Pagi tadi, sekitar jam 6.45 pagi saya sekeluarga sudah pun meninggalkan rumah. Haluan kami ialah LCCT. Kami turut disertai oleh kedua-dua ibu bapa saya, seorangkakak ipar saya serta seorang biras saya (suaminya). Jumlah kami ialah 7 orang kesemuanya. Destinasi utama kami ialah Kuching, Sarawak.
Sekitar jam 10.15 pagi, baru kapal terbang yang kami naiki (AK 5204) berlepas meninggalkan LCCT, iaitu lewat setengah jam dari waktu berlepas asal. Perjalanan di udara tenang dan lancar sahaja. Masa yang agak terluang dalam pesawat saya gunakan untuk membuat catatan tertentu dengan menggunakan komputer yang sentiasa bersama-sama saya.
Bagi mereka yang masih dianugerahi dengan penglihatan dan tidak buat tahi mata tatkala dalam penerbangan, pasti akan dipertontonkan dengan fenomena alam yang begitu menakjubkan. Perhatikan sahajalah antara imej-imej menakjubkan yang sempat dirakam semasa saya dalam penerbangan tadi. Walaupun saya sekadar dapat memperolehi infonya menerusi penerangan yang agak baik oleh isteri saya, tetapi keajaiban fenomena alam bukti kebesaran Allah tetap dapat saya rasakan. Demikianlah maha hebatnya Dia yang menciptakan segala-galanya.
Alhamdulillah, sekitar jam 11.45 pagi, pesawat yang kami tumpangi telah mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Sewaktu ketibaan, cuaca hujan.
Setelah melalui sedikit proses ketibaan di lapangan terbang, kami terus menaiki kenderaan yang dipandu oleh anak saudara kami yang telah pun sedia menanti. Sebagaimana yang telah dirancang sejak dari awal, kami pun terus menuju ke masjid yang letaknya tidak berapa jauh dari kem tentera Pemrisen untuk solat Jumaat. Ini kali kedua saya bersolat Jumaat di masjid ini. Kali pertama ialah pada bulan Jun lepas. Kalau tak silap saya, hari ini waktu zohor di Kuching sekitar jam 12.31 tengah hari, iaitu sekitar setengah jam lebih awal daripada KL.
Setelah solat Jumaat, barulah kami mencari tempat untuk mengisi perut. Sekitar jam 3.15 petang, baru kami checked in di Hotel Harbour View yang letaknya tidak jauh dari Water Front. Kalau saya ke Kuching memang hotel inilah yang menjadi pilihan saya. Kerana itulah juga semasa saya di kaunter untuk check in, salah seorang kakitangannya masih mengingati saya.
Sebenarnya tujuan utama saya ke Kuching kali ini ialah untuk membawa kedua-dua ibu bapa saya berjalan-jalan. Hasrat untuk menggembirakan kedua-duanya sentiasa menyala dan tak pernah padam. Saya memilih Kuching kerana saya agak biasa dengan persekitaran di bandar raya ini. Di samping itu, saya juga ada kenal seorang dua penduduk tempatan yang sedia untuk memberikan bantuan bila saya memerlukan. Inilah untungnya kalau kita ada jaringan silaturahim persaudaraan dan persahabatan yang luas. Jadi, mudah untuk saya merancang dengan lebih rapi dan teliti bagi memenuhi tempoh masa sepanjang kunjungan kami ke Kuching. Selain itu, kami juga punya seorang anak saudara yang bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan di sini yang sekaligus memudahkan pergerakan kami.
Segala jadual lawatan telah saya aturkan. Seperti biasa juga, masa untuk membeli-belah saya jadualkan di akhir lawatan, itu pun kalau sempat. Begitulah stail saya kalau menyusun jadual kunjungan. Ia sudah difahami oleh ahli keluarga saya yang lain dan mereka tidak membantahnya.
Salam dari Kuching.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment