Saturday, December 25, 2010

Alquran Braille: Jangan Tegakkan Benang Basah

Sejak seminggu lalu, antara isu yang hangat dibincangkan khususnya dalam kalangan komuniti cacat penglihatan Islam di negara kita ialah mengenai Alquran Braille. Kisah bermula dengan satu aktiviti yang telah berlangsung pada 17 Disember lalu. Kemudian ia berturutan pula dengan satu tulisan bertajuk “Satu Rumah, Satu Naskah” yang telah dikeluarkan menerusi sebuah akhbar arus perdana negara pada 19 Disember lalu. Sebagai respon kepada kedua-dua peristiwa tersebut, pada 21 Disember lalu pula Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan fakta sebenar mengenai isu tersebut. Tidak cukup dengan itu, pada 22 Disember lalu, satu perjumpaan secara tertutup telah dilangsungkan oleh pihak tertentu yang telah menemukan pihak-pihak terbabit, namun begitu bagi saya pertemuan itu masih tidak membawa sebarang makna sehingga kini.

Sebagai bahan teras kepada perbincangan ini, maka di bawah ini saya perturunkan kembali apa yang telah dimuatkan dalam tulisan menerusi Berita Minggu seperti berikut:



Satu rumah, satu naskhah
BH Online --------------------------------------------------------------------------------

Satu rumah, satu naskhah
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
2010/12/19

Setiap rumah umat Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, disasar ada senaskhah al-Quran Braille

SEMANGAT mereka membuak-buak mahu turut sama membaca al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Tuhan, mereka tiada upaya dari segi penglihatan. Lalu
hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan.

Bagi yang kuat berazam dan kuat ingatan, tiada masalah mengingati kesemua 30 juzuk isi kandungan kitab suci. Betullah kata orang, biarpun penglihatan terhalang,
golongan ini memang berhati terang.

Seiring perkembangan zaman, teknologi juga turut berkembang. Proses membaca al-Quran buat golongan cacat penglihatan menjadi semakin mudah dan menyenangkan.


Tercipta al-Quran Braille umpama sinar suci buat mereka. Apa tidaknya, kandungan kitab Allah yang selama ini hanya mampu diperdengarkan oleh orang lain
kini sudah boleh dibaca sendiri. Banyak bezanya di antara mendengar dan membaca sendiri.

Mengimbau kemunculan al-Quran Braille, ia pada mulanya terhasil menggunakan mesin taip Perkins Brailler, tetapi proses menaipnya memakan masa amat panjang.
Untuk menyiapkan 30 juzuk, ada kala mengambil masa sehingga setahun.

Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 dan dibuktikan tidak ada kesalahan pada cetakan, namun timbul pula masalah
lain, kitab suci dalam cetakan sedemikian tidak mampu menampung permintaan kumpulan sasaran.

Menyedari masalah itu, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mah Hassan Omar mengambil langkah berani menggunakan komputer `bersuara’
sebagai usaha menggalakkan lebih ramai orang buta membaca dan menghayati kitab suci.

“Sebelum ini, kami menggunakan mesin taip Braille menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, tetapi prosesnya memang mengambil masa. Contohnya
jika lima orang membaca al-Quran, dalam tempoh setahun hanya lima juzuk al-Quran cetakan ini dapat dihasilkan,” katanya.

Lama sebelum menghasilkan al-Quran Braille sendiri, SBM mendapat sumbangan al-Quran cetakan itu daripada Badan Yayasan Kebajikan Penatrat Islam Indonesia,
namun oleh kerana keperluan untuk kumpulan sasar di republik itu juga tinggi, sumbangan itu terpaksa dihentikan.

Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum
bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.

“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan
mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.


Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah
di luar kemampuan persatuan.

Kekangan itu sekali gus membantutkan matlamat mereka yang mahu melihat sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga Islam yang ada ahlinya cacat penglihatan,
ada senaskah al-Quran Braille.

“Kos untuk sekotak kertas Braille saja sudah kira-kira RM120. Kami memerlukan kira-kira 1,000 helai kertas jenis itu untuk mencetak senaskah al-Quran,
belum dikira lagi kertas Braille yang rosak disebabkan masalah mesin cetak,” katanya yang juga seorang peguam dan turut menerajui Pusat Sumber Braille
Kuala Lumpur.

Namun, ketika itu pelbagai organisasi yang prihatin dengan masalah golongan cacat penglihatan turut menyumbang al-Quran Braille seperti Yayasan Emkay,
Yayasan Sime Darby, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan orang perseorangan.

Menyambung kisah perit mereka dalam menghasilkan al-Quran Braille, Mah Hassan berkata, kertas yang diguna bagi memuatkan cetakan itu juga memainkan peranan
kerana ketebalannya jika dikira dalam bentuk timbangan mesti tidak kurang 150 gram dan permukaannya pula tidak kasar bagi memudahkan pembacaan.

“Sejak diperkenalkan, ada sekurang-kurangnya 5,000 naskhah al-Quran Braille diletakkan di sekolah dan pusat latihan golongan cacat penglihatan seluruh
negara, namun agak menyedihkan kerana sukar mencari naskhah berkenaan di kebanyakan masjid utama di negara kita.

“Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid untuk kegunaan jemaah cacat penglihatan.
Saya juga merayu lebih banyak syarikat korporat membantu dalam hal ini supaya dalam setiap keluarga Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, sekurang-kurangnya
ada senaskhah al-Quran Braille,” katanya.

INFO
al-Quran Braille

• Dicetak dalam bentuk jawi Braille untuk membantu golongan cacat penglihatan menguasai al-Quran dengan baik.

• Menggunakan kod khas bagi memudahkan kumpulan sasar membaca dan mengikut tajwid yang betul.

• Boleh dibaca oleh pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan tahu sistem tulisan jawi Braille.

• Proses penghasilan membabitkan kerjasama pakar agama yang mahir dengan tulisan Braille.

Tulisan Braille

• Sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta.

• Dicipta oleh seorang Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

• Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan tentera bagi memudahkan tentera membaca ketika gelap.

• Sistem ini dinamakan sistem Braille, tetapi ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

• Braille terdiri daripada sel yang mempunyai enam titik timbul yang dinomborkan.

• Huruf Braille bahasa Melayu hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris.

• Simbol Braille juga diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

• Boleh dihasil menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin,
menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

• Juga boleh dihasil menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)

• Organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri warga cacat penglihatan.

• Keanggotaan mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.

• Objektif untuk meningkatkan taraf kedudukan sosio ekonomi orang cacat penglihatan di negara ini.

• Membimbing kumpulan sasar menjadi warga Malaysia yang berguna dan produktif.

• Telefon, 03-22746162, Faks 03-22743818, e-mel admin@sbm.org.my.


(Sumber: Berita Harian Online, 19 Disember 2010).

Jika diteliti, terdapat pelbagai kesalahan fakta dalam tulisan di atas. Saya sendiri tidak dapat memastikan, adakah kesalahan tersebut sengaja dilakukan atau sebaliknya. Seperkara lagi, adakah kesalahan fakta tersebut disebabkan kesalahan wartawan yang menulis atau kesalahan pada maklumat yang telah disalurkan kepada wartawan berkenaan untuk ditulis.

Terdapat 2 perkara yang telah ditulis secara terang dan jelas menerusi tulisan di atas, iaitu SBM (Society Of The Blind In Malaysia) dan juga nama Mah Hassan Omar. Oleh itu, dalam tulisan saya ini, saya juga akan menyebut kedua-dua nama tersebut bila perlu kerana saya tidak mahu bersikap umpama “sudah terang lagi bersuluh”.

SBM (Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikendalikan sendiri oleh mereka yang cacat penglihatan. Keahlian pertubuhan ini terdiri daripada mereka yang cacat penglihatan dan merangkumi semua bangsa dan kepercayaan. Antara lain, bahagian Pengenalan dalam Perlembagaan SBM menyebut:


The Society of the Blind in Malaysia is a non-religious, non-political, national voluntary organisation of blind individuals of all races and from all walks of life resident in Malaysia dedicated to the task of securing equal rights and opportunities for blind people in this country by working collectively and fraternally for the socio-economic advancement of blind people, with the view of enabling them to become responsible, useful and productive citizens.


Antara kesalahan fakta yang berlaku ialah:

1. SBM secara organisasi sememangnya tidak pernah terlibat dengan penghasilan, percetakan, pengeluaran atau pengedaran Alquran Braille, dari dahulu sehigga kini.

2. Semasa tulisan di atas dikeluarkan, Mah Hassan Omar bukan lagi sebagai presiden SBM. Bermula mesyuarat Agung Dwitahunan SBM pada Jun lalu, presiden SBM hingga kini ialah Tuan Haji Mohd Nazari bin Haji Osman.

3. “Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 ....”. Jawatankuasa mana yang dimaksudkann? Untuk maklumat bersama, penal penyemak oleh Darul Quran Jakim telah memulakan tugasnya pada awal tahun 1996 dan telah berjaya menyempurnakan tugasnya pada hujung tahun 1997. Seperkara lagi, penal penyemak berkenaan melaksanakan tugasnya untuk PERTIS dan bukan untuk pertubuhan atau individu lain. Butiran lanjut mengenainya ada dimuatkan dalam satu dokumen yang dikenali sebagai Laporan Jawatankuasa Kerja Penyemakan Alquran Braille Darul Quran JAKIM bertarikh 15 Oktober 1997.

4. “Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum
bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.
” Siapakah dua rakan lain yang dimaksudkan? Benarkah Mah Hassan pernah terlibat secara langsung untuk memasukkan data Alquran Braille ke dalam komputer sehingga terhasilnya soft copy Alquran Braille sebagaimana yang ada dalam simpanan PERTIS atau yang mungkin sedang ada dalam simpanan beliau sendiri?

5. Benarkah SBM pernah menerima tajaan untuk menerbitkan Alquran Braille daripada beberapa pihak sebagaimana yang disebut dalam tulisan akhbar di atas?


Presiden SBM, Tuan Haji Mohd Nazari Osman pula ketika saya hubungi menerusi telefon pada 22 Disember lalu menyatakan kekesalannya terhadap tulisan yang telah disiarkan menerusi Berita Minggu sebagaimana di atas. Seterusnya beliau turut memaklumkan kepada saya, wartawan berkenaan telah diminta untuk memuatkan satu artikel ralat mengenainya dan akan dikeluarkan pada hujung minggu ini. Sama-samalah kita nantikan.

Pada 22 Disember yang lalu juga, satu pertemuan tertutup telah diadakan di antara PERTIS dan Mah Hassan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Datuk Dr. Mashitah Ibrahim serta Bela. Pertemuan tersebut telah diusahakan oleh Datuk Zamani Sulaiman yang juga merupakan Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia. Pertemuan telah berlangsung di biliik mesyuarat, pejabat SUDN. Saya dan Tuan Haji Muhammad Lee telah hadir mewakili PERTIS.

Dalam pertemuan tersebut, saya telah membentangkan secara ringkas sejarah Alquran Braille serta penglibatan PERTIS. Saya juga turut menunjukkan beberapa dokumen mengenai pengiktirafan beberapa pihak seperti JAKIM dan KDN ke atas Alquran Braille yang ada pada PERTIS. Saya turut memaklumkan bahawa penyalin asal soft copy Alquran Braille (Tuan Haji Muhammad Lee) hanya mengamanahkan soft copynya kepada PERTIS sahaja dan tidak kepada pihak lain.

Wakil pihak Bela pula hanya mengatakan bahawa mereka memang tiada sebarang maklumat mengenai Alquran Braille. Bagi mereka (Bela), sesiapa sahaja yang datang kepadanya untuk memohon pertolongan, mereka akan membantu. Demikianlah.

Mah Hassan Omar pula antara lain mengatakan Alquran Braille yang ada pada beliau telah disemak antaranya oleh Ali Md Dahan dan Ustaz Salleh Yaacob. Namun begitu, beliau tidak pula berterus terang dari mana soft copy Alquran Braille yang ada padanya diperolehi.

YB Datuk Dr. Mashitah sekadar menyatakan beliau tidak mahu terlibat dalam perselisihan antara PERTIS dengan pihak Mah Hassan. Seterusnya beliau meminta pula agar Datuk Zamani yang turut hadir dalam pertemuan tersebut agar mengusahakan jalan penyelesaian bagi kedua-dua pihak. Mudah sungguh untuk berlepas tangan!

Pada 23 Disember lalu, saya telah menghubungi Ustaz Ali Md Dahan menerusi SMS dan antara soalan yang telah saya tanyakan kepada beliau ialah, pernahkah beliau (Ustaz Ali) terlibat menyemak Alquran Braille yang ada pada Mah Hassan Omar? Beliau (Ustaz Ali Md Dahan) telah menjawab menerusi SMS seperti berikut:



e:23.12.2010 17:04:40
Tidak pernah. Saya tidak pernah menemuinya semenjak saya pulang dari Afrika Selatan.


Selanjutnya, saya bertanya lagi, bagaimana sebelum ke Afrika Selatan? Ustaz Ali Md Dahan menjawab menerusi SMS sebagaimana berikut:



e:23.12.2010 17:13:26
Saya ada berjumpa dengan beliau sewaktu beliau menjadi presiden Pertis dahulu. Tarikh dan tahunnya saya tak pasti.Itulah pertemuan kami yang pertama dan terakhir. Beliau menghadiahkan senaskah Quran Braille kepada saya tapi tidak pernah meminta saya menyemak Quran untuknya.


Di sebelah Pagi semalam (24 Disember), saya telah menghubungi Ustaz Mohd Salleh Yaacob dan bertanyakan kepada beliau, adakah beliau (Ustaz Salleh) pernah terlibat dengan mana-mana penal penyemak lain selain daripada penal penyemak di bawah Darul Quran – Jakim dahulu? Ustaz Salleh menjawab, tidak pernah. Saya turut bertanya, pernahkah Mah Hassan menyuruh beliau menyemak Alquran Braille yang ada pada beliau (Mah Hassan)? Ustaz Salleh menjawab, tidak pernah.

Walaupun ia Cuma Alquran Braille, tetapi jangan sesekali kita mempermainkannya. Saya suka mengingatkan setidak-tidaknya kepada diri saya, hendaklah kita semua sentiasa takut kepada Allah; jangan ambil sesuatu yang bukan hak kita; jangan kita gunakan sedikit kelebihan yang ada kepada kita untuk berhujah dan berkata untuk memutarbelitkan fakta; jangan kita membuat sesuatu dakwaan tertentu sedangkan hakikatnya kita tidak pernah membuatnya; Allah sentiasa bersaksi ke atas apa yang kita lakukan dan tidak sesekali pernah lupa padanya; ingatlah jangan sampai turun azab Allah baru kita hendak insaf dan bertaubat. Sepatutnya dengan Alquran kita akan menjadi lebih takut kepada Allah dan bukan sebaliknya. Takkanlah hanya kerana Alquran Braille, kita menjadi ego dan sombong!

Sepatutnya, kita wajib menjadikan Alquran sebagai asas untuk mengukuhkan ikatan ukhwah antara sesama kita. Saya amat dukacita apabila kita harus berselisih kerana Alquran (walaupun ia Cuma Alquran Braille).

No comments: