Sunday, March 20, 2011

Selamat Ulang Tahun Kepada Dato’ Ann Majeed

Hari ini (20 Mac) merupakan hari ulang tahun kelahiran Yang Berbahagia Dato‘ Ann Majeed. Setiap tahun, saya akan mengutuskan ucapan yang hampir serupa kepada beliau sama ada menerusi telefon mahupun menerusi blog ini. pada tahun ini, beliau menyambut hari ulang tahunnya yang ke-83 tahun.



Terdapat beberapa keistimewaan yang ada kepada beliau yang menyebabkan beliau akan terus diingati sampai bila-bila. Dato’ Ann Majeed merupakan anak Melayu pertama yang boleh membaca dan menulis Braille di negara ini. Beliau juga merupakan guru besar pertama bagi Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Baru. Beliau juga wanita pertama di negara ini yang berjaya sampai ke jawatan ketua pengarah (Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat).

Sebagai seorang guru besar yang mahir dengan sistem tulisan Braille, beliau dapat pula mengajar kemahiran berkenaan kepada guru-guru lain yang ada ketika itu. Beliau juga mempunyai pendirian yang tegas mengenai kemahiran Braille dalam kalangan guru pada masa itu. Demikianlah apa yang pernah beliau ceritakan kepada saya.

Bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Yang Berbahagia Dato’ Ann Majee, ada sesuatu yang ingin saya kongsikan yang mungkin jarang muncul dalam minda kita. SKPK Princess Elizabeth telah ditubuhkan pada tahun 1948. Pada masa itu terdapat 4 orang guru yang juga merupakan guru generasi pertama bagi sekolah tersebut. Selain 4 orang guru berkenaan, terdapat juga 4 orang murid yang juga merupakan generasi murid pertama bagi sekolah berkenaan.

Pada hari ini, dengan kehendak Yang Maha Esa juga, keempat-empat orang guru berkenaan masih lagi ada bersama kita. Mereka ialah Yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed, Cikgu Fatimah binti Dato’ Ismail (Cikgu Ara), Cikgu Sharifah Kamaliah binti Datuk Syed Abdul Kathir dan Cikgu Rahmah binti Abdullah. Semoga Allah akan terus melanjutkan usia mereka dengan penuh keberkatan.

Pada hari ini dan dengan takdir daripada Yang Maha Esa juga, keempat-empat generasi murid pertama bagi SKPK Princess Elizabeth telah melalui takdir yang tidak sama. Ismail bin Abdullah (Cikgu Ismail) dan Ashari bin Abdullah (Lim Keong Wah) telah pun menghadap Ilahi. Manakala Saodah binti Syarif pula tiada langsung khabar berita mengenai beliau. Yang masih bersama kita ialah En. Samani bin Taib. Selain daripada keempat-empat murid di atas, Dato’ Dr. Ismail bin Md Salleh juga merupakan bekas murid kepada Dato’ Ann Majeed. Beliau (Dr. Ismail) telah pun menghadap Ilahi pada tahun 2009 yang lalu.

Demikianlah makhluk yang bernama manusia, tetap kukuh menyelusuri landasan qadha dan qadar yang telah ditentukan untuk kita.



Sekali lagi, saya mengucapkan selamat ulang tahun yang ke-83 kepada yang Berbahagia Dato’ Ann Majeed. Semoga Allah terus melanjutkan usia beliau dengan penuh keberkatan, keimanan serta akan terus dilimpahi dengan kesihatan yang baik.

Salam dari Kuantan.

No comments: