Thursday, December 9, 2010

Kembali Semula Ke Tanah Air

Sebesar-besar syukur saya ke hadhrat Allah Yang Maha Kuasa kerana saya sekeluarga telah pun selamat menjejakkan kaki semula ke tanah air yang tercinta. Kami sekeluarga telah selamat tiba di terminal feri Stulang Laut, Johor Baru pada sekitar jam 10.40 pagi tadi. Buat masa ini, kami singgah dan menginap di Johor Baru untuk semalam. Kebetulan pula, pagi esok saya dijangka akan mempunyai pertemuan dengan kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai.

Bermula Ahad lepas hinggalah ke pagi tadi, saya sekeluarga telah ke Kepulauan riau, Indonesia. Hasrat saya untuk ke daerah tersebut sudah lama terpendam. Semakin lama hasrat berkenaan terpendam, semakin kuat pula dendam kesumatnya untuk ke sana. Alhamdulillah, akhirnya Allah Yang Maha Kuasa telah mengkabulkan juga hasrat saya.

Terdapat beberapa sebab mengapa saya mempunyai hasrat yang kuat untuk ke Kepulauan Riau. Kepulauan Riau merupakan antara nadi utama kepada perkembangan sejarah bangsa Melayu. Di daerah tersebut banyak menyimpan khazanah sejarah bangsa Melayu dalam pelbagai variasi. Sebelum bermulanya kesultanan Melayu Melaka, bangsa Melayu telah pun lebih awal memulakan rentetan sejarahnya di daerah Kepulauan Riau. Selain itu, di Kepulauan Riau juga, bersemadinya ramai tokoh bangsawan Melayu, sama ada dalam kalangan raja-raja, orang-orang besar, para pahlawan dan hulubalang dan tidak ketinggalan tokoh pujangga bahasa Melayu. Walaupun saya tidak perneh bersua muka, berjabat salam atau makan semeja dengan kesemua tokoh-tokoh berkenaan, tetapi setidak-tidaknya saya dapat bertemu juga dengan pintu di mana para tokoh berkenaan mula melangkah masuk ke negeri akhirat.

Untuk pengetahuan bersama juga, saya sekeluarga ke Kepulauan riau secara bersendirian. Maknanya, kami tidak mengikuti mana-mana pakej pelancongan. Saya juga tidak kenal dengan mana-mana individu di Kepulauan Riau. Saya sekadar kenal pada sejarahnya sahaja. Berbekalkan itu, maka saya cukup yakin untuk ke Kepulauan Riau hanya dengan disertai oleh isteri dan Luqman sahaja.

Pada hakikatnya, daerah yang telah saya kunjungi tidaklah jauh pun dari negara kita. Hanya 2 jam dan 40 minit saha dengan feri dari negara kita. Lagi pun, jangka masa saya berada di sana juga bukanlah lama sangat, sekadar 5 hari dan 4 malam sahaja. Namun begitu, sedikit sebanyak ada juga pengetahuan dan pengalaman (ole-ole) yang telah saya sekeluarga perolehi hasil kunjungan singkat kami ke daerah tersebut. Ole-ole itulah yang ingin saya kongsikan dan persembahkan khusus buat para pengunjung blog ini.

Sebenarnya saya ingin juga membuat posting semasa berada di Kepulauan Riau. Namun demikian, hasrat saya tidak kesampaian lantaran signal internet yang sering tidak memuaskan. Akhirnya, saya terpaksa tangguhkan kesemua posting tersebut sehinggalah saya tiba kembali ke tanah air. Insha-Allah saya akan sedaya upaya mempersembahkan ole-ole sehabis manis untuk para pengunjung sekalian nanti.

Salam dari JB.

No comments: