Tuesday, March 15, 2011

Melawat PERTIS Terengganu

Bermula 13 Mac lagi, saya serta sebahagian besar ahli kumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah tiba di Kuala Terengganu. Tujuan kami ialah untuk mengadakan sesi demo penggunaan panel E-Braille Quran sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini. Salah satu daripada aktiviti yang telah diatur ialah melawat ke pejabat PERTIS Terengganu. Saya sengaja memasukkan aktiviti ini sebagai salah satu daripada agenda sesi demo ini atas beberapa sebab. Antaranya, kelas pengajian Alquran Braille anjuran PERTIS Terengganu amat aktif dan berjalan dengan baik. Ia juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan Terengganu. Selain itu, dengan kehadiran pasukan penyelidik, ia dapat memberi pendedahan secara lebih dekat kepada pasukan penyelidik mengenai perjalanan kelas Alquran Braille. Di samping itu, adalah diharapkan juga dengan melihat sendiri perjalanan kelas berkenaan, mungkin akan timbul ilham, idea atau yang seumpamanya ke arah penambahbaikan ke atas panel E-Braille Quran nanti.

Maka dengan itu, semalam (14 Mac), seramai 12 orang yang terdiri daripada ahli kumpulan penyelidik, Setiausaha Agung PERTIS Pusat serta saya dan keluarga telah mengadakan lawatan ke pejabat PERTIS Terengganu. Bagi saya, ini bukanlah kunjungan pertama saya ke sini. Saya pernah mengenengahkan kunjungan saya ke sini menerusi blog ini pada bulan Jun tahun lalu.



Sekitar jam 9.40 saya dan rombongan tiba di perkarangan pejabat PERTIS Terengganu. En. Mohd Fauzi Mansor selaku Pengerusi PERTIS Terengganu dengan disertai beberapa orang AJK-nya telah sedia menanti ketibaan kami.





Sejurus kami tiba, saya dan rombongan telah diberi taklimat mengenai perjalanan kelas pengajian Alquran Braille. Taklimat telah disampaikan sendiri oleh En. Mohd Fauzi. Beliau juga turut mengenengahkan aktiviti dan lain-lain program yang sedang dan pernah dikendalikan oleh PERTIS Terengganu.



Setelah itu, kumpulan pelawat mula dibawa menyaksikan sendiri perjalanan kelas pengajian Alquran Braille yang diadakan di dalam premis pejabat PERTIS Terengganu. Setiap minggu, kelas akan berjalan selama 3 hari dan 2 jam bagi setiap sesi. Terdapat 5 buah kelas kesemuanya dan ia terbahagi kepada 5 tahap. Terdapat 5 orang tenaga pengajar yang bertanggungjawab mengajar Alquran Braille di sini.





Tahap pertama meliputi mereka yang baru hendak mengenal huruf Braille. Manakala tahap 5 pula merupakan kelas untuk yang sudah mahir. Pada masa ini, terdapat seramai 37 orang yang sedang mengikuti kelas pengajian Alquran Braille ini yang meliputi pelbagai peringkat umur. Walaupun sudah berumur dan jari-jemari pun sudah kian kematu untuk merasa titik-titik Braille, tetapi semangat golongan tersebut untuk belajar Alquran Braille amat mengkagumkan.



Antara yang menjadi daya penarik di sini ialah alat (seakan panel) yang digunakan untuk mengajar asas titik-titik Braille. Alat ini diperbuat daripada kayu dan paku digunakan sebagai ganti titik Braille. Kebiasaannya alat ini digunakan untuk mengajar golongan yang telah berumur dan jari-jari mereka mungkin tidak begitu sensitif dengan titik-titik Braille.

Sekitar jam 11.15 pagi, lawatan berakhir. Sebelum pulang semula ke hotel, kami dihidangkan dengan jamuan ringan.



Sebagaimana yang diharapkan, lawatan pasukan penyelidik ke pejabat PERTIS Terengganu telah berjaya mencapai matlamatnya. Demikianlah saya dimaklumkan.



Salam dari Kuala Terengganu.

No comments: