Pada semalam dan hari ini (Sabtu dan Ahad), 10 orang daripada 12 orang AJK Pusat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah berkampung di ibu pejabat PERTIS di Kuala Lumpur. Tujuannya ialah untuk melaksanakan satu daripada tanggungjawab kita iaitu mengadakan mesyuarat peringkat AJK. Setinggi-tinggi syukur saya ke hadhrat Allah kerana mesyuarat berkenaan telah berjalan dengan lancar, mesra dan penuh keikhlasan serta secara berterus-terang.
Pada hari Sabtu (semalam), mesyuarat telah berlangsung dari jam 9.20 pagi dan tamat hampir jam 6 petang. Kita hanya berhenti rehat selama satu jam setengah (1.00 tengah hari – 2.30 petang). Manakala pada siang tadi pula, mesyuarat telah berlangsung dari jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 2.00 petang. Kita hanya berhenti rehat selama setengah jam sahaja iaitu dari jam 9.30 pagi hingga jam 10.00 pagi.
Dalam tempoh bermesyuarat tersebut, kita telah dapat menyelesaikan banyak perkara. Apa-apa yang tersalah faham telah dapat diperbetulkan semula. Apa-apa yang tersembunyi dan yang tersirat secara tidak sihat telah dapat diperjelaskan dengan cara yang penuh berhemah. Siapa-siapa yang tersinggung dan terkecil hati telah dapat dijernihkan semula. Selaku saf kepimpinan sebuah organisasi seperti PERTIS, ikatan ukhwah islamiyah yang padu dan kukuh dalam kalangan kita amat penting dan sangat dituntut demi menjayakan visi dan misi persatuan.
Di samping itu, setiap keputusan yang dapat kita capai secara musyawarah akan memberi manfaat dan faedah yang cukup besar dan positif kepada organisasi yang sedang kita terajui. Insha-Allah, saya penuh yakin, sifat perpaduan serta kesatuan dalam kalangan kita akan membolehkan organisasi kita mendepani cabaran mendatang dengan lebih yakin dan jaya.
Sekali lagi, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah di atas semua nikmat serta rahmat yang telah dilimpahkan-Nya kepada kita selaku saf kepimpinan PERTIS dan juga kepada persatuan yang sedang kita pimpin. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan AJK Pusat PERTIS yang telah bermesyuarat dengan sikap profesional yang tinggi.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh ahli PERTIS yang telah memberikan kerjasama baik kepada kami selaku saf kepimpinan PERTIS pada masa ini. Tanpa sokongan dan dokongan daripada kalian tentunya persatuan kita tidak akan ke mana.
Sesungguhnya di hadapan sana, masih merintang dan melintang cabaran getir yang perlu sama-sama kita hadapi. Tanpa pertolongan Alllah Yang Maha Esa serta kerjasama daripada semua, tentunya organisasi kita akan tersandung dek rintangan cabaran yang sesetengahnya sengaja dilintangkan kerana sikap busuk hati sesetengah pihak kepada kita.
lafaz takbir raya dan maknanya
5 months ago
No comments:
Post a Comment