Tuesday, December 14, 2010

Ole-ole Dari Kepulauan Riau (Bahagian 2)

Ke Pulau Penyengat

Hari kedua kunjungan kami ke Kepulauan Riau diteruskan dengan kunjungan ke Pulau Penyengat. Pulau Penyengat terletak tidak jauh dari Pulau Bintan, kira-kira 10 minit dengan bot. Jadual lawatan ke Pulau Penyengat telah saya susun rapi bersama-sama Anton sehari sebelumnya.





Secara sepintas lalu, Pulau Penyengat terletak di sebelah barat Pulau Bintan iaitu betul-betul berhadapan dengan kota Tanjung Pinang. Panjang pulau ini sekitar 2 batu, manakala lebarnya pula tidak sampai pun 1 batu. Menurut cerita orang-orang tua Pulau Penyengat, Nama “Penyengat” diperolehi daripada suatu kisah, satu hari sekumpulan pedagang telah singgah di pulau ini untuk mengambil air bersih. Walau bagaimanapun, kumpulan pedagang berkenaan telah melanggar satu pantang larang yang menyebabkan keluarnya ratusan binatang yang mempunyai sengat yang berbisa yang kemudiannya menyerang kumpulan pedagang tadi. Sejak itulah maka pulau ini dinamai sebagai Pulau Penyengat. Orang Belanda pula memanggil pulau ini sebagai Mars. Adakalanya pulau ini juga disebut sebagai Indrasakti. Wallahu aalam.







Sekitar jam 10.10 pagi WIB, Anton tiba di hotel penginapan kami. Setelah menyemak jadual lawatan supaya ianya lancar, kami pun bergerak ke jeti dengan dihantar oleh kenderaan hotel. Dari jeti, kami harus menaiki bot untuk sampai ke Pulau Penyengat. Untuk ke pulau ini dengan bot, ada dua kaedah yang boleh digunakan. Pertamanya, kita harus menanti bot hingga penuh baru bot berkenaan bergerak. Keduanya, kita boleh menyewa terus bot berkenaan untuk satu-satu perjalanan. Kebetulan pula, abang kepada Anton memang kerjanya membawa bot penambang. Oleh itu, saya sekeluarga telah menyewa bot kepunyaan abang kepada Anton untuk dua perjalanan, iaitu pergi dan balik dengan bayaran keseluruhan sebanyak 150 ribu rupiah. Bayaran tersebut menyamai dengan 30 orang penumpang. Ini bermakna, bot berkenaan boleh memuatkan seramai 15 orang penumpang untuk satu-satu perjalanan. Bagi penduduk setempat, kaedah kedua dianggap ekslusif. Bagi saya sekeluarga, ia lebih memudahkan kerana tidak perlu menanti bot hingga penuh yang mungkin akan memakan masa yang panjang.





Setelah 5 minit menanti di jeti, bot kepunyaan abang kepada Anton pun tiba untuk mengangkut kami Ke Pulau Penyengat. Hanya saya sekeluarga bersama-sama Anton dan abangnya sahaja yang ada dalam bot. Kata Isteri saya, botnya lebih kecil daripada bot yang beroperasi di sungai Sarawak. Sewaktu saya menjejakkan kaki ke dalam bot, bot bergoyang sedikit. Takut juga dibuatnya. Maklumlah jaket keselamatan memang tak ada. Insurans jauh sekali. Yang ada kepada saya sekeluarga sekadar tawakkal sahaja. Sewaktu bot bergerak, olengannya ke kiri dan kanan agak kuat. Saya sudah mula gerun, tapi kena buat-buat maco. Luqman kedengaran tenang sahaja. Tak pasti pula saya kalau dia pun pandai buat-buat maco juga. Angin bertiup sedikit kuat. Bagi orang tempatan seperti Anton dan abangnya situasi sebegini perkara biasa. Mungkin Anton dapat melihat saya tidak begitu tenang, lalu beliau pun berkata, “Jangan risau Abang Z, kami sudah bersedia”. Saya sendiri tak pasti apa yang telah disediakan untuk saya sekeluarga sekiranya satu-satu hal berlaku.



Setelah sepuluh minit, bot pun tiba di jeti Pulau Penyengat. Sebesar-besar syukur saya ke hadhrat Allah Yang Maha Kuasa kerana akhirnya telah mengkabulkan hajat saya untuk menjejakkan kaki di Pulau Penyengat, pulau yang sarat dengan khazanah sejarah bangsa Melayu. Saya berdiri sebentar di jeti untuk meluahkan kesyukuran kepada Allah kerana dengan kudrat dan iradat-Nya sampai juga saya ke pulau ini biar pun saya tidak akan melihat pulau ini untuk selama-lamanya walaupun setelah menjejakkan kaki di atasnya. Demikianlah Maha Besar kekuasaan-Nya. Hanya kebanyakan kita sahaja yang sering melupakan-Nya.



Di jeti, dua buah beca bermotor telah sedia menanti kami. Dengan menggunakan beca bermotor inilah kami telah dibawa menziarahi di sekitar Pulau Penyengat. Di pulau ini tiada kereta. Jalan-jalan rayanya pula tidaklah sebaik mana dan sempit pula. Kedua-dua pemandu beca bermotor ini merupakan orang tempatan. Sebuah beca bermotor membawa saya dan isteri, manakala sebuah lagi membawa Anton dan Luqman. Semuanya telah diaturkan oleh Anton.



Tempat yang mula-mula saya sekeluarga ziarahi ialah Kompleks permakaman yang mana bersemadinya Engku Puteri Raja Hamidah serta para kerabatnya. Antara kerabatnya yang turut disemadikan di kawasan kompleks ini termasuklah saudara lelakinya Raja Ahmad (pernah menjadi penasihat kepada kerajaan Melayu Riau), anak saudaranya yang sangat terkenal iaitu Raja Ali Haji (Gurindam 12 merupakan hasil karya Raja Ali Haji yang menjadi kebanggaan penduduk Riau hingga kini), Raja Haji Abdullah (Yang Dipertuan Muda Riau kesembilan) serta beberapa kerabat lain.



Ketibaan saya sekeluarga di kompleks permakaman ini telah disambut mesra oleh penjaga kompleks. Setelah berjabat tangan dengannya, penjaga makam terus memimpin saya untuk menziarahi ke setiap makam yang ada. Penjaga tersebut akan memaklumkan kepada saya siapa yang disemadikan di makam-makam berkenaan. Manakala saya pula dengan sedikit pengetahuan yang ada menerangkan dengan lebih lanjut biodata serta ketokohan tokoh-tokoh yang bersemadi itu kepada isteri dan Luqman. Kami juga tidak lupa membacakan alfatihah serta doa yang patut-patut kepada setiap arwah di permakaman berkenaan.



Boleh dikatakan kesemua tokoh yang disemadikan di sini merupakan anakanda dan cucunda Raja Haji, seorang pahlawan Bugis yang terkenal dengan jolokan Syahid Fi Sabilillah. Antara anak-anak Raja Haji yang disemadikan di sini ialah Engku Puteri Raja Hamidah, Raja Ahmad serta Raja Haji Abdullah. Raja Ali Haji pula merupakan anak kepada Raja Ahmad yang sekaligus merupakan cucu kepada Raja Haji. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah, tatkala saya di makam Engku Puteri Raja Hamidah, saya telah menyentuh pusaranya. Saya dapati pusaranya dilitupi dengan bunga-bungaan yang segar, wangi dan masih basah. Agaknya baru lepas disiram mungkin. Makam ini seakan dijaga dengan rapi sekali. Agaknya, demikianlah mendalamnya kasih sayang orang setempat kepada almarhumah. Seperkara lagi, kesemua nisan di permakaman ini ditutup dengan kain berwarna kuning. Manakala para penziarah pula harus menanggalkan kasut untuk ke makam Engku Puteri Raja Hamidah serta makam-makam di sekitarnya.



Seperkara yang menarik mengenai Engku Puteri Raja Hamidah ialah, beliau telah dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah III (1760-1812) di mana Pulau Penyengat telah dijadikan sebagai mas kahwinnya. Sejak itu, Pulau Penyengat telah dianggap sebagai hak eksklusif Engku Puteri Raja Hamidah serta kerabatnya. Rigalia (watikah) asal penyerahan Pulau Penyengat sebagai mas kahwin kepada Raja Hamidah kini tersimpan di Muzium Nasional Indonesia di Jakarta. Rigalia yang ada di muzium di Pulau Bintan kini hanya sekadar replika sahaja.



Antara Sultan Mahmud Syah IIII dengan Engku Puteri Raja Hamidah pula bukannya orang lain, kedua-dua mereka adalah sepupu. Bapa Engku Puteri Raja Hamidah (Raja Haji Syahid Fi Sabilillah) merupakan saudara kepada bonda Sultan Mahmud III (Raja Utih). Perkahwinan antara Sultan Mahmud Syah III dengan Engku Puteri Raja Hamidah tidak menghasilkan zuriat. Sedangkan Sultan Mahmud III ini pula mempunyai beberapa orang putera hasil perkahwinan baginda dengan isterinya yang lain. Antara putera Sultan Mahmud yang terkenal ialah Sultan Hussein Muhammad Syah yang menjadi sultan di Singapura antara tahun 1819-1835. Seorang lagi putera baginda ialah Sultan Abdul Rahman yang menjadi sultan bagi kerajaan Riau dan Lingga antara tahun 1812-1831. Demikianlah perihal raja-raja Melayu dahulu kala, perebutan kuasa antara kedua putera ini mengakibatkan kerajaan Johor – Riau yang sudah sedia lemah kian daif sehingga dengan mudah ia dipecahkan pula oleh Inggeris dan Belanda menerusi pemetrian satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda (1824). Demikianlah sejarah mengajar kita. Oleh kerana bangsa kita masih gagal belajar dari sejarah, maka itulah kita masih terhukum hingga kini.



Sebelum meninggalkan kawasan permakaman tersebut, kami sempat ke gerai cenderamata yang letaknya tidak jauh dari kawasan permakaman. Saya tertarik dengan penerangan penjual cenderamata, katanya, keris-keris cenderamata di situ diperbuat daripada kayu kelo dan kayu ini pula berupaya melunturkan ilmu kebal. Wallahu aalam



Seperkara yang mungkin kurang selesa kepada penziarah yang cacat penglihatan ialah stesen janakuasa untuk Pulau Penyengat terletak tidak jauh dari kawasan permakaman. Bunyi janakuasa berkenaan mungkin sedikit mengganggu.



Dari kawasan permakaman Engku Puteri Raja Hamidah, kami bergerak pula ke kompleks permakaman Raja Haji Syahid Fi Sabilillah. Raja Haji ialah ayahanda kepada Engku Puteri Raja Hamidah. Beliau juga merupakan anakanda kepada Daeng Celak, salah seorang daripada lima Bugis bersaudara yang telah mengembara hingga ke Kepulauan Riau pada awal abad ke-18. Kepahlawanan Raja Haji memang tiada tandingnya. Raja Haji telah menjadi Yang Dipertuan Muda Riau keempat iaitu selepas kkemangkatan Daeng Kemboja yang juga merupakan Yang Dipertuan Muda Riau Ketiga.

Raja Haji telah menjadi yang Dipertuan Muda antara tahun 1777 hingga tahun 1784. Beliau telah terbunuh dalam satu pertempuran dengan tentera Belanda di Teluk Ketapang, Melaka dalam tahun 1784. Kerana itulah juga Raja Haji turut dikenali sebagai Mahum Teluk Ketapang. Jenazahnya telah dikebumikan di Melaka. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, jenazahnya telah dibawa pulang dan dikebumikan semula di permakaman ini.

Selain Engku Puteri Raja Hamidah, anak-anak Raja Haji yang lain ialah Raja Jaafar (Yang Dipertuan Muda Riau keenam), Raja Ahmad, Raja Idris dan beberapa orang lagi. Raja Haji juga mempunyai seorang lagi saudara lelaki yang bernama Raja Lumu. Keturunan Raja Lumu inilah yang bertakhta di Selangor hingga ke hari ini.



Dari Kompleks permakaman Raja Haji, kami bergerak ke permakaman Raja Embok Fatimah pula. Raja Embok Fatimah ialah isteri kepada Raja Muhammad Yusuf (Marhum Damnah). Raja Muhammad Yusuf ialah Yang Dipertuan Muda Riau ke-10 (yang terakhir). Raja Embok Fatimah ini pula ialah anakanda kepada Sultan Mahmud Muzaffar Syah, cucunda kepada Sultan Muhammad, cicit kepada Sultan Abdul Rahman dan piut kepada Sultan Mahmud III. Jika disusur galur pertalian antara orang-orang besar Melayu dan Bugis khususnya di Riau, mereka sebenarnya mempunyai pertalian kekeluargaan (melalui perkahwinan) yang amat rapat, tetapi antara kedua-dua pihak sering juga terjadi situasi yang tidak sekata. Bagi saya, hal ini disebabkan selagi ikan masih di laut dan selagi asam tetap di darat, lautan yang bergelora tidak akan menjadi tenang.





Dari kawasan permakaman Raja Embok Fatimah, saya sekeluarga bergerak ke kompleks permakaman Raja Jaafar pula. Raja Jaafar ialah putera kepada Raja Haji dan merupakan Yang Dipertuan Muda Riau ke-6. Selepas kematian ayahandanya (Raja Haji), Raja Jaafar perneh menetap di Kelang untuk beberapa tahun. Lagi pun Sultan Selangor ketika itu (Sultan Ibrahim) merupakan sepupu kepada beliau. Raja Jaafar kembali semula ke Riau apabila beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau Keenam, iaitu selepas kemangkatan Raja Ali Kelana iaitu Yang Dipertuan Muda Riau Kelima. Hubungan antara Raja Ali Kelana dengan Raja Jaafar pula adalah dua pupu.



Di sebelah makam Raja Jaafar ialah makam anakandanya iaitu Raja Ali yang juga merupakan Yang Dipertuan Muda Riau Kelapan. Raja Ali ini menjadi Yang Dipertuan Muda antara tahun 1844-1857. Apa yang menariknya, walaupun makam-makam di kompleks ini di dalam bangunan, tetapi makam-makam itu sendiri tidak beratap.



Dari kawasan permakaman ini, saya sekeluarga bergerak pula ke Istana Kantor. Istana ini masih berdiri utuh dan kukuh. Nampaknya usia istana ini lebih panjang daripada usia kerajaan yang pernah bertakhta di dalamnya. Sayangnya kami tidak dapat masuk ke dalam istana ini kerana penjaganya tiada di situ. Maklumlah sudah tengah hari, mungkin balik untuk lunch dan berehat agaknya. Oleh itu, kami sekadar dapat menziarahi kawasan luar istana sahaja. Khabarnya di istana inilah tempat Raja Abdul Rahman iaitu Yang Dipertuan Muda Riau Ketujuh melaksanakan segala urusan sehariannya. Bahkan ada yang memberitahu saya di istana inilah juga Raja Abdul Rahman telah mangkat iaitu di bilik kerjanya. Wallahu aalam.



Dari kawasan istana ini, kami bergerak pula ke kawasan permakaman Raja Abdul Rahman iaitu Yang Dipertuan Muda Riau Ketujuh. Beliau juga merupakan anakanda kepada Raja Jaafar, yang Dipertuan Muda Keenam. Beliau dikatakan seorang pemerintah yang alim dan kuat beribadat. Masjid Sultan Riau yang masih utuh di pulau ini dibina atas inisiatif beliau. Penjaga kepada makam ini juga seorang yang alim orangnya. Beliau nampak begitu gembira dengan kehadiran saya sekeluarga.

Saya turut dimaklumkan iaitu kawasan berhampiran dengan permakaman Raja Abdul Rahman juga dikenali sebagai Kampung Bulang. Di Pulau Bintan juga ada tempat yang bernama Kampung Bulang. Kampung Bulang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Dari Kampung Bulang Temenggung Abdul Rahman dan para pengikutnya telah memulakan perjalanan dengan meninggalkan Riau dan menuju ke Singapura iaitu di awal kurun ke-19. Temenggung Abdul Rahman ialah datuk kepada Sultan Abu Bakar, iaitu sultan Johor Moden yang pertama. Namun begitu, saya tidak dapat memastikan Kampung Bulang yang mana Temenggung Abdul Rahman dan para pengikutnya telah memulakan langkah ke Singapura.



Dari kawasan permakaman Raja Abdul Rahman, saya sekeluarga pun bergeraklah ke Masjid Sultan Riau. Kebetulan waktu zohor pun sudah lama masuk. Alhamdulillah saya sekeluarga dapat menunaikan solat zohor dan asar secara jamak di masjid ini. Masjid ini telah dibina pada kurun ke-19, iaitu ketika Raja Abdul Rahman menjadi yang Dipertuan Muda. Keunikan masjid ini ialah antara bahan binaan utamanya kuning telur. Sebab itulah juga masjid ini juga turut dikenali sebagai Masjid Kuning Telur.







Selain daripada lokasi masjid yang tidak jauh dari laut, satu lagi keunikan masjid ini ialah di dalamnya tersimpan Alquran Bertulisan tangan. Menurut isteri saya, tulisan tangan yang ada pada Alquran ini sangat indah. Saya sekadar dapat menyentuh cermin yang mana di dalamnya tersimpan Alquran yang dimaksudkan. Tak dapat pegang rotannya, dapat pegang akarnya pun bersyukurlah.





Saya turut mendapat sedikit penerangan daripada salah seorang kakitangan masjid. Saya amat bersyukur kerana beliau dengan penuh keikhlasan sudi memberikan beberapa maklumat mengenai masjid ini kepada saya sekeluarga. Menurut beliau, masjid ini boleh memuatkan sekitar 300 jemaah pada satu-satu masa (iaitu meliputi kawasan dalam masjid sahaja). Katanya lagi, jika solat hari raya jemaahnya penuh melimpah hingga ke bahagian perkarangan luar masjid. Ada tertera larangan untuk mengambil foto di dalam masjid. Namun begitu, kakitangan berkenaan telah memberikan keizinan khas kepada isteri saya untuk mengambil foto di ruang dalam masjid. Kepada beliau, terima kasih banyak-banyak diucapkan.





Saya turut dibawa untuk menyentuh beduk yang ada di bahagian luar masjid. Selain itu, saya juga turut dibawa ke balai yang menyimpan gong besar. Menurut kakitangan masjid, gong berkenaan sudah berusia ratusan tahun. Ia digunakan untuk memberikan isyarat tertentu kepada penduduk Pulau Penyengat. Secara gurauan saya menyatakan keinginan untuk memalu gong tersebut. Kakitangan berkenaan memberitahu saya, kalau saya ingin palu juga, kena tunggu waktu asar. Saya sekadar megucapkan terima kasih kepada beliau. Tatkala saya sekeluarga melangkah untuk meninggalkan perkarangan masjid, terasa sayu juga dalaam hati. Maklumlah saya pun tak pasti, adakah ini pertemuan pertama dan tiada lagi pertemuan dengan masjid ini selepas ini, hanya Dia Yang Maha Berkuasa sahaja yang lebih mengetahui.

Dari Masjid Sultan Riau, saya sekeluarga bergerak pula untuk ke rumah Anton, iaitu destinasi terakhir kami di Pulau Penyengat kali ini. Beca bermotor yang selama ini amat setia membawa saya sekeluarga ke semua tempat yang telah diziarahi juga mengakhiri khidmatnya. Untuk kedua-dua beca bermotor berkenaan, saya sekadar dikenakan bayaran sebanyak 60 ribu rupiah sahaja. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada kedua-dua pemandu beca bermotor berkenaan, iaitu Pak Hashim dan juga Pak Atan.



Seterusnya, saya sekeluarga pun berjalan kaki ke rumah Anton. Rumah Anton terletak paling hujung di atas air menghadap kota Tanjung Pinang di Pulau Bintan. Ketibaan saya sekeluarga disambut mesra oleh isteri dan 3 anak-anak Anton. Bahagian hadapan rumahnya masih di atas tanah, tetapi bila melangkah masuk ke dalam rumah sahaja maka kita sebenarnya sudah berada di atas air. Rumahnya yang diperbuat daripada papan amat sederhana sekali. Bekalan elektrik memang ada tetapi bekalan air menerusi paip tiada. Dalam keadaan begini, Anton masih sudi menyambut kehadiran saya sekeluarga dan seterusnya menjamu kami dengan makan tengah hari. Budi dan keikhlasan keluarga ini amat tinggi sekali.

Tengah hari itu, saya sekeluarga dijamu dengan makanan orang Pulau Penyengat. Sebenarnya masakan serta lauk-pauk yang disediakan tidaklah jauh bezanya dengan apa yang kita ada di Malaysia. Bagi saya, yang paling berharga ialah suasana yang saya lalui ketika di rumah Anton yang tiada di tempat sendiri. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, tapi itulah yang saya sekeluarga telah lalui. Luqman pula tidak makan banyak kerana asyik bermain dengan anak-anak Anton. Walaupun Cuma sekejap, tetapi hasrat saya untuk makan masakan orang pulau Penyengat, di rumah orang Penyengat dan di Pulau Penyengat dikabulkan Allah juga.

Sekitar jam 3.15 petang WIB saya pun meminta izin untuk kembali semula ke hotel penginapan di Tanjung Pinang. Sebenarnya saya ingin pulang lebih awal kerana cuaca mula tidak begitu baik. Angin mula bertiup lebih kencang. Guruh pula sudah mula kedengaran. Sedangkan saya sekeluarga terpaksa melintas laut untuk kembali semula ke hotel. Saya sungguh gembira kerana sudah mempunyai “saudara” di Pulau Penyengat. Seperkara yang saya ingin kongsikan di sini ialah, orang Pulau Penyengat bercakap Melayu saling tak tumpah dengan cara bercakap orang Melayu Johor. Ketika berada di Pulau Penyengat, saya seakan berada di negara sendiri. Saya berdoa semoga ini bukanlah pertemuan terakhir dengan keluarga Anton. Kami meninggalkan Pulau Penyengat dengan menaiki bot abang kepada Anton. Anton turut serta menghantar kami hingga ke hotel penginapan saya sekeluarga. Insha-Allah pagi esok kami akan bertemu lagi.

Sesungguhnya Pulau Penyengat saya tinggalkan dengan seribu satu rasa yang pelbagai. Di pulau ini suatu ketika dahulu pernah berdirinya sebuah kerajaan yang megah untuk bangsa Melayu, tetapi hari ini status pulau ini hanyalah sekadar kelurahan semata-mata. Kemegahan dan kebanggaan bangsa akan terus terhakis secara evolusi jika kita masih alpa dan leka dan bersengketa di antara sesama kita. Demikianlah sejarah mengajar kita.

Maklumat tambahan:

** 5 Bugis bersaudara yang telah datang ke Riau pada awal abad ke-18 ialah:
1. Daeng Parani;
2. Daeng Mariwah;
3. Daeng Celak;
4. Daeng Menambun;
5. Daeng Kemasi.

** Yang Dipertuan Muda Riau adalah jawatan yang mula diwujudkan ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah (1722-1760. Jawatan ini dikhususkan untuk orang Bugis sahaja, sedangkan orang Melayu terus diiktiraf sebagai sultan. Dari aspek kekuasaan, yang dipertuan muda mempunyai kuasa yang besar terutama dalam bidang politik, hubungan luar serta pentadbiran. Manakala sultan pula lebih banyak mengangguk daripada mendongak. Di bawah ini diperturunkan senarai Yang Dipertuan Muda Riau yang lengkap (tanpa tahun pemerintahan kerana ia agak bersalahan sedikit)
1. Daeng Mariwah;
2. Daeng Celak;
3. Daeng Kemboja anak kepada Daeng Parani;
4. Raja Haji anak Daeng Celak;
5. Raja Ali Kelana anak Daeng Kemboja, cucu Daeng Parani;
6. Raja Jaafar anak Raja Haji, cucu Daeng Celak;
7. Raja Abdul Rahman anak Raja Jaafar, cucu Raja Haji;
8. Raja Ali anak Raja Jaafar, cucu Raja Haji;
9. Raja Haji Abdullah anak Raja Jaafar, cucu Raja Haji;
10. Raja Muhammad Yusuf anak Raja Ali, cucu Raja Jaafar, cicit Raja Haji.

(Bersambung di bahagian seterusnya).

No comments: