya Allah sahaja yang akan memberikan balasan yang sebaiknya kepada mereka yang terlibat.

Akhir sekali, saya ingin berkongsi kata-kata yang diucapkan kepada saya oleh Dr. Muhammad Mustaqim semasa kudapan, antara lain beliau mengatakan: “Pengajian Alquran Braille ini nampak sahaja mudah, tetapi cabarannya besar. Bila saya telah lalui, maka saya kini lebih memahami akan cabarannya”.

Salam dari Kuantan.

6 comments:

pen buruk ™ said...

Assalamualaikum cikgu.

sekalung tahniah kepada tuan dan juga penceramah yang lain. sesungguhnya besar perjuangan kalian dalam memartabatkan golongan seperti kita serta alquran braile

saya tertarik dengan keyakinan cikgu dalam menengahkan teknologi komputer bagi orang buta. sesungguhnya kita juga melakukan yang terbaik jika diberi peluang.

jika tidak keterlaluan, saya ingin memberi cadangan agar cikgu meletakkan tajuk yang menarik di dalam setiap posting cikgu. contohnya "bicara peristiwa" kepada "ceramah di HUSM" atau mana-mana tajuk yang lebih menarik.

rasionalnya, ia akan memudahkan lagi pencarian di internet disamping memberitahu orang yang membuat link di dalam blog cikgu.

jika cikgu perhatikan, apabila kita menaip sesuatu perkataan di dalam pencarian google, peluang untuk orang menaip bicara peristiwa dan seumpamnaya agak tipis.

sekali lagi sekalung tahniah dan mohon mencadangkan.

Azhar Ismail
Pahang

PASTI ISBAT AL-IMTIYAZ said...

Assalamu'alaikum cikgu,
Tahniah atas perjuangan kalian semua. Moga sentiasa mendapat bantuan dan rahmat Allah dalam memartabatkan kalimahNya di muka bumi ini.

Cikgu,
Saya baru tertengok tentang Kolokium al-Quran Braille tu, rugi sangat-sangat sebab saya tak tahu. Sekiranya saya dapat maklumat awal, dah tentu saya akan hadir.

Sekiranya ada sebarang program lain berkaitan al-Quran terhadap golongan buta, saya mohon agar Cikgu dapat memaklumkan kepada saya melalui emel: hajarulbahti@yahoo.com.my.

Terima kasih banyak-banyak.

ustazah najihan said...

assalamualaikum.

Ohh... pemilik besiwajani, cikgu Ya rupanya. Kagum saya. Saya yang celikni pun x de blog, baru cube2 nak develop, tapi rasanya lebih suka baca blog orang dari create blog sendiri. Any way saya akan addkan blog cikgu ni dalam favorite saya, senang nak buka selalu. Ape- apepun tahniah atas usaha yang cikgu usahakan.

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Allahu akbar! Maha Suci Allah! Alhamdulillah! Syukur ke hadhrat-Nya kerana komuniti islam cacat penglihatan kita ini dikurniai seorang berjiwa hebat seperti saudara. Terus-terang saya katakan, saudara serta rakan-rakan penceramah, khususnya, juga rakan-rakan OKU penglihatan Islam lain, amnya, jauh lebih maju daripada saya. Yang hebatnya, bukan sekadar maju diri, tetapi berkongsi pula dengan seberapa ramai rakan lain. Juga, terima kasih kerana menyertakan Tuan Haji Muhammad Lee bersama ceramah saudara. Paling penting, semoga saudara sekalian terus berjuang walau cabarannya getir, dan saya akan turut menyokong perjuangan ini dengan sedaya upaya saya, insha Allah.

Memang benar, majlis keilmuan sebegitu kurang beroleh sambutan. Tak usah kata sesi ceramah/forum tentang Al-Quran Braille, ceramah agama biasa pun, kadang-kadang, hadirinnya tidak seramai konsert atau show lagu cinta asmara ... Boleh jadi, inilah antara punca keruntuhan akhlaq masyarakat kita dewasa ini akibat menjauhkan diri daripada-Nya, kan? Justeru itu, eloklah jika kita insafi akan diri kita ini yang asalnya tiada apa, namun masih diletakkan pada darjat tertinggi antara sekalian makhluq. Tapi, kalau tak kena gaya, kita boleh menjadi makhluq yang terendah darjatnya, kan? Untuk ini, setinggi-tinggi tahniah dan pujian juga patut dikalungkan kepada USIM atas usaha gigih mengembangkan Al-Quran Braille di kalangan mereka yang berpenglihatan. Ia sekaligus mencerminkan keprihatinan mereka terhadap nasib kita, lebih-lebih lagi dengan fenomena kurang literasi Braille pada sektor pendidikan kebangsaan. Untuk ini, saya mengesyorkan agar kerjasama PERTIS-USIM ini berkekalan lagi berterusan.

Terima kasih.

aHsaN ZikRii... said...

salam, terima kasih banyak2 kerana cikgu sudi dtg ke USIM.. Terharu sgt bila dgr pengalaman cikgu dan panal jemputan lain..- pada shbt2 ya lain,hargai lah nikmat yang di kurniakan Allah swt pd kita semua..

E-Joran said...

Jutaan ucapan terima kasih kami lemparkan pada Cikgu Zakaria, selaku penceramah jemputan pada majlis kolokium yang lepas (yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia). Saya selaku peserta pada majlis itu amat berpuas hati dan berasa amat bertuah kerana dapat melibatkan diri dalam program yang julung-julung kali diadakan oleh mana-mana institusi pengajian tinggi di Malaysia melainkan UiTM. Saya amat berharap agar Cikgu dapat meneruskan usaha cikgu sebagai peneraju dalam pendidikan orang yang cacat penglihatan di Malaysia agar ianya tidak menjadi golongan yang tersisih. Untuk pengetahuan Cikgu, jasa Cikgu amat dihargai oleh seluruh warga negara kerana telah banyak usaha-usaha yang berkesan yang telah Cikgu lakukan dari masa ke semasa yang mana ianya amat berguna untuk zaman ini dan masa-masa akan datang. Apa yang diharapkan adalah agar segala jasa-jasa Cikgu diambil perhatian serius oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan kerana melalui pihak kerajaa, segala usaha Cikgu akan menjadi lebih senang dari yang sepatutnya. Apa yang saya sangat bersetuju dengan Cikgu, adalah mengenai Quran braille yang telah cikgu perkembangkan di negara kita, ianya memberi banyak faedah kepada banyak pihak terutamanya orang-orang yang cacat penglihatan. Jika tanpa pendedahan yang telah Cikgu bawa, pasti masih ramai lagi rakyat Malaysia yang buta tentang hal dan kepentingan Quran braille ni. Terima kasih Cikgu, segala usahamu akan menjadi sejarah. Jasamu tetap dikenang walaupun usiamu dah dimakan tanah. Sekian, wassalam.